Selain membazir, ini sebab kenapa pembuangan baju yang tak dipakai sangat bahaya

Kita di Malaysia ni kira beruntung sebab kebanyakan daripada kita cukup makan pakai. Tapi kadang-kadang tu ada jugak sampai terlebih dan jadilah masalah pembaziran bila kita banyak menyampah dengan benda yang ada. Malah, Malaysia sebenarnya menghasilkan 37,000 tan sampah setiap hari dan ini bermakna setiap tahun sebanyak 13.5 juta tan sampah telah dihasilkan kita.

Kita jugak telah menghabiskan RM2.2 bilion setahun untuk menguruskan sampah ini. Namun apa yang lebih membimbangkan ialah, tapak pelupusan sampah yang kita ada sekarang dah tak mampu nak menampung sampah yang kita keluarkan.

Makin maju kita, makin banyak sampah yang kita keluarkan. Imej dari The Star.

Masalah sampah ini berkait rapat dengan kemajuan negara dan kepadatan penduduk kawasan bandar. Misalnya, pada tahun 1970 sampah dikeluarkan penduduk Kuala Lumpur hanyalah 0.11 juta tan tapi jumlah ni meningkat sehingga 11.43 juta tan dalam masa 44 tahun. Dijangkakan pada 2023 nanti purata sampah mingguan yang dikeluarkan penduduk KL ialah 9,207 tan. Cuba korang bayangkan macam mana sebab sekarang ni pun, jumlah sampah yang dihasilkan boleh isi 28 hektar tanah setinggi 2 meter bersamaan dengan 35 padang bola sepak.

Sampah apa yang banyak sangat manusia keluarkan ni? SOSCILI senaraikan 5 jenis sampah yang kita paling banyak keluarkan sampai jadi masalah, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia.

1. Ramadan kita buang 270,000 tan makanan, Syawal naik 50% lagi!

Ikut kajian, punyalah membazir rakyat Malaysia ni sampai waktu bulan Ramadan kita sebenarnya buang 270,000 tan makanan. Jumlah ni boleh bagi makan kepada 180 juta orang, enam kali ganda jumlah penduduk Malaysia yang hanya berjumlah 27 juta orang. Dan kalau kita timbunkan semuanya, jumlah ni boleh isi 30 buah KLCC. Setiap hari pulak, daripada 38,000 tan sisa yang dihasilkan rakyat Malaysia, 15,000 tan ialah sisa makanan.

Daripada 15,000 tan tu, hampir 8,000 tan sisa makanan yang dibuang sebenarnya boleh dielakkan, dan 3,000 tan yang dibuang masih boleh dimakan. Jumlah ni meningkat 50% bila tiba musim perayaan, termasuklah Raya ke, Tahun Baru Cina ke, Deepavali ke atau semua jenis perayaan lah yang disambut orang Malaysia. Kajian Mardi pulak mendapati yang 28.4% padi yang dihasilkan hilang akan dibuang begitu sahaja, 20-50% buah-buahan dan sayur-sayuran pula tak pernah sampai di tangan pengguna.

Pernah ikut nasihat ni? Samalah kita…Imej dari justreadonline.com

Jika kita letak pembaziran ni dalam jumlah duit pulak, makanan yang dibuang setiap tahun pada peringkat global adalah bernilai RM 4.4 trilion! Tapi macam mana pulak dengan Malaysia? Jom kita tengok kenyataan WSCorp Wilayah Persekutuan kat bawah ni:

“Kajian mendapati bahawa isi rumah yang terdiri daripada lima anggota membelanjakan secara purata RM900 sebulan untuk makanan dan satu perempat daripadanya (RM225) telah terbuang ketika penyediaan, memasak dan penggunaan.” -Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Hazilah Gumri. Dipetik dari Mstar.

Jadi ini bermakna setahun sebanyak RM2,700  umlah makanan yang telah terbuang ke dalam tong sampah dan jumlah ni adalah jauh lebih tinggi daripada minima gaji bulanan rakyat Malaysia.

