- 378Share sekarang!
- Email5
- Facebook373
- Share
Kelab Sosialis Universiti Malaya (UM) merupakan sebuah kumpulan yang mengubah corak gerakan mahasiswa di Malaysia dan terkenal dalam menentang Kerajaan. Mereka juga berjaya menghidupkan api keberanian mahasiswa dalam menyuarakan pendapat.
Selepas Kelab Sosialis mengetahui kemiskinan di Baling, Kedah kerana harga getah menurun selepas membaca berita “Hunger Strikes In Baling“, mereka telah menghantar Abu zer (ahli Kelab Sosialis) sebagai pengintip dengan mengumpul duit supaya dia dapat pergi ke Baling. Setelah Abu Zer tiba di Baling, alangkah terkejutnya dia apabila….
Melihat orang miskin Baling memakan ubi beracun dan mati kebuluran
Semasa Abu Zer di Baling, penduduk kampung di sana mengalami kemiskinan dan mereka terpaksa makan ubi gadong. Selalunya, ubi ini boleh dijumpai di hutan dan ia perlu direndam dalam air yang bergerak kerana kalau korang makan macam tu je, korang boleh mati sebab di dalamnya ada racun.
Menurut Abu Zer, orang miskin di sana tidak boleh menoreh kerana hujan tak berhenti selama sebulan. Jadi, kalau hujan tak berhenti selama sebulan maka, selama sebulanlah mereka tak boleh menoreh getah. Kerajaan juga mengalami tekanan inflasi dan kejatuhan harga getah iaitu 15 sen sahaja untuk sekati. Ia turut menjadi punca kenapa ada penduduk yang mati kebuluran.
Polis dan polis hutan menjaga kawasan sekitar Baling dan mereka menutup jalan masuk dari Sungai Petani ke Baling kerana seminggu sebelumnya, penduduk kampung melakukan demonstrasi.
Semasa Abu Zer dalam perjalanan, dia terlihat sekatan jalan raya di hadapan dan tanpa membuang masa, dia turun dari bas lalu berjalan ke jalan belukar dan masuk ke dalam sawah untuk mengelakkan diri dari polis. Dia terus berjalan ke Baling dan menetap di rumah petani muda.
“Kami dari Kelab Sosialis bukan sahaja bijak dalam ilmu pembelajaran di universiti, malah kami juga lincah dalam cara dan teknik menghindar dan mencium musuh.” – Hishamuddin Rais, Aktivis Politik, petikan dari Malaysiakini.
Parti Persaudaraan Islam menyeru penduduk kampung untuk berdemo
Kehadiran Abu Zer ni memang tepat pada waktu kerana dia sempat melihat penduduk kampung keluar beramai-ramai dan melakukan demonstrasi pada awal pagi. Parti Persaudaraan Islam (PAPERI) juga memainkan peranan dalam demo ini kerana mereka berbasikal dan menaiki motor sambil menyeru semua orang kampung untuk keluar berdemo pada 29 November 1974.
Abu Zer bukan saja melihat, malah dia juga menyusun strategi untuk penduduk kampung berdemo. Mereka membawa sepanduk dengan kertas kotak dan apa lebih hebat, keberanian mereka untuk melawan kegagalan dasar pembangunan kampung dari UMNO.
Pada masa itu, penduduk kampung menerima berita ada seorang ahli UMNO akan datang menyelesaikan masalah yang melanda mereka.
Ribuan penduduk kampung telah berkumpul di pejabat Kerajaan sambil menunggu kehadiran ahli UMNO itu. Polis, polis hutan, dan tentera telah mengepung kawasan itu untuk mengawal keadaan supaya tak ada serangan yang berlaku.
“Di padang pejabat kerajaan ribuan penduduk menunggu. Orang-orang kampung telah difahamkan bahawa ada ‘orang besar‘ dari Kuala Lumpur akan datang. Polis, polis hutan dan tentera telah siap sedia.” – Hishamuddin Rais, petikan dari Malaysiakini.
Tidak lama kemudian, sebuah helikopter mendarat di padang itu dan Tun Musa Hitam keluar dari pintu helikopter. Penduduk kampung sangat marah semasa beliau cuba untuk meredakan keadaan. Kalau korang nak tahu, Tun Musa Hitam ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan ahli Pemuda UMNO pada masa itu.
Semangat mahasiswa dalam menentang kemiskinan di Baling
Berita mengenai kematian penduduk kampung di Baling akibat kebuluran semakin tersebar dan kemarahan mahasiswa sangat membara selepas melihat penindasan dari kerajaan. Kelab Sosialis telah menulis “DEMO 3 Disember Dataran Merdeka jam 10:00 Pagi” di papan tanda sekitar kawasan UM.
