Filem lokal dapat anugerah & jemputan antarabangsa, walau tak popular di negara sendiri

Bila bercakap pasal pengarah filem di Malaysia, manusia paling luar biasa pernah ada di Malaysia adalah arwah Tan Sri. P. Ramlee. Dalam filem Ibu Mertuaku, dialah pengarah, dialah pelakon, dialah penggubah muzik dan dialah itu dan ini. Sampaikan para juri di Festival Filem Asia 1963 buat satu anugerah khas untuknya yang dipanggil sebagai Golden Harvest Awards: The Most Versatile Talent.

Dari 1963 kita pergi ke tahun 2005. Pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) tahun tu telah menaikkan nama satu filem dari Malaysia. Filem Sepet telah dianugerahkan sebagai Filem Terbaik Asia bagi kategori Winds Of Asia. Sejak itu, makin banyak filem tempatan yang mula bersaing di festival filem yang paling berprestij di Asia ni walaupun kita tak sedar.

Google Doodle Yasmin Ahmad. Imej dari The Star.

Pengarah filem Sepet dah tentulah korang kenal iaitu arwah Yasmin Ahmad. Selain filem, kita takkan lupa iklan TV3 yang diarahkan olehnya yang sangat memberi kesan macam iklan “Raju” dan “Ikan di Laut, Asam di Darat”. Meleleh air mata bila tengok iklan-iklan ni. Kehebatan Yasmin Ahmad ini juga telah diabadikan dalam sebuah filem dokumentari Yasmin-San arahan pengarah tempatan Edmund Yeo. Di TIFF 2017, apa yang mengujakan, Edmund Yeo juga telah dinobatkan sebagai Pengarah Filem Terbaik dengan satu filem yang lain.

Bajet untuk filem rendah dan hanya ada bilangan krew dan pelakon yang sikit

Edmund Yeo telah mengarahkan dua filem yang ditayangkan di TIFF 2017. Satunya dokumentari ‘Yasmin-San’ yang dibintangi Sharifah Amani. Satu lagi adalah filem bertajuk Aqerat yang dibintangi pelakon tempatan Daphne Low. Disebabkan filem ni, Edmund Yeo menerima anugerah Pengarah Filem Terbaik yang belum pernah orang Malaysia terima di festival ni. Pelakonnya juga menerima Tokyo Gemstone Award.

Sebak Encik Edmund Yeo. Imej dari Youtube TIFF17.

Kami pun belum tengok filem ni. Tapi kalau nak ikutkan review pasal filem ni ada keluar di media antarabangsa macam New York Times dan Reuters. Dari situ, barulah kami faham rupanya Aqerat ni maksudnya akhirat dalam bahasa Rohingya. Jadi, memang betullah filem ni adalah berkaitan Rohingya.

Menurut New York Times, filem ni terinspirasi lepas Edmund dengar berita pasal ada banyak kubur orang Rohingya di sempadan Malaysia-Thailand. Orang Rohingya datang ke Malaysia sebenarnya untuk mencari kehidupan yang lebih baik, tapi jadi sebaliknya. Lebih-lebih lagi mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Jadi Daphne Low (pelakon utama) ni memegang watak sebagai orang yang bekerja dalam sindiket pemerdagangan manusia tu. Itu sikitlah spoiler.

Poster filem Aqerat. Imej dari IMDB.

Tapi, apa yang mengejutkan kami adalah bilangan krew yang digunakan tu. Ketika menerima Anugerah Pengarah Terbaik tu, Edmund berucap dan mengatakan bahawa filem ni hanya menggunakan lebih kurang 20 orang krew. Sampaikan ada di antara krew yang dijadikan pelakon tambahan. Biar betul? Tak dapat dana ke apa ni? Jadi ini jawapan Edmund kepada kami melalui e-mel.

“Kami bekerja dengan bajet yang terhad. Bajet ini adalah pembiayaan sendiri oleh dua syarikat produksi, Pocket Ideas dan Greenlight Pictures. Kami tak ada bajet yang cukup untuk dapatkan ramai orang.”- Edmund Yeo ketika dihubungi SOSCILI.

Menurut Edmund, bajet yang ada pun hanya cukup untuk penggambaran selama 12 hari dengan lebih kurang 20 orang termasuk pelakon dan krew. Ianya diakui agak sukar, tapi apa yang diperlukan adalah kreativiti.

Orang hebat je boleh buat dua kerja satu masa. Kalau tak…

“Kami hanya perlu bekerja keras, tapi ianya okay, kami membikin filem dengan perasaan cinta dan semangat. Banyak filem Indie dari Filipina dibuat dengan kekurangan orang dan bajet, tapi ianya (filem) tetap menakjubkan”- Edmund Yeo.

Jadi, semangat yang diorang ada ni juga terinspirasi dari pengarah filem dari Filipina macam Brillante Mendoza dan Lav Diaz. Selain bilangan krew yang sikit, lokasi filem ni jugak agak mencabar.

Penggambaran filem di sempadan Malaysia-Thailand pada musim angin monsun

Filem ni telah membuat penggambarannya di bahagian Selatan negeri Kelantan yang juga sempadan Malaysia-Thailand. Kita kalau dengar sempadan ni ada macam-macam cerita panas. Penyeludupan dadah, senjata dan tak lupa juga kes kahwin lari ke sempadan senyap-senyap tapi kantoi. Lokasi ni juga telah dipilih oleh filem Aqerat dan semestinya ada cabaran yang luar biasa yang dikongsikan oleh Edmund kepada kami.

Selain penyeludupan, aktiviti ni juga terlebih aktif. Imej dari Nikahlari.blogspot.

Menurut Edmund, waktu penggambaran di Kelantan ni dilakukan pada bulan Disember yang merupakan Musim Angin Monsun. Hujan yang turun dah tentulah lebat. Tapi, baju hujan dan payung yang ada bukannya diorang yang pakai, tapi kebanyakan guna untuk lindung peralatan bunyi dan kamera untuk penggambaran. Selain tu, hujan yang lebat ni juga telah membuatkan beberapa adegan terpaksa ditukar.

“Asalnya, kami ada satu adegan di mana seorang budak perempuan jatuh ke dalam sungai dan heroine akan cuba selamatkannya. Tapi, disebabkan hujan yang terlalu lebat, ianya banjir, dan memang tak ada peluang untuk kami lakukan adegan di sungai. Jadi, saya menukar skrip dengan pantas, tapi, saya sebenarnya sangat gembira dengan adegan yang baru itu. Dan hujan juga telah membantu dari segi suasananya dan lakonan pelakon kami!”- Edmund Yeo ketika dihubungi.

Berlakon lemas atau betul-betul lemas?
Walaupun banyak cabaran, tetap ada orang kampung di sana yang secara sukarela membantu. Bukan setakat tu sahaja, orang kampung siap tolong berlakon lagi!
“Kami juga dapat membuat penggambaran beberapa adegan dengan Tok Dalang Pak Chu, dan menonton persembahan hebat wayang kulit Pak Chu untuk kami (yang mana saya masukkan sekali dalam filem)”- Edmund Yeo ketika dihubungi.
Kiranya filem ni siap promosikan budaya seni yang ada di Malaysia ni. Memang jarang nak jumpa sekarang kan? Walau apa pun, setakat yang kita faham cerita ni pasal pemerdagangan manusia, Rohingya dan ada wayang kulit. Jadi apa yang buat filem ni dapat anugerah di TIFF 2017?

Apa kata juri-juri antarabangsa yang diketuai pelakon filem Men In Black

TIFF 2017 adalah antara festival filem berprestij di Asia ni. Setiap kali festival ni berlangsung, memang banyak penyertaan dari pelbagai negara termasuk dari Perancis.  Festival ni juga mengumpulkan ribuan pengeluar filem, ahli perniagaan, pembeli kandungan, pelajar dan pelakon di Tokyo. Tahun ni, 15 filem telah dipilih untuk bersaing setelah ditapis dari 1, 538 filem oleh 88 negara.

Untuk TIFF 2017 ni, juri-juri yang akan menghakimi filem juga bukan calang-calang. Ketua juri dia pun dah cukup gempak iaitu Tommy Lee Jones yang merupakan pelakon Men In Black. Lain-lain juri yang gempak adalah Reza Mirkarimi (Pengarah filem Iran), dimana banyak filem dia mewakil Iran untuk bertanding di Anugerah Oscar. Tapi yang paling buat kami jatuh hati, Zhao Wei (pelakon wanita/pengarah China) yang popular dalam lakonan Shaolin Soccer sebagai perempuan botak muka buruk tu.

Men In Black dan Shaolin Soccer bergabung. Imej dari Celeb Mafia.

Maka, filem Aqerat ni telah dihakimi oleh juri-juri yang memang hebat dalam industri filem. Jadi, apa yang menyebabkan juri-juri memilih filem Aqerat untuk menobatkan Edmund sebagai Pengarah Filem Terbaik? Menurut Edmund, jawapan rasmi juri adalah daripadan Reza Mirkarimi waktu bagi hadiah padanya dengan mengatakan filem itu sebagai,

“Dengan pemilihan kreatif dalam bentuk yang sesuai dan pendekatan yang boleh dipercayai untuk hal berkaitan manusia pada hari ini”- Reza Mirkarimi, Juri TIFF 2017.

Selepas tu, Edmund telah bercakap sendiri dengan beberapa ahli juri yang mana mereka menerangkan bahawa pendekatan penceritaan yang sangat kreatif dan kuat dalam mempamerkan krisis Rohingya. Serta bagaimana kesannya kepada Malaysia yang moden selepas mereka (orang Rohingya) berhijrah ke negara ini.

“Bagi mereka filem itu beremosi, tapi ia juga mengajar dan menunjukan kepada mereka perkara yang mereka tak tahu. Mereka tak tahu ramainya pelarian Rohingya yang datang ke negara kita, mereka juga melihat kedua-duanya, sama ada bahagian moden dan tradisional Malaysia”- Edmund Yeo ketika dihubungi.

Pengarah dan pelakon filem Aqerat. Imej dari Reuters.

Contoh perkara lain yang baru buat juri adalah ramainya anak muda Malaysia yang ke luar negara untuk sambung belajar dan bagaimana wayang kulit dipersembahkan. Jadi terima kasihlah Tok Dalang Pak Chu. Disebalik cabaran yang dikongsikan ni, kehebatan filem ni terletak juga pada sikap pengarahnya yang luar biasa. Apakah sikap itu?

Pengarah belajar ilmu baru dari krew sendiri

Ramai penggiat seni terdahulu yang menjadi sumber inspirasi kepada generasi penggiat seni pada masa hadapan. Begitulah juga untuk Edmund Yeo yang menjadikan karya Yasmin Ahmad sebagai sumber inspirasinya. Kini, dia sudah pun mencapai satu kejayaan yang luar biasa.

Poster filem dokumentari Yasmin-San. Imej dari Cinando.

Bagi Edmund, untuk industri filem tempatan terus berkembang, setiap orang kena bekerja keras. Walaupun, menghasilkan filem yang berbeza jenis, berbeza gaya, tapi selagi mana penggiat filem semua bermatlamat untuk melakukan sesuatu kebaikan, industri ni akan terus berkembang. Tapi, apa yang paling penting adalah…

“Apabila saya membuat filem, saya membenarkan pelatih (interns) atau ahli krew untuk menyuarakan idea dan pendapat mereka, kerana mungkin mereka mempunyai idea yang lebih baik dari saya! Dan secara jujurnya, saya juga belajar dari mereka. Inilah bagaimana saya harap kita boleh berkembang”- Edmund Yeo ketika dihubungi Soscili.

Memang luar biasa. Sekarang, apa yang kita tahu pasal filem ni adalah pasal Rohingya, sempadan Malaysia-Thailand dan ada wayang kulit. Perkara-perkara ni jugak telah menambat hati para juri yang memang gempak. Jadi takkanlah kita orang Malaysia tak teringin nak tengok.

Bila akan ditayangkan di Malaysia?

Dalam masa terdekat ni, filem Aqerat ni akan ditayangkan di festival filem di Singapura dan Kerala, India. Edmund yang merupakan graduan Ijazah dalam bidang filem dari Universiti Waseda, Tokyo turut mengakui yang dia masih berbincang dengan beberapa pengedar dari pelbagai negara. Tujuannya untuk cari siapa-siapa yang minat tayangkan filem Aqerat di pawagam masing-masing.

“Penerbit saya juga sedang berusaha untuk menayangkan filem ini di pawagam tempatan. Saya berharap ianya akan berlaku secepat mungkin, kami harapkan tahun hadapan.”- Edmund Yeo ketika dihubungi.

Tolonglah tahun depan.

Filem-filem kita mendapat perhatian di arena antarabangsa, walaupun tidak di negara sendiri

Selain filem Edmund Yeo, filem Adiwiraku juga secara rasminya telah terpilih untuk ditayangkan di TIFF 17 hari tu. Memang power! Bila dengar filem Malaysia ni dapat jemputan ditayangkan di festival antarabangsa, memang cukup membanggakan. Walaupun kadang-kadang tak dapat sambutan di negara sendiri.

Contoh macam filem Interchange arahan Dain Said, memanglah kutipan di Malaysia taklah tinggi sangat. Tapi, korang tahu tak yang filem ni ditayangkan sebagai filem kedua lepas Jason Bourne di Festival Filem Antarabangsa Locarno, Switzerland. Skrin filem tu pulak bersifat outdoor dengan 8 000 penonton. Fuh!

Orang penting filem Interchange. Imej dari CARI Infonet.

Jadi, nampaklah yang industri filem kita ni makin diterima di peringkat antarabangsa. Dengan berita-berita tentang pengiktirafan dunia terhadap penggiat filem Malaysia, jangan kita pulak merosakkannya dengan membeli yang cetak rompak.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT