Mengimbas insiden Lahad Datu – Kenapa Kesultanan Sulu rasa kawasan di Sabah dia yang punya?

*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 5 Julai 2017*

Semalam, Kerajaan Malaysia telah diarahkan untuk membayar jumlah wang sebanyak RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu yang terakhir. Ini kerana berpunca daripada pelanggaran perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.
___
Sebelum ni SOSCILi ada tuliskan tentang kejadian-kejadian besar yang mencatatkan sejarah hitam di negara kita, antaranya adalah peristiwa 13 Mei (yang diceritakan berdasarkan pengalaman sebenar orang yang kami interview), peristiwa hartal kat Penang, rusuhan-rusuhan kaum, serta kisah Malaysia yang diisytiharkan darurat selama 12 tahun.

Klik sini untuk baca pasal serangan komunis di Malaysia.

Tetapi, tanggal 11 Febuari 2013, berlakunya satu peristiwa besar yang dihadapi Malaysia setelah lebih lima dekad kita merdeka. Ianya berlaku bila Malaysia diserang satu kumpulan yang nak menjajah Lahad Datu, Utara Sabah. Kali ini objektif mereka bukan datang dari sebuah ideologi yang baru tapi merupakan satu isu yang telah lama menghantui negara kita sejak 1963 lagi sampai melibatkan beberapa buah negara.

Jadi untuk memahami insiden Lahad Datu ni, perkara yang paling penting kita kena tahu adalah kenapa kumpulan ni rasa berhak terhadap Sabah? Semuanya bermula apabila….

Sultan Brunei nak bagi Sabah kepada Kesultanan Sulu, tapi tarik balik janji

Sebelum dijajah oleh British, Sabah dimiliki oleh Brunei sejak abad ke-14 lagi. Pada abad ke-17, keluarga diraja Brunei telah terlibat dengan pergelutan kuasa Sultan ke-13 dan Sultan ke-14. Dalam perang saudara ini, Sultan Brunei ke-14 iaitu Sultan Muhyidin telah meminta pertolongan Kesultanan Sulu dengan menjanjikan Sabah sebagai habuan.

Jadi apa yang membuatkan Sultan Muhydin ni mungkir janji? Menurut petikan yang ditulis di Brunei Times, waktu pertempuran kat Pulau Cermin, tentera Sulu sepatutnya membuat serangan, tapi mereka menarik diri sebab takut. Kesultanan Brunei pun simpan balik kawasan ini di bawah pemerintahan mereka, tapi Kesultanan Sulu terus membuat tuntutan.

Sultan Sulu, gambar dari CNN.

Mengikut dokumen sejarah yang lain pulak, Sultan Brunei memang dah bagi kawasan tersebut kepada Kesultanan Sulu. Tapi kemudiannya Kesultanan Sulu bagi tanah tu kepada sultan lain yang kemudiannya diberi pulak ke Belanda, yang kemudiannya diwariskan oleh Indonesia. Memang pening bila baca banyak sangat pihak yang terlibat.

Sudahnya, tanah yang tinggal, sama ada telah dijual atau disewakan kepada sebuah syarikat British. Yang pasti, syarikat British memang bagi pampasan kepada Kesultanan Sulu. Selepas merdeka, kerajaan Malaysia pulak yang sambung bayar pampasan tersebut, cuma kita tak menganggap yang bayaran itu adalah ‘sewa’.

Surat rasmi dari kerajaan Malaysia kepada keturunan Ketuanan Sulu. Gambar dari wikimedia.

Kesultanan Sulu nak rampas Sabah sebab mereka dah miskin

Seperti yang kita nampak tadi, tuntutan terhadap kawasan di Sabah ni bukan melibatkan Kesultanan Sulu je, tapi juga dengan kerajaan Filipina dan Indonesia.