Makanan yang kita buang ialah punca utama gas metana di tapak pelupusan sampah yang burukkan kesan rumah hijau. Imej dari The Star.

Makanan je pun, nanti buang ke tapak pelupusan sampah okaylah semua, masuk tanah balik. Mesti ramai yang berfikir macam tu kan? Sebenarnya pandangan ini silap. Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah ni ialah pengeluar utama gas metana, gas yang boleh cemarkan alam sekitar dan burukkan kesan rumah hijau.

Toksik yang dihasilkan sisa makanan ni pulak boleh cemarkan air bawah tanah yang seterusnya masuk dalam sistem air bersih kita. Malah, tenaga yang kita gunakan untuk hasilkan makanan di seluruh dunia berjumlah 3.3 bilion tan. Lebih kurang macam nilah, kalau sisa makanan ni adalah sebuah negara, ia akan jadi negara ketiga terbesar bebaskan gas rumah hijau selepas China dan Amerika!

Benda yang tak nampak bahaya, tapi disebabkan kita membazir jadi benda paling bahaya sekali.

2. Malaysia dikatakan negara ke-8 terbanyak buang plastik ke laut

Antara jenis sampah yang paling bahaya ialah plastik, walaupun mungkin kita tak berapa nak hirau sangat sebab dah terbiasa pakai plastik dalam kehidupan seharian kita. Korang tahu tak daripada jumlah sampah yang kita hasilkan setiap hari, 4,000 tan metrik daripadanya ialah plastik.

Pengharaman beg plastik di Selangor baru-baru ni merupakan satu tindakan yang wajar sebab Selangor merupakan negeri tertinggi keluarkan sampah plastik iaitu 650 tan sehari.

Ia menjadi masalah bila plastik ni masuk ke dalam sungai, yang kemudiannya mengalir masuk ke laut. Punyalah teruk masalah ni sampai kerajaan telah peruntukkan RM4.4 bilion untuk bersihkan sungai-sungai di Kuala Lumpur.

Sampah sarap di sungai KL, geli ke tak? Imej dari riveroflife.com

Jadi taklah terkejut mana bila kajian University of Georgia yang guna data Bank Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-8 negara dunia paling banyak membuang sampah ke laut. Ada kemungkinan yang plastik-plastik ni dimakan hidupan laut, menyebabkan mikro plastik boleh masuk ke dalam rantaianan makanan manusia.

Hidupan liar boleh mati bila makan plastik ni dan ia jugak turut menyumbang kepada kemusnahan hidupan air yang lain. Krisis plastik dalam laut ni sangat membimbangkan sampai saintis jangka plastik akan lebih banyak daripada ikan di laut tahun 2050 nanti. Semuanya disebabkan sikap manusia yang suka guna plastik, tapi tak pandai nak lupuskan dengan betul.

Plastik bunuh binatang yang akhirnya akan bagi kesan pada manusia jugak. Imej dari cleanbeaches90245.weebly.com

3. Industri fesyen adalah penyumbang kepada pencemaran terbesar selepas minyak

Rasanya sebab semua orang kena pakai baju, industri pakaian ni tersangatlah penting. Jujurnya, berapa kali korang beli baju setahun? Sekali? Dua kali? Atau setiap kali sale mesti belilah, rugilah pulak, dah la murah, lawa pulak tu kan? Tak salah pun nak bergaya kalau poket tebal, tapi mungkin dah sampai masa kita berpada-pada beli baju sebab industri ini bagi kesan yang sangat teruk untuk alam sekitar.

Sebab hakikatnya, setiap tahun 80 juta pakaian baru dihasilkan dan industri pakaian (baca: fesyen) ni ialah industri kedua paling cemarkan alam sekitar di dunia selepas industri minyak dan gas (O&G)! Eh kenapa pulak jadi macam tu? Apa yang menyebabkan industri ni boleh cemarkan alam sekitar dengan sangat teruk?

