Pernah didakwa hina kalimah syahadah, filem Ahmad Idham ni dapat kutipan tertinggi

Seperti mana yang kita semua tahu, Ahmad Idham dah dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada awal Jun lepas. Berita tu agak mengejutkan jugalah, sebab sebelum ni – dia sendiri yang buat keputusan tamatkan kontraknya lebih awal pada bulan Mac lepas.

Kalau ikut sejarah terlibatnya Ahmad Idham dalam bidang seni ni, namanya mula terkenal selepas dia membintangi drama Cinderella (1998) bersama pelakon hebat Haliza Misbun. Kemudiannya, Ahmad mula mengorak langkah dalam dunia pengarahan dan setakat ni dah mengarahkan lebih 30 buah filem dan 9 buah drama.

Ahmad Idham bersama beberapa keratan akhbar dan poster filemnya. Imej dari KAKIMUVEE.

Kalau korang memang ‘kaki movie’ atau peminat filem tempatan, korang mesti ada tengok filem-filem yang pernah diarahkannya. Kalau korang nak tahu, ada je filem-filem arahan Ahmad yang mengutip jutaan ringgit dan tersenarai dalam Top 50 Feature Film di Malaysia.

Jadinya, kali ni SOSCILI akan senaraikan 5 buah filem Ahmad Idham yang pernah pecah panggung dan mencatatkan kutipan tertinggi.

5. “Mael Lambong” : Kerana populariti filem ni, kereta Mael Lambong dibuka untuk bidaan (RM4.89 juta)

Mula ditayangkan pada 21 Jun 2012. Imej dari Hye Bro.

Kalau korang masih ingat atau pernah menonton filem ni, Mael Lambong dibintangi oleh barisan pelakon seperti Zizan Razak, Che Puan Juliana Evans, Shenthy Feliziana dan ramai lagi. Filem ni mengisahkan tentang seorang penarik kereta, Mael Lambong (Zizan Razak) yang cukup dikenali di Kuala Lumpur. Hidupnya mula berubah bila dia bertemu dengan Maria (Juliana Evans) yang meminta pertolongannya untuk menyelamatkan diri daripada penjahat.

Karya Ahmad Idham ni mendapat sambutan ramai dan berjaya mengutip RM4.89 juta! Dengan kutipan yang tinggi tu, Ahmad Idham dalam reaksinya ada kata Mael Lambung sebagai satu fenomena dan menangkis tuduhan bahawa industri filem Tanah Air ‘lumpuh’ seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Malah, dek kerana populariti – kereta yang digunakan Mael Lambong dalam filem ni dah dibuka untuk bidaan. Kereta drift merah berjenama TOYOTA SOARER E MZ II tu memulakan bidaannya dengan harga RM5,000. Bagaimanapun, tak ada maklumat sama ada kereta tu berjaya dibida dan siapa pula yang dapat. Tentang rating filem ni pula, laman IMDb memberikan 4.2/10.

4. “Jangan Pandang Belakang” : Filem seram yang menaikkan nama Ahmad Idham sebagai pengarah (RM5.78 juta)

Filem ni mula ditayangkan pada 17 Mei 2007 dan lakonan Ruminah Sidek dipuji ramai. Imej dari Movie Addict Malaysia.

Filem Jangan Pandang Belakang sehingga kini dianggap sebagai salah satu filem seram tempatan yang berjaya di Malaysia. Filem terbitan David Teo ni dibintangi oleh barisan pelakon seperti Pierre Andre, Intan Ladyana, Ruminah Sidek, Khatijah Tan dan beberapa lagi. Ia mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Darma (Pierre Andre) yang cuba mencari kepastian tentang punca kematian tunangnya, Rose (Intan Ladyana).

Populariti Jangan Pandang Belakang mula naik, bila ramai di kalangan penonton mengakui filem ni memang seram. Ada juga yang kata – seram dalam filem ni bertempat dan bermotif. Ia juga tak bosan ditonton, ditambah lagi dengan lakonan yang baik daripada barisan pelakonnya.

