Mazhab Syafie membolehkan anak luar nikah berkahwin dengan bapanya. Betul ke?

Mahkamah Rayuan baru-baru ni membuat keputusan yang anak luar nikah (tak sah taraf) boleh dibin atau dibintikan dengan nama bapanya dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara juga (JPN) juga tak terikat dengan fatwa tersebut dalam menentukan bapa anak orang Islam yang dilahirkan di luar nikah.

“Fatwa, kami ulangi, bukan undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang serta tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi ketua pengarah pendaftaran negara untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut Seksyen 13A (2) BDRA (Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian).” –  Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Rayuan. Dipetik dari BH Online.

Disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan ni, ia menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Mufti Perak, Tan Sri Harussani juga dilaporkan terkejut dengan keputusan dari mahkamah tersebut. Beliau juga tegaskan yang hukum Islam wajib dipatuhi seluruh umat Islam, sekalipun undang-undang dunia menolaknya.

Semakin parah nampaknya.

Tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mohon supaya ditangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan juga ditolak oleh mahkamah. Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita faham dulu apa yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini kerana, fatwa berkaitan anak tak sah taraf dah dikeluarkan sejak tahun 1998 lagi.

Anak tak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapanya

Pada tahun 1998, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa berkaitan dengan anak luar nikah atau anak tak sah taraf (fail PDF). Dalam fatwa tu, antara perkara yang disentuh adalah berkenaan dengan maksud anak tak sah taraf, nasab (bin/binti) anak tak sah taraf, nafkah, pusaka dan banyak lagi. Berikut adalah tafsiran anak tak sah taraf (anak luar nikah).

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan dari persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat), mengikut Takwim Qamariah dari tarikh tamkin (setubuh).

Persetubuhan syubhah disini bermaksud persetubuhan yang dilakukan atas anggapan akad nikah yang dilakukan adalah sah, tapi sebenarnya akad nikah itu tak sah. Contohnya, satu pasangan ni berkahwin dan melakukan hubungan suami isteri. Tapi lepas tu diorang dapat tahu wali ketika diorang menikah sebenarnya bukan wali yang sah.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tentang anak tak sah taraf pada 25 Jun 1998. Klik imej untuk baca.

Untuk maksud yang kedua berkenaan dengan 6 bulan 2 lahzah mungkin ada yang agak keliru sikit. Tapi perkara ni ada diterangkan oleh Prof Madya Dr. Paizah Hj. Ismail, Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Apa yang dimaksudkan dalam hal ini adalah, apabila seseorang wanita itu telah berzina dan kemudiannya berkahwin, anak yang dikandung itu mestilah lahir dalam tempoh masa 6 bulan dan ke atas dari tarikh perkahwinan. Barulah anak tersebut boleh diiktiraf sebagai anak yang sah. Tapi, kalau anak tersebut lahir sebelum 6 bulan dari tarikh perkahwinan, maka anak tersebut adalah anak luar nikah (anak tak sah taraf).

“Tempoh perkahwinan yang boleh menjadi asas kepada sah taraf anak ialah anak itu lahir dalam masa 6 bulan dan ke atas dari (tarikh perkahwinan). Katakanlah, A berkahwin dengan B dan kemudian selepas tiga bulan dia (si isteri) melahirkan anak. Maka anak itu tidak boleh dinisbahkan (dibin atau dibintikan) dengan bapanya itu, kerana tempoh perkahwinan itu tak cukup 6 bulan.” – Prof Madya Dr. Paizah Hj. Ismail, Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan. Dipetik dari Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Menurut Prof Paizah lagi, jika seseorang itu berkahwin dan kemudiannya melahirkan anak dalam tempoh masa 6 bulan dan ke atas dari tarikh perkahwinan, anak tersebut adalah sah dan boleh dinisbahkan (dibin atau dibintikan) kepada suami wanita berkenaan secara automatik. Walaupun, jika anak tersebut bukan dari benih lelaki terbabit.

“Kecuali sekiranya pihak suami menafikan anak tersebut sebagai anaknya. Misal kata, ketika dia (wanita) berkahwin, sebenarnya dia sudah mengandung. Si suami pula tidak tahu yang si isteri ini sudah mengandung. Selepas 9 bulan si isteri melahirkan anak. Dari segi Islam, anak itu boleh disah tarafkan dengan suami tersebut (sebab lahir dalam masa 6 bulan dan ke atas lepas kahwin).

