Agama

Neil Armstrong pernah menulis surat untuk Malaysia & Indonesia

Siapa kenal Neil Armstrong? Kalau tak kenal bermakna perlu tingkatkan lagi ilmu pengetahuan am korang. Dia ialah seorang angkasawan yang berjaya menjejakkan kaki ke bulan bersama Buzz Aldrin dan Michael Collins dengan menaiki kapal Apollo 11.

Momen terindah itu pada 20 Julai 1969 telah menjadi satu sejarah terhebat bagi seluruh penduduk dunia. Masa di bulan tu, dia ada cakap…

“Itu satu langkah kecil bagi seorang lelaki, satu lompatan besar bagi umat manusia.” – Neil Armstrong.

 

Mereka di bulan. GIF dari giphy.

Tapi tu la, sejarah sebegini pun dituduh palsu oleh ramai orang kerana yela, macam mana diorang boleh rakam video Neil Armstrong di bulan. Maka, timbul la pelbagai konspirasi bagaimana NASA menipu orang. Haaa… bukan tu je, Neil Armstrong ni pun pernah dikatakan…

Memeluk Islam selepas mendengar azan di bulan

Pernah tak masa awal naiknya media sosial seperti Facebook, korang pernah terbaca atau terima satu surat berantai daripada kawan-kawan, lepastu diorang suruh share kalau tak nanti korang akan dapat balasan atau kematian. Contohnya yang ni…

Siapa dulu percaya benda camni? Imej dari Afiq Principle.

Selalunya surat berantai ni akan mengandungi fakta-fakta palsu seperti planet marikh terbalik, bermimpi jumpa Rasulullah S.A.W, bulan akan mengelilingi kaabah adalah waktu mustajab untuk berdoa dan banyak lagi.

Pernah kan? Jangan nak tipu la kami dulu pernah juga kena macam ni, cuak juga la mula-mula tu, tapi waktu tu JAKIM dah keluar kenyataan pasal surat berantai ni. Jadi, takde la nak rasa takut atau gelabah sangat.

Akan tetapi, ada satu lagi surat berantai atau fakta palsu yang agak terkenal juga la masa dulu-dulu. Ye benar, korang pun mungkin dah tahu pasal tu, iaitu Neil Armstrong dikatakan telah memeluk Islam selepas mendengar azan di bulan.

Yang Tahu Je Tahu #YTJT. Imej dari Public Secret.

Info pelik ni sebenarnya bukan tersebar di Malaysia je tau, malah Indonesia dan Arab pun ramai juga percaya. Isu ni sebenarnya bukanlah kecil, tapi ia sangat besar sampaikan banyak kali Neil Armstrong ni mendapat soalan-soalan berbunyi ‘adakah awak seorang muslim?‘.


Kalau dekat Arab info palsu macam ni selalu keluar di internet:

“Apabila Louis Armstrong dan syarikat berjalan di atas bulan, mereka mendengar bunyi dalam bahasa pelik yang tidak mereka fahami. Selepas kembali ke bumi, barulah mereka sedar bahawa itu sebenarnya Ezan!”

“Armstrong kedengaran berkata: ‘Saya telah melihat beberapa masjid dengan sistem pembesar suara yang kuat, tetapi wow, seseorang di sini pasti menghidupkan kuasa pada hari itu!'”

Nampak tak? Info di atas ni sudah terang lagi bersuluh dah salah, Louis Armstrong dan Neil Arsmstrong ialah dua individu berbeza. Seorang angkasawan manakala seorang lai penyanyi Jazz.

Neil Armstrong ni banyak kali tau dijemput majlis-majlis agama Islam di seluruh dunia. Persoalan itu telah akhirnya telah dijawab oleh Neil Armstrong sendiri melalui pengantara iaitu Jabatan Negara Amerika Syarikat dengan menghantar surat.

Surat tu bertulis:

Kepada: Encik Phil Parshall, Pengarah, Pusat Penyelidikan Asia, International Christian Fellowship, Livonia, Michigan

Encik Parshall yang dihormati:

Encik Armstrong telah meminta saya untuk membalas surat anda dan mengucapkan terima kasih atas ihsan pertanyaan anda. Laporan-laporan tentang memeluk Islam dan mendengar suara Adzan di bulan dan di tempat lain semuanya tidak benar.

Beberapa penerbitan di Malaysia, Indonesia dan negara lain telah menerbitkan laporan ini tanpa pengesahan. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin disebabkan oleh kewartawanan yang tidak cekap ini.

Selepas itu, Encik Armstrong bersetuju untuk mengambil bahagian dalam temu bual telefon, mengulangi reaksinya terhadap cerita-cerita ini. Saya melampirkan salinan komunikasi Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum dan selepas temu duga itu.

Yang benar,

Vivian White,

Pembantu Pentadbiran. (Dipetik dari: Beliefnet)

Dalam lampiran dari Jabatan Negara Amerika Syarikat:

DARIPADA: Setiausaha Negara, Washington, DC

KEPADA: Semua jawatan diplomatik dan konsular

PERKARA: Dakwaan pengislaman Neil Armstrong

1. Bekas Angkasawan Neil Armstrong, kini dalam perniagaan persendirian, telah menjadi subjek laporan akhbar di Mesir, Malaysia dan Indonesia (dan mungkin di tempat lain) yang mendakwa dia memeluk Islam semasa pendaratannya di bulan pada tahun 1969. Akibat laporan sedemikian , Armstrong telah menerima komunikasi daripada individu dan pertubuhan agama dan pemakluman daripada sekurang-kurangnya satu kerajaan tentang kemungkinan penyertaannya dalam aktiviti Islam.

2. Sambil menekankan keinginannya yang kuat untuk tidak menyinggung perasaan sesiapa atau menunjukkan tidak menghormati mana-mana agama, Armstrong telah menasihatkan Jabatan Negara bahawa laporan penukarannya kepada Islam adalah tidak tepat.

3. Jika anda menerima pertanyaan mengenai perkara ini, Armstrong meminta mereka dengan sopan tetapi tegas memaklumkan pihak yang bertanya bahawa dia belum memeluk Islam dan tidak mempunyai rancangan semasa atau keinginan untuk melancong ke luar negara untuk menyertai aktiviti keagamaan Islam.

(Dipetik dari: Beliefnet)

Dia juga ada membalas surat dari seorang presiden dari Islamic Centre di India bernama Wahududdin Khan:

Imej dari Reddit.

Info palsu yang lain selain Neil Armstrong, ada juga yang kelakar!

Selain daripada kisah Neil Armstrong ni, ada juga individu lain yang dikatakan telah memeluk Islam tapi tak pun. Contohnya, Undertaker (WWE Superstars) yang dikatakan telah memeluk Islam. Dia dikatakan telah menukar namanya kepada ‘Ismaeel Taker’ dan viral juga gambar dia bersalaman dengan seorang Ulama dalam kapal terbang.

Haaa…ni la gambar Undertaker bersalaman dengan ulama tu. Imej dari Articles About Islam.

Imej dari Bersama Islam.

Ada seorang lagi, Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, dia dikatakan telah memeluk Islam serta menukar namanya kepada Mark Abu bakar.

Pengajaran yang kita boleh ambil di sini ialah jangan sebar berita palsu. Jika kita menerima sesuatu info atau berita pastikan selidik dahulu sama ada ia benar atau palsu.

Allah S.W.T berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” – Surah Al-Hujarat, ayat 6.

To Top

Send this to a friend