JDT: Sentiasa ‘curi’ pemain star dari negeri lain untuk kekalkan dominasi

Liga Malaysia 2021 pun baru je start ni, mesti semua peminat-peminat bola sepak tanah air gembira kerana dah boleh tengok aksi liga tempatan kita mula rancak kembali selepas sekian lama berhenti disebabkan pandemik Covid-19. Mata peminat pasti tertumpu kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), ini kerana mereka merupakan penyandang juara Liga Super selepas menjuarainya sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Itu membuatkan semua pasukan meletakkan JDT sebagai pasukan yang perlu mereka kalahkan bagi memecahkan dominasi mereka dalam Liga Super. Namun, apa rahsia disebalik kehebatan JDT ni? Adakah mereka semakin hebat atau pasukan lain yang semakin lemah? Disini kitorang nak kupas serba-sedikit berkenaan apa yang membuatkan pasukan dari selatan tanah air itu sentiasa mempunyai skuad yang ampuh.

TMJ menggunakan ‘fulus’ yang banyak bagi pembinaan pasukan

DYAM Tunku Mahkota Johor. Imej dari Edisi 9

Kalau kita lihat balik pada tahun 2012, itu merupakan tahun di mana DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengambil alih Johor FC dan menukarnya kepada sebuah kelab baharu yang dinamakan Johor Darul Ta’zim (JDT). Masa tu JDT dianggap seperti ‘Manchester City of Malaysia‘, ini disebabkan TMJ mengeluarkan dana kewangan yang sangat banyak untuk mendapatkan pemain-pemain bintang luar negara untuk menyertai JDT dengan harapan dapat mendapatkan sinar baharu kepada kelab itu. Antaranya adalah Daniel Guiza dan Pablo Aimar, dua pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia.

Pemain dan peminat juga dapat menggunakan fasiliti bertaraf dunia selepas dana yang diberikan tu juga digunakan untuk mengubah wajah stadium mereka (Stadium Larkin pada ketika itu), padang yang premium, tempat latihan yang high-class, dan macam-macam lagi. Itu semua mampu diberikan oleh TMJ dalam hanya dua atau tiga tahun sahaja, tapi macam biasalah itu semua menggunakan duit. Ada naratif yang mengatakan JDT takkan pergi jauh pun kalau TMJ tak ambil alih.

JDT ketika memenangi Liga Super buat kali pertama. Imej dari mStar

Segala usaha yang dilakukan TMJ mula memberikan hasil yang memberangsangkan pada 2014 selepas mereka memenangi kejuaraan Liga Super buat kali pertama selepas pasukan mereka di revamp. Perkara itu menutup semua mulut pengkritik yang mengatakan JDT tidak akan kemana-mana (sebab pada tahun 2013 dorang kalah final Piala FA dengan Kelantan) walaupun sudah berbelanja jutaan ringgit. Mereka juga sekali lagi mencatat sejarah baharu apabila menjuarai Piala AFC (piala Asia untuk kelab) dan sekaligus menjadi pasukan pertama di Malaysia yang memenanginya.

Selepas itu, mereka berhasil untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super selama tujuh tahun berturut-turut. Kalau dilihat kepada rekod, pencapaian dorang ni memang kira gempak lah. Namun, semua tu takkan terjadi kalau TMJ tak ambil alih tu dan sebenarnya ada juga sebab lain yang menyebabkan mereka tu asyik ada kat atas je. Ni kitorang nak cerita sebab apa.

Sumareh dan Nazmi Faiz antara bintang yang ‘dicuri’ oleh JDT

Skuad JDT 2020. Imej dari SemuanyaJDT

Ini mungkin tuduhan yang agak berat kepada JDT tapi itu lah hakikatnya, majoriti pemain-pemain yang menyertai JDT ialah mereka yang menyerlah dengan pasukan sebelumnya. Perkara yang dilakukan JDT sangat tidak popular di kalangan peminat bola sepak tempatan (kecuali peminat JDT) kerana perkara itu dilihat seakan-akan pasukan Harimau Selatan tu boleh mendapatkan sesiapa sahaja dengan menggunakan duit. Sebenarnya JDT ni memang target pemain yang booming dalam liga tiap tahun dan kalau korang nak tahu, ini adalah antara pemain bintang yang ‘dicuri’ oleh JDT:

