Buya Hamka – Ulama yang pernah berniat untuk membunuh diri

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 1 Oktober 2017

Nusantara sejak dahulu lagi telah melahirkan nama-nama besar yang terdiri daripada para ulama, budayawan, sasterawan, intelektual, pemikir dan sebagainya. Mereka inilah yang sentiasa berusaha memerdekakan masyarakat secara fizikal (contoh untuk kemerdekaan negara) serta kemerdekaan pemikiran dan minda.

Dalam banyak nama itu, tak terlepas kita dari menyebut nama Hamka atau Buya Hamka. Buya adalah perkataan Arab yang membawa maksud ayah atau seseorang yang amat dihormati. Hamka bukan sahaja seorang ulama, tetapi juga seorang sasterawan, wartawan, budayawan, sejarawan, malah seorang pejuang! Agak sukar untuk seorang insan itu berjaya menggabungkan pelbagai nilai dalam dirinya. Tetapi nampaknya, Hamka berjaya.

Buya Hamka. Imej dari izaybiografi.com

Dilahirkan di Maninjau, Sumatera Barat pada 17 Februari 1908 (14 Muharram 1326H), dengan nama Abdul Malik bin Karim Amrullah (Hamka), tiada siapa yang menyangka insan ini akan dapat menggegar dunia Indonesia dan Nusantara. Ayahnya, Hj Abdul Karim Amrullah (juga dikenali sebagai Hj Rasul) adalah seorang ulama besar Minangkabau yang membawa gerakan-gerakan pembaharuan (Islah).

Sejarah perjalanan Hamka bermula apabila…

Pergi ke Tanah Jawa dan mengembangkan gerakan Muhammadiyah

Semasa berusia 6 tahun, Hamka dibawa oleh ayahnya ke Padang Panjang dan dimasukkan ke sekolah desa, manakala pada malamnya, Hamka mengaji al-Quran bersama ayahnya. Sepanjang 10 tahun belajar bersama dengan beberapa orang guru dan ayahnya, Hamka pun fasih berbahasa Arab.

Hamka ketika berusia 10 tahun. Imej dari malaycivilization.ukm

Bagaimanapun, ketika berusia 16 tahun, Hamka pergi ke Tanah Jawa untuk melepaskan diri dari bayangan besar ayahnya. Hubungan Hamka dengan ayahya sebelum itu juga memang agak kurang rapat, bila Hj Rasul bercerai dengan ibunya.

Di Tanah Jawa, Hamka berguru pula dengan nama-nama besar ilmuan Indonesia seperti Ki Bagus Hadikosumo (orang kuat Muhammadiyah ), H.O.S Cokroaminoto (dalam bidang Islam dan sosialisme), R.M Suryopranoto (bidang sosiologi), H. Fakhruddin (bidang agama) dan ramai lagi. Hamka juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku falsafah, sejarah, politik, dan sejarah.

H.O.S Cokroaminoto, seorang tokoh Islam Indonesia. Imej dari boombastis.com

Selesai belajar di Tanah Jawa, Hamka pergi pula ke Mekah dan pemergiannya ini tak diberitahu kepada ayahnya.

“Ketika dia ke Mekah, dia hanya diam-diam. Dia pergi ke Mekah dengan wang sendiri dan bantuan teman-temannya. Bila sampai ke Mekah dia kirimkan surat. Khabarnya surat itu tidak dia kirim langsung kepada ayahnya, tetapi kepada kakaknya, Fatimah. Ketika diceritakan Hamka sudah berada di Mekah, menangis ayahnya itu.” – Rusdy Hamka, anak Buya Hamka.

Setelah pulang dari Mekah, Hamka pun berkahwin dengan Siti Raham atas pilihan keluarga. Dalam waktu sama, beliau dan ayahnya mula mengembangkan gerakan Muhammadiyah di Sumatera. Muhammadiyah adalah sebuah pertubuhan Islam di Indonesia yang ditubuhkan pada 1912.

Hamka dan isterinya, Siti Raham. Imej dari malaycivilization.ukm

Pada tahun 1936, Hamka berhijrah pula ke Medan dan di sana beliau memimpin sebuah majalah yang dikenali sebagai Pedoman Masyarakat. Ketika berada di sana jugalah Hamka mula berkenalan dengan pejuang-pejuang nasional Indonesia, seperti Soekarno (seterusnya Presiden Indonesia) dan Mohammad Hatta (seterusnya Naib Presiden Indonesia). Maka, tak hairanlah perasaan perjuangan nasional menuntut kemerdekaan juga mula muncul di dalam diri Hamka.

