Pulau Jerejak: Kaya dengan sejarah, tapi ada kisah hitam disebaliknya

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Bila orang kata “Jom ke Penang?”, ramai yang maksudkan ke sebelah pulau, di mana kat situ la syurga makanan menanti. Tapi alang-alang dah ke sebelah sana, tak ramai yang terfikir untuk ke Pulau Jerejak, sebuah pulau kecil yang terletak betul-betul bersebelahannya.

Cuba teka mana lagi besar – Jerejak ke, Singapura? Imej disunting dari PaulTan.

Sekali pandang, nampak macam tak ada apa-apa yang menarik kat sebelah pulau tu, cuma ada sebuah jeti dan beberapa bangunan lama dan juga hutan. Jadi… apa yang mendorong aktivis warisan untuk minta ia dipelihara dan diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO?

Malah, apa sebenarnya yang istimewa sangat tentang sebidang tanah kecil ni?

“Jerejak mempunyai lebih sejarah dari setiap inci berbanding tempat-tempat lain di Malaysia.” – Michael Gibby, seorang pakar  yang telah melakukan dua tahun penyelidikan mengenai sejarah pulau tu

Wah! Jadi sejarah apa sebenarnya yang ada di Pulau Jerejak ni sebenarnya?

1. Ia pernah DIPENUHI dengan pesakit yang menderita kusta dan tuberkulosis

Kalau korang tak pasti penyakit apa, penyakit kusta terjadi apabila ada sejenis bakteria (Mycobacterium leprae) menjangkiti manusia dan menyebabkan mereka mempunyai beberapa simptom.

Pesakit kusta pada 1886. Imej dari Wikipedia

Orang ramai takut dengan penyakit kusta dan orang yang menderita kusta. Jadi, adalah menjadi perkara biasa pada masa tu bila pesakit ni diletakkan di tempat yang jauh dari penduduk lain, sebab mereka percaya kusta tersebar melalui sentuhan. Penyakit kusta tiada penawar sehingga tahun 1940-an, sampaikan orang yang sakit kusta terpaksa redha je dengan rupa mereka. Pada tahun 1926, Akta Enakmen Kusta telah ditubuhkan, dan penderita kusta kena bagitahu kerajaan, dan mereka terpaksa diasingkan.

Di Malaysia, pesakit kusta ditempatkan di dua buah tempat. Salah satunya ialah Sungai Buloh Leprosarium yang ditubuhkan pada tahun 1930. Satu lagi di Pulau Jerejak, dan ia ditubuhkan lebih awal, iaitu pada tahun 1868, menggunakan wang yang dikutip dari ahli perniagaan Cina di Pulau Pinang. Tapi pesakit kusta Pulau Pinang dipercayai dah mengasingkan diri mereka di pulau Jerejak sebelum tu lagi.

“25 pesakit kusta pertama berpindah ke bangunan secara sukarela, sebelum pulau tersebut diiktiraf sebagai leprosarium. Ia pernah menempatkan lebih daripada 7,000 pesakit kusta, “- Michael Gibby, dipetik dari FMT.

Sebelum kemerdekaan, ada sejenis penyakit berjangkit yang menyerang Pulau Pinang, iaitu tuberculosis (TB).  Ia sejenis penyakit yang boleh berjangkit malalui batuk. Jadi sesiapa yang dijangkiti TB dibawa ke Jerejak dan tinggal bersama pesakit kusta. Bukan tinggal sekali, tapi di sebelah pantai yang bertentangan. Jadi pada tahun 1948, sebuah sanatorium TB dibina di bahagian selatan pulau itu.

Hospital kusta pertama di Pulau Jerejak pada tahun 1871. Imej dari FMT.

Apabila penyelidikan mengenai kusta semakin berkembang, barulah ramai mereka ada kesedaran yang penyakit kusta tak berjangkit melalui sentuhan. Jadi, leprosarium kemudiannya ditinggalkan para pesakit ni. Pada 1969, program Kawalan Kusta Nasional dilancarkan, dan rawatan kusta dirawat seperti mana-mana penyakit lain.

Pada tahun yang sama, seramai lebih 7,000 pesakit kusta di Jerejak dipindahkan ke Sungai Buloh sebab…

2. Pulau Jerejak menjadi tempat tahanan

Korang boleh tahu tu penjara sebab ada pondok pengawal yang tinggi. Imej dari Malaysiasite.nl.

Terdapat sumber yang mengatakan Jerejak pernah menempatkan tahanan perang Asia. Mereka kemudiannya dilepaskan kembali ke negara asal mereka selepas Jepun menyerah diri pada 1945. Sebuah sumber lain mengatakan Jerejak dijadikan penjara sejak tahun 1948, sebagai tempat bagi British untuk menahan tahanan politik. Bagaimanapun, beberapa sumber mengatakan Pusat Pemulihan Pulau Jerejak memulakan operasinya pada bulan Jun 1969, di bawah Jabatan Penjara Malaysia.

