Mirza Ghulam Ahmad: Dari pendebat Islam ke Imam Mahdi dan mengaku jadi Nabi

Semenjak Malaysia Baru ni, macam-macam berita dan maklumat baru yang kita dengar. Dari isu UEC, ke isu LGBT sampailah ke kasut sekolah warna hitam. Tapi disebalik banyak perkara ni, mungkin ada di antara kita yang terlepas pandang dengan keputusan mahkamah beberapa minggu lepas.

Sebabnya, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6 Jun lepas dah pun buat keputusan bahawa pengikut ajaran Ahmadiyah di Selangor boleh meneruskan segala aktiviti diorang tanpa diganggu pihak berkuasa agama. Keputusan ni dibuat lepas pihak jemaah Ahmadiyah memfailkan permohonan semakan kehakiman berkenaan serbuan JAIS terhadap diorang pada tahun 2014.

Antara pengikut Ahmadiyah Malaysia yang menadah tangan kesyukuran atas keputusan mahkamah. Imej dari Malaysiakini.

Untuk maklumat, ajaran Ahmadiyah atau Qadiani dah pun diisytiharkan terkeluar dari Islam oleh Fatwa Selangor sejak tahun 1998 lagi. Ajaran ni juga diisytiharkan sebagai menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1984.

Disebabkan gerakan ni dah muncul sejak lebih 100 tahun yang lalu dan banyak versi dan cerita yang dikaitkan dengannya. Maka, SOSCILI kali ni nak merungkai sedikit sebanyak maklumat pasal Ahmadiyah, khususnya kemunculan gerakan ni dalam Malaysia. Mungkin kita boleh mula dengan pengasasnya iaitu…

Mirza Ghulam Ahmad: Dari pendebat Islam ke orang yang mengaku jadi Nabi

Gerakan ni dapat nama Ahmadiyah bersempena dengan nama pengasasnya Mirza Ghulam Ahmad yang dikatakan lahir pada tahun 1835 di Qadian, India. Disebabkan dia lahir di Qadian, Ahmadiyah juga panggil sebagai Qadiani. Mirza mula dapat pendidikan agama secara tak formal iaitu dengan cara guru agama mengajarnya kat rumah.

Bila dah dewasa, dia ada bekerja jadi pegawai rendah kerajaan di Punjab, India. Tapi tak lama lepas tu, dia balik semula ke Qadian dan dalami ilmu agama. Nama Mirza mula jadi popular bila dia selalu berdebat dengan mubaligh-mubaligh Kristian dan Hindu. Disebabkan keadaan Islam yang tak berapa kuat dan kedatangan banyak pendakwah Kristian dan Hindu di India masa tu, pengaruh Mirza mudah masuk dalam masyarakat Islam.

“Pada 1880, Mirza Ahmad telah menghasilkan Barahin Ahmadiyah dan menerima sambutan dari masyarakat terutama kerana sebahagian dari isi kandungan buku ini menentang ajaran dan amalan bukan Islam secara terbuka.” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr. Azharudin Dali.

Inilah dia Mirza Ghulam Ahmad. Imej dari Wikipedia.

Tapi masalah mula muncul bila Mirza secara terbuka kata yang dia dapat wahyu dari Allah SWT. Pada tahun 1901, dia mengaku pulak jadi Nabi dan Rasul sampai buatkan umat Islam satu India terkejut beruk. Mirza juga ada kata yang perkataan Ahmad dalam Quran bukan merujuk kepada Nabi Muhammad SAW, tapi kepadanya.

Hal ni dah buatkan ramai ulama bangkit menentang dakwaannya, termasuklah seorang yang terkenal iaitu Maulana Sanaullah Amritsari. Disebabkan perkara ni juga, dah berlakunya peristiwa mubahalah iaitu perakuan bersumpah untuk menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah antara Mirza Ghulam Ahmad dengan Maulana Sanaullah pada 1907.

“…kira-kira setahun selepas peristiwa ini, Mirza Ghulam Ahmad telah diserang sakit taun di Lahore dan meninggal dunia pada 26 Mei 1908. Maulana Sanaullah pula meninggal dunia pada 15 Mac 1948, kira-kira 40 tahun selepas mubahalah dilaksanakan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr. Azharudin Dali.

