Gamelan Melayu: 6 instrumen tradisional yang selalu dimainkan di Istana

Bila bercerita berkenaan muzik, ramai akan bertanya apakah orang dulu-dulu ada muzik mereka tersendiri. Takkan lah zaman dulu takde hiburan langsung kan, kalau nak dibandingkan dengan sekarang, kita ada alat muzik moden yang dapat membekalkan muzik-muzik yang berkualiti.

Kalau zaman dulu pula, mesti kita terfikir apa je yang digunakan mereka untuk berhibur. Kali ni kitorang nak sajikan beberapa info dan cerita berkenaan alat muzik tradisional orang kita dulu-dulu. Sebenarnya tak boleh juga cakap benda ni sebagai hiburan semata-mata, sebab ia dianggap sebagai satu seni tau.

Jadi ini merupakan senarai dan juga cerita berkenaan instrumen tradisional yang dimainkan di Istana, kalau secara kolektif pula ia digelar sebagai Gamelan. Ia merupakan warisan turun-temurun nusantara yang patut dipelihara sebenarnya.

Gamelan Melayu yang berasal dari zaman Kesultanan Riau-Lingga

Gamelan Melayu tradisional. Imej dari Berita Harian

Sebelum kitorang senaraikan segala intrumen dalam Gamelan, mari kitorang cerita secara ringkas tentang sejarah Gamelan Melayu ni. Sebenarnya Gamelan ni bukan je ada kat Malaysia je tau, kat negara seberang seperti Indonesia, Brunei dan Singapura juga ada. Ada yang mengatakan asal-usul Gamelan yang sebenarnya adalah dari Kepulauan Jawa.

Yang menariknya, perkataan Gamelan tu sendiri dikatakan berasal dari bahasa Jawa iaitu ‘Gamel yang bermaksud memukul ataupun tukul dan ia sinonim dengan permainan muzik Gamelan tu sendiri. Namun, seni persembahan tu juga telah ‘dimelayukan’ selepas ia dikatakan telah dibawa masuk oleh Kesultanan Pahang pada kurun ke-18.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, orang yang bawa masuk Gamelan. Imej dari Portal Diraja Pahang

Ia selepas mereka telah menjalinkan hubungan (perkahwinan dan sebagainya) bersama dengan Kesultanan Riau-Lingga. Dari situ lah, muzik Gamelan Melayu mula dimainkan di istana Pahang. Ia telah dikembangkan ke negeri Terengganu selepas kedua-dua keluarga diraja itu menjalinkan hubungan bersama.

Masa tu juga, Joget Pahang telah mula menggunakan muzik Gamelan Melayu sebagai alunan muzik utama ketika persembahan dijalankan. Yang tak best pula, macam biasalah, ada je orang seberang yang claim negara kita mencuri budaya mereka. Tetapi, benda ni bukan mencuri namanya. Ini dinamakan sebagai pertukaran budaya, tak salah pun kalau kita semua bangga dengan budaya ni kan.

Kata mereka di seberang. Imej dari imgflip

Pada zaman dulu, Gamelan Melayu ni adalah eksklusif untuk dimainkan di istana sahaja. Tapi, pada hari ni ia diberi access untuk dimainkan di mana-mana majlis formal. Ia sekaligus memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai pengalaman mendengar Gamelan Melayu tanpa  mengira darjat.

Sekarang, jom tengok jenis-jenis instrumen tradisional yang digunakan dalam Gamelan Melayu.

1. Gong, bukan yang Sajat sebut tu ye

Variasi Gong dalam Gamelan Melayu. Imej dari Facebook

Secara asasnya Gong ni adalah alat muzik tunjang dalam Gamelan Melayu, ia merupakan instrumen yang memerlukan pemainnya memukul bahagian hadapan Gong untuk menghasilkan satu bunyi. Bunyi Gong akan berbeza mengikut saiznya tersendiri, dengan perbezaan bunyi tu lah ia dapat mempelbagaikan irama muzik ketika persembahan.

