Malaysia merupakan negara pertama kat dunia gunakan inovasi jalan getah? Ini kelebihannya

(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Kalau korang ada lesen memandu kat Malaysia, mungkin korang dah pernah lalu dan hadap jalan yang berlubang (atau sekurang-kurangnya korang dah pernah elak) sebelum ni. Jalan-jalan yang macam tu akan ada je kat mana-mana pun. Dan kalau korang memandu kat jalan berlubang yang sama, korang mungkin perasan yang ia akan bertambah besar sampaikan pihak berwajib akhirnya buat keputusan untuk memperbaikinya.

Mungkin dengan cara ni jugak boleh atasinya. Imej dari Today Online

Jalan berlubang ni bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bagi pemandu kereta, tapi untuk penunggang motosikal, ia boleh menyebabkan kes kematian. Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) ada cadangkan idea untuk menggunakan getah pada jalan raya. Dan berdasarkan kertas penyelidikan dan berita yang kitaorang kaji, jalan getah ni menjanjikan banyak cara yang menguntungkan.

Kali ni, kitorang nak tengoklah keberkesanan jalan-jalan berturap getah tu, dan korang mungkin terfikir yang …

Adakah ia boleh membuatkan jalan melantun-lantun?

Kitorang pun terimaginasi benda yang sama. Imej asal dari Skyline Motorsport dan The Smart Local

Jangan risau ia takkan jadi macam tu… Mungkin… Tapi…

Macam mana getah boleh selesaikan masalah jalan berlubang?

Untuk betul-betul faham pasal tu, benda pertama yang kita kena tahu adalah macam mana jalan berlubang boleh berlaku. Sebenarnya ada beberapa perkara yang menyebabkan jalan berlubang ni (syarikat utiliti menggali jalan untuk letakkan kabel dan paip dan tak tampalnya dengan betul jugak merupakan salah satu puncanya), tapi jenis lubang yang kita tengok dalam artikel ni adalah semua lubang yang terjadi secara ‘semula jadi’. 

Jalan-jalan asfalt (asphalt roads) yang kita ada hari ni (dikenali sebagai jalan berturap atau jalan tar secara umumnya) pada dasarnya dibuat daripada tiga lapisan: permukaan, pangkalan dan dasar, yang pada dasarnya adalah permukaan tanah yang dilitupi jalan raya.

Apa yang terkandung kat jalan raya yang kita lalu tu. Imej dari UTM Open Courseware

Apa yang paling penting adalah lapisan permukaan yang diperbuat daripada asfalt, yang macam biskut untuk kek keju. Jadi ia macam nak buat kek keju lah. Untuk itu, ia tak menggunakan serbuk biskut, tapi digantikan dengan batu-batu kecik dengan saiz berbeza (dipanggil aggregate).

Mentega cair pulak digantikan dengan bitumen iaitu cecair tebal, hitam, berminyak yang merupakan daripada sisa petroleum. Aggregate dan bitumen dicampurkan untuk membentuk asfalt pada nisbah sekitar 95:5. Lepas tu, ia dituangkan ke pangkalan jalan, dan dipadatkan untuk membentuk permukaan jalan.

Selain mencantumkan aggregate dan membuat lapisan tu melekat pada jalan berlapis yang baru, bitumen juga menyimpan air daripada menjadikan permukaan jalan menjadi lemah, dan merupakan jalan yang kalis air. Walaubagaimanapun, bitumen jugak merupakan termoplastik, bermakna ia boleh menjadi lembut dalam keadaan yang panas dan berubah menjadi keras apabila ia sejuk. (Ada belajar kan pasal ni waktu kat sekolah dulu?).

Dan kalau korang berlari berkaki ayam kat atas asfalt pada waktu panas dan korang boleh rasakan betapa panasnya jalan tu. Dengan kitaran pengembangan dan penguncupan selari dengan perubahan suhu, ditambah dengan kereta dan trak yang lalu kat jalan tu sepanjang masa, rekahan akan senang terbentuk. 

Alamak… GIF dari Giphy

Air hujan pun boleh meresap melalui celah-celah rekahan tu, dan dari masa ke masa ia boleh membentuk lubang di sebalik jalan tu dan dalam asfalt. Dan, ini akhirnya akan membuatkan jalan berlubang bila kenderaan berat lalu di atasnya. Dan bila banyak kenderaan yang lalu kat atasnya, ia akan menjadikan lubang tu bertambah besar.

Tapi, adakah cara yang boleh ubah suai bitumen untuk menjadikannya kurang cenderung daripada menjadi retak? ….

Bitumen akan lebih anjal dengan campuran getah?

Sekarang ni dan lebih daripada satu abad, bitumen dah diolah dengan macam-macam bahan untuk jadikan ia lebih anjal dan kukuh. Bahan pelik contohnya macam polimer (mengandungi molekul dengan rantaian panjang yang berulang), dan produk yang dihasilkan dipanggil polymer modified bitumen (PMB). Contohnya, Amerika Syarikat ada tambah campuran serbuk getah daripada tayar ke dalam bitumen, dan India pulak menggunakan campuran sampah plastik. 

Dr R Vasudevan pensyarah kimia yang buat kajian mengenai sampah plastik dan jalan raya. Imej dari The Guardian

Dengan menambah campuran polimer dalam bitumen, ia menghasilkan hasil berlainan bergantung kepada jenis polimer yang digunakan. Tapi sebenarnya, ia mampu menjadikan asfalt yang dihasilkan lebih kuat dan lebih likat. Malaysia telah bereksperimen dengan serbuk getah dan getah asli pada jalan raya sejak tahun 1950-an lagi, tapi keputusannya nampak samar-samar. Sama ada sebab ia tak direkodkan ataupun diaorang cuma buat benda tu dan tak mengikuti susulan hasilnya lepas tu.

Pada sekitar tahun 2015, LGM dengan JKR berkumpul dan mengkaji keberkesanannya dalam penambahan campuran getah cuplump ke dalam bitumen untuk digunakan pada jalan raya. Cuplump ni sebenarnya merupakan benjolan getah mentah yang sangat kukuh ditemui kat lapisan paling bawah dalam gelas menoreh getah. Memandangkan ia dikatakan sebagai produk daripada pokok getah, cuplumps jauh lebih murah dan lebih mudah digunakan. 

Cuplump juga dikatakan lebih elok digunakan pada jalan raya daripada serbuk getah, sebab ia lebih cenderung bertindak sebagai pengisi untuk merapatkan dan memasang ruang antara aggregate. Ia membawa kepada permukaan jalan yang lebih padat. Cuplump merupakan getah yang tak diproses, ia mampu mengubah sifat bitumen bila ia dicampurkan, dan menjadikannya sebagai bahan pelekat yang baik dan berkualiti. 

Walaupun LGM pada mulanya nampak macam kalut sikit untuk membuktikan tentang kebenaran fakta sains mengenainya, cuplumps ditambahkan kat bitumen untuk menjadikan cuplumps bituminous. Dan ia ditambahkan lagi dalam amaun yang lebih banyak untuk menjadikan pengikat yang lebih kuat. Dan, bila ia diubah suai dan bercampur dengan aggregate, membentuk cuplump modified asphalt (CMA). 

Untuk buatkan korang lebih faham. Imej dari JKR

Malaysia dikatakan negara pertama kat dunia yang menggunakan teknologi ni. Pada mulanya, jalan yang menggunakan campuran getah ni dibina kat Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang pada 2017 untuk ujian ketahanan. Dan penemuan awal menunjukkan jalan yang dibina menggunakan CMA adalah lebih tenang dan lebih mudah untuk dipandu kat situ (dan cengkaman yang lebih baik). Ia jugak lebih anjal, sebab permukaannya masih terlekat, tapi ia secara tak langsung akan beransur-ansur jadi macam asal semula.

Apa-apa pun, mungkin disebabkan oleh penemuan positif, kerajaan putuskan untuk meneruskannya dan mula menggunakan teknologi CMA ke jalan lain. Jalan raya Yong Peng – Segamat yang sejauh 40km dikatakan merupakan jalan pertama kat negara ni yang menggunakan CMA secara rasmi pada 2018.

Jalan persekutuan Yong Peng – Segamat. Imej dari Kementerian Kerja Raya

Tapi beberapa jalan lain sebenarnya pun dah gunakan campuran CMA sebelum ni tapi dengan skala yang lebih kecik lah. Pada September, Kedah mempunyai jalan pertama yang adanya CMA ni (150 meter antara Alor Setar dan Kuala Kedah), dan ada rancangan pada bulan lepas yang mengatakan akan menggunakan CMA dalam 2km jalan kat Kadamaian, Sabah. Dan sekiranya rancangan tu berjaya, ia akan menjadi jalan getah pertama kat Sabah.

Dan, dalam hal ni kita perlu perhatikan yang …

Selain untuk penurapan jalan yang lebih baik, ada banyak lagi kelebihan CMA ni …

Sehingga Februari 2019, jalan getah sepanjang 46 kilometer dah siap dibina dengan menggunakan teknologi CMA. Dengan RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk membina lebih banyak jalan raya CMA kat kawasan pelabuhan dan kawasan perindustrian, dan mungkin ia akan bertambah lagi akan datang. Kerajaan nampaknya berminat dalam usaha penurapan jalan dengan getah ni, dan nampaknya untuk sebab yang baik untuk jangka masa panjang.

Getah-getah yang kita pernah nampak dulu. Imej dari Global Rubber Markets

Sememangnya, jalan raya CMA ni jauh lebih mahal untuk dibina daripada jalan asfalt biasa. Kos pembinaan jalan raya asfalt biasa tu berharga sekitar RM29.90 bagi satu meter persegi, tapi jalan raya CMA berharga dua kali ganda daripada tu iaitu RM53.60 bagi satu kaki persegi. Walaubagaimanapun, ia mungkin akan jadi lebih murah dalam jangka masa panjang.

Jalan-jalan yang dibina dengan menggunakan polimer getah dikatakan lebih tahan lama, dan dilaporkan yang jalan raya sepanjang 50km berhampiran KLIA yang dibina dengan menggunakan serbuk getah masih belum dibaiki semula sejak tahun 1998. Jalan raya yang lain biasanya diturap semula lepas 4 atau 5 tahun untuk memperbaiki jalan berlubang, retak dan rosak. Tapi dengan menggunakan polimer dalam bitumen ia dikatakan dapat memanjangkan masa untuk diturap semula sehingga 8-10 tahun. 

Tapi sebenarnya ada tujuan lain untuk promosikan CMA ni. Dan ia bukanlah rahsia. Tapi dengan menggunakan getah mentah sebagai bahan binaan kat jalan raya, kerajaan berharap untuk meningkatkan penggunaan domestik getah Malaysia. Pasaran getah global tak nampak begitu okay sejak kebelakangan ni, dengan terlebihnya bekalan yang dihasilkan menyebabkan harga getah terus jatuh merundum.

Antara faktor jalan rosak. Imej dari Twitter @JKR Malaysia

Untuk tangani kemerosotan tu, ada yang mengatakan negara pengeluar getah, macam Thailand dah melobi untuk menggunakan asfalt getah ni untuk meningkatkan permintaan secara dalaman. Dan Malaysia nampaknya buat perkara yang sama jugak.

Bagi setiap kilometer daripada jalan raya (atau 6,000 meter persegi) yang dibina menggunakan teknologi CMA, dianggarkan sebanyak 4.2 tan getah cuplump diperlukan. Dengan jumlah penggunaan yang macam tu, ia hanya mampu untuk membaiki 5-10% jalan persekutuan kat Semenanjung je yang secara tak langsung akan meningkatkan permintaan secara domestik untuk getah. Dan dengan harapan takkan menjejaskan harga asal.

Jalan getah ni dapat bantu pekebun dan penoreh getah tempatan

Perasmian jalan getah pertama kat Teluk Intan pada tahun 2017. Imej dari Orang Perak

Dan yang paling banyak dapat manfaat daripada inisiatif ini adalah 440,000 pekebun kecil getah kat negara ni. Dikatakan 95% pengeluaran cuplump adalah dihasilkan daripada pekebun tu. Selaras jugak dengan seruan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

“Jalan-jalan getah ini boleh membantu menaikkan pendapatan beberapa pekebun kecil yang terlibat dalam model rantaian bekalan getah yang dirancang, dan projek ini dijangka dapat meningkatkan penggunaan tempatan pada masa akan datang jika dilaksanakan secara berterusan,” – Teresa Kok, Menteri Industri Utama, sumber dari Malay Mail.

Tapi sepanjang tulis artikel ni, kitaorang tak jumpa apa-apa kesan buruk terhadap penggunaan jalan getah ni kecuali harganya. Mungkin sebab tak ramai lagi yang tahu pasal teknologi baru ni…

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)