Sanggup keluar kerajaan kerana UEC, apa di sebalik sijil KONTROVERSI ni?

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 18 Julai 2018

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

UPDATE 3/2/2020: Timbalan Setiausaha Agong DAP Nga Kor Ming mengatakan DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dalam satu wawancara bersama Oriental Daily.


Pada awal bulan Julai tahun 2019, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nee Ching ada kata yang dia nak isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selesai sebelum hujung tahun 2018. Nee Ching juga kata yang dia yakin pengiktirafan UEC akan dilaksanakan. Disebabkan kenyataan Nee Ching ni, maka bertaburanlah pandangan-pandangan yang muncul di media-media. Tak kiralah dari pihak yang menyokong ataupun yang membantah.

Bagi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), kenyataan mana-mana pihak yang menyokong pengiktirafan UEC ni tak payah dilayan. Dalam masa sama, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kata, pihaknya tengah buat kajian holistik sebelum buat apa-apa keputusan pasal UEC.

Belum sempat kerajaan iktiraf, syarikat dah iktiraf dulu. Imej dari Utusan Online.

Apa yang pasti, isu UEC ni nampaknya kembali hangat diperkatakan. Walaupun sijil ni dah ada lama kat Malaysia (sejak tahun 1970-an), tapi sampai sekarang sijil ni masih tak diiktiraf kerajaan. Isunya ada banyak dan kita akan bincangkan nanti. Tapi sebelum tu, jom kita ambil tahu dulu perkembangan pendidikan berasaskan kaum dan bahasa di Malaysia.

Usaha nak jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah dah dibantah sejak zaman sebelum merdeka lagi

Sejak zaman sebelum merdeka lagi, sistem pendidikan di negara ni dah diasingkan. Maka wujudlah Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil yang masing-masing guna cara yang berbeza-beza. Tapi bila tamatnya Perang Dunia Kedua (WW2), isu sistem pendidikan mula jadi perhatian dan British juga mula nak menyatukan sistem pendidikan yang berbeza-beza ni.

Maka datanglah cadangan nak buat sekolah kebangsaan yang terbuka kepada semua kaum, dengan menjadikan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Tapi usaha ni tak berapa nak jalan, bila ia dibantah. Salah seorang yang membantah adalah seorang tokoh pendidikan Cina, Lim Lian Geok. Lim kata orang Cina tak sepatutnya dipaksa meninggalkan bahasa dan budayanya.

Lim Lian Geok dilahirkan pada tahun 1901, Fujian, China. Sebelum berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1920-an. Imej dari seehua.com

Penentangan Lim semakin kuat bila dia dilantik jadi Pengerusi Gabungan Persatuan – Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zong). Lim pun masa tu berjumpa dengan Presiden PBB yang datang ke Tanah Melayu dengan mengemukakan memorandum. 

“Antara lain, memorandum ini mendesak pemansuhan Ordinan Pelajaran 1952, penerimaan bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan serta peruntukan pendidikan kepada semua kaum di Persekutuan mengikut asas kesaksamaan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Tan Yao Sua.

Akhirnya, penentangan Lim berjaya dan British pun gugurkan cadangan penubuhan satu sistem sekolah kebangsan menggantikan sistem sekolah vernakular. Dalam masa sama, muncul pulak Jawatankuasa Razak menjelang Pilihan Raya 1955.

Disebabkan Perikatan masa tu nak berdepan dengan Pilihan Raya, jadinya Jawatankuasa Razak pun bersetuju terima sekolah rendah Cina sebagai salah satu sistem pendidikan kebangsaan, tapi bukan sekolah menengah Cina.

Lim mengiringi Tun Razak dalam satu majlis tahun 1956. Imej dari interestingcornerofme.blogspot

Lepas merdeka, muncul pulak Laporan Rahman Talib yang sekali lagi cuba menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Hal ini disokong kuat oleh pejuang pendidikan Aminuddin Baki. Tapi sekali lagi juga Lim bangun membantah. Dalam ucapannya pada Ogos 1960,  Lim mempertikaikan perakuan Rahman Talib yang kata penggunaan bahasa kebangsaan adalah untuk memupuk kesedaran nasional dalam kalangan pelajar.

“Beliau hanya menganggap bahasa kebangsaan sebagai alat untuk komunikasi antara kaum dan menegaskan perkembangan bahasa lain tidak sepatutnya disekat bahasa kebangsaan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Tan Yao Sua.

Lim juga mendesak sekolah menengah Cina supaya tak akur dengan Laporan Rahman Talib dan seru supaya diorang ni berdikari sendiri. Tapi usaha Lim nampaknya tak datangkan banyak hasil bila banyak sekolah menengah Cina bertukar kepada sekolah aliran kebangsaan sebab desakan nak mendapatkan bantuan kerajaan.