“Pelakonnya pula tidaklah terjerit-jerit seperti dalam sesetengah filem seram… Ternyata lakonan Rusminah Sidek memberi satu kesan yang begitu berkesan. Saya setuju, Rusminah Sidek pelakon terbaik dalam filem ini.” – Budiey, dipetik dari budiey.com 

Filem ni membuahkan hasil apabila mencatatkan kutipan tiket sebanyak RM410,000 pada hari pertama tayangan dan sekaligus menewaskan filem Cicak Man yang pernah mengutip RM350,000 pada hari pertama di pawagam. Akhirnya, filem ni berjaya membuat kejutan pada 2007 apabila mengutip RM5.78 juta, berbanding kos produksi sebanyak RM1.5 juta. Kejayaan filem ni turut menaikkan nama Ahmad Idham dalam industri filem ketika itu.

3. “Jangan Pandang Belakang Congkak” : Filem seram-komedi pertama Ahmad Idham (RM6.09 juta)

Filem ini mula ditayangkan pada 4 Jun 2009. Imej dari steemit.com

Disebabkan sejarah populariti Jangan Pandang Belakang (2007) dan Congkak (2008), Ahmad kemudiannya tampil dengan filem seram-komedi pertamanya: Jangan Pandang Belakang Congkak pada tahun 2009. Filem ni mengisahkan tentang tiga orang pemuda yang menerima surat daripada seorang lelaki tua kaya raya, Pak Sudir (Piee) yang mendakwa dirinya datuk mereka.

Dikatakan Pak Sudir ni membela saka dan tinggal bersama dengan seorang wanita bernama Mustika (Lisa Surihani). Selepas sampai ke kampung, bermulalah pengalaman misteri tiga orang pemuda tadi. Filem ni turut dibintangi oleh Lan Pet Pet, Cat Farish dan Shaheizy Sam. 

Agak sama seperti sebelumnya, karya ini membuahkan hasil apabila mencatatkan kutipan RM5.3 juta selepas 12 hari ditayangkan, berbanding kos produksi dan promosi yang dianggarkan RM1.6 juta. Hasilnya, kutipan keseluruhan untuk filem ni dicatatkan sebanyak RM6.09 juta. Bagaimanapun, laman IMDb hanya memberikan rating sebanyak 3.7/10 sahaja untuk filem ni.

Selepas kejayaan filem ni, ada beberapa lagi sekuel dah dihasilkan iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Jangan Pandang-Pandang.

2. “Adnan Semp-It” : Dalam hati ada taman (RM7.66 juta)

Barisan pelakon Adnan Sempit yang mula ditayangkan pada 14 Januari 2010. Imej dari mStar.

Adnan Sempit (atau dalam poster Adnan Semp-It) mengisahkan tentang hubungan cinta antara seorang mat rempit, Adnan (Shaheizy Sam) dan seorang anak orang kaya, Nadia (Intan Ladyana). Filem ni mendapat menerimaan yang memberangsangkan daripada penonton sehingga muncul dialog dalam filem yang kemudiannya tular. Kalau korang masih ingat, dialog tu bunyinya lebih kurang macam ni:

“walaupun muka saya brutal, tapi dalam hati ada taman.

Kejayaan filem ni dapat dilihat apabila ia berjaya mengutip RM1.3 juta selepas empat hari ditayangkan. Dalam masa sama, ada yang memberikan ulasan bahawa filem ni memang lawak dan lakonan Shaheizy betul-betul menjadi. Tapi, masih ada juga yang tak berpuas hati dengan kualitinya dan menganggap filem ni tak ada sebarang nilai.

Apa-apa pun, Adnan Sempit menjadi antara hasil kerja Ahmad Idham yang menerima kutipan tinggi iaitu sebanyak RM7.66 juta. Ia juga kemudiannya datang dengan sekuel seperti Adnan Sempit 2, Adnan Sempi 3 dan Adnan Sempit Sawadikap, serta sebuah filem spin-off berjudul Wawa Semput.

1. “Hantu Bonceng” : Kerana filem ni, Ahmad Idham adakan pertemuan dengan Dewan Pemuda PAS (RM8.54 juta)

Hantu Bonceng mula ditayangkan di pawagam pada 31 Ogos 2011. Imej dari dagelan.co

Filem ini mengisahkan tentang Amran (Zizan Razak) seorang budak penghantar yang suka berlumba haram. Pada satu hari, dia dah menang satu perlumbaan dan dihadiahkan seorang bohsia bernama Maya (Juliana Evans). Tapi malangnya, mereka berdua terlibat dalam kemalangan dan Maya meninggal dunia di tempat kejadian. Hidup Amran lepas tu mula celaru kerana diganggu hantu Maya.

Filem ini menerima populariti yang memberangsangkan sehinga ia ditayangkan di 80 buah pawagam serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei. Bagaimanapun, ia menimbulkan kontroversi apabila didakwa menghina kalimah syahadah.

“Salah satu babak dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut ‘Asyhadu anna Muhammadar Syaitan’ yang membawa maksud ‘aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan.

___

Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa.” – Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS. Dipetik dari The Malaysian Insider.

Akibat dari kontroversi tu, Ahmad Idham dan Nasrudin kemudiannya mengadakan pertemuan untuk menjelaskan apa yang berlaku. Hasilnya, kedua-dua pihak anggap isu tu selesai dan tak perlu diperbesarkan lagi. Malah, Lembaga Penapisan Filem (LPF) pun mendakwa pihaknya tak ada masalah dengan filem berkenaan.

Ahmad masa bertemu dengan Nasrudin. Imej dari mStar.

Tentang ulasan terhadap filem ni, ada yang berpendapat ia hanya sebuah filem komedi santai. Bagaimanapun, plot filem ini dikatakan kurang kemas dan lemah sikit sebab banyak babak yang wujud dianggap sebagai hanya untuk mencukupkan durasi masa filem.

Walaupun begitu, Hantu Bonceng tetap dianggap sebagai karya Ahmad Idham yang paling berjaya kerana mencatatkan kutipan sebanyak RM5 juta selepas lima hari ditayangkan (RM1 juta sehari) dan kutipan keseluruhan pula sebanyak RM8.54 juta.

Ahmad Idham ajak pihak terlibat kongsi idea dengan FINAS

Ahmad Idham dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah di sidang akhbar FINAS lalu. Imej dari Malay Mail.

Sebenarnya, bukan semua filem arahan Ahmad Idham berjaya mendapat sambutan. Sebabnya ada je yang buat kutipan rendah seperti Mat Moto Otai (RM379,000), Minah Moto (RM331,000), Tembus (RM331,000), Gerimis Mengundang (RM220,000) dan Pencuri Hati Mr Cinderella (RM100,000).

Dalam masa sama, selain dari jadi pengarah filem, Ahmad Idham juga pernah tubuhkan satu akademi filem, Akademi Filem Ahmad Idham (AIFA) di Nusajaya, Johor pada 2014. Akademi ni ada tawarkan kursus yang betaraf Sijil Kemahiran Malaysia  (SKM) dari Kementerian Sumber Manusia.

Dan setelah dilantik jadi CEO FINAS kali kedua ni, Ahmad Idham nampaknya ada minta pihak terlibat untuk kongsi idea dengan FINAS.

“Siapa ada cadangan dan idea, kita alu-alukan. Jemput datang ke FINAS untuk persembahkan input. Jangan cakap sahaja atau ‘melalak’ di laman sosial. Kalau ada idea yang bagus, kita boleh pertimbangkan untuk tindakan seterusnya.” – Ahmad Idham, dipetik dari Berita Harian.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.