Butterfingers: Loque korbankan diri demi seorang vokalis mirip Kurt Cobain

Butterfingers merupakan kumpulan muzik grunge yang menjadi sebutan peminat muzik underground. Korang yang pernah hidup ketika era 90-an atau peminatnya pasti akan tahu lagu mereka yang menggabungkan dua elemen iaitu bunyi gitar yang kotor dan muzik tradisional Melayu.

Bermula dengan gitaris mereka Loque yang ingin menubuhkan kumpulan muzik selepas mendengar ‘Circle of Friends’. Dia juga terpengaruh dengan genre grunge selepas mendengar riff gitar dari lagu ‘Smells Like A Teen Spirit’ kerana bunyinya kotor dan ganas, boleh dilihat dalam video ini (boleh skip ke minit 6:58). Selain itu, dia juga terpengaruh untuk membuat kumpulan selepas mendengar demo dari kumpulan OAG iaitu ‘Spastically’.

Pada ketika itu, Emmett dan Loque belum menubuhkan Butterfingers kerana Emmett mempunyai kumpulan muziknya sendiri iaitu ‘Grunge Dayz’ manakala Loque bersama dengan  ahli kumpulan Butterfingers yang lain menubuhkan kumpulan sendiri iaitu ‘Loque Tails’s’ ketika mereka di MCKK yang membawa genre heavy metal.

Butterfingers terlahir disebabkan pertarungan Grunge dan Heavy Metal

Inilah mereka masa muda-muda dulu. Imej dari MetroLyrics

 

“Penubuhan kumpulan ini berlaku secara kebetulan, dicetuskan oleh perjumpaan yang tidak disangka antara Loque dan Emmett pada 1993 di studio jamming popular 90-an Black Widow.” – Dipetik dari Redbull

Sewaktu cuti sekolah, Loque akan pergi ke studio iaitu Black Widow Studio di Petaling Jaya untuk melakukan sesi jamming bersama dengan kumpulannya. Pada ketika ini, Emmett bersama dengan Grunge Dayz menyanyikan lagu ‘Under The Bridge’ yang dipopularkan oleh ‘Red Hot Chili Peppers’.

Loque berkata album ‘Blood Sugar Sex Magic’ yang membuatkan mereka berjumpa kerana pada ketika itu Emmett menyanyikan lagu ‘Under The Bridge’. Dia telah tertarik dengan nyanyian Emmett yang sangat hebat.

Pertarungan tercetus apabila Loque mengajak kumpulannya untuk bertarung, bukan bertumbuk tetapi melakukan persembahan di ‘Jamming Showdown’. Kedua-dua kumpulan ini menunjukkan taring mereka ketika persembahan kerana Loque Tail’s dengan genre Heavy Metal manakala Grunge Dayz dengan genre grunge.

Imej dari giphy

Selepas itu, Loque telah berjumpa dengan Emmett lalu mengajak dia untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik baru yang bergenre grunge kerana nyanyian Emmett pada ketika ini sangat sesuai. Oleh itu, Emmett membuat keputusan untuk meninggalkan Grunge Dayz dan menyertai kumpulan baru Loque iaitu ‘Butterfingers’.

Suara yang menyerupai Kurt Cobain

Ini merupakan gambar demo terawal mereka. Imej dari akaun Facebook Butterfingers

Pada awal penubuhan Butterfingers, Loque sebagai vokalis manakala Emmett sebagai gitaris utama dalam kumpulan tetapi mereka menukar posisi kerana Emmett lebih sesuai menjadi vokalis kerana bermuka jambu dan sangat kacak.

Mereka memulakan siri pengembaraan mereka dalam muzik underground dengan memainkan dua buah lagu yang ditulis oleh Loque iaitu ‘Girl Friday’ dan ‘Nicc O Tyne’ di Black Widow Studio. Dua buah lagu ini telah mencetuskan idea mereka untuk membuat demo iaitu ’12 goats, 6 oranges and 2 angles’ yang merupakan langkah kanan mereka dalam membuat persembahan di gig kecil.

“Ia merupakan gandingan yang sempurna, kerana tenaga berjangkit kumpulan ini dan semangat dan penghormatan kepada Kurt Cobain yang ditonjolkan Emmett, membuatkan mereka digilai peminat gerakan muzik bawah tanah KL pada masa itu.” – Dipetik dari Redbull

Demo mereka telah membuatkan mereka terkenal dalam industri muzik bawah tanah. Ramai penganjur akan menjemput mereka untuk melakukan persembahan gig kecil di Kuala Lumpur dan mereka dikenali disebabkan suara Emmett yang sama seperti otai grunge iaitu ‘Kurt Cobain’.

Ramai juga yang menganggap demo yang dikeluarkan oleh mereka merupakan album tidak rasmi Nirvana kerana suara Emmett  mirip Kurt Cobain dan ada juga yang memberikan gelaran ‘Nirvana Malaysia’ kepada mereka kerana pengaruh muzik Nirvana dalam lagu.

Kalau Kurt Cobain hidup lagi, mesti dia terpegun dengar lagu Butterfingers

Muzik yang dihasilkan oleh Butterfingers dipanggil “Butter Music”

Gambar mereka ketika era ‘Butter Worth Pushful’. Imej dari Iamlejen

Kejayaan demo mereka juga merupakan titik langkah mereka dalam pembuatan album sulung  iaitu ‘1.2 Miligramms’ (1996) selepas menandatangani perjanjian bersama EMI. Dalam album ini, mereka mencampurkan dua elemen iaitu grunge dan rock muzik dari  kumpulan Nirvana dan Mudhoney. Penjualan album mereka mencapai kegemilangan kerana sebanyak 15,000 unit terjual.