Bukan itu saja, mahasiswa dari institut dan universiti lain seperti Institut Teknologi Kebangsaan, Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia turut serta dalam demonstrasi ini.
Pada malam itu, Kelab Sosialis telah mengadakan mesyuarat untuk membuat persediaan. Kain rentang dan megaphone disediakan tetapi mereka menyimpan di dalam beg selendang kerana takut awal-awal dah kena serang. Justeru, kain rentang dan megapone ini hanya akan digunakan untuk mengumpulkan kembali para pelajar yang berkeliaran apabila diserang oleh FRU.
“Dari pengalaman kami TIDAK akan mengeluarkan megapone atau kain rentang. Semua disimpan dalam beg selendang. Kami yakin kami akan diserang.” – Hishamuddin Rais, petikan dari Malaysiakini.
Hishamuddin Rais menceritakan yang dia menaiki motorsikal bersama Halim Latif (ahli Kelab Sosialis) dan setibanya mereka di Dataran Merdeka, mereka melihat ribuan pelajar sedang berkumpul di situ. Mereka juga memaparkan satu kain rentas yang ditulis “MENTERI BUKA BANYAK GEDONG – RAKYAT MAKAN UBI GADONG”
Oh kalau korang nak tahu, seramai 12,000 hingga 14,000 mahasiswa yang menyertai demonstrasi ini dan mereka membawa semangat pemberontakkan lalu membanjiri Dataran Merdeka.
Tidak lama kemudian, pihak FRU datang menyerbu Dataran Merdeka dan mereka membalingkan gas pemedih mata kepada mahasiswa. Beberapa buah kenderaan Black Maria telah tiba lalu menangkap mahasiswa yang ditahan. Abu Zer, Kamarazaman Yacob dan Adi Satria terus mengawal ketenteraman pelajar.
Semua mahasiswa telah berlari ke Masjid Negara untuk berlindung tetapi masjid itu telah dikelilingi oleh pihak FRU dan mereka membalingkan gas pemedih mata. Semasa mahasiswa berada di dalam masjid, mereka telah melaungkan azan dan kalimah “Allahuakbar” serta menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah.
” Sementara menunggu ketibaan waktu zohor mereka telah berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zohor secara berjemaah.” – Makalah Ar-Risalah 1975, petikan dari Malaysiakini.
Mahasiswa cuba untuk menyerang pihak FRU dengan membaling pasu ke arah mereka. Namun, pihak FRU terus menyerbu dan menangkap mereka (bukan semualah yang ditangkap). Mereka telah berjaya menangkap seramai 1128 pelajar dan mereka kemudiannya dibawa ke balai-balai polis Sentul, Brickfields dan Jalan Bandar.
Demonstrasi diiteruskan hingga ke 7 Disember 1974. Pada Subuh 8 Disember 1974, polis hutan dan tentera menyerbu UM dan menangkap pemimpin pelajar.
Peristiwa Demo Baling 1974 sebagai satu sejarah buat mahasiswa
Peristiwa ini sebenarnya memberikan kesedaran kepada mahasiswa zaman sekarang mengenai keberanian dalam menyuarakan seusatu perkara. Bukan itu sahaja, ia juga mengingatkan kepada mahasiswa supaya tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa mengambil tahu isu-isu semasa.
Oh ye kalau korang nak tahu, Tun M (Menteri Pendidikan masa tu) sampai keluarkan kenyataan selepas Demo Baling 1974 ini berlaku:
“Satu daripada alat Dasar Ekonomi Baru ialah pelajaran. Pelajaran membolehkan economic and social mobility yang dapat mengubah nasib seseorang atau sesuatu kaum daripada buruk kepada baik. Apabila wujud kegiatan mahasiswa yang pelbagai seperti menyertai pilihan raya dan mengadakan demonstrasi, mereka tidak dapat menumpukan pelajaran.” – Tun M, petikan dari Persepsi Pelajar UTM Terhadap AUKU.
Jika kita lihat mahasiswa zaman sekarang (bukan semua ye!), mereka hanya duduk dalam bilik lepas tu push rank bersama rakan-rakan dan tidak tahu isu semasa. Jika perkara ini dibiarkan, kita akan melahirkan generasi yang lemah.
Namun, bukan semualah yang macam ni kerana ada sahaja gerakan mahasiswa yang berani dalam menyuarakan pandangan. Jadi, apa pendapat korang mengenai Demo Baling 1974?
- 378Share sekarang!
- Email5
- Facebook373
- Share