Jenayah & Undang-undang

Isu Buku ‘Gay Is Ok! A Christian Perspective’, ini apa korang kena tahu

Korang pernah dengar pasal buku ‘Gay Is Ok! A Christian Perspective’? Buku kontroversi yang diterbitkan pada September 2013 masih menjadi satu pertikaian sampai sekarang oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Sembilan, Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Diorang juga meminta untuk mengharamkan dan membuat perintah larangan ke atas buku ‘Gay Is Ok’. Antara sebabnya —  seakan-akan mencabar agama Islam yang merupakan agama Persekutuan negara serta akan mengubah persepsi rakyat Malaysia.

Gay Is Ok! A Christian Perspecitve: Ngeo Boon Lin: 9789832344193: Amazon.com: Books

Buku GAY IS OK! Imej dari Amazon

Penulis buku tersebut membela diri dengan mengatakan sepanjang buku “Gay Is Ok” diterbitkan dari tahun 2013, tak ada isu moral atau akidah rakyat Malaysia yang terpesong. Tanpa diberi peluang untuk menjelaskan dan bukunya diharamkan serta-merta, penerbit dan penulis membuat keputusan untuk mengheret kerajaan ke mahkamah.

Siapakah penulis di sebalik buku yang penuh kontroversi ini?

Dr. Ngeo Boon Lin — penulis buku “Gay Is Ok! A Christian Perspective” merupakan seorang rakyat Malaysia keturunan Cina dan seorang paderi gay yang sudah berkahwin di Amerika Syarikat pada tahun 2011. Selain itu, dia juga merupakan seorang wartawan yang pernah memenangi beberapa anugerah, malah merupakan calon kedoktoran dalam sosiologi serta merupakan seorang paderi yang aktif di MCC New York.

Boon Lin Ngeo | Hunter College

Ni lah Ngeo Boon Lin. Imej dari hunter.cuny.edu

Sejak berumur 12 tahun, Ngeo Boon Lin mempunyai aspirasi untuk menjadi seorang paderi walaupun dia merasakan dirinya heteroseksual. Walaupun begitu, dia suka menyanyikan lagu-lagu Kristian serta berkhidmat kepada Tuhan di gereja. Pada tahun 2007, harapan Ngeo Boon Lin untuk menjadi seorang paderi tercapai, malah percaya jadi gay adalah berdosa dan berdoa supaya Tuhan menjadikan dia ‘normal’ satu hari nanti.

No photo description available.

Ngeo Boon Lin di MCC New York and The Fellowship of Affirming Ministries (TFAM). Imej dari Facebook

Kalau korang nak tahu, semasa Ngeo Boon Lin berumur 26 tahun, dia pernah berkahwin dengan seorang wanita dan berpindah ke Amerika Syarikat. Akan tetapi, perkahwinan tersebut tak lama sebab dia tak boleh ubah naluri songsang dalam dirinya. Selepas beberapa tahun, Ngeo Boon Lin berkahwin dengan pilihan hati.

Reverend Ouyang Wen Feng (L) and his par : News Photo

Ngeo Boon Lin dan Phineas Newborn III. Imej dari gettyimages

Berita perkahwinan gay antara Ngeo Boon Lin dan Phineas Newborn III mengundang kecaman dari pelbagai lapisan masyarakat Islam, Hindu dan Buddha yang meluahkan bantahan serta kemarahan terhadap tindakan luar tabii. Bukan itu sahaja, Ngeo Boon Lin dan Phineas Newborn III membuat majlis resepsi perkahwinan di Kuala Lumpur.

Tujuan Ngeo Boon Lin menulis buku “Gay Is Ok!” untuk memberi inspirasi kepada orang ramai dan mempertahankan hak diri. Biarpun begitu, inspirasi Ngeo Boon Lin disalah anggap dan menerima kritikan yang cukup hebat daripada…

Kementerian Dalam Negeri yang menggangap buku tersebut menormalisasikan LGBT di Malaysia

Pada tahun 2020, Kementerian Dalam Negeri, mengisytiharkan perintah larangan terhadap buku “Gay is OK! A Christian Perspective” dan tak membenarkan buku ni dijual di mana-mana. Tambahan pula, ada yang berpendapat buku ni macam virus yang cepat merebak untuk merosakkan akhlak orang Islam.

Home Ministry committed in enhancing PDRM's strength

Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Imej dari theborneopost

“Walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum.” — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dipetik dari mykmu.net.


Penerbit Gerakbudaya Enterprise dan penulis buku Ngeo Boon Lin juga memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan perintah larangan pada tahun yang sama.

