Holodomor: Sebuah ‘massacre’ yang menghantui penduduk Ukraine

Ramai dah antara korang yang dah tahu pasal isu peperangan Rusia-Ukraine. Tak perlu nak dihuraikan lagi, kita dah tengok betapa dahsyatnya kemusnahan yang berlaku pada negara Ukraine akibat serangan dari tentera Rusia. Buat masa sekarang ni, seperti kita boleh lihat tiada tanda noktah lagi dalam isu ini.

Kali ni, kami tak mahu membangkitkan isu tu lagi kerana ada satu lagi tragedi yang mungkin lebih teruk lagi berlaku kepada penduduk Ukraine. Cuba lihat gambar di bawah ni:

Imej dari Wikimedia Commons.

Ia menunjukkan gambar sekumpulan kanak-kanak kurus keding seperti tak makan untuk tempoh yang lama. Situasi ni sebenarnya merujuk kepada peristiwa Holodomor dan apakah ia?

Pembunuhan dengan cara membuat orang kebulur tak makan

Sudah terang lagi bersuluh peristiwa Holodomor menjadi titik hitam dalam sejarah negara Ukraine di mana seluruh rakyat mereka ibarat dipaksa berlapar akibat kuasa atasan. 

Holodomor berasal daripada perkataan ‘holodom‘ yang bermaksud ‘membunuh dengan kelaparan’ dalam bahasa Ukraine. Ia juga merupakan satu kombinasi perkataan ‘holod’ (kelaparan) dan ‘mor’ (penghapusan).

Sekitar tahun 1932 hingga 1933, Soviet Ukraine mengalami malapetaka kebuluran yang sangat teruk sampaikan ada orang mati di tepi jalan ibarat seperti patung tak bernyawa.

Jadi, bagaimana ia boleh berlaku?

Holodomor ni berpunca daripada seorang individu bernama Joseph Stalin (Ketua Soviet Union). Pada 1929, sebuah kumpulan dari Parti Komunis memaksa memaksa petani untuk menyerahkan tanah, harta peribadi, dan perumahan ke ladang kolektif. Tindakan ini dipanggil ‘Collectivization‘. Mereka juga akan mengusir ‘kulak‘ atau mana-mana petani lain yang cuba untuk menentang.

Sekumpulan Kulak di Kampung Udachoye di Ukraine. Imej dari History.

GLOSARI:
Kulak: Petani yang mempunyai tanah lebih dari 8 ekar tanah semasa pengakhiran Empayar Rusia. Kiranya ni petani kaya la kalau senang nak faham.

Collectivizationtelah menjejaskan ekonomi luar bandar, pengeluaran serta kekurangan makanan. Ia juga mencetuskan beberapa siri pemberontakan petani, termasuk pemberontakan bersenjata, di beberapa bahagian di Ukraine.

Nak tahu apa yang mereka buat kepada orang yang menentang ni? Biro Politik Soviet telah membuat ramai orang kebulur dengan sangat kejam. Ladang, kampung dan kawasan bandar di Ukraine disenarai hitamkan serta menghalang penduduk Ukraine daripada menerima makanan.

Kanak-kanak semasa Holodomor. Imej dari Mondoweiss.

Dahla kebuluran semakin meningkat, ditambah pula dengan permintan makanan yang tinggi, lepas tu bantuan diberikan tak cukup. Keadaan semakin kritikal apabila musim sejuk datang, pihak polis dan komunis menggeledah rumah-rumah petani dan mengambil apa-apa benda yang boleh dimakan (seperti bekalan makanan peribadi, tanaman dan haiwan peliharaan).

Jutaan orang mati akibat Holodomor

Disebabkan tindakan Joseph Stalin ni, 3.9 juta orang mati kelaparan di Ukraine. Berdasarkan laporan polis, banyak kejadian tak diingini berlaku seperti kanibalisme dan kecurian. Walaupun penduduk bandar masih mendapat catuan bekalan hidup, tapi di sana juga boleh lahat mayat-mayat di tepi jalan.

Kelihatan mayat di tepi jalan. Imej dari Reddit.

Holodomor ni bukan saja dapat membuatkan ramai orang mati malah ia juga memusnahkan identiti Ukraine. Semasa petani mati berjuta-juta, ejen polis rahsia Soviet menindas pertubuhan politik dan para cendekiawan Ukraine. 

Tahukah korang bahawa Holodomor ini merupakan termasuk dalam salah satu langkah ‘Russification — satu bentuk proses asimilasi budaya di mana komuniti bukan Rusia perlu meninggalkan bahasa dan budaya mereka (sama ada sukarela atau paksa) untuk mempelajari budaya serta bahasa Rusia.

Penghapusan bahasa Ukraine turut berlaku dalam peristiwa ni. Bukan itu saja, sesiapa yang cuba untuk berhubung dengan Republik Rakyat Ukraine akan dikenakan tindakan yang ganas seperti dipenjarakan, dihantar ke Gulag (sistem penjara Soviet dan kem buruh paksa), atau dihukum bunuh.

Yang tambah lagi teruk, berita mengenai Holodomor ni sengaja tidak diuar-uarkan dan didiamkan oleh biokrat Soviet. Wartawan Barat yang berpangkalan di Moscow telah diarahkan untuk tidak menulis mengenainya. Tak cukup daripada itu, Stalin juga dikatakan menangkap dan membunuh pentadbir bancir kerana mendedahkan angka kematian penduduk Ukraine.

Muzium didirikan khas untuk memperingati peristiwa Holodomor

Penubuhan Muzium Nasional Holodomor-Genocide ni merupakan idea dari Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Ukraine dan Kementerian Pembinaan, Seni Bina dan Perumahan.

Pelukis Negara Ukraine Anatolii Haydamaka adalah salah seorang yang memberikan idea muzium ni manakala Yurii Kovaliov adalah ketua arkitek muzium itu, Mykola Obeziuk dan Petro Drozdovskyi adalah pengukir tugu. Ia secara rasminya dibuka pada 12 Julai 2010.

Inilah bangunan Muzium Nasional Holodomor-Genocide. Imej dari Flickr.

Tujuan muzium ini ditubuhkan supaya seluruh lapisan masyarakat Ukraine dapat mengetahui peristiwa hitam yang telah meragut ramai nyawa yang tak berdosa. Ia juga supaya peristiwa tersebut dapat diketahui oleh generasi akan datang.