Menjelang tahun 1997, mereka menghasilkan sebuah album yang dipanggil ‘Butter Worth Pushful’ selepas kejayaan album ‘1.2 Miligramms’. Selepas beberapa album dikeluarkan, ramai peminat tidak menganggap album ini dipengaruhi oleh Nirvana tetapi ia mempunyai muzik mereka tersendiri dan daripada sinilah ramai yang menciptakan konsep ‘Butter Music’.

Ia dikenali oleh orang ramai kerana majoriti kumpulan muzik underground yang baru nak up ketika 90-an menjadikan muzik Butterfingers sebagai contoh dalam pembuatan lagu.  Mereka juga mendapat gelaran ‘Butter Music’ kerana mereka berjaya meneroka muzik mereka sendiri dan tidak berpaksikan Nirvana sahaja.

‘Trascendence’ (1999) merupakan album yang mencatatkan sejarah muzik underground kerana album ini terjual sebanyak 60,000 unit. Dalam album ini juga menampakkan perubahan arus muzik mereka kerana elemen grunge dan muzik tradisional digabungkan dalam sebuah lagu.

‘Epitome’ merupakan contoh lagu kerana elemen muzik grunge dan bunyi gamelan digabungkan. Korang boleh layan lagu ini tapi jangan berjoget pula kerana awal lagu ini mesti buat korang joget melayu:

Masa inilah mereka menjadi perbualan orang ramai sama ada peminat muzik bawah tanah mahupun orang biasa kerana tiada lagi kumpulan muzik di Malaysia yang membawa muzik alternatif. Nama mereka menempah di arus ‘mainstream’ selepas membuat persembahan di AIM 2002.

Penjelajahan muzik mereka diteruskan dengan album ‘Malayneum’ (2001) yang tidak lagi seperti muziknya yang dulu kerana hanya beberapa lagu sahaja yang mempunyai bunyi gitar kotor tetapi lebih kepada muzik alternatif.

“Lagu judul album yang mengandungi struktur ritma ala acid house, ‘riffing’ dan melodi yang membakar perlahan, jauh berbeza daripada lagu-lagu mereka dalam rekod sebelumnya.” – Dipetik dari Redbull

Walaubagaimanapun, album kedua terakhir mereka iaitu ‘Selamat Tinggal Dunia’ (2005) mendapat kritikan dari peminat grunge kerana ia lebih kepada muzik rock n roll. ‘Merpati Sejoli’ merupakan contoh lagu yang mempunyai elemen rock n roll kerana jeritan vokal dan muzik yang rancak.

Imej dari Meme Generator

Mereka meninggalkan sebuah album lain daripada yang lain iaitu ‘Kembali’ (2008) sebelum berpecah dan di dalam album ini muzik dan irama vokalnya lebih kepada sifat kemelayuan. Korang boleh dengar Emmett menyanyikan lagu ‘Joget Global’ dengan bersyair :

 

Pelajaran merupakan sebab mereka berpecah

Persembahan mereka di Konsert Transcendence ’20 Years Anniversary’. Imej dari Astro Awani

Pada tahun 2010, mereka membuat keputusan untuk berpecah kerana Emmett mengikut keluarganya ke Kanada untuk menyambung pelajaran manakala Loque menubuhkan sebuah kumpulan baru iaitu ‘Monoloque’ bersama dengan ahli Butterfingers yang lain, boleh rujuk dalam video ini (boleh skip ke minit 2:27).

Selepas habis belajar di Kanada, Emmett kembali ke Malaysia dan menubuhkan kumpulannya iaitu ‘Emmett I’. Pada ketika ini juga Loque sangat gembira dengan Monoloque dan dia juga ada menyatakan bahawa Butterfingers tidak pecah tapi dibekukan dalam freezer.

Pada tahun 2016, mereka membuat epik comeback di Rockaway Fest bersama dengan Hujan, One Buck Short dan OAG di Extreme Park, Bukit Jalil. Persembahan ini menjadikan satu memori terindah buat peminatnya kerana sudah bertahun lamanya mereka tak membuat persembahan bersama.

“Idea ini sudah lama terperap dan sekarang masa terbaik untuk menjayakannya. Jika diingat kembali ketika persembahan kami di Festival Rockaway pada 2016, ia disekat oleh pihak polis dan seterusnya menimbulkan kemarahan serta kekecewaan peminat yang menantikan kemunculan kami.” kata Loque kepada Stail.my

Menjelang 2019, mereka membuat epik comeback yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia kerana buat julung kalinya mereka melancarkan satu konsert besar-besaran sempena ulang tahun album Transcendence yang ke-20 dan telah memberikan kejutan kepada peminatnya.

Imej dari imgflip

Walaupun konsert ini dihadiri oleh 8,500 orang tetapi terdapat beberapa insiden yang tidak diingini berlaku ketika itu, Kadak iaitu pemain bass gitar mereka mengalami sesak nafas yang sangat teruk sehingga dikejarkan ke hospital dan dia telah memohon maaf  di akaun Instagramnya.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat kembali ke pentas atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan” katanya di Instagram

Selepas konsert ini, mereka membuat haluan masing-masing iaitu Emmett kembali ke Kanada seketika dan telah pulang ke Malaysia untuk meneruskan perjuangan bersama Emmett I dan Project E.A.R, Loque pula meneruskan perjuangan muzik bersama Monoloque. Persoalannya, masihkah kita dapat melihat lagi konsert dari Butterfingers?