Menjadi seorang sasterawan, pejuang kemerdekaan dan ahli politik

Dalam waktu yang sama, kehebatan Hamka dalam dunia kesusasteraan Melayu juga terbukti apabila terbitnya novel ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck‘ dan ‘Di Bawah Lindungan Ka’bah‘. Karya-karya ini melonjakkan nama Hamka sebagai seorang novelis. Walaupun, novel-novel ini berkaitan dengan cinta, tapi dalam waktu yang sama Hamka menyelitkan pelbagai nilai Islam di dalamnya.

Sebagai contoh, dalam ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’, kita diceritakan tentang kegagalan cinta pertama Zainuddin (watak utama) dengan Hayati disebabkan kerana sikap yang terlampau menjulang adat (Hamka mengkritik adat Minangkabau). Kita juga diceritakan bagaimana Zainuddin mendapat semangat baru untuk hidup setelah kecewa cintanya itu gagal.

“Bahawa banyak orang besar-besar yang kalah dalam percintaan, lantaran kekalahan itu dia ambil jalan lain, dia maju dalam politik, dalam mengarang syair, dalam mengarang buku, dalam perjuangan hidup, sehingga dia naik ke atas puncak yang tinggi, yang perempuan itu wajib melihatnya dengan menengadah dari bawah.” – Dipetik dari novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck.

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, sekarang pun dah difilemkan. Imej dari bintang.com

Oleh itu, kita di sini dapat melihat yang dakwah Hamka bukan sahaja disampaikan melalui penulisan artikel, majalah dan ceramah semata-mata. Tetapi juga melalui novel, sehingga beliau digelarkan sebagai ‘Ulama Sasterawan’.

“Hamka dengan bijaksana, dengan penuh kasih sayang memasukkan nilai-nilai Islam ini di dalam novel-novelnya. Bagi saya, 104 buku yang ditulis oleh Hamka, semuanya adalah buku-buku Islam. Walaupun yang hanya disebut dalam tajuknya sekitar 39 hampir 40 yang terus dikaitkan dengan Islam.” – Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Katanya di Simposium Hamka.

Antara karya-karya Hamka. Imej dari parlementaria.com

Berbalik kepada perjuangan kemerdekaan, hubungan Hamka dan Soekarno semakin rapat selepas itu dan mereka bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan Indonesia. Sehinggakan apabila Jepun datang ke Indonesia, Hamka seperti juga ramai pejuang menerima kedatangan Jepun sebagai penyelamat bangsa Asia.

Ini kerana, mereka percaya dengan propaganda Jepun dalam Perang Dunia Ke-2. Hamka juga yakin kemenangan pihak Jepun, akan memberikan kemenangan kepada bangsa Asia, khususnya bangsa Melayu. Bagaimanapun, keterlibatan Hamka dengan propaganda Jepun ini nampaknya menjadi sesalan baginya untuk seumur hidup.

Terlibat dalam dunia politik dan menimbulkan rasa tak puas hati Soekarno

Tapi penjajahan Jepun tak lama, apabila jatuhnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Jepun akhirnya menyerah kalah. Tindakan pihak Jepun, diambil dengan baik oleh Soekarno untuk mengisytiharkan kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos 1945. Selepas merdeka, Hamka mula ditugaskan sebagai Ketua Majlis Pimpinan Haji Indonesia.

Tapi dalam masa sama, nama Hamka juga mula naik sebagai seorang pemimpin pusat Muhammadiyah dan beliau juga mula dikenali sebagai salah seorang tokoh Masyumi. Masyumi adalah singkatan untuk Partai Majelis Syuro Muslimin Indonesia, sebuah parti Islam Indonesia. Jadinya pada tahun 1955, apabila Indonesia mengadakan pilihan rayanya yang pertama dan Hamka juga turut serta dalam pilihan raya itu.

Kempen Parti Komunis Indonesia (PKI) di Pilihan Raya pertama Indonesia 1955. Imej dari indonesia-zaman-doeloe.blogspot

Hamka nampaknya menang dalam pilihan raya itu dan berjaya menjadi wakil di Parlimen. Bagaimanapun, hubungan Masyumi dan Soekarno mula tak berapa baik selepas itu. Ini kerana, tindakan Masyumi yang hendakkan syariat Islam dan tak nak berkerjasama dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) telah menimbulkan rasa marah Soekarno. Akhirnya, pada tahun 1960, Masyumi pun diharamkan oleh Soekarno.

“Sesudah itu keadaannya beza sekali, hubungan Bung Karno (Soekarno) dan Buya Hamka. Memang menghairankan juga kenapa hubungan yang begitu mesra sebelum perang (WW2) boleh berubah. Saya melihat ia terjadi kerana diri Bung Karno, kerana Bung Karno tahun 1959 itu berbeza dari Bung Karno tahun 1945 dan tahun 1950-an. Dia nampaknya lebih tertarik kepada kekuasaan, sedangkan Buya Hamka tetap berjuang dengan Islam itu.” – Prof Dr Deliar Noer, Cendikiawan Islam Indonesia.

Berdiri dari kiri: Hamka & Soekarno, ketika berkawan baik. Imej dari koransulindo.com

Hamka pernah terfikir untuk membunuh diri!

Selepas pengharaman Masyumi, Hamka mula meninggal aktiviti politik dan mula menerbitkan majalah Panji Masyarakat. Majalah ini nampaknya, banyak mengkritik gaya pemerintahan Soekarno. Majalah ini bertambah kontroversi apabila ia menyiarkan tulisan Mohammad Hatta (bekas Naib Presiden Indonesia) yang mengkritik kepimpinan Soekarno. Seperti apa yang berlaku terhadap Masyumi, majalah Panji Masyarakat juga selepas itu diharamkan oleh Soekarno.

Soekarno dan Mohammad Hatta. Imej dari Wikimedia.

Pada tahun 1963, apabila terbentuknya Malaysia, Indonesia di bawah Soekarno menjadi antara negara yang kuat menentang pembentukan ini. Maka berlakulah ‘Konfrontasi Indonesia-Malaysia’. Hal ini juga memberikan tempias kepada Hamka apabila dia dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Pada 27 Januari 1964, Hamka telah ditahan di rumahnya dan dibawa ke Pusat Tahanan Sukabumi.

Hamka menceritakan yang beliau telah disoal siasat secara tidak henti-henti tak kira siang atau malam, selama 15 hari berturut-turut. Waktu rehat pun hanya masa makan dan sembahyang je. Malah, masa tengah tidur pun, Hamka diganggu. Tapi masa soal siasat tu, ada satu perkara yang membuatkan Hamka tak tahan.

“Satu kali pernah dikatakan satu ucapan yang belum pernah saya dengar selama hidup. ‘Saudara pengkhianat, menjual negara kepada Malaysia!’ Kelam pandangan mendengar ucapan itu, berat!” – Buya Hamka, dipetik dari buku Tasawuf Moden.

Imej dari Giphy.

Ketika inilah Hamka mula teringat, ayahnya itu seorang ulama besar. Dari kecil dirinya dimanjakan oleh masyarakat kerana status ayahnya itu. Maka ucapan yang selalu diterimanya hanyalah ucapan-ucapan kasih dan baik.

“Pada usia 16 tahun, saya diangkat menjadi Datuk menurut adat gelaran pusaka saya ialah Datuk Indomo. Sebab itu sejak usia 12 tahun saya pun dihormati secara adat. Lantaran itu sangat jaranglah orang mengucapkan kata-kata kasar di hadapan saya.

…Pada tahun 1959, al-Azhar Universiti memberi saya gelaran Doctor Honoris Causa, kerana saya dianggap salah seorang ‘Ulama Terbesar’ di Indonesia. Sekarang terdengar saja ucapan: ‘Saudara pengkhianat, menjual negara kepada Malaysia!’ Gementar tubuh saya menahan marah, kecil polisi yang memeriksa dan mengucapkan kata-kata itu saya pandangi, dan pistol ada di pinggangnya.” – Buya Hamka, dipetik dari buku Tasawuf Moden.

Surau di tepi Danau Maninjau tempat Hamka belajar mengaji di masa kanak-kanak. Imej dari malaycivilization.ukm

Tapi mujur saja, Hamka masih lagi mampu menahan marahnya. Sehingga beliau bertanya kepada polis yang menyoalnya itu, buat sajalah satu kertas pengakuan yang sebaiknya dan beliau akan menandatanganinya. Tapi nampaknya, permintaan itu dibalas dengan kata-kata: “Memang saudara pengkhianat!”. Lalu polis itu pergi dan menghempaskan pintu.

Maka remuklah hati Hamka mendengar kata-kata itu. Sehinggakan Hamka mula terfikir sesuatu yang tak pernah beliau fikirkan.

