5 nama stadium yang pelik dan nama stadium terakhir ni pasti buat korang bangga

Selalunya nama stadium ini diberi sempena nama syarikat yang menaja sesebuah kelab bola sepak seperti Allianz Arena (Allianz SE), Aviva Stadium (Aviva plc), Bank’s Stadium (Bank’s Brewery) and sebagainya. Kadangkala nama stadium juga diberi sempena nama Sultan, tempat dan sejarah seperti Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Muhammad IV, Santiago Bernabeu dan Camp Nou.

Kadangkala nama stadium ni boleh jadi bahan ketawa kerana namanya yang pelik dan tidak masuk akal. Takpe, mari kami huraikan lima nama stadium yang pelik dan nama stadium terakhir ni pasti buat korang gelak terbahak-bahak kerana ramai orang cuba mencari maksud nama stadium itu.

1. Stadium Gay Meadow : Pemilik tanah stadium ini bernama Gay

Stadium ini dikatakan mempunyai fasiliti yang teruk. Imej dari i384

*Penafian: kandungan yang ingin dihuraikan ini tidak menghina mana-mana golongan, kerana ada juga laman web lain yang menyenaraikan stadium ini sebagai nama stadium yang pelik*

Gay Meadow Stadium dibina pada 1910 di Shewsbury Town, Engalnd dan ia dibina bukan untuk stadium bola sepak tetapi untuk karnival dan majlis-majlis hiburan. Kalau korang nak tahu, stadium ini diberi nama Gay Meadow kerana tanah ini dimiliki oleh keluarga Gay (Nama ye korang bukan homoseksual).

Stadium ini juga dikatakan berada di kawasan tanah yang tidak elok. Hal ini disebabkan ia terletak di sebelah Sungai Severn. Jadi, apabila hujan turun, mereka terpaksa menangguhkan perlawanan kerana banjir sering berlaku di bilik persalinan dan pejabat. Bukan itu saja, fasiliti stadium seperti tempat duduk penonton dan rumput padang tidak dijaga.

Pada Julai 2008, nama stadium ini telah ditukar kepada New Meadow Stadium dan fasiliti stadium itu telah dibaik pulih sepenuhnya. Lepastu, nama stadium ini ditukar kepada Montgomery Waters Stadium sempena nama syarikat air (Montogomery Waters) di England. Walaupun mereka sudah memberhentikan tajaan dan menarik hak penamaan stadium pada hujung 2017, pihak stadium masih menggunakan nama mereka.

2. Stadium Middelfart: Singkatan untuk perkataan Denmark

Stadium ini sebenarnya dah tutup. Imej dari Playmaker.

Dalam kepala otak korang mesti fikir kentut, pelik kan kenapa namanya Middelfart? Adakah disebabkan peristiwa orang kentut di tengah-tengah khalayak orang ramai, lalu memberi nama Middelfart? haa meh sini kami huraikan kenapa namanya macam itu.

Bandar Middelfart dinamakan pada tahun 1231. Nama Middelfart berasal dari nama awal Melfar yang merupakan singkatan kata Denmark untuk “middle crossing“. Oleh itu, bandar ini turut dinamakan sempena lokasinya yang paling kecil di Little Belt, Denmark. Ia juga menjadi tempat yang terkenal kerana orang ramai akan melalui bandar ini jika mahu pergi ke Jutland.

Stadium ini hanya mampu memuatkan 4000 orang sahaja dan tiada sistem lampu stadium. Sebenarnya stadium ni dah lama tutup cuma orang ramai masih meningatinya kerana namanya yang pelik.

3. Stadium The Dripping Pan: Diinspirasi dari alur di dinding?

Suasana stadium seperti di kampung. Imej dari Wikidata.

Stadium The Dripping Pan terletak di Lewes, England dan ia secara rasminya dibuka pada 1730 untuk sukan kriket kemudian ditukar kepada stadium bola pada 1885. Ia merupakan stadium untuk sebuah pasukan bola sepak dari Liga Perdana Isthmian, Lewes F.C.

Kalau korang nak tahu, stadium ini sangat disukai oleh penonton yang hadir kerana fasiliti serta staf stadium yang mesra dan peramah. Bukan itu saja, stadium ini mendapat pengiktirafan seluruh dunia untuk poster perlawanan yang kreatif.

Menurut pengurus Lewes F.C, Stuart Fuller, stadium ini ialah kebanggaan mereka sebagai tempat terbaik untuk Bola Sepak Inggeris. Diberi nama The Dripping Pan kerana alur dinding-dinding di kawasan itu seperti kuali yang mengalirkan air.