Mirza dan pengikutnya. Imej dari dissertationreviews.org

Lepas Mirza meninggal, muncul dua golongan Ahmadiyah

Seperti yang diceritakan tadi, ajaran Mirza mula jadi kontroversi bila dia mengaku jadi Nabi. Seperti mana yang semua umat Islam tahu, Nabi terakhir adalah Nabi Muhammad SAW dan tak ada Nabi lagi selepas baginda. Tapi bukan satu isu je yang membuatkan ajaran Ahmadiyah dipertikaikan, sebab ada banyak lagi yang menimbulkan persoalan. Antaranya…

  1. Mirza mengaku dapat mukjizat seperti mana Nabi-Nabi lain.
  2. Mirza mengaku sebagai Imam Mahdi dan akan muncul bila akhir zaman nanti
  3. Mengatakan Nabi Isa A.S dah wafat seperti manusia biasa.
  4. Mengaku sebagai Nabi Isa A.S untuk orang Kristian dan Krishna untuk orang Hindu.
Cerita pasal Mirza tahun 1907. Imej dari Engr. Mazhar-ul-Haq Khan (flickr.com).

Selain tu, ajaran ni juga melarang wanitanya dari berkahwin dengan orang bukan Ahmadiyah. Diorang ada tanah perkuburan sendiri yang diasingkan dari tanah perkuburan orang Islam lain, dikenali sebagai Bahishti Maqbara. Ajaran ni juga meletakkan kedudukan tempat kelahiran Mirza Qadian sebagai tempat suci macam Mekah dan Madinah.

“Kalangan Ahmadiyah percaya bahawa. Menunaikan Haji di Mekah tanpa melakukan Haji di Qadian adalah Haji yang kering dan kosong kerana menunaikan Haji di Mekah hari ini tidak memenuhi risalah dan tidak menunaikan fardunya.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Masjid dan pusat komuniti Ahmadiyya di Qadian, India. Imej dari nationalheraldindia.com

Walaupun banyak perbezaan antara ajaran Ahmadiyah dengan ajaran Islam yang diamalkan majoriti Muslim, gerakan ni tetap berkembang pesat. Ia terbukti sehingga kematian Mirza, jumlah pengikutnya dikatakan hampir 200 ribu orang. Gerakannya juga bukan biasa-biasa, sebab ia sebenarnya tersusun dan teratur.

Tapi seperti mana dengan ajaran dan falsafah yang lain, lepas je pengasasnya meninggal dunia, dah pasti akan ada perbezaan pendapat. Hal ni boleh kita nampak bila Ahmadiyah lepas tu berpecah kepada dua golongan.

  1. Ahmadiyah-Qadiani: Percaya Mirza sebagai Nabi dan Imam Mahdi.
  2. Ahmadiyah Lahore: Tak terima Mirza sebagai Nabi, tapi cuma sebagai mujaddid (klik sini kalau nak tahu apa makna mujaddid).
Antara penggerak awal Ahmadiyah Lahore. Gambar ni diambil pada tahun 1931. Imej dari muslim.org

Walaupun macam tu, golongan Ahmadiyah Lahore dikatakan tak berapa ramai kalau nak dibandingkan dengan Ahmadiyah-Qadiani. Sampai tahun 2010, Ahmadiyah mendakwa yang diorang dah ada 200 juta pengikut di seluruh dunia! Tapi macam mana pula dengan Ahmadiyah Malaysia? Dari mana ia bermula?

Pendeta Za’ba pernah langgan majalah Ahmadiyah selama 22 tahun!

Salah satu persamaan antara Malaysia dan India adalah kedua-dua negara ni pernah dijajah British. Jadinya, tak jadi masalah besar untuk ajaran ni sampai ke Alam Melayu, seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Tapi sampai sekarang, para pengkaji masih tak dapat tarikh yang tepat bila mula-mula Ahmadiyah masuk ke Tanah Melayu.

“Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa pertapakan ajaran Qadiani di Malaysia bermula pada 1906 melalui Sher Muhammad Khairuddin, seorang anggota polis dari India yang bertugas di Selangor.” – Dr Azharudin Dali, Universiti Malaya.

Mirza Masroor Ahmad, pemimpin Ahmadiyah sekarang. Imej dari khalifaofislam.com

Tapi ada juga pandangan yang kata ajaran ni datang melalui satu pertubuhan dikenali sebagai The Muslim Mission yang berpusat di UK dan diketuai oleh Kwaja Kamaluddin. Pertubuhan ni ada terbitkan majalah – Islamic Review yang juga diedarkan di Tanah Melayu. Apa yang menariknya, Pendeta Bahasa Za’ba jadi antara pelanggan tetap majalah ni selama 22 tahun.

Za’ba juga dikatakan kagum dengan Mirza Ghulam Ahmad dan bila Kwaja Kamaluddin datang ke Singapura, Za’ba jadi orang yang bertanggungjawab membawanya melawat beberapa tempat di Tanah Melayu. Walaupun macam tu, Kwaja ni bukan datang dari aliran Ahmadiyah-Qadiani tapi dia Ahmadiyah Lahore.

Kwaja Kamaluddin (1870 – 1932). Imej dari Wikipedia.

Tentang Ahmadiyah-Qadiani pulak, ia dikatakan dibawa oleh Maulana Husin Iyaz pada tahun 1930-an. Walaupun ajaran ni dapat banyak bantahan daripada ulama-ulama Tanah Melayu, ia masih ada penganut kat Selangor macam di Jeram, Sungai Tua, Sungai Buluh dan Kampung Nakhoda. Antara tumpuan dakwah mereka adalah kepada komuniti India Muslim.

“Maulana Ghulam Hussain Iyaz turut aktif menyebarkan Ahmadiyah ke bandar-bandar utama di Tanah Melayu dan beliau dikatakan telah datang ke Klang pada 1934 dalam usahanya menubuhkan Jamaah Qadiani di Klang.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Lepas merdeka, ajaran Ahmadiyah mula merebak ke kalangan orang Melayu. Buktinya, pada tahun 1964, seorang Melayu dah mewakafkan tanahnya kat Kampung Nakhoda, Batu Caves untuk dijadikan pusat Ahmadiyah yang dinamakan Baitussalam. Hal ni bukan jadi di Semenanjung je, tapi juga tersebar ke Sabah.

Satu program Ahmadiyah Malaysia di Kampung Nakhoda. Imej dari Saya Anak Bangsa Malaysia.

Seperti mana gerakan-gerakan lain, Gerakan Ahmadiyah Malaysia ni boleh dikatakan ada sistem yang tersusun dan teratur. Diorang ada dua bahagian iaitu Majlis Amila dan Majlis Syura. Majlis Amila ada 20 ahli jawatankuasa tetap yang diketuai oleh Amir (Presiden). Majlis Syura pula dianggaotai presiden-presiden cawangan di seluruh Malaysia.

“Ajaran Ahmadiyah turut menggerakkan berbagai aktiviti bersifat keagamaan sama ada berbentuk siri kuliah agama, ceramah dan sebagainya. Pusat aktiviti mereka di Kampung Nakhoda, Batu Caves tidak sahaja dibuka kepada ahli sebaliknya kepada orang ramai.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Disebabkan berasal dari aliran Ahmadiyah, majistret arahkan perkataan ‘muslim’ dibuang dari batu nisan pemenang Hadiah Nobel

Seperti yang diceritakan kat awal-awal tadi, Ahmadiyah dah pun diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri di Malaysia. Disebabkan itu, kita dah dilaporkan dengan beberapa siri penahanan dan pengusiran dilakukan terhadap mubaligh Ahmadiyah di negara ini. Pengikut ajaran ini juga diisytiharkan sebagai terkeluar dari Islam dan dengan itu, mereka ni tak boleh berkahwin dengan orang Islam lain, tak boleh jadi wali dan sebagainya.