“Di saat seperti itu, setelah saya tinggal seorang diri, datanglah tetamu yang tidak diundang, dan yang memang selalu datang kepada manusia di saat seperti demikian. Yang datang itu ialah SYAITAN! Dia membisikkan ke dalam hati saya, supaya saya ingat bahawa di dalam simpanan saya masih ada pisau-silet. Kalau pisau kecil itu dipotongkan saja kepada urat nadi, sebentar kita sudah mati. Biar orang tahu bahawa kita mati kerana tidak tahan menderita.” – Buya Hamka, dipetik dari buku: Tasawuf Moden.

Inilah dia pisau silet (pisau cukur). Imej dari Youtube.

Hamka seterusnya menceritakan, hampir sejam berlakunya perang di antara hasutan syaitan dan imannya. Sehinggakan Hamka telah membuat surat wasiat kepada anak-anaknya yang berada di rumah. Tapi, syukur kepada Allah, nampaknya iman Hamka menang!

“Saya berkata kepada diriku: Kalau engkau membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan batin ini, mereka yang menganiaya itu nescaya akan menyusun pula berita indah mengenai kematianmu…Maka hancurlah nama yang telah engkau modali dengan segala penderitaan, keringat dan air mata sejak berpuluh tahun.

Dan ada orang yang berkata: Dengan bukunya ‘Tasawuf Moden’ dia menyeru orang agar sabar, tabah dan teguh bila menderita satu percubaan Tuhan. Orang yang membaca bukunya semuanya selamat kerana nasihatnya, sedang dirinya sendiri memilih jalan yang sesat. Pembaca bukunya masuk syurga kerana bimbingannya dan dia akhir hayatnya memilih neraka.” – Buya Hamka, dipetik dari buku: Tasawuf Moden.

Tasawuf Moden, salah satu karya hebat Buya Hamka. Imej dari deenamik.com

Perkara yang dilalui oleh Hamka ini, jelas menunjukkan bagaimana terseksanya beliau di dalam tahanan itu. Hamka dalam Tasawuf Moden melahirkan rasa syukurnya kerana berjaya melepaskan diri dari hasutan syaitan itu. Iman akhirnya menang! Bagaimanapun Hamka dibebaskan dari tahanan pada tahun 1966 apabila Soekarno tumbang.

Menjadi Ketua Majlis Ulama Indonesia dan sekali lagi berselisih dengan pihak pemerintah

Selepas dibebaskan, Hamka kembali menjalankan aktiviti-aktiviti dakwahnya dan mula menjauhkan diri dari politik. Sikapnya ini, telah menyebabkan hubungannya dengan Soeharto akrab di awal tahun 1970-an. Hamka juga selalu memberikan ceramah di Istana Negara dan meyampaikan khutbah Hari Raya di depan para pembesar negara.

Hamka dan Presiden Soeharto. Imej dari malaycivilization.ukm

Pada 1975, telah ditubuhkan Majlis Ulama Indonesia dan Hamka dilantik menjadi Ketua Umumnya yang pertama. Tapi nampaknya, masih berlaku perselisihan di antara Majlis Ulama dengan pihak pemerintah. Ia terjadi apabila Hamka mengeluarkan fatwa, umat Islam diharamkan untuk menyambut Hari Krismas bersama-sama dengan penganut Kristian.

Fatwa ini tak diterima oleh pihak pemerintah kerana ia dikatakan merosakkan kerukunan agama. Tapi, desakan untuk menarik balik fatwa itu tak diendahkan oleh Hamka yang tetap dengan pendiriannya. Akhirnya, Hamka meletakkan jawatan sebagai Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia.

“Jadi di dalam perkara ini, kita boleh memahami bahawa adanya persimpangan pendapat di antara Menteri Agama ketika itu dengan Buya Hamka. Buya Hamka murni berfikir dari segi hukum dan dari segi akidah umat Islam…Jadi fatwa Buya Hamka itu adalah fatwa yang sangat terkenal dan umat Islam patuh kepada fatwa itu. Sampai sekarang fatwa itu tidak pernah dicabut.” – KH. Ali Yafie, bekas Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia.

Hamka ketika menjadi Ketua Majlis Ulama Indonesia, bersama dengan wakil presiden, Adam Malik. Imej dari malaycivilization.ukm

Tapi itu bukan sahaja dugaan yang dihadapi oleh Hamka. Kerana muncul juga dakwaan yang mengatakannya sebagai seorang plagiat.

Tenggelamnya Kapal van der Wijck dituduh sebagai karya ciplak dan Hamka menyempurnakan wasiat Soekarno

Bila bercakap tentang Hamka, tak terlepas kita dari bercakap mengenai karya hebat ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’. Bagaimanapun, nampaknya novel ini juga tak lari dari kontroversi. Ini kerana, karya ini dituduh diciplak dari karya asing tulisan Alvonso Care, seorang sasterawan Perancis. Tuduhan ini dilakukan oleh seorang sasterawan Indonesia, bernama Pramoedya Ananta Toer (Pram).

APA??!! Imej dari Giphy.

Hamka nampaknya tidak membalas tuduhan dari Pram ini dan hanya berdiam diri. Sampailah, akhirnya satu perkara tak dijangka berlaku, apabila Pram menghantar calon menantunya untuk belajar agama dengan Hamka.

“Suatu hari, ayah (Hamka) kedatangan sepasang tamu. Si perempuan orang pribumi, sedang laki-lakinya seorang keturunan Cina. Kepada ayah si perempuan memperkenalkan diri. Namanya Astuti, sedangkan si laki-laki bernama Daniel Setiawan. Ayah agak terkejut ketika Astuti menyatakan bahwa ia anak sulung Pramoedya Ananta Toer.

Astuti menemani Daniel menemui ayah untuk masuk Islam sekaligus mempelajari agama Islam. Selama ini Daniel non Muslim. Pramoedya tidak setuju anak perempuannya yang muslimah nikah dengan laki-laki yang berbeda kultur (budaya) dan beragama lain.” – Irfan Hamka, anak Buya Hamka. Dipetik dari buku: Ayah, Kisah Buya Hamka.

Pramoedya Ananta Toer, seorang sasterawan, budayawan dan pejuang Indonesia. Imej dari abc.net

Penerimaan Hamka untuk mengajar calon menantu Pram ini dianggap oleh ramai orang sebagai perdamaian di antara Hamka dan Pram. Hamka menunjukkan sikap seorang ulama dan guru yang sangat berjiwa besar.

Selain itu, kebenaran untuk membuktikan Hamka tidak bersalah sewaktu dipenjara dulu juga terbukti apabila ia disahkan sendiri oleh Soekarno. Ini terjadi apabila, Soekarno berwasiat supaya Hamka menjadi imam untuk solat jenazahnya.

“Bila aku mati kelak, minta kesediaan Hamka untuk menjadi imam solat jenazahku: pesanan Soekarno kepada Hamka.” – Dipetik dari Ayah, Kisah Buya Hamka.

Hamka sebagai seorang ulama yang berjiwa besar, menerima wasiat ini dan mengimamkan solat jenazah Soekarno. Sehingga ditanya oleh orang:

“Apa Buya (Hamka) tidak dendam kepada Soekarno yang telah menahan Buya sekian lama di penjara?” – tanya seseorang kepada Hamka.

Saya tidak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakiti saya. Dendam itu termasuk dosa. Selama dua tahun empat bulan saya ditahan, saya merasa semua itu merupakan anugerah yang tiada terhingga dari Allah kepada saya, sehingga saya dapat menyelesaikan Kitab Tafsir al-Quran 30 juz.

Bila bukan dalam tahanan, tidak mungkin ada waktu saya untuk mengerjakan dan menjalankan pekerjaan itu.” – Dipetik dari buku: Ayah, Kisah Buya Hamka.

Hamka dikerumuni oleh jemaah selepas memberi khutbah Aidilfitri. Imej dari malaycivilization.ukm

Dituduh sebagai Kaum Muda dan dilarang datang ke Tanah Melayu

Satu lagi perkara yang kita tak terlepas pandang bila berbicara tentang Hamka adalah, mengenai tuduhan terhadap dirinya dan bapanya sebagai Kaum Muda atau WahabiKerana itulah bila Haji Rasul (bapa Hamka) nak datang ke Tanah Melayu pada 1916. Kedatangannya tu ditentang oleh mufti-mufti di Tanah Melayu.

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, Wahabi, Kaum Muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari Mazhab Syafie.” – Hamka. Dipetik dari buku: Ayahku.

Hamka dan ayahnya, Hj Rasul. Imej dari malaycivilization.ukm

Perkara ini telah memaksa Hamka menulis surat yang panjang lebar kepada Mufti Johor. Hamka seterusnya mengkritik mereka yang saling gelar menggelar dengan label Kaum Tua atau Kaum Muda. Hamka juga mengkritik tindakan mereka yang hanya mengikut amalan nenek moyang dan tidak mahu berpegang kepada sunnah.

“Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur. Ada seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan “Risalah Penebas Ke Atas Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas” yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dialah Syaikh Tahir Jalaluddin. Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20 tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya! Tak mahu berganjak!” – Buya Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor.

Surat Hamka kepada Mufti Johor yang telah dibukukan. Imej dari roketkini & The Legend 88.

Hal ini diakui sendiri oleh anak Hamka, Dr Afif Hamka.

“Beliau itu (Hamka) tidak mempersoalkan Kaum Tua atau Kaum Muda. Sebagai contoh Buya Hamka ketika baru sampai ke Jakarta, dia bertanya kepada jemaah solat tarawih, berapa rakaat solat tarawih selalunya di sini. Mereka mengatakan 23 Pak Haji. Hamka berkata: Kalian tahu yang namanya tarawih itu solat santai, solat yang tidak cepat-cepat, kita betul-betul menghayati dalam solat dan berdialog kepada Allah.

Lalu Buya Hamka pun mengimami 23 rakaat. Baru 10 rakaat saja, sudah penat-penat para jemaah itu. Bila sudah selesai, Hamka bertanya, bagaimana esok juga 23? Tidak perlu Pak, 11 rakaat saja, jawab mereka. Jadi solat tarawih esok dan seterusnya itu 11 rakaat sahaja. Dia tidak mengatakan Kaum Muda begini, Kaum Tua begitu, tidak. Tapi isi dengan syarahan dan nasihat.” – Dr Afif Hamka, anak Buya Hamka. Dipetik dari IDE Institut Darul Ehsan.

Hamka bersama isteri & anak-anak. Imej dari malaycivilization.ukm

Hamka akan tetap dikenang sebagai ‘Tokoh Ensiklopedik Nusantara’

Insan hebat Nusantara ini akhirnya meninggal dunia pada 24 Julai 1981, ketika berusia 73 tahun. Ribuan orang menziarahi dan menyembahyangkan jenazahnya. Kesedihan itu juga terasa di Malaysia, kerana Hamka tetap dikenang sebagai seorang ulama agung Nusantara.

“Pada waktu berita wafatnya sampai ke Malaysia, seluruh umat muslimin di Malaysia menyelenggarakan sembahyang ghaib, kerana Hamka sangat dicintai kaum muslimin Malaysia. Ketika bulan November 1981, saya berkunjung ke beberapa negara bagian Malaysia, di mana-mana orang bertanya tentang Hamka.” – K.H. E Muttaqien, Bekas Ketua Majlis Ulama Indonesia.

Suasana di tanah perkuburan, ketika Buya Hamka meninggal dunia. Imej dari malaycivilization.ukm

Walaupun Hamka tidak pernah mendapat pendidikan formal di Universiti al-Azhar, tetapi beliau mendapat pengiktirafan Doctor Honoris Causa dari universiti itu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga memberikan menganugerahkan Doktor Falsafah Kehormat kepadanya pada tahun 1974.

“Saya ada satu pengalaman, seorang profesor dari Amerika Syarikat, datang ke UPM dan dia mencari buku Tasawuf Moden. Ini berlaku pada tahun 1990-an. Saya bertanya apa istimewanya buku ini. Dia kata: Inilah buku falsafah kebahagian terbaik kurun ke-20. Dia juga mengisytiharkan: Kalaulah Hamka seorang yang hidupnya di Barat, tentu dia diisytiharkan sebagai seorang tokoh ahli falsafah kebahagiaan yang terbaik. Tapi sayang, dia orang Timur.” – Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail. Katanya di Simposium Hamka.

Maka kesimpulannya, Hamka adalah seorang tokoh yang layak digelarkan sebagai  ‘Tokoh Ensiklopedik Nusantara’. Kerana pemikirannya yang jauh kehadapan dan kehebatannya dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Dialah ulama, sasterawan, wartawan, budayawan, pemikir, sejarawan dan pejuang. Sebagai tokoh penyatu bangsa, Hamka boleh diibaratkan tidak tinggal di Indonesia atau Malaysia, tetapi sebaliknya di hati umat dan bangsa Melayu Nusantara. 

Hamka dan allahyarham Tun Razak. Imej dari jejakislam.net

Malang dan mujur nasibnya bangsa,
Turun dan naik silih berganti,
Terhenyak lemah naik perkasa,
Bergantung atas usaha sendiri. – Hamka.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.