“Responden pertama (menteri) telah gagal memberikan sebarang alasan mengenai bagaimana buku tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin memudaratkan kemoralan awam dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.” —  Ngeo Boon Lin, dipetik dari malaysiakini

 

“Responden pertama telah gagal untuk mengenal pasti bahagian mana dari buku tersebut yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin memudaratkan kemoralan dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.” — tambah Ngeo Boon Lin, dipetik dari malaysiakini

Pada tahun 2022, pihak Mahkamah Tinggi menilai dari sudut objektif dan memberi pendapat yang buku ‘Gay is Ok!” tak ada unsur merosakkan moral, cuma ada pandangan penulis sebagai seorang penganut Kristian. Selain itu, Kementerian Dalam Negeri tak dapat bagi alasan dan bukti yang kukuh sepanjang pengharaman buku tersebut.

Mahkamah sendiri kata tak masuk akal. Imej dari Utusan

Jadi, selepas dua tahun buku ‘Gay Is Ok! A Christian Perspective’ diharamkan, akhirnya penerbitan, penjualan dan edaran dijalankan semula di Malaysia. Walaupun pihak mahkamah dah membuat keputusan tetapi ada pihak lain meminta Kementerian Dalam Negeri membawa rayuan ke Mahkamah Rayuan disebabkan…

Tajuk buku yang menimbulkan kerisauan dan boleh merosakkan akidah

Beberapa laporan polis dibuat terhadap penulis dan penerbit buku ‘Gay Is Ok!’ sebab dikatakan buku ni boleh mengancam akidah serta moral seseorang. Ada yang berpendapat, kalau tak diharamkan semula mungkin boleh menjadi bahan bacaan bebas.

Jangan report salah buku sudahlah. Imej dari imgflip.com

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berharap Kementerian Dalam Negeri dapat membawa rayuan ke Mahkamah Rayuan berkaitan buku ‘Gay Is OK! A Christian Perspective’ yang akan dijual semula di Malaysia.

“Tidak perlu untuk kita normalisasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia yang agama rasminya Islam, bermasyarakat ketimuran dan penuh kesopanan,” — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, dipetik dari sinarharian.

Selain itu, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin juga menyokong tindakan tersebut sebab mungkin lebih menggalakkan perbuatan yang tak bermoral, malah memberi gambaran yang berbeza pasal isu liwat. Penerbitan buku pasal hubungan songsang umpama mencabar negara dan agama.

“Jika dilihat dari sudut peruntukkan undang-undang sedia ada berkenaan aktiviti liwat adalah suatu perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dipertuduhkan dan dihukum oleh Mahkamah, tidak kira sama ada liwat itu dilakukan secara sukarela atau dengan paksaan. Dengan kata lain adalah ‘tidak okay’ mengadakan hubungan sejenis di negara ini,” — Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin. Dipetik dari suara.tv.

Datuk Mustaffa Idrus. Imej dari rentas7

Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) memberi pandangan buku tersebut tak patut berada dalam negara ni walaupun ia ditulis mengikut perspektif Kristian. Datuk Mustaffa Idrus berharap Kementerian Dalam Negeri dapat mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Menggunakan alasan perbezaan agama untuk benarkan amalan gay diterima di negara ini satu perkara yang bertentangan dengan normalisasi manusia. Malaysia bukan negara liberal. Sebarang bentuk usaha untuk menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam di negara ini akan kami umat Islam tentang. Jika mahu amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diterima, langkah mayat kami dahulu.” — Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus. Dipetik dari rentas7.

Pandangan Islam mengenai LGBT

Masalah kecelaruan seksual dan jantina yang merujuk kepada komuniti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) bukan lah satu isu yang baru, malah permasalahan homoseksual sudah lama terjadi dalam kalangan umat Nabi Luth AS. Bagi umat Islam, isu ni adalah isu akidah yang sangat serius serta melawan hukum.

Gambaran kaum Sodom. Imej dari merdeka.com

Firman Allah dalam Surah al-A’raaf, ayat 80 hingga 84 yang bermaksud:

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu.” – Ayat 80

 

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” – Ayat 81

 

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” – Ayat 82

 

“Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.” – Ayat 83

 

“Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.” – Ayat 84

Mufti Menk (seorang ketua jabatan fatwa) juga memberikan pandangan mengenai LGBT dalam Islam, golongan ni bebas tinggal di mana-mana negara dan kita tetap menghormati hak mereka sebagai warganegara negara. Akan tetapi, kita juga ada hak serta prinsip untuk tak bersetuju dengan cara mereka.

Korang boleh tengok video ni:

Pada pendapat korang patut ke buku ni kekal diharamkan?

To Top

Send this to a friend