Kita rasa pakaian yang murah menguntungkan kita, tapi sebenarnya tak. Imej dari www.fastfashion-dieausstellung.d

Sebabnya mudah, kebanyakkan pakaian sekarang dibuat guna kain sintetik (polister, nylon, acrylic dan banyak lagi), dan semua kain sintetik ni dihasilkan daripada petroleum! Misalnya, pada tahun 2013 je, lebih dua per tiga pakaian dunia menggunakan kain sintetik. Jadi bila kita basuh pakaian yang guna kain sintetik ni, fabrik sintetik tu akan keluarkan partikel mikroplasik yang akhirnya akan masuk dalam kitaran makanan manusia.

Malah, kain kapas yang kita anggap semulajadi tu pun sebenarnya bagi kesan kat alam sekitar. Sebabnya, walaupun kapas hanya ditanam di 2.4% tanah  dunia, proses penanaman kapas ni guna 10% bahan kimia dan 25% racun perosak daripada jumlah keseluruhan bahan kimia dan racun dunia. Malah korang bayangkan, untuk hasilkan hanya sepasang seluar jeans dan t-shirt saja pun, 5,000 galon air digunakan dan sisa air ni yang tercampur dengan pencuci, pewarna dan pelbagai jenis bahan kimia dilepaskan pulak ke alam sekitar tanpa dirawat.

Fashionista-fashionista mesti tahu yang selama ni pereka fesyen akan keluarkan pakaian diorang ikut musim. Empat musim, jadi akan adalah empat rekaan terbaru. Tetapi sekarang dunia sedang dilanda musim “fast fashion”, pendek kata kalau dulu ada empat rekaan mengikut musim setahun, sekarang kita ada hampir 11-15 musim setahun!

“Fast fashion” ini ialah tren yang keluarkan pakaian murah secara besar-besaran ikut tren fesyen yang diperkenalkan jenama mewah yang mahal harganya.  Eh eloklah tu, bukan semua orang mampu beli yang mahal! Mungkin ini yang korang fikir kan? Tapi setiap benda mesti ada sisi buruknya, dan dalam dunia “fast fashion” ni kesan buruknya sangat besar.

Kesan fast fashion ni bukan setakat pada alam sekitar tapi juga pada hak asasi pekerja negara miskin. Imej dari www.hercampus.com

Kalau korang nak tahu kesan “fast fashion” ini dengan lebih lanjut, korang boleh cari dan tonton dokumentari “The True Cost” dan marilah kita bersama-sama berfikir banyak kali sebelum seronok beli baju baru dan tak peduli pun dari mana baju tu datang.

4. Sisa elektronik orang Asia 2 kali ganda berat Piramid Giza

Orang zaman sekarang tak boleh hidup tanpa barangan elektronik sama ada handphone, laptop,tv, peti sejuk, ipad dan macam-macam lagilah. Ditambah lagi dengan gajet baru asyik keluar, kadang-kadang kita pun banyak kali tukar untuk “up to date” dengan kecanggihan teknologi yang ada. Tapi pernah tak korang terfikir macam mana nak buang gajet yang kita dah tak guna? Atau macam mana gajet ni dilupuskan secara selamat? Ikut kajian, rakyat Malaysia sebenarnya buang sejuta tan sisa elektronik setiap tahun.

Ramai orang tak tahu yang sebenarnya sisa elektronik perlu dilupuskan secara betul untuk elak kesan bahan merbahaya kepada manusia. Imej dari www.elsevier.com

Di peringkat Asia pulak, kajian terbaru Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang sisa elektronik kata orang Asia ni hasilkan sisa elektronik seberat 16 juta tan pada tahun 2014. Jumlah ni sebenarnya dua kali ganda berat piramid Giza tau! Masalah sisa elektronik sebab ada bahan bahaya dalam tu, dan bila dibuang dengan tak betul misalnya terus masuk tong sampah dan dibuang begitu sahaja boleh sebabkan pencemaran yang teruk. Pada tahun 2015, wujud bukti yang bahan kimia merbahaya macam kadmium atau zink daripada bahan elektronik ni cemarkan tanah dan meresap masuk ke dalam air bawah tanah.

Bila air bawah tanah tercemar, ada kebimbangan yang bahan toksik ni akan masuk dalam sistem air yang kita gunakan setiap hari. Satu lagi kebimbangan ialah bila sisa elektronik ni dilupuskan dengan cara yang tak betul, ia akan sebabkan bahaya pada alam sekitar dan mereka yang melupuskan. Misalnya, di Rengit, Johor Baru peti sejuk terpakai dari Singapura di hantar ke situ untuk dibaiki dan dilupuskan. Tapi masalahnya sistem yang diorang gunakan tu tak selamat, dan negara kita akhirnya akan jadi pusat lambakan sampah elektronik yang merbahaya.

Pernah tak terfikir ke mana perginya sisa barangan elektronik yang kita buang selama ni? Atau kita tak peduli pun? Imej dari businessinsider.com

5. Kertas bungkus nasi lemak tak boleh dikitar semula

Bila kita fikir soal kitar semula terutamanya kertas, kita fikir semua jenis kertas boleh dikitar semula. Sebenarnya, tanggapan ni silap. Sebabnya di Malaysia, hanya surat khabar, kotak, buku dan beberapa jenis kotak minuman terutama sekali yang dikeluarkan Tetra Park sahaja boleh dikitar semula. Jenis kertas pun ada macam-macam, tetapi kertas yang ada lapisan lilin atau karbon, kotak makanan kertas, kertas yang dilekatkan dengan gam dan kertas bungkus makanan kita sebenarnya tak boleh dikitar semula. Sebabnya, kertas ini sudah tercemar dan kos naik kalau nak kitar semula kertas tercemar ni.

Bukan semua kertas boleh dikitar semula, macam yang bungkus nasi lemak ni tak boleh dikitar semula! Imej dari intergalacticgalacticgalactic.blogspot.my

Begitu juga bila kertas tu digabungkan dengan plastik atau lilin. Sebab semua jenis bahan ada tahap lebur berbeza, bila digabungkan dengan kertas ia akan menyukarkan proses kitar semula dan kita masih tak ada teknologi untuk pisahkan bahan-bahan ini, jadi kertas jenis begini selalunya akan terus dibuang tanpa dikitar semula.

Sebelum kita hidup dalam timbunan sampah sarap, kita perlu ubah diri sendiri

Malaysia sasarkan tahap kitar semula pada kadar 22% menjelang 2020 dan pada 2016 tahap kitar semula negara ialah 17.49%. Macam-macam program dah diperkenalkan untuk sedarkan masyarakat pentingnya kita uruskan sampah kita dengan betul, daripada kempen sampailah kepada penguatkuasaan undang-undang. Misalnya, dah dua tahun berlalu sejak kerajaan wajibkan pengasingan sampah rumah pada 2015.

Matlamatnya senang je, untuk mudahkan pengasingan sampah yang boleh kitar semula dan yang tak boleh.  Bila kita asingkan, kita mudahkan proses pengurusan sampah jadi secara tak langsung kita dapat kurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah yang semakin tak cukup sekarang ni. Buat masa sekarang, pengasingan sampah ni wajib dilakukan di wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. Kalau didapati tak asingkan, korang boleh kena denda sehingga RM1,000. Pelaksanaan tu ada jugaklah kejayaan, tapi ada jugak yang tak berapa berjaya.

Tapi kalau nak harapkan kerajaan semata-mata, kita pun kenalah berubah jugak. Kalau tak banyak, sikit pun jadilah, bak kata pepatah sikit-skit lama-lama jadi bukit. Dan tempat paling mudah kita hendak mula, sudah tentulah rumah kita sendiri. Mana tahu satu hari nanti kita pun boleh jadi segigih dan sehebat penduduk bandar di Jepun ni dalam kitar semula dan uruskan sisa sampah mereka.

Nak tahu lebih lanjut macam mana korang boleh tolong dunia kita daripada tercemar dengan sampah? Boleh klik bawah: