Nak cuba motosikal elektrik? Sekarang kerajaan tengah bagi rebat RM2,400!

Apa yang terlintas kat kepala korang kalau dengar orang sembang pasal kenderaan elektrik atau electric vehicle (EV)? Mungkin korang akan terpikir abang Tesla yang orang have-have je pakai EV ni, sebab harga dia memang jual limpa.

Lepas tengok jiran tayang gambar stereng kat fesbuk. Gif dari Gifer.

Tapi walaupun mungkin sekarang agak mahal, banyak kelebihan kenderaan elektrik ni sebenarnya. Selain mesra alam sekitar, kos penyelenggaraan dia lebih murah sebab bahagian dalaman dia lebih ringkas dan senang dijaga berbanding enjin petrol/diesel. Harga nak cas bateri pun biasanya lebih murah dari isi minyak. Jadi dalam jangka masa panjang, pakai EV ni boleh menjimatkan duit.

Mungkin tak ramai yang sedar, tapi selain kereta elektrik, motosikal elektrik pun dah ada kat Malaysia ni, dan harganya pun lebih murah dari kereta. Dan kalau korang berminat nak cuba-cuba pakai motosikal elektrik, sekaranglah masanya, sebab…

Kerajaan tawarkan rebat sehingga RM2,400 untuk beralih ke motosikal elektrik!

Kalau korang tak tahu, kerajaan baru-baru ni ada lancarkan Pelan Induk Industri Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bertujuan mengembangkan ekonomi negara. Salah satu misi dalam NIMP yang tengah giat digalakkan sekarang adalah memastikan yang industri negara kita sifar karbon menjelang 2050.

Satu cara diorang nak capai benda tu ialah menerusi pengembangan industri EV kat Malaysia: lagi ramai orang pakai EV, lagi sikit gas rumah hijau yang dihasilkan. Tapi macam mana nak buat orang ramai beralih ke EV kalau mahal cenggitu?

Diskaun la, apa lagi! Gif dari Giphy.

Bermula 8 Disember yang lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) lancarkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik, atau MARiiCas bersama Institut Automotif, Robotik, dan IoT Malaysia (MARii). Dengan MARiiCas, kalau korang rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang RM120,000 setahun (gaji bawah RM10,000 sebulan), korang boleh apply benda ni untuk dapat rebat harga moto.

“Bila bercakap pasal EV, orang selalu kata EV ni cuma untuk orang kaya. Jadi, dalam usaha untuk memastikan EV mampu dimiliki lebih ramai orang, kita beri rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian atau langganan motosikal EV bagi mereka yang pendapatan tahunannya RM120,000 ke bawah,”

– Datuk Seri Tengku Zafrul, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia

Kalau korang berhasrat untuk beli motosikal elektrik, korang boleh dapat subsidi secara rebat tunai sebanyak RM2,400. Dalam kata lain, harga motosikal elektrik yang korang nak beli secara cash atau loan tu dikurangkan sebanyak RM2,400. Ada motosikal elektrik ni harganya tak sampai RM10,000 pun, jadi lumayan jugak tu.

Tapi kalau korang tak nak beli, korang boleh sewa motosikal elektrik dengan sesetengah syarikat (langganan), buat ghaso ghaso dulu. Dengan langganan, korang boleh jugak dapat rebat sebanyak RM200 sebulan selama 12 bulan.

Jadi sekarang mungkin korang tengah “Wau!” dan tertanya-tanya…

“Camne nak mohon? Moto mana yang layak kubeli? Argh!”

Berdasarkan kenyataan media, nampaknya MITI memang nak tingkatkan pembelian dan penggunaan EV.

“…MITI percaya inisiatif ini berupaya merancakkan penerimaan rakyat untuk beralih daripada penggunaan Internal Combustion Engine (ICE) kepada EV. Dari perspektif yang lain, ianya diharap dapat membantu pencapaian sasaran 20% jualan tahunan kenderaan adalah electrified vehicles (xEVs) pada tahun 2030 seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR).”

– Datuk Seri Tengku Zafrul, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia

Masa program Setahun Bersama Kerajaan MADANI kat Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8 hingga 10 Disember hari tu pun, motosikal elektrik diberi sebagai hadiah cabutan bertuah setiap hari. Masyuk beb.

Dengan pelancaran MARiiCas, korang pun boleh turut serta dalam revolusi EV. Dah ada laman web untuk korang buat permohonan selain cuci mata tengok-tengok moto baru di https://insentif.marii.my/mariicas.

Nak mohon mudah je. Daftar sebagai pengguna kat laman web diatas, sahkan akaun, dan muat naik dokumen sokongan. Dokumen yang diperlukan termasuk

  • salinan MyKad, dan
  • apa-apa dokumen yang tunjuk pendapatan korang, macam slip gaji (yang majikan dah sahkan), borang pengesahan pendapatan (untuk yang kerja sendiri/pencen), surat Sumbangan Tunai Rahmah, slip pencen, atau kad pelajar pun boleh untuk yang masih belajar.

Korang juga kena bayar RM10 untuk perkhidmatan mengesahkan identiti. Dah selesai mohon, semak kelulusan kat laman web yang sama dalam tempoh 14 hari bekerja. Kalau korang berjaya, korang akan dapat kod QR. Cetak kod tu dan bawa ke mana-mana kedai motosikal elektrik yang berdaftar dengan MARiiCas, dan enjoy rebat dan moto baru korang.

Carta salur-menyalur proses rebat. Korang kena tengok atas je. Carta dari MARiiCas.

Tentang motosikal elektrik mana yang korang boleh beli, tu pun korang boleh tengok-tengok kat laman web yang sama. Antara jenama yang terlibat buat masa sekarang termasuk Modenas, Blueshark, Superlux, rydeEV, Legatus, dan beberapa lagi. Klik pada pautan diorang dan korang boleh tengok senarai motosikal elektrik yang ditawarkan, spesifikasi, dan harga pada laman web diorang.

Mana tahu kalau ada yang berkenan di hati, dah ada rebat, bolehlah beli.