4 ulama wanita Nusantara yang telah mencipta sejarah

Sebagai mana kita tahu, kepulauan Nusantara didiami oleh masyarakat yang majoritinya beragama Islam, mengamalkan ajaran Mazhab Syafie’ serta berpegang teguh kepada Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Oleh itu, terlahirlah ulama tersohor seperti Tuan Guru Sheikh Abdullah bin Ibrahim, Sheikh Mohd Idris al-Marbawi, Tok Ku Paloh dan sebagainya.

Mereka ini merupakan tulang belakang dalam menegakkan ajaran Islam di Nusantara, dan mempunyai kitab-kitab sendiri. Korang mesti selalu terfikir yang semua golongan ulama dan tokoh Islam haruslah dalam kalangan lelaki. Namun, terdapat permata tersembunyi dalam sejarah Islam Nusantara iaitu ulama dari golongan wanita. Jadi, mari kami bongkarkan lima ulama dalam kalangan wanita yang telah mencipta sejarah Islam Nusantara.

1. Hajah Khadijah Binti Tok Selehor: Mempunyai ilmu Tassawuf yang berpaksikan Kitab Hikam

Wanita yang membuka banyak kelas agama. Imej dari Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Puan Guru Hajah Khadijah dilahirkan pada tahun 1925 di Kampung Tok Selehor, Tumpat, Kelantan dengan nama panggilan “Mok“. Kalau korang nak tahu, beliau merupakan anak kepada ulama yang terkenal dalam ilmu Tassawuf iaitu Tok Selehor dan cucunya ialah Dr. Asyraf Wajdi.

Puan Guru Hajah Khadijah berkahwin dengan Tuan Guru Haji Ahmad Batu. Beliau mendapat pendidikan yang sempurna dari ayahnya. Bukan itu sahaja, beliau juga menuntut ilmu agama dari suaminya sepanjang mereka hidup bersama.

Namun, ikatan sah mereka tidak kekal lama kerana mereka berpisah dan Khadijah telah pulang ke Kampung Kubang Batang yang merupakan tempat tinggal keluarga ibunya. Semasa tinggal di kampung itu, beliau membuka kelas agama di sekitar kawasan Tumpat dan Kota Bharu.

Pada tahun 1952, Hajah Khadijah telah berkahwin dengan Haji Mohamad bin Ilyas. Suaminya berasal dari Raub, Pahang dan merupakan Imam Masjid Raub dan Imam Besar di masjid Kuantan, Pahang. Selepas berkahwin, beliau tinggal bersama suaminya di Pahang.

Sepanjang hidup bersama suami kedua, beliau telah membuka banyak kelas agama di Raub, Kuantan dan Kuala Lumpur. Dalam sistem pembelajaran dan ilmu Tassawuf, beliau akan merujuk tiga kitab iaitu Kitab Hikam, Kitab Muniyatul Musolli dan Kitab Faridatul Faraid.

Merujuk tiga kitab yang masyhur, memang hebat! Imej dari giphy.

Beliau pernah dianugerahkan Bintang Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh DYMM Sultan Pahang pada tahun 1980 dan pernah dilantik sebagai guru agama KEMAS pada tahun 1967 di Kelantan. Bukan itu sahaja, beliau telah menulis beberapa buah kitab sepanjang karier menjadi guru agama antaranya:

  1. Kitab Risalah dan Syarat-syarat Rukun Sembahyang
  2. Risalah Sifat Dua Puluh
  3. Risalah Ringkasan Rukun Iman
  4. Kitab Pengenalan Ringkasan Kata-Kata Orang Tasawuf

Puan Guru Hajah Khadijah meninggal dunia pada tahun 1993 akibat kemalangan jalan raya. Jenazahnya disemadikan di Kampung Kubang Batang Wakaf Bharu, Kelantan. Cucunya, Dr. Asyraf Wajdi sangat menyayanginya kerana banyak mengajar ilmu agama dan menceritakan tentang Tok Selehor.

“Masih segar di ingatan bagaimana saya mendapat berita sedih pemergian Mok akibat kemalangan jalan raya. Itupun saya hanya terbaca di akhbar kerana keluarga cuba peringkat awalnya untuk merahsiakannya kerana saya sedang bertanding di Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri.” – Dr. Asyraf Wajdi, cucu Hajah Khadijah, dipetik dari status Facebook.

2. Teungku Fakinah: Ulama wanita yang menjadi Panglima Perang ketika Perang Aceh

Ini hanya sebuah ilustrasi wajah Teungku Fakinah. Imej dari Steemit.

Indonesia juga mempunyai ramai ulama wanita yang hebat lebih-lebih lagi Teungku Fakinah atau nama panggilannya “Teungku Faki“. Lahir pada tahun 1856 di Desa Lam Diran Kampung Lam Beunot, beliau berkahwin dengan Tengku Ahmad pada tahun 1872 namun setahun berikutnya suaminya telah terkorban dalam perang menentang Belanda ketika umur Teungku Fakinah 17 tahun.

“Suaminya gugur dalam suatu peperangan melawan Belanda pada 1873.”- Dr. Michael Feener, Pensyarah Pusat Islam di Universiti Oxford, dipetik dari Islam and the Limits of the State.

Teungku Fakinah mendapat ajaran agama yang begitu sempurna kerana beliau mempelajari ilmu-ilmu Islam dan membaca Al-Quran bersama ibunya, Teungku Fatimah, manakala ilmu pertuturan Bahasa Arab, ilmu Tassawuf dan tafsiran Al-Quran bersama bapanya, Datu Mahmud. Bukan itu sahaja, beliau juga mempelajari ilmu peperangan bersama suaminya sebelum terkorban di perang itu.

Selepas kematian suaminya, beliau menubuhkan badan kebajikan dengan mengumpulkan sumbangan dari masyarakat untuk diberikan kepada orang yang lebih memerlukan dan badan kebajikan itu juga digunakan untuk membentuk pasukan perang yang terdiri dari kaum wanita selepas meminta kebenaran dari Sultan Aceh. Pasukan perang ini disertai oleh sahabatnya iaitu Tjut Nyak Dhien.

Teungku Fakinah menyertai banyak peperangan di pelbagai daerah di Aceh bersama pasukan perangnya. Bukan itu sahaja, beliau juga telah terlibat dalam Perang Aceh selama sepuluh tahun dan menyertai peperangan bersama dengan Sultan Muhammad Daud, Tuanku Hasyim Bangta Muda, dan Teungku Muhammad Saman Tiro.

Pada 21 Mei 1910, beliau telah bersara dari peperangan lalu pulang ke tempat asalnya, tetapi bukan terus pencen. Beliau telah membuka semula sekolah agama milik bapanya dan daripada sini jugalah beliau memartabatkan hak kaum wanita.

Institut perguruan agama untuk wanita berjaya didirikan oleh Teungku Fakinah pada tahun 1911, hasil daripada bantuan dan wang. Institut itu merupakan satu-satunya pusat pendidikan Islam yang dipimpin perempuan. Ahli ilmunya bukan sahaja dari golongan remaja, tapi juga perempuan lanjut usia yang pernah menyertai perang.

Memperjuangkan ilmu Islam dan hak wanita dalam satu masa, hebat! Imej dari knowyourmeme.

Kejayaan beliau dalam memartabatkan pembelajaran agama dalam kaum wanita telah membawanya ke  Makkah pada tahun 1918 dan menetap di situ seketika untuk mendalami ilmu agama selama tiga tahun selepas selesai menunaikan ibadah haji.

Selepas pulang ke Indonesia, perjuangan itu masih diteruskan olehnya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1938. Institutnya masih wujud lagi di Indonesia tetapi ditukar namanya kepada Yayasan Pendidikan Agama Islam Hadjah Fakinah.

3. Syaikhah Khairiyah Hasyim: Memperjuangkan hak wanita Islam sehingga ke Makkah

Inilah wajah Nyai Khairiyah. Imej dari Laduni.

Syaikhah Khairiyah Hasyim atau lebih dikenali sebagai “Nyai Khairiyah” merupakan orang Nusantara yang memperjuangan hak wanita oleh orang Nusantara yang meluas sehingga ke luar negara. Beliau dilahirkan pada tahun 1906 di Tebuireng, Jawa Timur dan merupakan anak kedua kepada Kiai Hasyim Asy’ari  dan Nyai Nafiqah.

Nyai Khairiyah telah berkahwin dengan seorang ulama iaitu Ma’shum ‘Ali dan di sinilah bermulanya perjuangan beliau dalam memartabatkan ilmu agama. Beliau bersama dengan suaminya menubuhkan pusat ilmu di daerah Seblak yang dikhaskan untuk kaum wanita sahaja. Namun, selepas beberapa tahun pusat ilmu ini dibuka, suaminya meninggal dunia.

