MAGERAN dibentuk selepas peristiwa 13 Mei? 4 peristiwa berdarah yang pernah berlaku sebelumnya

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 27 Januari 2017*

Dengan pertemuan Agong dan pemimpin parti politik sehari dua ni, nampaknya Tun Mahathir juga telah mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika menghadap YDPA.

Cadangan penubuhan ini dikatakan mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan kesan penularan pandemik COVID-19 yang dihadapi negara waktu ini. Malah, Tun Mahathir juga memetik yang penubuhan MAGERAN pada 1969 yang diketuai Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada tahun tersebut membuahkan kejayaan.

Tapi, tahukah korang yang wujudnya 4 peristiwa berdarah yang pernah berlaku sebelum 13 Mei 1969?

_________________________________________________________________________________

Setiap dari kita yang pernah ke sekolah dulu, mesti terkenang dengan ikrar “Maka kami rakyat Malaysia…” yang kita selalu laungkan kat perhimpunan. Walaupun hampir setiap minggu kita laungkan ikrar itu, tapi masih lagi ramai di antara kita yang tak faham apa itu Rukun Negara.

Rukun negara secara amnya adalah prinsip-prinsip asas untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang baik, harmoni, berpadu dan stabil. Kerana itu jugaklah, sekumpulan aktivis baru-baru ni berkempen untuk menjadikan Rukun Negara sebagai Mukadimah (pendahuluan) Perlembagaan Persekutuan. 

Rukun Negara yang kita selalu nampak kat belakang buku latihan sekolah. Imej dari sultanmuzaffar.blogspot

Oleh itu, kali ini mari kita menghayati semula Rukun Negara dan belajar mengapa prinsip-prinsip ini digubal dan diikrarkan. Sejarahnya bermula apabila…

Bukan satu! Tapi banyak rusuhan kaum berlaku sebelum Rukun Negara dibentuk

Seperti mana yang kita tahu dan belajar, Rukun Negara ni dibentuk selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969. Disebabkan kerana perselisihan, pergaduhan dan rusuhan kaum, Malaysia yang dihuni oleh masyarakat yang berbilang kaum ini telah terancam keamanannya.

Walapun begitu, menurut Laporan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebenarnya Tanah Melayu (selepas itu Malaysia) telah menghadapi beberapa perselisihan kaum. Perselisihan ni kadang-kadang menjadi serius hingga menyebabkan pergaduhan dan rusuhan. Antaranya adalah:

1. Rusuhan Pulau Pinang (1957)

Peristiwa ini terjadi pada 2 Januari 1957, beberapa bulan sebelum Tanah Melayu merdeka. Peristiwa ini bermula bila pihak British memberikan status Bandar Raya pada George Town dan perkara ni dapat banyak reaksi dari pelbagai pihak.

Bila diadakan sambutan menyambut pegiktirafan ini, UMNO tak datang atas sebab-sebab politik. Jadinya, perarakan yang dijalankan tu hanya melibatkan orang Cina dan takde orang Melayu yang sertainya. Tapi sebenarnya dah ada khabar angin sebelum tu yang kata orang Melayu akan cuba menyekat dan suraikan sambutan itu.

George Town diiktiraf sebagai Bandar Raya pertama di Tanah Melayu. Imej asal dari penang-discovery.com

Masalah mula timbul bila kereta polis yang escort kat bahagian depan perarakan buat u-turn bila nak buat siasatan kat tempat lain. Tapi diorang yang berarak tu dah salah faham dengan tindakan polis tu, dengan ingat yang orang Melayu dah serang dari belakang. Maka berlakulah suasana panik, huru-hara dan rusuhan.

Seorang inspektor polis berbangsa Cina dah cedera kat kepala, bila dia diserang guna kapak oleh sekumpulan perusuh Cina. Ketika tu dia cuba mempertahankan beberapa orang Melayu yang dikepung. Hasilnya dia terpaksa lepaskan tembakan sehingga sebabkan seorang cedera dan seorang mati. Kesan dari peristiwa itu, dilaporkan 4 terbunuh dan 48 cedera. (rujuk Fail PDF)

2. Rusuhan Pangkor (1959)

Menurut Laporan MAGERAN, konflik antara orang Melayu dan Cina di Pulau Pangkor memang dah lama ada. Terutamanya melibatkan samseng Cina dan samseng Melayu. Masalah dan konflik bermula bila berlakunya pergaduhan antara seorang Melayu dan seorang Cina kat Sungai Pinang, Pulau Pangkor.

