AG gugurkan 12 kes terhadap penyokong LTTE. Apa kumpulan LTTE ni sebenarnya?

UPDATE 21/02/2020: Peguam Negara, Tommy Thomas membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.


Ideologi pengganas adalah salah satu kesalahan yang tak boleh dikompromi di Malaysia. Beberapa tahun kebelakangan ni, pelbagai penangkapan dibuat disebabkan penglibatan mereka dalam ideologi ni. Ada penganggur, pelajar universiti dan pensyarah, malah seorang suri rumah yang merancang serangan pada PRU14, dengan merempuh rumah ibadat orang bukan Islam menggunakan kereta yang dimuat dengan tong gas sebagai bahan letupan.

Polis dari Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas sendiri terlibat dalam bahaya, sebab tu tak boleh dedahkan identiti sesuka hati. Imej dari utusan.com.my

Belum reda lagi kes-kes pengganas Daesh tu, pernah muncul tuduhan terhadap penglibatan P Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang didakwa menyokong pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.

Sebanyak 53 buah laporan meminta siasatan dilakukan terhadapnya menyebabkan kes tu dah jadi ‘case of interest’, di mana P. Ramasamy dikatakan bakal disiasat pihak polis.

Imej dari utusan.com

P. Ramasamy dikaitkan dengan LTTE berdasarkan beberapa gambar tersebar

Segalanya bermula apabila Ramasamy sendiri yang mencetuskan kontroversi apabila dia upload gambarnya dengan V. Gopalasamy yang menghadiri majlis perkahwinan anakya, di Facebook.

Vaiko, dua dari kiri, dan Ramasamy, paling kanan. Imej dari FB Ramasamy

V. Gopalasamy atau dikenali sebagai Vaiko merupakan ahli politik India yang pro kepada LTTE. Sebelum ni, dia diharamkan daripada memasuki Malaysia disebabkan sokongannya terhadap LTTE. Tapi nampaknya namanya digugurkan dari senarai hitam dan tak lagi dihalang daripada masuk ke Malaysia.

Itu bukanlah kali pertama Ramasamy dikaitkan dengan LTTE. Malah sebelum ni, ada sebuah gambar disebarkan oleh pihak tertentu yang menunjukkan P Ramasamy bersama beberapa anggota LTTE yang lain.

“Jangan ambik gambar aku, jangan ambik gambar aku, jangan ambik… *click*”. Imej dari ismaweb

Sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), perkara ni dalam masa yang sama dah memburukkan nama partinya dan Pakatan Harapan. Jadi, Naib Pengerusi DAP kemudiannya mempersoalkan perkara ni dan menuntut supaya dia menjawab tuduhan tu.

Ramasamy pun menafikan kaitannya dengan pertubuhan berkenaan. Gambar tu adalah semasa dia dijemput untuk menjadi perunding damai antara kerajaan Sri Lanka dengan LTTE semasa menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu sebelum memasuki bidang politik.

“Pada masa yang sama, saya juga merupakan sebahagian daripada jawatankuasa hal ehwal perlembagaan yang ditugaskan untuk merumuskan penyelesaian damai.

“Ketika saya bertemu dengan para pemimpin Sri Lanka dan anggota LTTE, saya hanya adakan perbincangan damai di antara mereka. Adakah ini bersamaan dengan tindakan pengganas? ” – Dr. Ramasamy, dipetik dari Harian Metro.

Dia kemudiannya mengatakan tuduhan tu tak berasas, dan mengatakan dirinya menjadi sasaran pihak pro pendakwah Islam, Dr. Zakir Naik selepas mengutuk penceramah kontroversi tu dihantar pulang ke India. Sebab pada tahun 2015, dia pernah memanggil Zakir Naik “syaitan”, dan menuduh penceramah Islam tu “cuba untuk mempromosikan kebencian terhadap agama lain.” Dia kemudiannya meminta maaf dan menurunkan postingnya tu.

Imej dari bebaskan malaysia

Tapi, sebab apa orang sensitif sangat dengan LTTE ni?

Antara kumpulan pengganas paling teratur, dan paling menakutkan di dunia

LTTE, atau “The Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)/Tamil Tigers” asalnya wujud sebab orang Tamil kat Sri Lanka rasa tertindas dengan kerajaan negara tu. Selepas Sri Lanka merdeka pada tahun 1948, bahasa rasmi ditukarkan kepada Sinhalese, dan agama rasmi pula Buddha. Macam Daesh, ISIS, Al-Qaeda dan sebagainya, misi pengganas-pengganas ni adalah untuk mendapatkan ‘kebebasan’ untuk kaum mereka.