1. Hazwan Bakri (Selangor)

Hazwan Bakri ketika mewakili JDT. Imej dari Berita Harian

Mungkin kalau sebut nama Hazwan Bakri sekarang ni tak ramai yang kenal, sebab dia kat JDT sekarang ni pun tak dapat main sangat. Tapi kalau korang nak tahu, masa tahun 2014  hingga 2016 dia menunjukkan persembahan yang sangat baik sehingga dikenali oleh satu Malaysia. Dia mempunyai kaki kiri yang amat berbisa sehingga menjadi top 3 penjaring tempatan dalam Liga Super pada 2015. Disebabkan kehebatannya itu, pada akhir tahun 2016, JDT telah memancing anak kelahiran Labuan itu daripada pasukan Selangor.

2. Nazmi Faiz (Selangor)

Nazmi Faiz Mansor. Imej dari Johor Southern Tigers

Wonderboy‘ Malaysia, merupakan salah seorang pemain Malaysia yang berjaya menimba pengalaman di eropah dengan mewakili SC Beira Mar di liga kedua Portugal. Dia juga telah mula bersama dengan pasukan Selangor pada tahun 2014 dan menghadapi musim yang sangat cemerlang pada tahun 2015, pada masa itu dia antara bakat muda yang dikira boleh menjadi tunjang kepada skuad kebangsaan. Tapi sama juga macam Hazwan Bakri, Nazmi telah meninggalkan Selangor pada 2016 untuk mewakili JDT selepas menunjukkan persembahan yang hebat pada tahun sebelumnya.

3. Adam Nor Azlin (Selangor)

Adam Nor Azlin meraikan gol. Imej dari The Star

Untuk Adam Nor Azlin ni pula agak unik sikit, dia merupakan seorang penyerang pada mulanya di Selangor tetapi Adam ditukar ke posisi pertahanan pada tahun 2015 dan dia kekal di posisi itu sehingga sekarang. Persembahan yang ditunjukkan oleh Adam sebagai pertahanan Selangor sangat solid sehingga dia diserap ke skuad kebangsaan dan menjadi pemain penting dalam mengawal pertahanan negara. JDT melihat itu sebagai salah satu peluang untuk menguatkan pertahanan skuad mereka dan membuat keputusan untuk menandatangani Adam pada tahun 2017.

4. Farizal Marlias (Selangor)

Farizal semasa menjaga gawang gol. Imej dari SemuanyaBola

Seorang lagi pemain Selangor iaitu Farizal Marlias, juga dipancing oleh JDT selepas dia menunjukkan persembahan yang sangat cemerlang semasa menyarung jersi Gergasi Merah. Dia merupakan antara penjaga gol terbaik di Malaysia dan tidak boleh disangkal lagi kehebatan Farizal di atas padang. Pada masa itu, JDT sudah pun mempunyai penjaga gol yang berkaliber tetapi mereka seakan-akan inginkan lebih lagi sehingga membuat keputusan untuk membeli terus Farizal selepas semusim membantu Selangor.

5. Syafiq Ahmad (Kedah)

Syafiq ketika meraikan jaringan. Imej dari Vocket FC

Tidak cukup di Selangor, JDT mula melihat ke arah utara tanah air apabila memancing prospek penyerang negara iaitu Syafiq Ahmad pada 2018. Dia merupakan seorang penyerang yang cukup power semasa dengan Kedah FA, ketika itu pasukan Kedah boleh dikategorikan sebagai salah satu pasukan terbaik dalam liga dan Syafiq merupakan seorang watak penting yang menjadikan Kedah digeruni oleh pihak lawan. JDT pada masa tu pun mempunyai penyerang yang agak ramai tetapi masih lagi ingin menambah Syafiq Ahmad dalam koleksi pemain mereka.

6. Akhyar Rashid (Kedah)

Akhyar semasa baru masuk JDT. Imej dari Football Tribe

Seorang lagi pemain muda Kedah iaitu Akhyar Rashid juga dipancing oleh JDT. Dia menjadi rebutan selepas menunjukkan aksi yang memberangsangkan di Liga Super walaupun hanya berumur 18 tahun ketika itu, ramai juga mengatakan yang Akhyar ni antara pemain sayap terbaik Malaysia ketika itu. Bila nama dia dah naik, Akhyar ni dikaitkan dengan pelbagai pasukan tapi last-last JDT juga yang dapat.