(Tapi) Kecuali si suami tadi menafikan ‘ini bukan anak aku’…dengan apa yang diberi nama lian (sumpah laknat).” – Prof Madya Dr. Paizah Hj. Ismail, Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan. Dipetik dari Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Maknanya kat sini, jika anak tu lahir dalam tempoh masa 6 bulan dan ke atas dari tarikh perkahwinan, anak tersebut adalah sah dan boleh dibin atau dibintikan dengan nama suami si ibu.

Statistik kes pembuangan bayi. Imej dari aspirasidiri.blogspot

Oleh itu, jelas sekali asas kepada sah atau tidak sah taraf anak adalah bersandarkan kepada perkahwinan. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan lagi, anak tak sah taraf tak boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tak boleh pusaka mempusakai, menjadi mahram dan tak boleh jadi wali.

Pihak Majlis Fatwa juga menetapkan anak luar nikah perlulah dinasabkan (dibin atau dibintikan) dengan nama:

  1. Dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah.
  2. Atau mana-mana nama ‘Asma al-Husna’ dengan berpangkalkan ‘Abdul’.
  3. Anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan dengan mana ibu kandungnya kerana ia mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak terbabit.
  4. Seseorang anak terbiar atau anak pungut yang tak tahu asal usulnya kenalah dibin atau dibintikan dengan ‘Abdullah’ dan kalau nama tu sama dengan nama orang yang peliharanya, maka kena dinasabkan dengan nama ‘Asma al-Husna’ dengan berpangkalkan ‘Abdul’.

Mengikut Mazhab Syafie, anak luar nikah boleh berkahwin dengan bapa biologinya

Hal ini mungkin agak mengejutkan, tapi ia sememangnya adalah dari pendapat Imam Syafie. Jika kita melihat dari fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, ia jelas mengatakan wuduk anak perempuan (yang luar nikah) dengan lelaki yang merupakan bapanya adalah terbatal. Hubungan antara mereka berdua juga adalah berasaskan bapa tiri dengan anak tiri walaupun lelaki tersebut adalah bapanya yang sebenar.

Berkenaan dengan pendapat Mazhab Syafie tentang hukum anak luar nikah berkahwin dengan bapa biologinya, ia dihukum sebagai boleh tetapi makruh. Bagaimanapun, pendapat ini pernah dibantah oleh Pejabat Mufti Mesir (Darul Ifta’ alMisriyyah), seperti mana Fatwa Muhammad Abduh (1932), Fatwa Hasan Ma’mun (1957), Fatwa Ali Jad al-Haq (1981) kerana ia bercanggah dengan fitrah manusia.

Sheikh Ali Jad al-Haq, bekas Imam Besar al-Azhar. Imej dari Wikipedia.

“Pandangan ini telah dikritik oleh banyak ulama…Di dalam Islam ini, kalau sekiranya anak susuan, kita tak boleh kahwin (dengan dia) kerana dia menyusu dengan isteri kita. Adik beradik susuan pun kita tak boleh kahwin. (Contohnya) dia menyusu dengan ibu kita ataupun dia menyusu dengan perempuan yang sama kita menyusu dengannya. Sama ibu susuan, kita tak boleh kahwin. Kalaulah kerana ibu susuan Islam tak benarkan, kata Ibnu Taimiyyah, bagaimana untuk kita benarkan berkahwin dengan bapa sendiri, walaupun memang salah kerana dia tak akad nikah, tapi dari segi hakikatnya dia adalah bapa biologinya.” – Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Hukum mengenai anak luar nikah boleh berkahwin dengan bapa biologinya sebagai makruh mengikut Mazhab Syafie juga terpakai di Malaysia pada hari ini. Pendapat ini juga menunjukkan tegasnya Mazhab Syafie dalam menafikan hubungan anak zina dengan bapa zina.

Bagaimanapun, ia tetap dibantah oleh Rumah Fatwa Mesir dengan alasan ia bercanggah dengan roh Islam yang membuka pintu taubat dan menggalakkan manusia kembali ke pangkuan Islam.

Tapi, perkara ini ada dijelaskan oleh Ustaz Zamihan al-Ghari. Katanya, majoriti ulama berpendapat seorang penzina tak boleh berkahwin dengan anak hasil zinanya. Imam Syafie juga pernah berkata:

“Aku tidak menyukai (makruh dalam warak) baginya berkahwin dengan anak-anak perempuan yang dilahirkan hasil zinanya” (Kitab al-Umm: 5/30)

Sebahagian ulama Mazhab Syafie menjelaskan yang Imam Syafie bagi hukum makruh dalam hal ni jika ada kemungkinan anak tu bukan hasil dari benih penzina tersebut. Tapi jika memang dah pasti itu benihnya maka haram baginya berkahwin dengan anak itu.