Penyokong LTTE yang berdemonstrasi. Imej dari scroll.in

Selepas kemerdekaan negara tu juga, pelbagai rusuhan yang terjadi dan dikaitkan oleh kerajaan negara tu sendiri. Jadi, orang Tamil pun bangkit dan lawan balik kerajaan, dan kata mereka nak negara sendiri. Jadi perkara ni la yang jadi motif besar penubuhan LTTE pada tahun 1975 tu. Tapi lama kelamaan, diorang jadi makin ganas, dan terbentuklah organisasi militan pemisah yang berjuang untuk tanah air bebas bagi minoriti Tamil Sri Lanka di utara Sri Lanka.

LTTE ni bukan pengganas biasa-biasa, sebab diorang punya pentadbiran ni sangat teratur, dan diakui oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat. Organisasi ni ada dua bahagian utama, iaitu politik dan ketenteraan. Bahagian politik ni bertanggungjawab atas pentadbiran termasuklah polis, mahkamah, dan komunikasi.

Bahagian ketenteraan pula ada pasukan gerila elit yang dikenali sebagai Charles Anthony Force, tentera laut iaitu Sea Tigers, kaji selidik pembangunan, bahagian salah laku tentera, tentera wanita, dan yang paling menyeramkan ialah… Unit Black Tiger yang ditugaskan sebagai pejuang berani mati!

Diorang tutup habis macam ni bukan sebab menutup aurat, tapi supaya tak dicam. Mereka ni juga bersedia meletupkan diri sendiri di tempat awam. Imej dari quora.com

Kalau nak tahu, LTTE juga adalah kumpulan pemberontak yang paling banyak menggunakan pejuang berani mati, iaitu sebanyak 273 serangan, yang lagi banyak daripada Al-Qaeda atau kumpulan pengganas lain.

Malah, FBI menyasarkan yang LTTE ni adalah pergerakan pengganas paling bahaya di dunia, lagi ganas dari ISIS, Daesh dan Taliban dan ekstremis Islam yang lain. FBI dalam masa yang sama keluarkan peringatan yang LTTE perlu diawasi kerana menjadi ilham kepada rangkaian pengganas seluruh dunia.

Perempuan dan kanak-kanak pun tak ketinggaan ikut sama ‘berjuang’. Imej dari colombogazette.com

Diorang ni memang dah di’brainwash’ supaya menentang kerajaan Sri Lanka sebab tak jaga kebajikan bangsa Tamil. Malah sekitar tahun 80-an, LTTE pernah dapat bantuan daripada segi kewangan dan latihan tentera daripada kerajaan India!

Kalau diorang ni bangsa tertindas di Sri Lanka, mana pula diorang dapat duit nak membentuk organisasi ni? Kat sini la gunanya penyokong-penyokong LTTE. LTTE ada bajet tahunan sebanyak $200-$300 juta, kebanyakannya didapati daripada jaringan bantuan kewangan di seluruh dunia bagi membiayai pembelian senjata dan operasinya. Selain tu, mereka banyak melakukan jenayah termasuklah penyeludupan buruh, dadah, dan senjata, aktiviti lanun, cukai, peras ugut, dan sebagainya. Memang gangster habis!

Tragedi “Pembunuhan di Masjid Kattankudy 1990” kesan besar pada orang Islam Sri Lanka

Imej dari pressreader

Pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh LTTE pada orang Islam Sri Lanka. Salah satu yang paling diingati adalah pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Masjid Kattankudy. Pada 3 Ogos 1990, 141 umat Islam telah dibunuh ketika sedang solat di dua masjid yang berlainan di bandar Kattankudy, di daerah Batticoloa di Wilayah Timur.

1990 Kattankudy Mosque Killings. Imej dari colombotelegram

Bermula dari Semenanjung Jaffna pada Oktober 1990 pula, organisasi harimau (LTTE) mengusir orang-orang Islam yang berbahasa Tamil (umat Islam Chavakachcheri) secara paksa dari Wilayah Utara, untuk tujuan pembersihan etnik. Dalam tempoh masa 15 Oktober hingga 30 Oktober, umat Islam dihalau keluar dari tanah yang mereka diami selama berabad-abad lamanya. Mereka juga dihalau selepas duit dan barang kemas mereka diambil oleh kumpulan pemberontak ni.

Mereka yang dihalau tadi kebanyakannya tinggal di daerah Mannar. Selain Mannar dan Jaffna, orang-orang Muslim di daerah Mullaitheevu dan Kilinochchi juga dihalau. 50,000 Muslim diusir dari tanah besar utara oleh LTTE. Bersama dengan semenanjung, umat Islam yang dipindahkan dari Wilayah Utara berjumlah sekitar 75,000 pada tahun 1990.

Antara umat Islam yang terselamat. Imej dari colombotelegraph.com

Bagaimanapun pada tahun 2002, perunding dan strategi politik LTTE, Anton Balasingham bersama Vellupillai Prabhakaran memohon maaf kepada umat Islam Sri Lanka dan mengakui yang Jaffna juga adalah tanah mereka. Mereka juga bersedia menyelesaikan masalah tersebut dengan membawa masuk orang Islam di kawasan tersebut.

Anton dan Prabakharan. Imej dari BBC

Pembunuhan dua pemimpin dunia yang membawa kepada pengharaman organisasi ni

Antara ‘pencapaian’ terhebat LTTE ni adalah apabila diorang berjaya membunuh dua pemimpin dunia iaitu bekas Perdana Menteri India, Rajiv Ghandi pada 1991, dan juga Presiden Sri Lanka, Premadasa pada 1993 dengan cara pengeboman berani mati.

Premadasa dan Rajiv Gandhi, beberapa minit sebelum diletupkan pengebom berani mati LTTE. Imej dari sangam.org & Deccan Chronicle

 

Setelah beberapa tahun ‘bermaharajalela’, kerajaan Sri Lanka pun buat beberapa rundingan untuk mengekang masalah ni. Tapi kesemua rundingan tu gagal, menyebabkan kerajaan Sri Lanka kemudiannya mengisytiharkan serangan menyeluruh terhadap LTTE pada tahun 2006. Manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mengisytiharkan LTTE sebagai organisasi pengganas.

Menjelang Mei 2009, pasukan kerajaan akhirnya berjaya mengalahkan LTTE dalam perang Elam, di mana ketua LTTE iaitu Velupillai Prabhakaran terbunuh dan menyebabkan kumpulan ni semakin kurang aktif. Dalam masa yang sama, seramai 70,000 orang yang lain terbunuh semasa konflik antara kerajaan LTTE dan Sri Lanka. Anggota LTTE kemudiannya diharamkan memasuki negara India, Sri Lanka, dan beberapa negara lain oleh kerajaan negara tersebut.

Velupillai Prabhakaran, tengah, dengan pemberontak-pemberontak Tamil di Sri Lanka. Imej dari indiatoday.in

Walaupun LTTE dikatakan dah ‘mati’, tapi ia sedang cuba ‘dibangunkan’ semula

Walaupun pemimpin LTTE berjaya dihapuskan pada 2009, nampaknya ada beberapa penangkapan pada tahun yang sama di Malaysia. Gerakan yang nampaknya perlahan rupa-rupanya masih kuat dalam kalangan pengikut fanatik mereka yang berada di seluruh dunia. Malah menurut kata-kata Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, LTTE menunggu masa untuk melancarkan keganasan ke negara lain yang menjadi sasaran. Kumpulan berselindung atas nama hak asasi dan kepakaran akademik.

Sejak tahun 2009, Utusan Malaysia melaporkan terdapat sebanyak 18 pengganas LTTE termasuk ketuanya bersembunyi di negara ni berjaya ditangkap Pasukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8).

Ketua kumpulan pembe­rontak tu, Selvarasa Pathmanathan ditahan dan dihantar pulang ke negaranya oleh pihak berkuasa untuk soal siasat. Pathmanathan yang me­ngam­bil alih jawatan ketua LTTE dikehendaki Interpol kerana menyeludup senjata untuk militan terbabit. Malaysia juga dipercayai digunakan sebagai tempat untuk kumpulan yang diharamkan tu untuk mengumpul dana.

Dr. Ramasamy pada 2014 bagaimanapun pernah membuat kenyataan seolah-olah mengatakan yang PDRM tak adil untuk menahan beberapa orang Tamil yang dikaitkan dengan LTTE ni.

Kenyataan Ramasamy tentang ahli LTTE yang ditahan pada 2014. Screenshot dari Facebooknya.

Ekstremis menggunakan agama dan bangsa untuk menghalalkan cara

Sebelum ni kita pernah tulis artikel beberapa sebab-sebab mereka ni boleh tertarik nak masuk ISIS. Dan salah satunya adalah dengan mempengaruhi orang dengan gerakan radikal dan meyakinkan yang mereka cuba untuk melindungi agama dan bangsa mereka. 

Ia adalah sesuatu yang perlu diambil serius demi keamanan negara kita, lebih-lebih lagi sebab kita tinggal di negara yang berbilang kaum. Kita tak perlukan anasir luar untuk memecah belahkan kita. Tak banyak bezanya kalau nak dibandingkan dengan ideologi ekstremis yang lain, fahaman ekstremis banyak memainkan sentimen agama dan bangsa lain tak layak menggunakannya sebagai perjuangan sebab nyawa manusia bukanlah satu perkara yang boleh dibawa main.

“Gerakan subversif merupakan sesuatu yang perlu ditangani kerana ia berselindung di sebalik agama. Ia merupakan satu ancaman yang membawa kepada kekejaman dan kucar-kacir sekiranya tidak dicantas,” – Hakim Datuk Azman Abdullah, dipetik dari Sinar Harian.