Minum produk ‘sampah’ sampai rahang tercabut. Ini kisah ngeri atlet golf Amerika

Zaman sekarang ni, ramai dah ada kesedaran untuk mengamalkan penjagaan kulit, baik perempuan mahupun lelaki. Iya lah, kulit kan organ terbesar kita, mestilah kena jaga elok-elok.

Tapi dalam kesedaran orang ramai tu, ada pula pihak yang hanya fikir untung ambil kesempatan untuk berniaga produk-produk kecantikan yang ada bahan-bahan berbahaya. Contohnya, merkuri antara yang paling popular digunakan.

Disebabkan kesan ‘mujarab’ yang pantas tu, ramailah pengguna yang tertipu dan terus je beli sehinggakan pengasas ni mendapat untung lumayan. Itu yang boleh rekrut ejen-ejen penjualan produk mereka tu.

ready nak cari pelanggan dan ejen.

Yang terima padahnya pengguna juga sebab kurangnya pengetahuan bahaya bahan-bahan beracun ni. Dan kalau korang nak tahu, sebenarnya produk kecantikan atau tiada kelulusan ni dah terjadi sejak dulu lagi.

Produk minuman radioaktif kegemaran Eben Byers

Untuk pengetahuan korang, dulu ada seorang atlet golf Amerika, Eben Byers yang suka mengamalkan produk minuman bertoksik. Byers ni sangat handal bermain golf dan dah menang banyak kejuaraan pada awal tahun 1900-an.

Kisah tragis Byers bermula pada tahun 1927  semasa dia terjatuh dalam satu perlawanan sehingga menyebabkan tangannya tercedera. Dia mengalami kesakitan yang amat sangat walaupun kecederaannya taklah serius mana. Jadi, dia terpaksa berhenti bermain golf buat sementara waktu.

Untuk merawat kesakitan yang dialami, doktornya memberi minuman dipanggil Radithor untuk kesembuhan yang pantas di samping manfaatnya yang lain. Tapi, manfaat tu hanya sekadar hipotesis doktor tu.

Doktor yang bernama William J. A. Bailey merupakan seorang doktor tak bertauliah sebab dia tak habiskan pun pengajian mediknya di Harvard Medical School. Tapi, duk canang kat orang dia dah habis belajar.

William J. A. Bailey, doktor jadian tak bertauliah. Imej dari History from Yesterday.

Dalam satu kajian Bailey bersama pasukannya, mereka ni mendapati bahan radioaktif bernama radium ni mampu memberi manfaat kepada tubuh manusia, tapi masih lagi sekadar hipotesisnya lah.

Mereka tahu yang dos radioaktif yang tinggi ni boleh membahayakan nyawa, tapi kalau diberi dos yang sangat rendah dan disuling dengan air mampu memberi kesan yang baik. Maka, terjadilah minuman dipanggil Radithor dan diberi pula kepada Byers sebagai penyembuhan kecederaannya.

Pada mulanya, Byers hanya mengambil minuman Radithor sebanyak satu sudu kecil sehari. Tapi, setelah merasakan kesan positif Radithor tu, dia mula mengambil lebih banyak dos dalam sehari. Bermula dengan satu botol sehari kepada tiga botol sehari selepas setahun meminum Radithor tu.

Byers terpaksa berehat selepas kecederaannya. Imej dari History from Yesterday.

Yang lebih merisaukan, Byers ni punyalah yakin dengan Radithor tu, dia bukan je offer kepada kawan-kawannya malah turut diberikan kepada kuda peliharaannya.

Dia sendiri pun dah ambil sebanyak 1400 botol Radithor sejak mula diberikan pada tahun 1927 hingga tahun dia berhenti mengambil Radithor pada 1931.

Tapi betul ke dia ni dah sembuh dari kesakitan lepas minum Radithor tu? Dan kenapa pula dia berhenti mengambil Radithor pada 1931 tu?

Byers alami kesan plasebo sampai kehilangan rahang

Pakar masa sekarang berpendapat yang Byers ni hanya mengalami kesan plasebo terhadap minuman Radithor tu. Kesan plasebo ialah apabila badan kita merasakan ubat yang diambil berkesan menyembuhkan penyakit padahal tak pun.

Setelah beberapa tahun mengamalkan produk ‘sampah’ tu, badan Byers mula menunjukkan kesan sampingan yang mana dia rasa tak sihat, gigi dan tulang rapuh, sakit kepala dan lain-lain lagi.

Pada 1931, Byers dikejutkan apabila rahang bawahnya luruh akibat dari tisu dan tulangnya yang hancur dari dalam. Yang buat seram lagi, tulang-tulang seluruh badannya pun dah mula mereput.

mak aihhh… sampai tertanggal rahang dia. Imej dari History from Yesterday.

Walaupun dah sampai jadi macam tu, dia dah tak rasa sakit disebabkan minuman radioaktif tu dah merosakkan saraf-saraf badannya. Akhirnya Byers meninggal dunia pada tahun 1932, pada usia 51 selepas berperang dengan kesan sampingan Radithor tu.

Selepas kematiannya, ramai doktor dah mula mendedahkan kesan buruk radiasi kepada tubuh manusia. Tambahan pula, pihak berkuasa pada masa tu dah mengharamkan penggunaan radiasi.

Ha… samalah juga macam zaman sekarang ni, banyak penggunaan bahan-bahan terlarang macam merkuri dalam produk-produk yang mendakwa sebagai produk kecantikan dan kesihatan.

Merkuri dalam kosmetik ni boleh jadi dalam dua bentuk. Yang pertama, dalam bentuk organik selalunya ada pada maskara, celak dan pencuci muka. Manakala, merkuri bukan organik pula boleh ditemui pada krim dan sabun pencerah kulit.

terdedah kepada merkuri sekali pun dah bahaya, apatah lagi nak pakai setiap hari pada badan. Imej dari UPM.

Selalu kita dengar merkuri ni dalam termometer je. Itupun kalau termometer pecah kena buat panggilan kecemasan untuk pakar yang menguruskan.

Untuk pengetahuan korang, bahan merkuri ni diharamkan dalam kosmetik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebab boleh membahayakan. Malah…

Bukan pengguna produk je akan terdedah kepada bahaya merkuri

Macam yang korang dah baca kat atas tu, kesan radiasi kepada tubuh manusia memang menakutkan. Walaupun kesannya bukanlah secara drastik, tak bermakna produk tu selamat. Slow-slow dia merosakkan sistem badan manusia.

Samalah juga macam produk tanpa kelulusan di pasaran sekarang ni. Banyak dah jenama-jenama didedahkan oleh KKM sebab menggunakan racun berjadual dalam produk mereka.

Selalu sangat dah KKM dedahkan jenama-jenama terkenal yang guna bahan beracun ni. Imej dari Astro Awani.

Merkuri ni antara bahan paling famous lah yang digunakan terutama dalam produk kosmetik seperti sabun dan krim pemutihan. Konon untuk mencerahkan kulit.

Dan kalau korang nak tahu, penggunaan merkuri sebagai agen mencerahkan kulit ni memang berkesan dan banyak testimoni. Tapi, secara tak sihatlah sebabnya bahan ni punca kepada melanin dalam badan manusia tak dapat dihasilkan. Itu yang putih semacam tu.

Mungkin nak seputih Raja Kapur kot… Imej dari giphy.

Kesan merkuri dalam kosmetik boleh menyebabkan sakit perut yang teruk, ruam dan keracunan apabila badan menyerap unsur tersebut. Perkara paling buruk boleh terjadi ialah kerosakan organ dalaman seperti buah pinggang dan sistem saraf.

Apatah lagi kalau digunakan ibu mengandung, boleh menyebabkan gangguan perkembangan otak bayi dalam kandungan atau yang baru je dilahirkan.

Selain tu, bayi juga boleh terdedah kepada bahaya merkuri melalui interaksi dan sentuhan dengan pengguna produk yang ada merkuri ni. Lepas tu, bayi yang tak tahu apa-apa ni pun masukkan tangan ke dalam mulut. Tak pasal-pasal mereka pun merana.

dah lah mereka ni baru nak bina antibodi. Imej dari Pinterest.

Bukan tu je, penggunaan merkuri dalam produk kosmetik ni juga boleh bagi kesan kepada mental pengguna iaitu boleh menyebabkan kemurungan dan keresahan.

Kesan-kesan ni juga tidak berlaku secara terus dan ambil masa juga untuk nampak gejalanya tu. Kadang-kadang tu, dah sampai tahap teruk baru nampak kesan buruknya.

Jus viral mampu sembuhkan penyakit kronik

Selain merkuri, banyak lagi bahan-bahan terlarang yang digunakan dalam produk-produk kesihatan dan kosmetik ni walaupun dah diharamkan oleh KKM. Contohnya, steroid digunakan untuk mengawal bengkak dan sildenafil, tadalafil dan vardenafil yang sering digunakan dalam produk merawat mati pucuk.

Bahan-bahan tu bukanlah dilarang sepenuhnya sebab hanya boleh digunakan dengan preskripsi doktor sahaja. Maksudnya, produk-produk makanan tak boleh sesuka hati menyalahguna bahan-bahan ni.

Kalau didapati bersalah, syarikat boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Selain tu, mereka juga boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 kalau mensiarkan iklan makanan diorang boleh menyembuhkan sebarang penyakit.

Mana taknya, mereka dah daftar produk macam jus atau kopi sebagai produk makanan tapi diiklankan kononnya jus dan kopi tu boleh memberi tenaga yang luar biasa ataupun mampu menyembuhkan kecing manis, gaut dan macam-macam lagilah.

Seeloknya elakkan membeli produk-produk kesihatan atau kosmetik ‘sampah’ yang bagi jaminan tak masuk akal kononnya mampu menyembuhkan penyakit kronik atau kejelitaan sekelip mata ni.

Sebagai pengguna yang bijak, pastikan korang ambil langkah keselamatan seperti menyemak status produk tersebut di laman web NPRA dan lain-lain sebelum membeli.