Kalau korang ingat, pada tahun yang sama, Penjara Jerejak menempatkan mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, iaitu mereka yang terlibat dengan kejadian 13 Mei. Ia membolehkan orang ramai ditahan tanpa perbicaraan. Jadi korang mungkin boleh bayangkan apa yang berlaku di pulau itu.

Ia juga dikatakan rumah tahanan orang yang ditangkap atas tuduhan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, selain daripada tahanan politik. Jadi mungkin ada peniaga/pengguna dadah yang pernah tinggal kat sana.

Stay in school kids, jangan ambik dadah. Imej dari imdb

Mungkin satu-satunya peristiwa penting yang berlaku semasa Jerejak ada penjara adalah rusuhan pada tahun 1981, apabila 100 orang tahanan membantah hukuman lanjutan secara tiba-tiba, dengan memusnahkan sebahagian bangunan penjara. Ia akhirnya ditutup pada tahun 1993 untuk memberi laluan kepada rancangan pembangunan Pulau Pinang bagi pulau itu, dan banduan lain telah dipindahkan ke Kemudahan Pemulihan Muar di Johor.

3. Dua orang tentera Rusia dalam Perang Dunia Pertama yang dikebumikan di sana

Kubur askar Rusia yang terkorban. Laporan dari KALAM and SMHF.

Kalau korang terfikir… bila masa pulak Rusia berperang di Tanah Melayu? Ceritanya, masa Perang Dunia Pertama, kitorang pernah tulis pasal Peperangan di Penang sebelum ni. Ada satu daripada banyak-banyak perang berlaku di mana Tanah Melayu sekarang. Tapi ia lebih kepada penyembelihan sebenarnya. Masa tu, British menjajah Pulau Pinang. Manakala Rusia dan Perancis adalah sekutunya, jadi kapal Perancis dan Rusia akan selalu datang Pulau Pinang.

Kedua-dua tentera yang dikebumikan di Jerejak adalah milik kapal perang Rusia bernama Zhemchug (Pearls), di mana mereka kemudiannya diserang oleh kapal Jerman bernama Emden, yang berada dalam misi solo untuk mengganggu pelabuhan British di kawasan tu.

 

Krew kapal Zhemchug dikatakan sangat lalai pada masa tu, dan mereka berhenti di Pulau Pinang untuk melakukan penyelenggaraan besar untuk kapal, dan tak mampu untuk berperang. Semasa serangan, kapten kapal Zhemchug tu dikatakan menghabiskan masa sepanjang malam di daratan Pulau Pinang, mungkin dengan isterinya (atau perempuan simpanan).

Mungkin juga masa kejadian tu dia tengah tengok dari tingkap hotel. Imej dari KnowYourMeme dan Penang Wikia.

Bagaimanapun, kru menyedari kehadiran kapal Emden terlalu lewat (kapal Emden menyamar sebagai kapal Rusia dan menyelinap masuk ke kapal Zhemchug, nak nak lagi tak ada pengawal malam), jadi kapal Zhemchug tenggelam dengan hanya dua tembakan dari kapal Emden. Daripada 250 orang di kapal Zhemchug, 85 maut dalam serangan tu, dan 26 mayat ditemui oleh nelayan tempatan. 24 dari mereka dikebumikan di tanah perkuburan Katolik lama di Jalan Barat di Pulau Pinang, dan tak pasti pula macam mana dua mayat lagi dikebumian secara berasingan di Pulau Jerejak.

The Russian Stone (Batu Rusia) di Pulau Jerejak adalah di mana dua orang pelayar dari kapal Zemchug ditanam, tapi ianya jadi kawasan terbiar, sampailah Kedutaan Rusia membersihkannya pada tahun 2006. Tapi, sauh dan rantai pada tugu peringatan tu dah hilang dicuri, mungkin dijual sebagai besi buruk.

4. Terdapat pusat tahanan untuk pendatang dan orang yang pulang dari Mekah

Ada pemadam api lama dijumpai di hadapan salah satu blok kuarantin. Imej dari The Star Online.

Jadi, pakar yang kita sebut tadi, Michael Gibby (bukan Jibby) ada sebut yang salah satu penemuan utama dari dua tahun penyelidikannya ialah Pulau Jerejak berkhidmat sebagai sejenis ‘penapis’ ke seluruh Tanah Melayu sejak tahun 1870-an. Masa tu takut la kalau ada penyakit berjangkit yang mungkin atau tak, ada kaitan dengan Francis Light bersihkan hutan di Pulau Pinang dan akhirnya kematiannya disebabkan malaria.

