Bunuh ular ketika hamil. Kisah ‘sumpahan’ kenan dalam masyarakat Melayu

Setiap bangsa dan negara, jika dilihat sejarahnya secara mendalam akan mempunyai adat dan kepercayaan pada masa lampau yang tersendiri. Kadang-kala, kita pergi negara orang, kita rasa kagum atau pelik dengan kepercayaan di situ. Begitu juga, kalau orang negara lain datang ke negara kita.

Kepercayaan ini termasuklah pantang-larang berkaitan aktiviti harian. Pantang-larang yang biasa kita dengar macam ‘perempuan tak boleh sidai baju waktu malam, nanti dapat jodoh orang tua’, mesti dekat dengan kehidupan korang. Sama ada pernah dengar atau pernah ditegur oleh mak ayah korang.

Pantang larang seperti ini kalau dikaji lebih lagi, ia turut berkait dengan pasangan suami isteri yang mana isterinya sedang mengandung. Dalam masyarakat Melayu, pantang-larang ini kalau dilanggar akan membawa kenan kepada anak yang akan dilahirkan. Korang pernah dengar istilah kenan? Contoh kenan ular atau kenan katak.

Berkenan maksudnya lain, kepercayaan kenan pula lain

Dialog seperti, ‘Jangan tengok cerita Korea banyak sangat masa mengandung, nanti anak kenan Korea.’ atau ‘Dah berkenan dengan awek Korea ke?’, memang sesetengah orang boleh membezakan maksud kedua-dua dialog tu. Tapi, kadang kala ada orang yang tak berapa tahu maksud tepat kenan ni.

Kenan ini sebenarnya ada beberapa maksud yang berlainan dan kena tengok juga situasi apa ketika perkataan ini digunakan. Menurut kamus dewan, kenan ialah:

  1. Bersetuju di hati, berasa gembira (puas hati, senang hati)
  2. Tanda atau cacat pada kulit (anggota, tubuh, dan lain-lain) semenjak lahir dan keganjilan tertentu (pada gerak-geri, kelakuan, dan lain-lain) bawaan semenjak lahir atau kecil
Bila dah berkenan. Masuklah meminang. Imej dari Beritaup2date

Untuk maksud yang pertama, ia lebih kepada kita suka seseorang tu. Manakala maksud yang kedua inilah yang kita nak cerita dalam artikel ini. Iaitu kepercayaan kenan dalam masyarakat kita. Kepercayaan kenan ni juga boleh bawa maksud keadaan bayi yang tak sempurna dan biasanya dikaitkan dengan fizikal binatang tertentu contoh katak, ular, monyet dan lain-lain.

“Keluarga atau orang yang mengandung tidak boleh menyeksa atau membunuh binatang. Ibu yang mengandung juga tidak boleh terperanjat atau mengenangkan sesuatu benda yang keterlaluan. Sekiranya ini terjadi, anak  dalam kandungan akan berlaku kenan atau cacat.” –  Petikan dari jurnal bertajuk Kepercayaan Kenan dalam Masyarakat Melayu: Kajian dari Perspektif Hukum Islam

Maka, disebabkan keperacayaan kenan ini maka muncullah beberapa pantang larang dalam masyarakat kita dulu bagi pasangan suami isteri yang mana si isteri mengandung untuk mengelak kenan kepada anak kecil.

Kes-kes kenan popular yang pernah berlaku dalam masyarakat Melayu

(Bahagian ini banyak merujuk jurnal kajian bertajuk Kepercayaan Kenan dalam Masyarakat Melayu: Kajian dari Perspektif Hukum Islam)

Dalam masyarakat Melayu ni ada pelbagai jenis kenan yang dikatakan pernah berlaku. Tapi, hanya ada beberapa yang terkenal serta pernah dilaporkan di akhbar dan media. Antaranya adalah:

1) Anak yang lahir mempunyai mata berwarna biru laut

Kenan kucing. Imej dari Bobo.grid

Pada 2 Mei 2010 telah dilaporkan bahawa seorang kanak-kanak Melayu di Kota Kuala Muda, Kedah memiliki sepasang mata biru yang dianggap perkara luar dari kebiasaan. Anak kecil yang bernama Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal memiliki iris berwarna biru laut. Hal yang sama turut berlaku kepada seorang kanak-kanak berusia 18 bulan di Samariang, Sarawak yang mana mata hitamnya berubah menjadi warna biru selepas dua minggu.

Hal ini memang dianggap pelik dalam kalangan masyarakat Melayu. Semestinya pelik kerana orang Melayu kebiasaannya mempunyai sepasang mata berwarna hitam. Apabila disiasat, ibu kepada anak kecil di Samariang itu mendakwa sering membelai kucing bermata biru sewaktu sedang hamil.

Walaupun dikenali sebagai kenan kucing. Dalam ilmu perubatan ia dikenali sebagai Ocular albinism. Ia adalah satu keadaan yang mana seorang bayi dilahirkan tanpa kebolehan menghasilkan pigmen berwarna bagi kulit atau mata. Pesakit yangmengalami penyakit ini mempunyai warna rambut dan kulit yang normal, dan ramai yang memiliki mata normal, namun mereka kehilangan pigmen pada mata.

