Malaysia belanjakan RM2 bilion untuk pikat pelabur asing. Apa hasilnya?

Semasa Bajet 2022 diumumkan tahun lepas, ramai yang kecoh pasal moratorium, pelepasan cukai dan bantuan kewangan lain. Sebab itu, mungkin korang tak perasan yang kerajaan juga ada umumkan dana sebanyak RM2 bilion untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI). Bukan sikit tu, dah boleh beli 5 ribu Vellfire!

Kalau korang tak pasti FDI tu apa, ia macam pelaburan jangka panjang yang syarikat multinasional lakukan di sesebuah negara lain, contohnya macam bila Intel umumkan yang diorang akan buka kilang di Pulau Pinang, dan akan beri peluang pekerjaan kepada 9,000 orang di Malaysia.

Kilang Intel di Malaysia. Imej daripada BusinessToday

Kenapa kita nak sangat dapatkan FDI ni? Selain daripada memberikan peluang pekerjaan, negara kita juga akan dapat manfaat lain, contohnya pendapatan cukai, meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, menambah baik teknologi serta infrastruktur negara, dan macam-macam lagi.

Sebab itu juga semua negara akan bersaing untuk dapatkan FDI, dan akan menawarkan pekerja berkemahiran, insentif cukai serta manfaat-manfaat lain untuk pikat pelabur asing. 

Jadi, jom kita tengok sama ada FDI negara kita meningkat ataupun tidak…

 

FDI pada tahun 2022 sebenarnya sangat memberangsangkan 

FDI untuk suku kedua 2022. Imej daripada Jabatan Statistik Negara.

Mengikut laporan daripada Jabatan Statistik Malaysia, kita berjaya menarik RM47.4 bilion FDI dalam 6 bulan pertama tahun ni. Kalau nak bandingkan, tahun lepas FDI Malaysia ialah RM48.1 bilion. Kiranya dalam setengah tahun saja, FDI kita dah hampir setinggi FDI tahun lepas. Jadi, boleh dikatakan ia berada dalam proses pemulihan yang baik, sebab FDI pada tahun 2020 cuma RM13.3 bilion sahaja.

Jadi, negara manakah yang melabur di Malaysia agaknya? Kalau korang rasa FDI paling tinggi datang dari China atau US, mungkin korang terkejut dengan jawapan sebenarnya, iaitu: Singapura!

Setakat suku kedua tahun ni, jumlah aset FDI kita ialah RM836.2 bilion, dan Singapura saja dah menyumbangkan 20.8% daripada jumlah keseluruhan. Di tangga kedua ialah Hong Kong (10.9%), diikuti dengan US (10.8%). Industri-industri utama pula ialah:

  • Pembuatan – RM360 bilion (43.1%)
  • Aktiviti kewangan – RM189.8 bilion (22.7%)
  • Perdagangan Borong dan Runcit – RM53 bilion (6.8%)

Tapi, mesti Malaysia melabur di negara lain juga kan? Jadi, ke negara mana perginya duit kita?

Nampaknya Malaysia dan Singapura ni kawan baik

Gambar sekadar hiasan. Imej daripada Pinterest @nanalegod

Kalau ada langit, mesti ada bumi. Kalau ada FDI, mesti ada DIA. DIA atau Pelaburan Langsung Di Luar Negeri ni merujuk kepada pelaburan oleh syarikat-syarikat Malaysia di negara asing. Contohnya macam PETRONAS yang melaburkan wang di Turkmenistan untuk penerokaan minyak dan gas.

Sama macam FDI, DIA juga ada manfaatnya sendiri. Contohnya, kita boleh dapatkan akses kepada sumber asli yang tak wujud di tanah air, buka pasaran baharu untuk produk tempatan, dan bina nama di pasaran antarabangsa. Kalau kita pergi Turkmenistan, mungkin orang sana tak tahu Malaysia kat mana. Tapi kalau sebut je PETRONAS, mesti ramai yang kenal. 