Pergaduhan tu merebak sampai jadi pergaduhan kaum, tapi keadaan masih terkawal bila polis berjaya patahkan rusuhan. Sehari lepas tu, seorang imam masjid kat situ buat satu mesyuarat dan cadangkan orang Melayu buat kawalan keselamatan. Keadaan tu dah disalah anggap oleh orang Cina sampai buatkan diorang panik dan bawa senjata.

Keadaan Kuala Lumpur masa 13 Mei 1969. Imej dari yiweilim.blogspot

Orang Melayu pun mula panik dan buat perkara yang sama. Hasilnya berlakulah rusuhan yang mengorban kedua-dua pihak. Kerajaan lepas tu ambil tindakan perintah berkurung pada Pulau Pangkor yang mana orang tak boleh keluar atau masuk dari pulau tu.

Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan beberapa orang menteri lain, pun datang melawat Pulau Pangkor. Mereka datang untuk bagi nasihat kat masyarakat kat situ supaya bertenang, supaya dapat kekalkan keamanan dan keharmonian di pulau tersebut. (rujuk Fail PDF)

3. Rusuhan Bukit Mertajam (1964)

Kejadian ni pulak jadi bila berlakunya pergaduhan antara seorang Melayu dan seorang Cina kat pasar Bukit Mertajam. Akibatnya berlakulah pergaduhan antara kumpulan Melayu dan kumpulan Cina kat sana. Akibatnya seorang Melayu dan seorang Cina yang tercedera.

Keadaan bertambah parah bila orang Melayu yang cedera tu meninggal pulak keesokan harinya. Maka terjadilah rusuhan, serang-menyerang dan bakar membakar. Dilaporkan seorang Cina terbunuh dan beberapa lagi cedera.

Sekarang pasar Bukit Mertajam dah aman & takde gaduh-gaduh lagi. Imej asal dari Penang Monthly.

Kerajaan lepas tu ambil tindakan perintah berkurung kat Bukit Mertajam selama 10 hari bermula dari 14 Julai 1964. Laporan katakan yang rusuhan ni takde kaitan dengan mana-mana parti politik, tapi ajen konsi gelap dipercaya bertanggungjawab menakutkan masyarakat untuk kutip wang perlindungan. (rujuk Fail PDF)

4. Rusuhan Pulau Pinang (1967)

Pada Jun 1967, Malaysia dah perkenalkan matawang baru (mula-mula dipanggil sebagai M$ kemudian ringgit) disamping mata wang lama (Malaya & British Borneo Dollar). Maka lepas tu pada November 1967, nilai Pound British turun, jadi mata wang lama pun turun sekali. Tapi matawang Ringgit yang baru tak jatuh.

Keadaan ni dah buatkan rakyat marah, apatah lagi ramai sebenarnya yang hidup dalam kemiskinan. Mengikut Laporan MAGERAN, pihak komunis dah gunakan peluang ni untuk bangkitkan perasaan anti penurunan nilai mata wang, tunjuk perasaan haram dan menghasut rakyat. (Rujuk Fail PDF)

Laporan Berita Harian pada 20 November 1967. Imej dari eresources.nlb

Mereka pilih Pulau Pinang sebab perasaan perkauman senang sangat muncul kat negeri tu. Akibatnya, berlakulah pertempuran antara orang Melayu dan Cina kat negeri itu. Dilaporkan 29 terbunuh dan 200 cedera akibat rusuhan tersebut. (Boleh baca artikel kami tentang cerita penuh rusuhan ni kat sini)

Kat sini kita boleh tengok macam mana kebanyakan rusuhan terjadi akibat salah faham, perasaan tak percaya dan perkauman yang tebal hingga membuatkan bencana yang besar kepada negara dan bangsa.

Kesemua rusuhan ini dianggap sebagai titik permulaan pergaduhan kaum di Tanah Melayu/Malaysia. Pergaduhan ini akhirnya sampai ke kemuncaknya apabila peristiwa 13 Mei 1969 mengambil tempat. Begitulah kisahnya bagaimana salah faham dan sikap perkauman yang tinggi boleh menyebabkan kematian dan hilangnya sifat kemanusiaan.

Selepas 13 Mei, Rukun Negara pun mula dibentuk

Apabila peristiwa 13 Mei berlaku menggegarkan negara, kerajaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pula ditubuhkan untuk mengawal keadaan darurat dan mengembalikan kestabilan negara selepas peristiwa berdarah ini.

Walaupun Perdana Menteri ketika tu adalah Tunku Abdul Rahman, tapi Tun Razak dilantik mengetuai majlis ini. Melalui majlis ini jugak, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dah ditubuhkan pada 1970. Majlis Perundingan Negara ini dianggotai 66 orang ahli yang terdiri dari ahli politik, ahli perniagaan, kakitangan awam, pemimpin-pemimpin agama dan wartawan.

MAGERAN ditubuhkan pada 16 Mei 1969. Imej dari Majlis Keselamatan Negara.

Ahli MAGERAN ketika itu Tun Ghazali Shafie dah cadangkan Majlis Perundingan Negara bentuk satu rukun yang seakan sama dengan Pancasila (Rukun Negara) di Indonesia. Kerana tu jugaklah Rukun Negara dan Pancasila ada banyak persamaan dalam prinsip-prinsipnya.

Hasilnya, Rukun Negara pun dibentuk sebagai prinsip-prinsip yang jadi panduan untuk membina negara dan masyarakat yang bersatu, demokrasi, adil, liberal dan progresif. Akhirnya pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara diisytiharkan pada Hari Kebangsaan Negara.

Prinsip-prinsip Pancasila Indonesia. Imej dari efullama.wordpress

Tunku Abdul Rahman pulak meletakkan jawatan pada  22 September 1970 dan diganti oleh Tun Rzak sebagai Perdana Menteri. Manakala MAGERAN pulak dibubarkan pada 1971, dan Majlis Perundingan Negara secara rasminya tak berfungsi bila parlimen mula bersidang pada 23 Februari 1971.

Tun Ghazali Shafie (ahli MAGERAN) tengah bagi ceramah pasal Rukun Negara. Imej dari Arkib Negara.

Apa maksud setiap prinsip-prinsip Rukun Negara?

Walaupun kita selalu dengar, tahu ataupun baca rukun negara. Tapi ramai jugak di antara kita yang sebenarnya tak berapa faham maksud setiap prinsip yang ada kat Rukun Negara tu. Oleh tu, mari kita kenal maksud sebenar disebalik Rukun Negara yang kita selalu dengar itu:

  • Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan negara ini dibina atas kepercayaan yang kuat kepada Tuhan. Melalui kepercayaan itu, ia menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan.

  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai Ketua Negara. Manakala, sistem beraja juga diamalkan kat setiap negeri dan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri yang tak beraja.

Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri adalah lambang perpaduan rakyat, apatah lagi bila raja-raja tak terlibat dalam politik. Oleh itu, setiap warganegara hendaklah menumpukan taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong. Begitu jugak sama di peringkat negeri.

  • Keluhuran Perlembagaan

Keluhuran boleh bermaksud mulia, kebesaran dan keagungan. Oleh itu, ‘Keluhuran Perlembagaan’ bermaksud ketinggian dan keagungan perlembagaan yang menjadi sumber perundangan tertinggi negara. (Rujuk fail PDF Perlembagaan Persekutuan)

Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada rakyat sebagai warganegara. Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk mempertahan dan memeliharanya dari diganggu gugat.

  • Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan berdasarkan kedaulatan undang-undang. Di mana setiap warganegara sama di sisi undang-undang. Ini termasuklah kebebasan individu, kebebasan beragama dan sebagainya. Bagaimanapun, hak kebebasan itu tak melibatkan hak untuk menggulingkan kerajaan secara keras atau tak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (dua dari kiri) bersama dengan hakim-hakim lain di depan Istana Kehakiman. Imej dari Berita Harian.
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Setiap orang atau kumpulan berhak mengawal hidup mereka masing masing, tapi dengan cara tak bertentangan dengan prinsip moral. Tatasusila ini bermaksud: membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau golongan.

Setiap rakyat jugak tak sepatutnya mempersoalkan kesetian mereka yang lain berdasarkan keturunan dan kaum mereka. Prinsip ini menjadi panduan supaya sikap dan tindakan masyarakat sentiasa terpelihara.

Mesti nervous sebab ada cikgu kat sebelah. Imej dari skdppsepang.blogspot

Ada usaha nak jadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan

Seperti yang dikatakan tadi, ada usaha dari sekumpulan aktivis untuk menjadikan Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan Persekutuan.  Mereka namakan kumpulan mereka ni sebagai kumpulan Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan (RMP). Mereka lakukan usaha ni sebab setelah hampir  lebih 40 tahun Rukun Negara dibentuk, matlamatnya masih lagi belum tercapai dan difahami oleh masyarakat.

Antara ahli RMP, dari kiri: Prof Tan Chong Tin, Prof Shad Saleem Faruqi, Zainah Anwar, Firdaus Husni, Marina Mahathir & Dr Chandra Muzzafar. Imej dari Harian Metro.

“Dari segi menghafal dan melafazkannya tidak menjadi masalah, itu yang kita sebut tadi Rukun Negara sebagai perhiasan di bibir, ‘lip service. Yang kita mahu adalah satu bentuk amalan, dan amalan itu mesti datang dari jiwa kita, dari hati kita. Ini yang kita gagal,” – Dr Chandra Muzaffar, Pengerusi RMP, dipetik dari Astro Awani.

Oleh itu, diorang nakkan Rukun Negara ni jadi mukadimah Perlembagaan supaya jadikannya sebagai rujukan dalam menggubal dasar dan undang-undang negara. Rukun negara jugak dibentuk tanpa unsur-unsur etnik, tapi tetap berdasarkan keadaan masyarakat di Malaysia. Kita jugak perlu tahu yang 160 daripada 193 negara kat dunia ni ada Mukadimah kat perlembagaan nasional diorang.

Ini perancangan diorang. Imej dari rmp.yayasan1malaysia

Selain itu, usaha ini jugak penting untuk meningkatkan nilai Rukun Negara supaya muncul sebagai pegangan hidup rakyat Malaysia. Oleh itu, mereka akan mulakan usaha kumpul tandatangan rakyat Malaysia untuk bagi menyokong dalam usaha ini. Petisyen ni jugak mula dibuka selama 3 bulan sehingga 30 April 2016 untuk masyarakat mengambil bahagian. (Boleh sertai petisyen kat sini)

Rakyat Malaysia yang nak sokong boleh buat kat rmp.yayasan1malaysia.org. Imej dari Malaysia Chronicle.

Ada yang kata usaha ni sebenarnya bahaya?

Walaupun macam tu, ada pihak yang kata usaha nak jadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan adalah amat berbahaya. Perkara ni datang dari Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Sebabnya kerana ada percanggahan antara Perlembagaan dan Rukun Negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Rukun Negara tak nyatakan kedudukan Islam secara jelas tapi hanya kata kepercayaan kepada Tuhan.

Aminuddin Yahya, Timbalan Presiden ISMA. Imej dari ismaweb.net

Oleh itu, bila usaha ni berjaya ia akan buatkan kedudukan Islam sama dengan kedudukan agama-agama lain sekaligus bertentangan dengan perlembagaan. Dia juga kata yang Rukun Negara tak nyatakan kedudukan Melayu yang juga termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita juga menuntut agar cadangan ini dibahas dan dinilai oleh pakar-pakar Perlembagaan terlebih dahulu dan bukan hanya sekelompok kecil manusia.” – Aminuddin Yahya, Timbalan Presiden ISMA. Dipetik dari Ismaweb.net.

Bagaimanapun, kenyataannya ni dijawab oleh ahli RMP Firdaus Husni, katanya usaha ni tak bahaya sebenarnya malah akan membuatkan Rukun Negara dan Perlembagaan saling melengkapi satu sama lain. Ini kerana usaha ni tak akan menggganggu atau melebihi perlembagaan.

“Jika kita lihat kembali kepada kandungan dalam perlembagaan, turut menyatakan keluhuran Perlembagaan. Oleh itu, perkara mengenai Islam dan kebasan beragama sudah dicerminkan dalam Perlembagaan dan saya tidak melihat ia menjadi isu.” – Firdaus Husni, ahli RMP. Dipetik dari Astro Awani.

OK…faham…Imej dari Giphy.

Pentingnya kita betul-betul faham di sebalik Rukun Negara

Haha…jangan jadi macam ni. Imej dari bazureen.blogspot

“Rukun Negara jangan hanya menjadi perhiasan di bibir pemimpin-pemimpin politik sahaja, tetapi hendaklah juga dijadikan pelita hati.” – Allahyarham Datuk Hassan Adli Arshad (Bekas Timbalan Presiden PAS) antara yang terlibat dalam menggubal Rukun Negara. Dipetik dari Astro Awani.

Sejarawan negara Prof Emeritus  Khoo Kay Kim pun kata Rukun Negara takde makna jika masyarakat dan rakyat tak faham maksudnya yang sebenar. Macam budak-budak sekolah yang selalu jerit ‘keluhuran perlembagaan’ time perhimpunan tapi tak faham pun apa tu perlembagaan.

Jadi kita yang dah besar panjang ni, apa kata kita ulang semula rukun negara dan betul-betul menghayatinya? Bersama kita mengangkat kembali kedudukan Rukun Negara sebagai prinsip asas kenegaraan sebuah negara yang berdaulat:

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada raja dan negara
Keluhuran perlembagaan
Kedaulatan undang-undang
Kesopanan dan kesusilaan

(Kalau nak sokong rukun negara untuk diletakkan sebagai mukaddimah Perlembagaan Negara, klik sini.)

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.