Ada yang kata senang je nak main Gong ni, setakat ketuk-ketuk gitu je pun kan. Tapi sebenarnya agak berat juga untuk main alat muzik ni. Ini disebabkan, pemain Gong perlu cakna dengan rentak dan masa yang sesuai untuk memukulnya pada waktu yang tepat!

Kata-kata punjangga semasa latihan. Imej dari imgflip

Kalau pukul Gong tu pada yang masa yang tak tepat, memang sesuatu persembahan tu akan jadi sumbang lah cerita dia. Bila tengok sejarah pula, Gong ni bukan je digunakan sebagai alat muzik je tau. Ia juga banyak digunakan untuk benda-benda lain, seperti kecemasan, sebelum laungan azan, sebelum Sultan bertitah dan banyak lagi.

2. Bonang, ada juga yang memanggilnya Keromong

Ini lah dia Bonangnya! Imej dari Facebook

Kita pergi kepada Bonang pula, basically Bonang ni adalah Gong ‘mini’ yang disusun secara melintang di atas peralatan khas. Terdapat kira-kira 10 atau 12 Gong ‘mini’ yang akan diketuk oleh pemainnya bagi mengeluarkan bunyi lagu yang best! Itu pun ikut pemain Bonang tu juga lah, kalau dia pandai bermain secara perfect, pasti bunyi yang dihasilkan adalah merdu.

Macam Gong juga, bunyi bagi setiap komponen dalam Bonang adalah berlainan mengikut saiznya. Selalunya Bonang ni adalah alat muzik utama atau boleh dikatakan sebagai lead dalam Gamelan, kerana pemain Bonang ni lah yang akan bermain not asal sehingga menjadi sebuah lagu. Dalam erti kata lain, tanpa Bonang, tak berlagulah sebuah Gamelan Melayu tu.

Tapi korang jangan tersilap pula dengan bonang dari dialek Negeri Sembilan tu, maksud dah lain dah tu.

3. Gambang, bukan yang kat Pahang tu ye

Ni Gambang ye, bukan gamp**g. Imej dari Facebook

Kita pergi kepada Gambang pula, ia satu instrumen yang agak familiar bagi orang-orang biasa kerana ada instrumen moden yang hampir serupa dengannya yang dikenali sebagai Xylophone. Komponen alat muziknya menggunakan kayu dan selalunya kayu itu disusun di atas badannya yang mempunyai design yang sangat cantik!

Ia juga merupakan alat muzik yang memerlukan pemainnya mengetuk! Dari situ lah ia akan mengeluarkan bunyi yang agak unik, sebab selalunya alat muzik lain yang biasa kita dengar jarang ada kayu sebagai salah satu komponennya.

Ini cara main dia guys. Imej dari Info Publik

Oh ye, kalau nak main instrumen ni tangan korang kena laju tau. Disebabkan benda tu, pemain Gambang ni haruslah mempunyai kemahiran yang tinggi dan selalunya mereka-mereka yang senior akan mengambil tugas untuk bermain alat muzik Gambang. Kalau korang rasa tangan tak berapa nak laju tu, main Gong je lah.

4. Saron, adik kepada si Gambang

Rupa je sama macam Gambang tapi lain. Imej dari Facebook

Saron ni sangatlah mirip dengan Gambang, tapi dalam masa yang sama tetapi agak berbeza. Dari segi komponen alat muziknya, ia menggunakan besi tembaga atau pun besi gangsa, ia disusun di atas badannya dalam satu baris melintang. Cara mainnya adalah menggunakan tukul yang dinamakan sebagai Tabuh.