Kalau di Malaysia, isu Ahmadiyah dibawa ke Majlis Fatwa saja, tapi nampaknya lain di Pakistan. Ini kerana, pada tahun 1974, isu Ahmadiyah dah dibawa ke Parlimen negara tu dan menjadi satu perkara yang sangat kontroversi. Parlimen Pakistan masa tu akhirnya mengisytiharkan Ahmadiyah sebagai bukan Islam.

Antara pengikut Ahmadiyah yang ditahan di Pakistan. Imej dari persecutionofahmadis.org

Pada tahun 1979, ada seorang ahli fizik dah menang Hadiah Nobel Fizik. Apa yang menariknya, orang tu digelarkan sebagai orang Islam pertama yang memenangi Hadiah Nobel Fizik. Abdus Salam adalah seorang pakar teori fizik yang berasal dari Pakistan dan dia dianugerahkan hadiah tu atas sumbangannya dalam membangunkan teori electroweak.

Tapi kontroversi mula timbul, bila dia sebenarnya datang dari aliran Ahmadiyah yang diisytiharkan sebagai bukan Islam di Pakistan. Abdus Salam masa tu tak diterima negaranya dan tak dapat penghormatan yang sepatutnya. Bila dia dijemput untuk buat ucapan kat Islamabad, lepas dapat Hadiah Nobel, dah berlaku bantahan besar-besaran sampai buatkan jemputan tu ditarik balik.

Ermmm… subjek fizik ni dari dulu admin kureng sikit~~. Imej dari Daily Pakistan.

Akhirnya Salam meninggal dunia di Oxford pada tahun 1996, dan jenazahnya di bawa balik ke Pakistan dan dikebumikan di sana. Di batu nisannya dah tertulis: ‘Muslim Pertama Menerima Nobel’.

“Walaupun selepas kematiannya, dia tetap dianiaya apabila majistret tempatan mengarahkan  perkataan Muslim dipadam, meninggalkan ‘_____ Pertama Menerima Nobel’. Pada tahun 1998, kerajaan Pakistan mengeluarkan setem yang memaparkan wajah Abdus Salam sebagai daripada siri memperingati para ilmuan Pakistan. Bagaimanapun, setem itu dikeluarkan dari edaran selepas mendapat tekanan.” – Dipetik dari Culture Trip.

Perkataan ‘MUSLIM’ yang dipadamkan dari batu nisan Abdus Salam. Imej dari BBC.

Dengan keputusan mahkamah, nampaknya gerakan Ahmadiyah akan terus berjalan tapi mungkin sukar untuk dapat sokongan

Sebenarnya, keputusan mahkamah baru-baru ni yang kata pihak berkuasa agama tak boleh ambil tindakan terhadap Ahmadiyah adalah berkait rapat dengan keputusan fatwa Selangor tu sendiri. Sebabnya, fatwa dah pun mengatakan Ahmadiyah sebagai terkeluar dari Islam. Jadinya…

“…hakim memutuskan bahawa JAIS tidak boleh menyiasat atau mendakwa pengikut Ahmadiyah di bawah kesalahan syariah kerana mereka tidak diiktiraf sebagai penganut agama Islam.” – Dipetik dari Malaysiakini.

Oleh tu, nampaknya lepas ni gerakan Ahmadiyah boleh bergerak bebas seperti mana yang diperuntukan dalam Perlembagaan. Cumanya, mungkin perluasan ajaran ni boleh berlaku melalui faktor keturunan saja. Sebabnya, Ahmadiyah mengawal perkahwinan anak-anak mereka di mana perkahwinan hanya boleh dibuat sesama anggota je.

Signboard JAIS. Imej dari thepersecution-org.blogspot

Ahmadiyah mempunyai sejarah yang panjang, dan hal tu sendiri membuatkan gerakan ni tersusun dan sistematik. Oleh itu menjadi tanggungjawab para ulama dan pendakwah menerangkan sejelas-jelasnya maksud Islam sebenar kepada masyarakat.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah ku.” – Khutbah terakhir Rasulullah SAW, dipetik dari Jabatan Agama Islam Perak.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.