7. Matthew Davies (Pahang)

Matt Davies ketika musim pertamanya. Imej dari SemuanyaBola

Seorang pemain bek kanan berdarah campuran Malaysia dan Austrilia, dia digilap di Pahang sehingga menjadi antara bek kanan terbaik negara ketika ini. Dia seringkali menunjukkan prestasi yang konsisten  di atas padang dan selalu memberi hantaran lintang yang berbahaya, senang cerita dia ni memang padu lah. Tapi macam biasa, JDT kalau nampak padu sikit dia terus grab masuk dalam pasukan dia walaupun mereka dah ada dua bek kiri yang ampuh.

8. Mohamadou Sumareh (Pahang)

Sumareh semasa Malaysia menentang Indonesia. Imej dari The Star

Kalau nak borak pasal Sumareh ni, dia agak kontroversi sikit. Mohamadou Sumareh ni pada tahun lepas secara tiba-tiba ‘buat hal’ dengan pasukan Pahang, dikatakan bahawa Pahang tak bayar gaji dia pada masa tu sehingga kan dia mengambil keputusan untuk membatalkan kontraknya bersama Tok Gajah secara serta-merta. Dia selepas itu menyertai pasukan Police Tero di liga Thailand, tapi ramai berpendapat itu merupakan ‘proses transit‘ sahaja sebelum dia menyertai JDT. Akhirnya, perkara itu betul-betul berlaku selepas JDT mengumumkan penyenaraian Sumareh dalam barisan pemain.

Kesan negatif kepada Liga Malaysia tapi memanfaatkan skuad kebangsaan

JDT vs Kedah pada Liga Super musim lepas (2020). Imej dari BebasNews

Perkara yang dilakukan JDT ni sebenarnya dapat memberi kesan negatif, walaupun pasukan mereka menjadi lebih kuat tetapi dalam masa yang sama pasukan lain akan menjadi lebih lemah. Ataupun tu memang niat mereka untuk melemahkan team lain supaya mereka senang menang? Lagi satu perkara yang membuatkan ramai marah apabila pemain bintang yang ‘dicuri’ tu tenggelam apabila bersama dengan JDT, sehinggakan dia tidak lagi berada pada tahap yang sebelum ni.

Seperti Hazwan Bakri yang dulunya merupakan seorang penyerang yang sangat berbisa tetapi sekarang hanya memanaskan bangku simpanan JDT sahaja. Hal ini sama seperti Adam Nor Azlin yang tidak dapat bermain dalam kesebelasan utama kerana gagal bersaing dengan pemain import. Mungkin pasukan Harimau Selatan itu dapat menunjukkan dominasi dalam liga sampai tujuh tahun berturut-turut jadi juara, tetapi itu membuatkan Liga Malaysia tak lagi seronok untuk dilayan. Apabila dah jadi macam tu, ia menjejaskan jumlah penonton dan juga populariti Liga Malaysia sendiri. Sebab semua orang dah tahu dah last-last nanti siapa yang akan menang.

Tidak ada siapa kisah jika mereka nak merevolusi pasukan mereka, tidak ada siapa kisah jika mereka nak beli player paling mahal pun, cuma jangan sampai melemahkan pasukan lain. Perkara ini juga kita boleh lihat dekat liga eropah seperi Bundesliga, Bayern Munich telah membeli ramai pemain bintang dari pasukan lain dalam liga yang sama sehingga tiada siapa dapat memecah dominasi (dalam Bundesliga) mereka sejak sekian lama. Namun, walaupun perkara yang dilakukan JDT seakan-akan banyak memberi kesan negatif, ia tetap ada kesan positifnya tersendiri.

Pemain-pemain pasukan kebangsaan meraikan gol. Imej dari Utusan

Apa yang cuba dilakukan oleh TMJ adalah untuk membawa masuk kesemua pemain-pemain yang sedang atau pernah mewakili pasukan kebangsaan ke dalam satu kelab iaitu JDT, supaya dari situ mereka boleh build up kesefahaman yang tinggi dan memberi pendedahan yang lebih luas kepada mereka.

Mungkin ramai yang tak setuju dengan apa yang JDT buat ni tapi ia ada kebaikannya juga, lebih-lebih lagi Malaysia sekarang mempunyai peluang yang sangat cerah untuk layak secara merit ke Piala Asia akan datang ni. Kita sebagai peminat, haruslah menyokong perkara yang memajukan bola sepak tempatan kita dan tolak perkara yang mencemarkannya. Sentiasa sokong liga kita.