Tabuh tu juga ada dua jenis, satu dibuat menggunakan kayu dan satu lagi dibuat menggunakan tanduk kerbau (dulu-dulu lah). Tapi sekarang banyak guna yang kayu je kot, susah dah nak nampak Tabuh tanduk kerbau tu. Dalam pada itu, pemain Saron hanya menggunakan satu tangan sahaja untuk bermain.

Ni lah rupa Tabuh tu, ada banyak jenis. Imej dari Javanese Culture

Saron ni juga ada 3 jenis tau, ia dibezakan dengan perbezaan saiz Saron tu dan juga Tabuh tu sendiri. Jenis-jenisnya adalah Saron Demong, Saron Baron dan Saron Pekin. Alunan yang dihasilkan oleh Saron ni boleh dikatakan berbunyi seperti besi yang berlanggar sesama sendiri, tu pun kalau korang boleh bayangkan lah.

Kalau nak dengar betul-betul, kena lah dengar muzik Gamelan Melayu dulu.

5. Kenong, Bonang yang telah di steroid!

Besar dia lain macam kan. Imej dari Harian Metro

Kenapa kitorang cakap Kenong ni ibarat Bonang yang di steroid? Sebab rupa dia sangat serupa dengan Bonang, cuma saiz Kenong ni lebih besar. Ia merupakan 5 biji Gong bersaiz sederhana yang disusun secara melintang. Ia berfungsi sebagai alat muzik kolotomik, maksudnya adalah, alunan bunyinya digunakan sebagai menyedapkan corak irama dan metrik dalam Gamelan Melayu.

Pengetuknya juga adalah sama dengan pengetuk Bonang, jadi tak salah pun kalau kitorang cakap Kenong dengan Bonang ni adik beradik kan. Cuma satu je, pemain Kenong ni perlu duduk di atas kerusi disebabkan ketinggiannya. Dengar macam senang kan kerja pemain Kenong ni, tapi tanggungjawab dia sangatlah besar ye kawan-kawan.

Nak jaga tempo tu bukan senang guys!

6. Gendang, Kapten Gamelan Melayu

Gendang pun ada hensem! Imej dari RajinLah

Sekarang mari cerita tentang alat muzik yang mempunyai peranan sebagai ketua dalam Gamelan Melayu. Ia adalah Gendang, instrumen ni bukan je dimainkan dalam Gamelan tau, ia juga banyak dimainkan dalam persembahan lain seperti untuk permainan Serunai, Wayang Kulit, Silat dan macam-macam lagi.

Senang cerita, permainan Gendang ni sangat sinonim dengan orang Melayu. Di mana-mana pun ada Gendang, harga dia pun agak mahal tau. Ini disebabkan pembuatan Gendang ni selalunya menggunakan sebatang pokok yang diukur dan diproses sehingga mempunyai rupanya yang tersendiri, tempat yang dipukul juga menggunakan bahan premium seperti kulit lembu ataupun kambing.

Kalau lah lembu boleh bercakap. Imej dari imgflip

Tanggungjawab pemain Gendang ni adalah orang yang mengawal tempo muzik Gamelan Melayu tu sendiri, kira kalau dalam kawad kaki, Gendang ni ibarat ketua platun lah kiranya. Pemainnya juga haruslah handal dalam mengesan cacat cela dalam persembahan, jika bunyinya agak sumbang, mereka boleh memperlahankan tempo bagi semua pemain Gamelan mendapat rentak kembali.

Budaya Gamelan yang patut kita raikan bersama. Imej dari Gamelan’s Club

Itu je lah kot tentang Gamelan Melayu ni. Walaupun ada yang mengatakan Gamelan ni asal-usulnya bukan dari kita, tapi ia tetap salah satu dari budaya Melayu sebab kita pun dah memang ada versi kita sendiri. Gamelan di Tanah Melayu ni pun merupakan salah satu bukti yang hubungan kita dengan negara jiran sangat baik dari dulu lagi.

Jadi tak perlu pun kita bergaduh, kita semua sepatutnya meraikan pertukaran budaya ni!