2) Sudah 10 tahun, masih tak boleh berdiri

Penyakit yang jarang berlaku, namun pernah berlaku. Imej dari Medindia

Ini berlaku pada tahun 2010 yang mana seorang kanak-kanak berusia 10 tahun masih tidak boleh berdiri dan kakinya bengkok. Badannya kecil seakan-akan budak berumur setahun manakala tangannya seperti tidak ada. Apabila dia meniarap tampak persis seperti katak. Kejadian ini dikaitkan dengan kenan katak.

Sekalipun dikenal sebagai kenan katak dalam masyarakat kita. Namun, penyakit ini dikaitkan dengan sindrom prune belly yang mana keadaan fizikal bayi menggambarkan ketiadaan abdomen pada bahagian hadapan.  Sindrom ini biasanya mempunyai tiga masalah utama:

  1. Otot abdomen bahagian hadapan tiada atau jika ada ia terlalu lembik menyebabkan kulit di bahagian perut berkedut seperti buah prune
  2. Sebahagian saluran kencingnya abnormal
  3. Hampir 95 peratus, zakar kanak-kanak berada dalam abdomen dan tidak turun ke kerandut seperti biasanya.

3) Siang normal, tapi pada waktu malam menangis tak henti

Alololo sian dia. Imej dari Mingguan Wanita

Berita berkaitan kenan ini dilaporkan pada tahun 2010 juga. Kejadian ini berlaku di Perak apabila ada seorang bayi yang dilahirkan hanya normal pada waktu siang. Tapi, pada setiap malam, bayi itu akan menangis tak henti sehinggalah si ibu merendamkannya dalam air, barulah dia berhenti.

Apa yang menyedihkan, keadaan itu berlanjutan hingga tujuh bulan sebelum bayi itu meninggal dunia. Kejadian ini telah dikaitkan dengan kenan biawak. Selepas mendapatkan kepastian, diceritakan bahawa ibunya yang seorang pekebun pernah terjumpa dan berasa geli dengan biawak. Maka, ibunya tadi tercangkul kepala biawak tersebut. Nampak seolah-olah ibunya telah menzalimi biawak tadi. Jadi, dikaitkan anaknya memiliki sifat yang sama dengan biawak.

Namun, tiada penyakit dalam ilmu perubatan yang dikaitkan dengannya yang kami jumpa.

4) Makan tumbuhan menjalar, kulit mula bersisik

Sukanya dia. Imej dari MHAM

“Dalam kejadian yang berlaku, diceritakan semasa mengandung, ibu kanak-kanak tersebut terkejut apabila melihat ibunya (nenek yang mudah melatah) ‘bermain’ dengan anak ular ekoran usikan seorang cucunya yang lain. Cucunya telah menyorokkan telur ular yang kemudiannya menetas di dalam tin.” – Petikan dari Kepercayaan Kenan dalam Masyarakat Melayu: Kajian dari Perspektif Hukum Islam

Disebabkan peristiwa tu, bayi yang dilahirkan ibu mengandung tadi turut mengalami kecacatan. Kecacatan tu adalah apabila anak kecil itu makan tumbuh-tumbuhan menjalar macam tembikai, sisik akan keluar pada kulitnya. Sisik itu pula seperti sisik ular.

Akhirnya, ajal menjemput adik tersebut pada usia 17 tahun. Dalam ilmu perubatan, penyakit yang seakan-akan kenan ular ni memang ada. Ia dinamakan harlequin ichthyosis yang mana ia adalah sindrom penyakit kulit yang parah dan hanya berlaku pada bayi yang baru lahir. Sisik-sisik tebal kemerahan-merahan akan terbentuk seperti berlian hingga menyukarkan bayi untuk bernafas dan makan.

Kepercayaan kenan tiada dalam masyarakat lain, namun hukum dalam agama tetap melarangnya

Perbincangan hukum-hakam mengenai kepercayaan kenan ini tiada perbincangannya di dalam kitab-kitab feqah sama ada kitab feqah klasik mahu pun yang terbaru. Tambahan pula, tiada satu istilah khas dalam Islam mengenai kenan ni. Ini membuktikan bahawa ia adalah sebuah isu tempatan yang hanya wujud dalam tradisi dan kepercayaan masyarakat Melayu.

Antara berita yang selalu kita rasa nak baca. Imej dari Carigold

Namun, ilmuwan tempatan lebih cenderung dan berpendapat bahawa kepercayaan kenan adalah haram dan tak wajar diamalkan. Ini kerana bersandarkan qiyas hukum percaya kepada sial majal (tatayyur). Kepercayaan sial majal iaitu mengaitkan musibah yang menimpa kepada selain Allah S.W.T. dan meyakini musibah berpunca daripada makhluk yang tidak sedikit pun memiliki kuasa mendatangkan manfaat atau mudarat.

“Kita dilarang sama sekali untuk menganggap sesuatu angka itu memberi sial. Begitu juga hal-hal yang seumpama dengannya. Hal ini bagi mengelakkan kita terjerumus dalam mensyirikkan Allah SWT.” – Petikan dari lama web Mufti Wilayah Persekutuan

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT