- 2.1KShare sekarang!
- Email49
- Facebook2.0K
- Share
*Artikel ni pertama kalinya disiarkan pada 28 Januari, 2019*
Kebanyakan rakyat Malaysia kalau dengar ‘Israel’ je, terus triggered. Tak hairan pun sebenarnya sebab kita sedia maklum dengan kekejaman yang dilakukan mereka merampas tanah Palestin.
Baru-baru ni pula dengan kes Tun Mahathir tak bagi atlet paralimpik join sukan di Sarawak, sampaikan Malaysia dilucutkan hak penganjuran dalam Kejohanan Renang Para Dunia, tapi kita tegas dengan keputusan kita. Malah tak kisahlah berapa kali kita tulis artikel berkaitan dengan Israel pun, kita SELALU TEKANKAN yang Malaysia tak pernah iktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Sebelum korang triggered lebih lagi, korang kena tahu yang selain Malaysia dan juga negara-negara Liga Arab, ada juga komuniti kecil yang memperjuangkan pengembalian hak tanah kepada Palestin, yang berasal daripada… ISRAEL???
Neturei Karta, Yahudi Ortodoks yang tak merestui penubuhan ‘Negara Israel’
Kumpulan, atau mazhab Neturei Karta ni adalah sebuah pertubuhan ultra Ortodoks Yahudi. Dalam bahasa Yunani Kuno, maksud nama Neturei Karta ni sendiri adalah ‘Penjaga Kota’. Diketuai oleh beberapa orang pendeta atau rabbi Yahudi, mereka rasa bertanggungjawab untuk menjaga kesucian kota Baitulmuqaddis yang menjadi rebutan antara Palestin dan Israel.
Tapi berlainan dengan kumpulan Yahudi majoriti, komuniti kecil Yahudi Neturei Karta ni memang tak sehaluan dalam merestui penubuhan negara Israel. Sebabnya, mereka berpegang teguh dengan ajaran kitab Taurat, dan bukannya fahaman Zionis.
Juga digelar Perserikatan Yahudi Penentang Zionis, mereka mendesak supaya Israel sekarang dibubarkan dan mengecam pemerintahan negara Israel sekarang kerana penubuhannya adalah bertentangan dengan ajaran Yahudi sebenar iaitu seperti yang tercatat dalam kitab Taurat.
Malah, mereka juga mendakwa yang kezaliman Israel terhadap para rasul sejak dulu yang menjadi sebab hukuman tuhan terhadap orang Yahudi membunuh para nabi yang diutus kepada mereka. Mereka juga dengan keras mendakwa yang penubuhan Israel adalah untuk memenuhi matlamat politik pertubuhan Zionis, dan bukannya ajaran dari kitab Taurat.
Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1935, iaitu tahun-tahun sebelum pembukaan ‘negara’ Israel pada 1948 lagi. Jadi, dah lama juga mereka ni menentang ideologi dan juga penubuhan negara Israel ni.
Malah masa plihanraya negara tu pun, kumpulan anti Zionis ni tak mengambil bahagian dalam pilihanraya ‘negara’ tersebut kerana dianggap mengkhianati Tuhan, disebabkan pembentukan negara tersebut secara haram.
Ideologi Zionis yang menjadi pembukaan negara Israel
Bagi korang yang kurang faham perbezaan antara kedua-dua fahaman ni, sini kitorang terangkan. Zionis adalah gerakan nasionalisme Yahudi antarabangsa yang menghasilkan ‘negara’ bangsa Israel di kawasan Palestin, menerusi Deklarasi Balfour yang ditulis oleh Arthor James Balfour (Setiausaha Luar Britain) kepada Lord Walter Rothschild (orang kuat gerakan Zionis).
Konsep Zionisme adalah salah satu daripada beberapa ideologi yang popular di kalangan orang Yahudi yang muncul sebelum Perang Dunia Kedua, termasuk Komunisme dan Bundism ( gerakan sosialis Yahudi sekular). Dah lama sebenarnya ideologi ni, jadi bukan senang nak shake it off.
Ideologi ni juga muncul lepas kejadian Holocaust, yang menyaksikan pembunuhan lebih satu pertiga daripada bangsa Yahudi. Ia juga muncul bersama idea di mana orang Yahudi perlu ada negara mereka tersendiri, iaitu di bumi kelahiran para rasul. Pergerakan ni lama kelamaan jadi semakin kuat yang akhirnya membawa kepada pembukaan ‘negara’ Israel pada 1948, dengan ‘restu’ Britain dan Amerika Syarikat.