Ada beza antara Majlis Fatwa Kebangsaan dengan Majlis Fatwa Negeri

Kalau kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Islam diletakkan sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan. Dalam waktu yang sama, perlembagan juga menetapkan hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri. Ini kerana, Sultan adalah Ketua Agama bagi negerinya.

Setiap negeri juga mempunyai institusi mufti mereka tersendiri yang bertanggungjawab bagi nasihat kepada Sultan dalam hal agama, mengeluarkan fatwa dan membantu jabatan agama Islam negeri. Oleh kerana itu, setiap negeri ada Jawatankuasa Fatwa negeri masing-masing. Jawatankuasa ni jugak ada macam-macam nama seperti:

  1. Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.
  2. Jawatankuasa Syariah.
  3. Majlis Fatwa.
  4. Lembaga Fatwa.
  5. Lujnah (Jawatankuasa) Fatwa.
  6. Jama’ah Ulama.
  7. Jawatankuasa Fatwa.
Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis. Imej dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Itu kat peringkat negeri, manakala kat peringkat kebangsaan pulak kita ada Majlis Fatwa Kebangsaan. Majlis ni jalankan tugas dengan dua cara iaitu:

  1. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan – Hanya diadakan atas perintah dari Majlis Raja-Raja Melayu untuk melihat sesuatu perkara atau isu.
  2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan – Berjalan dari masa ke semasa dan tak perlukan perintah dari Majlis Raja-Raja Melayu.

Majlis Fatwa Kebangsaan pula terdiri daripada:

  1. Pengerusi.
  2. Mufti-mufti setiap negeri.
  3. Lima orang ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
  4. Seorang ahli beragama Islam dari perkhidmatan kehakiman dan undang-Undang, atau dari profesyen undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan. Imej dari @PMOMalaysia.

Sekarang kita kena lihat pulak perbezaan antara kedua-dua Jawatankuasa Fatwa ini.

Jawatankuasa Fatwa Negeri

Tugas Jawatankuasa Fatwa Negeri adalah membantu dan menasihati sultan – sultan dalam menyelesaikan persoalan semasa mengenai hukum syarak dan mengeluarkan fatwa atas permintaan orang awam yang memohon kepada mufti dalam satu-satu perkara.

Setiap dari fatwa tu jugak hanya dianggap terikat dengan undang-undang sekiranya ia diwartakan (di peringkat negeri). Tapi pandangan atau kenyataan bertulis Mufti tak terikat dengan undang-undang sebab ia bukan fatwa dan tak diwartakan.

Majlis Fatwa Kebangsaan

Sekretariat (urus setia) Majlis Fatwa Kebangsaan terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Keputusan dari majlis ni dibuat dengan cara sebulat suara atau dengan majoriti 2/3 dari kalangan ahli (mufti/wakil), kecuali pengerusi dan ahli dari perkhidmatan kehakiman dan undang-undang.

Tapi malangnya, keputusan dari Majlis Fatwa Kebangsaan tak terikat dengan undang-undang. Malah, keputusan dari majlis ni jugak tak terikat dengan negeri sekiranya negeri tu tak terima fatwa tersebut untuk diwartakan. Ini kerana, selalunya fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk dibincangkan semula.

Disebabkan perkara inilah maka berlakunya konflik di antara fatwa kebangsaan dan fatwa negeri. Seperti mana yang pernah jadi bila Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan modul kursus motivasi anjuran  ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) yang didakwa bawa kerosakan akidah pada umat Islam. 

Fatwa yang dikeluarkan oleh negeri Perlis tentang ESQ. Imej dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Tapi, Majlis Fatwa Kebangsaan pulak bagi lampu hijau kat ESQ dengan syarat diorang kena lantik Penasihat Syariah untuk awasi aktiviti diorang. Hal ini juga berlaku dalam kes nasab anak luar nikah.

Fatwa Perlis benarkan anak luar nikah dibin atau dibintikan dengan nama bapanya

Pada 26 Disember 2013, Perlis mewartakan keputusan fatwanya tentang anak tak sah taraf  yang lahir kurang dari 6 bulan dari tempoh perkahwinan.

“Dalam warta itu menyebut, mengikut Peruntukan Subseksyen 48 (6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), setelah diperkenankan oleh Raja Pemerintah dan memaklumkan kerajaan negeri, dengan ini menyebabkan fatwa berikut disiarkan iaitu: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.” – Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Hal ini bermaksud, kalau sesuatu pihak tu terlanjur dan diorang berkahwin, seterusnya empat atau lima bulan kemudian si isteri melahirkan anak, maka anak tersebut boleh dinasabkan dengan bapanya (sedangkan persetubuhan berlaku sebelum perkahwinan). Bagaimanapun, fatwa ini melarang anak luar nikah dinasabkan kepada bapanya sekiranya tak ada perkahwinan antara pasangan terbabit atau si bapa/suami menafikan anak itu adalah anaknya.

Klik imej untuk baca.

Dr Asri juga tegaskan fatwa ini dikeluarkan berasaskan pandangan para ulama seperti Hasan al-Basri, Ibnu Khair, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Utsaimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi. Fatwa ini juga dikeluarkan dengan sebab untuk menutup aib.

“Katakanlah satu pasangan telah terlanjur (berzina), kemudian mereka kahwin dengan pasangan yang sama dan lima bulan kemudian lahirlah seorang anak lalu bila dia nak pergi daftar, tidak boleh dibinkan kepada bapa… Tetapi realitinya apa yang berlaku – mereka (pasangan) ini mungkin telah bertaubat lalu berkahwin.

Kemudian si anak membesar, ibu dan bapa mungkin sudah jadi orang baik dan hendak membesarkan anak dengan cara baik. Dia (si anak) pula mendapat adik-adiknya yang lain dan mendapati dia berbinkan lain iaitu Abdullah manakala adik-adiknya mengikut nama si bapa, sebagai contoh Ridzwan. Pastinya si anak itu bertanya kenapakah saya bin lain, dan adakah bapanya kena beritahu yang saya (bapa) dan ibu dahulu pernah buat benda jahat, sedangkan agama menyuruh menutup aib.” – Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Betul! Imej dari Giphy.

Munurut Dr Asri, tak ada kebaikan fatwa yang memaksa anak dibin atau dibintikan kepada Abdullah kerana realitinya ia hanya akan memalukan dan mematahkan semangat orang yang nak jadi baik selain ia membuka aibnya. 

“Dulu mungkin orang sembunyi-sembunyi tetapi sekarang, zina ini seakan-akan dicatatkan (berbinkan Abdullah), akhirnya semua orang akan tahu dan jadi kebiasaan macam di Barat. Secara tidak langsung ia seakan-akan memberi galakan. (Nanti ada mengatakan) Tidak ada masalah pun buat dulu (zina) sebab ramai yang bin Abdullah. Ini tidak akan jadi aib lagi.” – Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Pernah ada cadangan fatwa di Malaysia ni diselaraskan

Dari apa yang kita dapat tahu tadi, masih ada masalah dalam pengerusan fatwa di negara ini. Selain dari fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang tak terikat dengan undang-undang, ada juga masalah tentang ketidakselarasan fatwa diperingkat antara negeri-negeri dan pusat. Oleh itu, ada juga cadangan dari beberapa pihak supaya fatwa ini diselaraskan di seluruh Malaysia. Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pun pernah kata benda yang sama.

Sebelum ini, Bekas Ketua Pengarah IKIM, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas ada cadangkan supaya diwujudkan jawatan Mufti Negara (Mufti Besar). Tapi nampaknya cadangan ini tak diterima. Antara alasan yang dibagi adalah jawatan mufti terletak di bawah kuasa sultan (Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tak beraja).

Majlis Mufti dulu pernah haramkan Konsert Sure Heboh, tapi sampai sekarang masih ada. Cuma tukar nama je. Imej dari imgur.com

Kajian juga mendapati 36% mufti tak setuju dengan kewujudan Majlis Fatwa Kebangsaan. Oleh itu, ada cadangan untuk menyelaraskan fatwa di negara ini dengan cara…

“Fatwa yang dikemukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri boleh dimajukan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan agar ia dapat diselaraskan. Jawatankuasa Fatwa Negeri boleh menerima pakai fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, walaupun dalam keadaan tertentu boleh tak menerima pakai fatwa tersebut justeru kerana ia adalah bidang kuasa negeri.” –  Dr. Mohd Azam Mohd Adil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Oleh itu, dalam kes anak tak sah taraf, hanya negeri Perlis yang mengemukakan fatwa yang berlainan dengan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa negeri – negeri lain. Malah Perlis menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ini.

Kesimpulannya, hal berkaitan isu anak tak sah taraf terus menjadi polemik dalam masyarakat kita pada hari ini. Terdapatnya fatwa yang saling berlainan juga sedikit sebanyak mengelirukan masyarakat Islam. Oleh itu, gunakanlah kebijaksanaan kita dalam memilih fatwa mana yang lebih bersesuaian.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.