Bagi warganegara Turkmenistan, Begench Artykov (nombor dua dari kanan), bekerja dengan PETRONAS bagaikan mimpi yang jadi realiti. Imej daripada PETRONAS.

Bila kita tengok dari segi DIA, boleh dikatakan Malaysia dan Singapura ni memang berkawan baik, sebab mereka mendapat pelaburan tertinggi daripada kita, iaitu RM118 bilion (20.4%). Berikutnya, kita juga membuat pelaburan sebanyak RM59.8 bilion (10.4%) di Indonesia, dan RM35.5 bilion (6.1%) di Kepulauan Cayman.

Butiran penuh mengenai DIA Malaysia. Imej daripada Jabatan Statistik Negara.

Setakat ni, MOF belum menjawab soalan kami tentang jenis pelaburan yang disumbangkan kepada Kepulauan Cayman, tapi kemungkinan besar ada syarikat multinasional Malaysia yang memperbadankan syarikat mereka di sana, sama macam apa yang syarikat multinasional luar negara lakukan. Sebabnya, Kepulauan Cayman merupakan pusat lindungan cukai.

Prospek ekonomi global untuk 2023 pula agak suram

Walaupun jumlah FDI dan DIA setakat ni sangat memberangsangkan, tapi kita belum betul-betul selesa lagi. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan akan berlaku penurunan dalam pertumbuhan global dan kenaikan inflasi pada separuh kedua tahun ni. Antara sebab utamanya adalah perang di Ukraine dan krisis hartanah di China. Korang boleh baca sendiri dalam laporan prospek ekonomi dunia ni:

“Pemulihan tentatif pada tahun 2021 telah diikuti dengan perkembangan yang semakin suram pada tahun 2022 apabila risiko mula menjadi kenyataan” – Dipetik daripada World Economic Outlook, versi Julai 2022.

Kalau korang tak cukup runsing lagi, boleh baca nota dasar daripada World Bank yang bertajuk “Adakah Kemelesetan Global Akan Berlaku?” Kesimpulannya, hampir mustahil untuk kita lari daripada kemelesetan global pada tahun depan, dan kewangan kita pun mesti terkesan.

Bajet 2023 perlu ada strategi supaya kita mampu bertahan

Antara pelaburan terbaharu yang Malaysia dapat dari Jepun. Imej daripada BusinessToday

Walaupun dulu muncul gambar-gambar lucu dan meme tentang aktiviti Misi Perdagangan dan Pelaburan oleh MITI, nampaknya RM25 juta yang diperuntukkan bagi misi ni ada mendatangkan hasil, antaranya pelaburan sebanyak RM9.3 bilion dari Jepun pada September 2022. Selain itu, ratusan juta Ringgit sudah dibelanjakan untuk melatih dan menyokong tenaga kerja serta syarikat Malaysia bagi menarik syarikat multinasional daripada industri-industri penting seperti aeroangkasa, teknologi dron, minyak dan gas, dan kejuruteraan mekatronik.

Dalam negara pula, industri-industri dan syarikat-syarikat tempatan juga ditawarkan beberapa dana dan bantuan untuk mengharungi tempoh pemulihan ekonomi ini. Tapi, selain daripada pelaburan sedia ada, Bajet 2023 juga harus mempertimbangkan aspek lain untuk menjadikan Malaysia sebuah lokasi pelaburan menarik, seperti kestabilan sosial dan politik melalui dasar-dasar berkenaan kebajikan awam, subsidi, dan cukai.

Kenyataan Pra Bajet 2023 setakat ini menunjukkan yang kerajaan juga sedar bahawa tahun 2023 bakal menjanjikan cabaran buat kita semua, dan langkah-langkah akan diambil untuk menjaga kepentingan bisnes dan semua lapisan masyarakat. Jadi, adakah Bajet 2023 mampu membuahkan hasil yang sama seperti bajet tahun lepas? Nampaknya kita perlu tunggu dan lihat dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.