“Sewaktu hidup bersama suaminya, Kiai Haji M.Makshum bin Ali, pengarang kitab Amtsilatu Tasrifiyah pernah bersama mendirikan pesantren Seblak, dan memimpin pesantren tersebut selepas di tinggal suaminya, ‘wafat’ kurang lebih lima tahun”- Ahmad Faozan, Penulis, dipetik dari Tebuireng Online.

Tempoh Nyai Khairiyah menjadi seorang janda tidak begitu lama kerana selepas beberapa tahun kematian suaminya, beliau telah berkahwin dengan Kiai Muhaimin pada tahun 1938. Perkahwinan beliau dikurniakan rezeki yang luas kerana suaminya telah membawa beliau ke Makkah dan menetap di situ untuk tempoh yang panjang.

Sewaktu di Makkah, beliau telah menubuhkan sebuah madarasah yang diberi nama “Madrasah Lil Banat“. Tujuan penubuhan madrasah ini juga untuk memperluaskan ilmu agama kepada kaum wanita. Beliau giat menjalankan kegiatan ilmu agama di Makkah sehingga suaminya meninggal dunia pada tahun 1946.

Nyai Khairiyah telah pulang ke Indonesia setelah beberapa tahun kematian suaminya dan masih meneruskan perjuangan ilmu agamanya atas permintaan Presiden Indonesia ketika itu iaitu Soekarno. Beliau membuka semula pusat ilmunya di daerah Seblak dan menjalankan kegiatan Majlis Ta’lim sehingga akhir hayatnya.

Jasa beliau pernah dibukukan. Imej dari Penerbit Global Press.

4. Syarifah Aminah binti Nuri al-Banjari: Memperluaskan ilmu Islam dan hak wanita melalui penubuhan universiti

Ini merupakan salah satu cawangan universiti beliau. Imej dari republika.

Syarifah Aminah binti Nuri al-Banjari atau nama panggilannya “Nyai Aminah” merupakan wanita Nusantara yang pertama menubuhkan universiti untuk memperjuangkan ilmu Islam dan hak wanita. Beliau merupakan isteri kepada ulama Nusantara yang tersohor iaitu Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.

Nama universiti tersebut ialah Jami’ah al-Khairiyah,  diambil sempena nama ulama wanita Nusantara yang telah kami ceritakan di atas, iaitu Syaikhah Khairiyah Hasyim. Universiti ini ditubuhkan khas untuk wanita yang tinggal di Makkah.

Sebelum penubuhan Jami’ah al-Khairiyah, beliau telah mengasaskan sebuah madrasah khusus untuk wanita di Mekah yang dinamakan sebagai Kuttabul Banaat pada tahun 1942. Madarasah ini juga bertujuan untuk memperjuangkan pengajian ilmu agama dalam kalangan wanita.

Kalau korang nak tahu, Jami’ah al-Khairiyah atau nama lainnya Jamiatul Khair merupakan pusat pendidikan islam yang tertua di Jakarta sebelum Nyai Aminah menubuhkan cawangan untuk wanita sahaja. Dibina pada tahun 1901 yang diasaskan oleh ulama Arab Hadramaut.

Ulama wanita yang jarang didendangkan tentang perjuangannya

Kalau korang fikir balik, sebenarnya golongan wanita mempunyai hati yang besar dalam memperjuangkan ilmu-ilmu Islam seperti Tassawuf, Tassawur, Tauhid, Usul fiqh dan sebagainya. Namun, kita jarang dengar nama-nama mereka kerana sering menjadi bayang-bayang dalam kaum lelaki.

Bukan itu sahaja, perempuan juga sering kali menghadapi stereotaip gender dalam konteks budaya seperti perempuan harus bersifat pasif, tidak perlu bersaing dan menjadi suri rumah sahaja. Sebenarnya stereotaip sebegini hanya sesuai untuk orang yang mempunyai akal yang cetek. Jadi, hentikan stereotaip sebegini supaya wanita lebih berdaya saing dan boleh memberikan sumbangan kepada agama mahupun kaum lelaki dalam memperluaskan empayar Islam.

Kita ada ramai tokoh-tokoh wanita yang telah menyumbang kepada negara

Antara tokoh Nusantara lain yang kita turut perlu beri perhatian

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 14 Ogos 2020