Tugu Lim Lian Geok – dia dikenang sebagai Zu Hun (Roh Bangsa) atas perjuangannya dalam pendidikan Cina di negara ini. Imej dari seehua.com

Tapi lepas tu, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) masih lagi wujud dan diorang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Maka bermula jugalah wujudnya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Apa itu UEC, dan sejak bila ia mula diperkenalkan?

Sekarang ni kita nak berkenalan pulak dengan sijil pelajaran paling kontroversi kat Malaysia. Menurut Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), UEC ni adalah peperiksaan yang dijalankan kat Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Malaysia. Sijil ni mula diperkenalkan lepas adanya Akta Pendidikan 1961.

Dalam akta ni, sekolah-sekolah menengah Cina mesti tukar bahasa pengajaran mereka kepada bahasa Inggeris atau Melayu kalau nak dapatkan bantuan kerajaan. Jadinya, sekolah-sekolah yang tak nak buat macam tu pun jadi SMPC yang tak bergantung pada kerajaan.

Contoh Sekolah Menengah Persendirian Cina. Imej dari kgselabak.pi1m.my

Disebabkan tak ada sistem peperiksaan sendiri, makanya Jawatankuasa Pembangunan SMPC dah ditubuhkan untuk buat satu sistem peperiksaan. Dengan itu, lahirlah UEC pada tahun 1975.

“Sehari sebelum UEC yang pertama hendak dijalankan pada tahun 1975, Dr. Mahathir yang selaku Menteri Pelajaran pada masa itu tiba-tiba memanggil pemimpin-pemimpin Dong Jiao Zong dan mengarahkan mereka untuk memberhentikan peperiksaan UEC.” – Dipetik dari Dong Zong.

Tapi lepas banyak perbincangan dibuat, UEC tetap diteruskan. UEC kemudiannya diuruskan sepenuhnya oleh Dong Zong. Walaupun macam tu, sampai ke hari ni UEC masih lagi tak diiktiraf kerajaan. Antara isunya adalah bahasa pengajaran yang diamalkan oleh pelajar-pelajar UEC ni.

Jenis-jenis sekolah Cina di Malaysia. Imej dari ISMAWEB.

Ada lapan kertas peperiksaan untuk UEC menengah rendah. Selain 3 kertas bahasa, semua mata pelajaran yang lain diajar adalam bahasa Cina. Hanya Sekolah Menengah Persendirian Cina kat Sabah yang masih guna dwibahasa (Bahasa Cina dan Inggeris) untuk kertas peperiksaan Sains dan Matematik. Untuk UEC menengah tinggi pulak, ada 22 kertas kertas peperiksaan.

“Selain 3 kertas bahasa, terdapat 10 mata pelajaran yang dikaji dalam bahasa Cina dan Inggeris, iaitu 7 kertas untuk subjek sains dan matematik dan 3 kertas untuk aliran perdagangan (kecuali ekonomi), yang selebihnya iaitu 9 mata pelajaran hanya dikaji dalam bahasa Cina.” – Dipetik dari Dong Zong.

Tapi kenapa UEC payah sangat nak diiktiraf? Antara puncannya adalah sistem sijil ni yang dikatakan bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Sebabnya, akta ni ada bagitau yang bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kena dijadikan sebagai bahasa pengantar utama untuk sekolah menengah, dah hal ni tak jadi kat SMPC yang ambil UEC.

“Kurikulum sijil itu masih tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996. Kementerian berpendirian Sijil UEC hanya boleh digunakan untuk kemasukan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sahaja.” – Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Pendidikan Tinggi. Dipetik dari Berita Harian.

Imej dari Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Tapi, untuk pihak yang sokong supaya UEC diiktiraf, diorang ada bagi beberapa sebab kenapa UEC patut diiktiraf.

Penyokong kata UEC tak abaikan bahasa Melayu, tapi masih ada pihak yang tak setuju

Bagi Dong Zong dan Jiao Zong, dakwaan yang kata UEC akan jejaskan perpaduan dan kedudukan bahasa kebangsaan adalah tak benar. Diorang berhujah, sukatan pelajaran UEC mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan.

“Sebagai contoh, mata pelajaran Sejarah UEC mengandungi 57.36 peratus sejarah Malaysia dan 42.64 peratus sejarah dunia, ini bermakna lebih daripada separuh isi kandungan mata pelajaran Sejarah yang dipelajari oleh pelajar-pelajar UEC ialah sejarah Malaysia.” – Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong, dipetik dari ProjekMM.

Contoh sijil UEC. Imej dari fyhao.com

Diorang juga tegaskan yang diorang hormat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebab itulah, Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib untuk semua pelajar UEC. Selain tu, semua SMPC juga tubuhkan Kelab Bahasa Melayu untuk tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar.

“Di samping itu, kami juga bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menganjurkan Pertandingan Forum Pelajar yang khas untuk penyertaan pelajar-pelajar UEC sejak tahun 1990-an dengan tujuan memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu.” – Dipetik dari ProjekMM.

 

Walaupun macam tu, masih ada pihak yang tak setuju UEC diiktiraf. Sebabnya, sijil ni langsung tak ada kaitan dengan guru-guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sijil UEC diuruskan penuh oleh jawatankuasa Dong Zong.

“Untuk makluman, pelajar UEC ada mengambil BM, tetapi BM mengikut standard UEC, bukan datang daripada KPM. BM UEC jauh lebih mudah berbanding BM SPM. Malang sungguh negara ini, rakyatnya tidak mahu bersusah sedikit pun untuk menguasai bahasa negara.” – Prof Dr Ridhuan Tee, dipetik dari ISMAWEB.

UEC diuruskan sepenuhnya oleh Dong Zong. Imej dari mummyrokiah.blogspot

Menurut Prof Dr Teo Kok Seong dari UKM pulak, pengiktirafan UEC adalah satu penderhakan kepada rakyat. Hujahnya, pengiktirafan UEC sangat bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Pertama sekali, pada saya ia sa­ngat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Jangan khianati golongan seperti ini.

…jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ia boleh diibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’.” – Prof Dr Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik UKM. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Perkara yang sama juga disuarakan oleh Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Ga­pena), Prof. Madya Zainal Abidin Borhan:

“Syarat asas untuk masuk perkhidmatan awam adalah lulus Bahasa Melayu dan Sejarah de­ngan kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi bagaimana kita mahu memperakui kebolehan bahasa Malaysia pelajar ini dalam per­khidmatan awam?” – Katanya kepada Utusan Malaysia.

Klik sini kalau nak baca.

Iktiraf UEC: Antara kehendak negara dan manifesto PRU

Salah satu sebab kenapa isu UEC ni bangkit adalah bila Pakatan Harapan sebelum ni dah masukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto diorang. Tapi kalau ikut laporan The Star, pengiktirafan UEC pun ada dalam manifesto BN.

Kalau kita berbalik ke manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada PRU-13 dulu, pun ada pengiktirafan UEC kalau (PR) menang. Malah, antara yang sain kat manifesto tu adalah Datuk Seri Hadi Awang sendiri. Tapi untuk manifesto Gagasan Sejahtera (PAS, BERJASA dan IKATAN) untuk PRU-14, pengiktirafan UEC tak ada. Jadinya, kalau PAS membantah pengiktirafan UEC sekarang ni, maknanya ia selaras dengan manifesto diorang.

Dua-dua janji benda yang sama.

Walaupun begitu, Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH, Datuk Dr. Rais Hussin ada kata yang pengiktirafan UEC tak termasuk dalam 100 hari janji manifesto PH. Antara puncanya, isu ni bukan benda mudah dan libatkan banyak pihak.

“Ia bukan semudah menggoreng telur, cakap dan terus laksana sebaliknya ada peringkatnya dan mengiktiraf UEC perlu melalui proses tertentu dan memakan masa, sebarang keputusan mengenai UEC hanya akan dibuat selepas kajian menyeluruh dibuat kerana ia melibatkan sektor pendidikan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari Giphy.

Menurut Maszlee, apa sahaja keputusan pasal UEC, akan dibuat tanpa menggugat bahasa Melayu. Tapi dalam masa sama, kedudukan bahasa Melayu buat masa sekarang pun masih lagi tak tentu hala.

Isu pendidikan timbul, sebab masih ramai yang tak yakin dengan sistem pendidikan kebangsaan

Sebenarnya, UEC adalah satu dari banyak isu pendidikan yang ada kat Malaysia. Kalau kita pandang ke belakang sedikit, kita akan nampak isu Universiti Merdeka, Sekolah Wawasan, PPSMI, institusi tahfiz, isu pendidikan orang asli dan sebagainya.

Dalam isu UEC, sebenarnya sebelum ni memang dah ada pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan. Contohnya macam Institut Pendidikan Guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dah mula ambil lulusan UEC untuk kemasukan guru yang mengajar Bahasa Mandarin sejak tahun 2010.

Isu yang lagi besar adalah adanya ketidakyakinan terhadap sistem pendidikan kebangsaan di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Makanya, muncullah masalah yang semacam ini.

Pendapat dari wartawan veteran – Zin Mahmud. Imej dari FB-nya.

Dalam satu laporan terbitan International School Consultancy (ISC), Malaysia adalah negara yang paling ramai pelajarnya belajar di sekolah antarabangsa berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara lain. Apa yang pasti, medium bahasa dalam sekolah ini pun tak menggunakan bahasa Melayu, tetapi bahasa Inggeris.

Kedudukan Malaysia kalau nak dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara lain. Imej dari Malaysiakini.

Hal ni juga satu cabaran dalam perjuangan pendidikan kebangsaan Malaysia. Itu belum masuk isu pendidikan orang asli, pedalaman dan sebagainya. Pendidikan bukan isu politik dan bukan tiket cari undi. Pendidikan alat pembinaan negara bangsa dan masa depan sesebuah negara.

“Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri.” – Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim, Sejarawan Negara. Dipetik dari mStar.

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.