“Kemungkinan ramai orang menganggap tempat ini sangat luar biasa. Namun, mereka mungkin tak nak tinggal di sini kerana sistem longkang yang teruk dan dindingnya mempunyai banyak sudut seperti kuali yang mengalir.” – Stuart Fuller, petikan dari The Argus.

4. Tony Macaroni Arena: Restoran Itali sebagai penaja stadium

Korang nampak en ada nama Tony Macaroni pada imej ni. Imej dari The Scottish Sun.

Stadium Tony Macaroni terletak di Livingston, Scotland dan ia merupakan stadium untuk pasukan bola sepak dari Liga Perdana Scotland, Livingston F.C.. Stadium ini dibina pada 1995 dan boleh memuatkan seramai 9251 penonton dalam satu masa.

Mesti korang tertanya-tanya kenapa namanya Tony Macaroni? Haaa… kalau korang nak tahu nama asal stadium ini ialah Almondvale Stadium tetapi ia ditukar kepada Tony Macaroni Arena kerana sebuah restoran Itali dari Scotland telah menaja pasukan Livingston F.C.

Setiap kali sebelum perlawanan sama ada di stadium sendiri atau stadium pihak lawan, ahli pasukan bola sepak Livingston F.C akan datang makan di situ sampaikan ada satu menu hidangan itu dinamakan “Go Fasta Pasta“.

Player Livingston F.C. sebelum perlawanan. Imej dari giphy.

5. Stadium Ffira Mikah: Bukan Hakim Ariff tapi perkataan Greek dan Arab

Orang Kedah pasti bangga dengan nama stadium ni. Imej dari Berita Harian.

Yaaaa inilah nama stadium yang paling hebat pada abad ini, mana orang Kedah? Korang bangga tak dengan nama stadium ini?

Baiklah, Stadium Ffira Mikah ini terletak di Kuala Nerang, Kedah dan nama stadium ini didakwa diberi sempena dengan Nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor, tetapi diterbalikkan.

Namun, beliau menafikan nama stadium ini tiada kaitan dengan namanya tetapi ia dipilih ketika mesyuarat pentadbiran.

“Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.” – Hakim Ariff Md Noor, petikan dari Sinar Harian.

Menurut beliau, nama stadium ini mempunyai makna tersirat serta diambil dari perkataan Greek, Sepanyol, dan Arab. ‘Ffira‘ bermaksud hebat dalam bahasa Greek dan Sepanyol manakala ‘Mikah‘ ialah perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud malaikat.

Kami cuba untuk mencari maksud perkataan ‘Ffira’ di internet tetapi tidak dijumpai tetapi apabila kami menukar kepada ‘Fira’, ia bermaksud ‘anak dara’ (bahasa Greek), ‘kejayaan Tuhan’ (bahasa Afrika), dan ‘kejayaan’ (bahasa Nigeria). Namun, kami gagal dalam mencari maksud perkataan ‘Mikah’ dan mungkin ia hanya boleh dijumpai oleh Hakim Ariff sahaja.

Pening kepala doh nak cari maksud perkataan. Imej dari Names.

Kerajaan negeri tidak dimaklumkan untuk nama stadium Ffira Mikah

Hakim Ariff Md Noor merasmikan stadium Ffira Mikah. Imej dari BFM News.

Sebenarnya, Kerajaan negeri sudah mengarahkan nama Stadium Ffira Mikah ditukar kepada nama lain bagi mengurangkan kontroversi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, mereka tidak dimaklumkan mengenai nama itu kerana ia merupakan tanggungjawab Majlis Daerah Padang Terap (MDPT).

“Sepatutnya kita tidak perlu letak nama sebegitu kerana ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat, bagaimanapun saya anggap perkara ini selesai kerana difahamkan nama stadium itu akan ditukar selepas ini” – Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, petikan dari Berita Harian.

Hakim Ariff berkata selepas mereka mengubah suai stadium ini, beliau mahu menghidupkan semangat baru dengan  memberi nama stadium yang unik.

“Saya bukan nak kejar glamor. Hasrat saya mahu Padang Terap nampak lebih bersih, cantik dan ceria. Saya tak mahu daerah ini kekal macam dahulu, mereka tak tahu cerita sebenar dan buat andaian begitu.” – Hakim Ariff Md Noor, petikan dari Berita Harian.