Kalau nak diikutkan sebenarnya banyak lagi organisasi lain yang menjalankan perihal sama macam Neturei Karta ni, contohnya macam Yeshivath Ahavath Shalom, HaGaon Rav Koppelman, Agudath Israel, dan lain-lain. Tapi Neturei Karta ni nampaknya satu-satunya kumpulan Ultra-Ortodoks yang menyatakan penolakannya terhadap ideologi Zionisme dengan tegas, malah berjumpa dengan kepimpinan politik rakyat Palestin, dan musuh-musuh Israel yang lain. Berlainan dengan kumpulan Yahudi yang lain,
Merupakan kumpulan Yahudi yang mendapat kepercayaan Yasser Arafat
Antara tokoh popular dalam organisasi Neturei Karta ni adalah Moshe Hirsch, iaitu seorang Rabbi atau Rabai. Berasal dari New York. Rabbi Moshe Hirsch yang memfokuskan kajian teks agama tradisional, dalam Talmud dan Taurat. Dia kemudiannya berpindah ke Israel dan menyertai Neturei Karta di mana dia merupakan menantu kepada pengasasnya, Rabbi Aharon Katzenelbogen sebelum mengambil alih tugas tersebut.
Walaupun Neturei Karta dah bertapak lama di Tebing Barat, tapi Rabbi Moshe Hirsch menjamin pengaruhnya terhadap jalan ideologi dan politik Neturei Karta apabila dia nampaknya berjaya memperbaiki hubungan mazhab Neturei Karta dengan kepimpinan politik Palestin, negara asal Jerusalem tu.
Organisasi ni bunyinya macam kumpulan kecil je, tapi pengaruh yang dibawa agak kuat di mana dia merupakan pemimpin anti-Zionis yang paling lantang, dan berjaya membuat hubungan jangka panjang dengan Yasser Arafat yang merupakan ketua parti Fatah, dan PLO.
Kalau nak diikutkan, hubungan Hirsch dengan pemimpin Palestin Yasser Arafat bermula pada 1980-an ketika Arafat berada dalam buangan di Tunis, Tunisia. Berikutan pelbagai serangan yang terjadi pada komuniti Ortodoks, mazhab Neturei ni meminta supaya Arafat membezakan mereka, fahaman Yahudi daripada fahaman Zionis yang merupakan majoriti Yahudi di negara tu.
Disebabkan Hirsch dan juga Neturei Karta yang tak mempunyai hubungan dengan orang Yahudi sekular, hubungan antara Neturei Karta dan Palestin berjaya disatukan.
Malah disebabkan kepercayaan yang diberikan juga Arafat kemudiannya melantik Rabbi Hirsch sebagai penasihatnya, terutamanya dalam ‘hal ehwal urusan Yahudi’ sekembalinya Arafat dari Jericho pada tahun 1994. Pelantikan tu nampaknya menjadi simbolik antara Neturei Karta dan Palestin.
Malah, punyalah rapat Rabai Morse Hirsch dan Yasser Arafat ni, pemandu Yasser Arafat sendiri yang akan mengambilnya di Mea She’arim, tempat tinggal Rabbi Hirsch supaya bertemunya di Ramallah, yang terletak di Tebing Barat juga, tapi masih lagi milik Palestin. Bukan senang juga nak berpatah balik sebab masa tu Israel dah buat sekatan jalan.
Berbeza dengan kumpulan anti-Zionis yang lain, mereka satu-satunya mazhab Ultra-Ortodoks yang tak mengorbankan ideologi mereka dengan menerima dana daripada ‘kerajaan Zionis’.
Dan sebab tu jugalah kita boleh nampak mereka hampir setiap kali Israel nak buat isu untuk perang besar dengan Palestin, mereka akan turut sama mengadakan demo. Contohnya baru-baru ni mereka menyokong perbuatan Ahed Tamimi yang dengan beraninya menendang dan menampar tentera IDF.
Selain memperkukuhkan hubungan Yahudi dengan Palestin, Arafat juga mengambil peluang yang sama untuk menunjukkan yang dia bukan menentang orang Yahudi, tapi lebih kepada menenang pembinaan negara Yahudi di atas tanah Palestin. Malah mana-mana rakyat pun bebas untuk mengamalkan agama mereka.
Hubungan rapat mereka berterusan, sampaikan masa Arafat koma selama 13 hari di hospital Perancis pada 2004, Rabbi Hirsch sendiri yang mengetuai delegasi dari Neturei Karta berdoa untuk Yasser Arafat di sana.
Menyertai forum di negara musuh Zionis, Iran dan menafikan Holocaust
Selain hubungan baiknya dengan Arafat, Neturei Karta juga nampaknya memulakan hubungan baik dengan Iran. Perkara ni berlaku pada tahun 2006, di mana beberapa ketua kumpulan Neturei Karta ni pergi ke Tehran untuk menyertai sebuah forum yang berkaitan dengan Zionisme.
Forum tu mengetengahkan idea tentang pencegahan jenayah terhadap kemanusiaan di mana mereka mendakwa yang Holocaust yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua adalah disebabkan agenda Zionisme dan Nazi yang membuat pakatan.
Dalam temu bual dengan pemberita televisyen Iran, Rabbi Weiss berkata,
“Zionis menggunakan isu Holocaust untuk kepentingan mereka, kami, orang-orang Yahudi yang binasa dalam Holocaust, tidak menggunakannya untuk memajukan kepentingan kita.
Kami menekankan bahawa terdapat ratusan ribu orang Yahudi di seluruh dunia yang mengenal pasti dengan penentangan kita terhadap ideologi Zionis dan yang berpendapat bahawa Zionisme bukanlah Yahudi, tetapi agenda politik… – Rabbi Weiss, jurucakap Neturei Karta
Walaupun Israel sendiri tak pasti pun sama ada Rabbi Hirsh ni terlibat atau tak pada masa tu, tapi kerajaan Israel tetap tak berpuas hati, apatah lagi bila mereka datang ke negara musuh dan menerangkan dalam forum tersebut mengenai penentangan mereka terhadap Zionisme yang menggunakan Holocaust sebagai alasan untuk kewujudan negara Zionis di tanah Palestin.
Bukan Israel Zionis je yang marah, malah Rabbi dari mazhab lain, iaitu Rabbi Yona Metzger dari mazhab Ashkenazi meminta supaya rabbi dari mazhab lain turut sama memboikot mazhab Neturei Karta ni. Perkara tersebut juga menyebabkan sebuah synagogue dan kediaman milik seorang Rabbi dari organisasi tu dibakar, kerana marahkan persidangan penafian Holocaust di Iran tu.
Rakyat Israel lain yang berada di kejiranan tersebut juga akan meludah ke arahnya apabila dia berjalan di daerah Mea Shearim di Jerusalem, tempat tinggalnya di Israel.
Bukan setakat kena boikot, malah apa yang lagi kejam, masa Rabbi Hirsch balik dari synagogue (tempat sembahyang orang Yahudi), dia disimbah asid oleh pelaku yang tak dikenali, yang menyebabkan sebelah matanya menjadi buta, yang menyebabkan dia memakai mata kaca (bukan kaca mata). Penyerangnya pula tak pernah ditahan apatah lagi didakwa.
Bukan setakat tu je, pada tahun 2014, seorang ahli kumpulan Neturei Karta ditahan pihak berkuasa Israel kerana didapati bersalah mengintip Israel untuk Iran. Tertuduh yang mengaku dirinya dari mazhab Neturei Karta kemudiannya dihukum dihukum penjara selama 4 setengah tahun selepas membuat rayuan.
Bergil dikatakan pergi ke Kedutaan Iran di Berlin pada 2011, dan menawarkan dirinya untuk mengintip bagi pihak Iran. Malah, dia juga memberitahu pelannya di mana dia nak menggantikan kerajaan Israel sekarang dengan orang bukan Israel, dan sanggup membunuh Zionis.
Tapi berlainan dengan ketua Mazhab Neturei Karta bagaimanapun mendakwa yang lelaki tu sebenarnya bukan daripada kumpulan mazhab tu.
Diserang semasa pengebumiannya
Kebencian Israel terhadap Rabbi Moshe Hirsch dan Neturei Karta tak terhenti walaupun semasa kematiannya pada tahun 2010. Kebanyakan laman web Israel menulis kata-kata kebencian terhadap Rabbi Hirsch yang meninggal, dan juga menyerang Neturei Karta secara peribadi.
Bukan tu je, semasa perarakan pengebumiannya di Jerusalem, sekumpulan penduduk Yahudi, termasuk anggota gerakan pengganas Kach yang diharamkan oleh Israel sendiri, menyerang pengebumian Rabbi Moshe Hirsch. Pengganas Kach merupakan pengikut Meir Kahane, ahli politik ultra-nasionalis yang dibunuh di New York pada 1990.
Sebelum ni, kitorang pernah cerita pasal Meir Kahane, iaitu pemimpin kepada organisasi Jewish Defense League (JDL),
Bagaimanapun, lain pula yang berlaku di Palestin di mana parti Fatah yang dulunya diketuai Yasser Arafat yang meyatakan kesedihan mereka dan dah menganggap Rabbi Hirsch sebagai pemimpin Yahudi untuk Palestin.
Yahudi dan Zionis, dua fahaman berbeza yang perlu difahami
Bila kita cakap pasal Israel je, korang kena tahu yang ia bukanlah isu agama, tapi lebih kepada hak rakyat Palestin yang telah dirampas Zionis. Kalau semata-mata sebab agama, salah sebab bukan semua rakyat Palestin beragama Islam, dan bukan semua rakyat Israel berfahaman Zionis dan Israel, malah ada yang beragama Kristian dan juga Islam.
Penentangan kita terhadap Israel sepatutnya bukanlah disebabkan agama Yahudi, sebab nabi-nabi terdahulu pun datangnya dari Bani Israel. Tapi penentangan yang sepatutnya perlulah lebih kepada falsafah yang mendukung kewujudan Israel sebagai sebuah negara. Malah mereka yang mengkaji kitab Talmud sendiri mengatakan,
“Talmud (kitab Yahudi) mengajar orang Yahudi untuk tidak menggunakan kuasa manusia untuk menubuhkan sebuah negara, sebelum datangnya Messiah…
Orang Yahudi juga tak dibenarkan mendominasi, membunuh, membahayakan atau merendahkan orang lain.” – Dipetik dari Neturei Karta International.
(Bagi korang yang minat cerita sejarah macam ni, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
- 2.1KShare sekarang!
- Email49
- Facebook2.0K
- Share