Bagaimanapun, bersama-sama dengan Singapura dan kemudiannya, Pelabuhan Klang, Pulau Jerejak menjadi pintu masuk de facto ke seluruh Tanah Melayu, di mana setiap pendatang memasuki salah satu daripada tiga pelabuhan tersebut. Gibby mendapati sejak tahun 1877 sehingga Perang Dunia kedua, sejumlah 1.13 juta orang telah dikuarantin sebelum dibenarkan masuk ke Pulau Pinang dan seluruh Tanah Melayu, dan sebahagian besar dari mereka berasal dari benua India, China, dan juga rakyat Malaysia yang kembali dari Mekah melalui laut.

Sebuah bangunan yang dipercayai sebahagian dari kompleks kuarantin. Laporan dari KALAM and SMHF.

Kompleks bangunan, yang dipercayai sebagai pusat kuarantin dibina pada tahun 1875 untuk menempatkan mereka.

“Jika anda dilahirkan di Pulau Pinang, kemungkinan besarnya datuk moyang anda pernah melangkah ke Jerejak sebelum pergi ke tempat lain di Tanah Melayu. Orang Islam yang pergi ke Mekah untuk haji dan pulang juga diperiksa dan di kuarantin di sana … Mereka dikuarantin sehingga tempoh berjangkit berakhir. Terdapat pematuhan ketat terhadap peraturan kesihatan, “- Michael Gibby, petikan dari FMT.

Orang Melayu yang kembali dari Mekah pada tahun 1930-an hingga 1940-an dikatakan tak  berpuas hati dengan prosedur tu sebab mereka dah divaksin sebelum pergi. Seorang wanita yang pergi ke haji pada tahun 1936 menceritakan bagaimana mereka terpaksa dipindahkan dari kapal Mekah ke bot laju untuk menuju ke Jerejak (malah, ada beberapa orang yang jatuh ke laut dalam proses tu). Mereka kemudiannya ditahan selama dua hingga tiga jam, ditelanjangkan dan distim sebelum dibebaskan.

Tapi kitorang tak rasa mereka distim dengan sauna yang selesa macam ni. Imej dari guide-piscine.fr

Jerejak nampaknya menempatkan orang berpenyakit, kubur rakyat asing, pernah jadi penjara, dan pernah ada pemberontakan yang berlaku disitu. Bunyi macam sebuah tempat yang menarik, yang mungkin menyebabkan…

Pulau Pinang dah cuba untuk menjadikannya tempat pelancongan selama bertahun-tahun

Imej promosi untuk Jerejak Rainforest Resort di TripAdvisor.

Pada tahun 2004, sebuah resort dibina, di mana leprosarium pernah didirikan. Jerejak Rainforest Resort and Spa dibuka dengan kos RM 30.3 juta, tetapi kemudian ditutup pada 2016 akibat kerugian berjumlah RM 40 juta. Sejak itu, isu Pulau Jerejak dah jadi isu besar antara pihak pemulihara dan kerajaan negeri. Pada tahun 2015, ada tuduhan mengatakan kerajaan negeri menjual pulau tu kepada pemaju swasta, tapi saham Penang Development Corporation’s (PDC) di kawasan seluas 80 ekar di pulau tu dijual kepada UDA Holdings Bhd.

UDA pada 2017 mengumumkan yang ia telah memasuki perjanjian usaha sama dengan syarikat lain untuk membangunkan semula Jerejak Rainforest Resort & Spa yang akan merangkumi 1,200 unit kediaman, taman tema, marina, hotel, dan trek berbasikal, dan pada bulan Mei tahun ini. Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah merobohkan struktur bangunan sedia ada di Jerejak untuk memberi laluan kepada resort itu, dengan syarat pembangunan tidak menceroboh rizab hutan pulau tu.

Saja Google Pulau Jerejak, nak tengok berapa banyak hutan yang tinggal. Imej dari Google Maps

Orang yang melihat Jerejak sebagai harta karun sejarah dan warisan dah cuba menghalangnya, tapi tak berhasil. Pada tahun 2017, sebuah Petisyen Antarabangsa telah dilancarkan untuk menyelamatkan Pulau Jerejak dari pembangunan oleh Majlis Penyelesaian Sungai Buloh, dan pada masa pelancaran ia mendapat sokongan lebih daripada 30 peserta dari 16 negara. Perkara ni sangat mengagumkan untuk petisyen bukan dalam talian, tapi nampaknya petisyen saja seolah-olah ia tak cukup untuk menghentikannya.

Buat masa ni, Jabatan Warisan Negara cuba memohon status Warisan Dunia UNESCO untuk Pulau Jerejak, dan mereka akan menulis kepada Ketua Menteri baru Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenainya minggu depan. Tapi adakah perkara ni cukup untuk menghentikan pembangunan Jerejak? Hanya masa yang akan menentukan.