Pada tahun 1963, presiden Filipina Diosdado P. Macapagal menentang penubuhan Malaysia kerana menuntut pemilikan Sabah, sampaikan mereka putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Pada tahun 2001 pulak, Filipina menawarkan diri untuk jadi orang tengah antara perselisihan Indonesia dan Malaysia, tetapi ditolak oleh Badan Kehakiman Antarabangsa.

Tahun lepas, tiba-tiba Presiden Filipina Duterte kata yang dia backup Kesultanan Sulu untuk menuntut hak kat Sabah. Tapi PM Najib bidas balik dengan menasihatkan Duterte supaya selesaikan masalah pengganas MILF dan Abu Sayyaf kat negara mereka dulu. Tapi ada yang mengatakan kenyataan Duterte ni sebenarnya untuk meraih sokongan politik di kalangan rakyat dia je sebenarnya.

Sultan Jamalul Kiram III yang membangkitkan semangat di kalangan pengikutnya untuk rampas Sabah. Gambar dari Yahoo News.

Menurut satu pendapat di Free Malaysia Today, keadaan kewangan Kesultanan Sulu yang makin terdesak telah memaksa mereka untuk menumpukan perhatian kepada Sabah. Mulanya mereka mintak agar kadar ‘sewa’ kita dinaikkan, tapi kerajaan Malaysia tak mengaku yang kita membayar ‘sewa’. Sebab itulah orang Sulu merancang untuk menawan Lahad Datu dengan harapan kita akan tunduk pada permintaan mereka.

Kemasukan penceroboh dibongkar oleh nelayan kampung

Pencerobohan bermula pada 9 Febuari tapi mereka bersembunyi sampailah 11 Febuari apabila ditemui oleh seorang nelayan yang melaporkannya kepada pihak berkuasa. Lepas terdedah, penceroboh ni berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil.

“Okay gang, tiba masa untuk kita berpecah. Kantoi sudah…” Gambar dari dinmerican.wordpress.com

Masa mula-mula tu takde pertempuran atau pertumpahan darah lagi, malah kerajaan Malaysia siap hantar orang untuk berbincang dengan ketua Agbimuddin Kiram, adik kepada ‘Sultan Sulu’ (sebenarnya takde bukti yang kukuh untuk mengatakan bahawa dia Sultan yang sebenar).

“…Malaysia bukan sahaja berbincang dengan Agbimuddin Kiram, malah menghubungi Sultan Sulu tersebut. Tapi Sultan Sulu tu kata hanya adik dia sahaja boleh mengarahkan kumpulan penceroboh.” – Dipetik oleh The Star.

Kumpulan yang mahu dikenali sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu menegaskan bahawa mereka mahu mengambil semula Sabah dan berkeras untuk tinggal kat situ, tak nak pulang ke tempat asal.

Kerajaan Filipina telah menghulurkan bantuan dalam perbincangan ini, siap hantar sebuah kapal untuk angkut semua penceroboh  balik semula ke Filipina.

Kerajaan Malaysia tak bagi muka apabila darah rakyat ditumpahkan

Tapi segala perbincangan yang diadakan tak berhasil apabila pertumpahan darah pertama tercetus pada 1 Mac 2013 di sebuah sekatan jalan raya di Kampung Tanduo. Kat situ dua anggota polis Malaysia gugur dan tiga lagi tercedera manakala 12 orang penceroboh telah mati.

Gambar dari rojakdaily.com

Angkatan Tentera Malaysia menghantar 7 batalion askar untuk membantu pihak polis mengawal keadaan. Tanggal 5 Mac 2013 pula, laporan media masa telah menyatakan kelibat kereta kebal dan helikopter tentera Malaysia berkeliaran di Lahad Datu.

Bila anggota keselamatan kita terkorban, PM Najib telah memberi kuasa sepenuhnya kepada pihak keselamatan untuk memastikan pencerobohan di Lahad Datu diberhentikan.

“Saya berasa amat sedih sebab ini lah yang kita cuba elakkan, iaitu pertempuran darah.

Pasukan keselamatan kita diserang dan terbunuh. Rakyat Malaysia, terutama sekali yang berada di Sabah rasa terancam dengan keselamatan mereka.” – PM Najib Razak, dipetik dari CNN.

Operasi di Lahad Datu yang dikenali sebagai Ops Daulat ni telah menyebabkan pihak keselamatan melancarkan serangan mortar, rondaan, sekatan jalan raya, dan pengisytiharan beberapa kawasan zon merah iaitu kawasan bahaya di mana penduduk tempatan dipindahkan ke dewan dan sekolah. Manakala gabungan kuasa pihak tentera dan polis telah membabitkan beberapa jet pejuang F-18, Hawk, helikopter Augusta, dan kereta kebal Adnan.

Jet pejuang F-18 digunakan untuk menyerang pihak penceroboh.

Selain daripada itu, kerajaan telah menggesa penubuhan ESSCOM iaitu sebuah pasukan khas yang membabitkan angkatan tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) dan penjawat awam yang berganding bahu bagi menaik taraf keselamatan di kawasan Utara Sabah.

Untuk tidak menyinggung perasaan suku kaum Sulu yang juga ada di kalangan rakyat Malaysia, PM Najib telah berjumpa dengan mereka dan meyakinkan bahawa kerajaan tidak mempertikaikan kesetiaan mereka. Akhirnya pada 24 Mac 2013, kesemua anggota penceroboh telah mati atau ditangkap oleh pihak berkuasa.

Kecekapan pihak keselamatan negara telah mengurangkan pertumpahan darah

Berdasarkan laporan kerajaan, seramai 200 orang di pihak Kesultanan Sulu telah terlibat dengan pencerobohan di Lahad Datu di mana mereka telah mendesak kerajaan Malaysia untuk memberi semula Sabah dan membayar wang ganti rugi sebanyak RM28 billion yang dikira semenjak penyertaan Sabah-Malaysia pada tahun 1963.

Korang nak kami bayar berapa?! Imej dari giphy.com

“Pencerobohan Lahad Datu ini bukanlah insiden pertama, tapi ia merupakan insiden yang paling berdarah.” – Jasmine Jawhar & Kennimrod Sariburaja, dipetik dari laporan Kementerian Luar Negeri. 

Pada peringkat akhir Ops Daulat, 27 orang Filipina dan 3 orang Malaysia yang merupakan ahli kumpulan penceroboh telah dibawa masuk ke mahkamah untuk perbicaraan. Mereka didakwa atas kesalahan melakukan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi ahli pengganas, dan menghasut orang ramai untuk menyertai kumpulan pengganas.

Antara penceroboh yang di hadap ke mahkamah. Gambar dari The Star.

Sembilan dari tertuduh tersebut dikenakan hukuman penjara seumur hidup, beberapa yang lain dikenakan penjara antara 15-18 tahun dan kalau diikutkan buku undang-undang, tertuduh juga boleh dikenakan  gantung sampai mati.

Berikut adalah perwira-perwira negara yang telah gugur dalam insiden pencerebohan Lahad Datu :

  • PDRM Inspektor Zulkifli bin Mamat
  • PDRM Korporal Sabaruddin bin Daud
  • PDRM Superintendant Ibrahim bin Lebar
  • PDRM ASP Michael a/k Padel
  • PDRM Detektif Sarjan Baharin bin Hamit
  • PDRM Sarjan Abdul Aziz bin Sarikon
  • PDRM Lans Korporal Mohd Azrul bin Tukiran
  • PDRM Support Korporal Salam bin Togiran
  • ATM Prebet Ahmad Hurairah bin Ismail
  • ATM Prebet Ahmad Farhan bin Ruslan

Kesemua anggota keselamatan negara yang tergugur ni telah dinaikkan pangkat dan diberi Pingat Kedaulatan Negara.

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance