Dua artis Malaysia ni tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh dunia 2020

Dalam kehidupan seharian kita, kadang kala ambil tahu juga pasal artis. Kalau tak ambil tahu pun, mungkin kita akan terambil tahu sebab terlalu kontroversi. Tapi tak semua berita pasal artis kita kena pandang negatif sebab mereka pun ada jasa tersendiri dalam menyediakan hiburan kepada kita.

Di Malaysia, ada juga artis yang mana pencapaiannya memberi inspirasi kepada kita semua. Bukan setakat dalam negara, malah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Baru-baru ni, senarai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 2020 dah pun keluar. Daripada senarai tersebut, semestinya dah ada beberapa tokoh dari Malaysia yang tersenarai.

Tun Mahathir antara yang teratas serta beberapa tokoh Malaysia yang lain

Banyak naiknya tu. Imej dari The Muslim 500

Teratas sekali dalam kalangan orang Malaysia adalah Tun Mahathir pada kedudukan ke-42, di mana tahun lepas diiktiraf sebagai Man Of The Year The Most 500 Muslim Influential 2019. Lain-lainya adalah seperti di bawah:

  1. Datuk Seri Anwar Ibrahim (Honourable Mention)
  2. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri
  3. Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden PAS
  4. Dr Muhammad Afifi Al-Akiti; Pensyarah di Fakulti Teologi Universiti Oxford
  5. Zainah Anwar; Pengarah Eksekutif Sisters In Islam
  6. Dr Syed Muhammad Naquib Al-attas; Sarjana besar dunia Islam
  7. Dr Osman Bakar; Profesor Ulung ISTAC
  8. Tan Sri Muhammad Ali Bin Hashim; Presiden dan CEO Johor Corporation
  9. Syed Mokhtar Al-Bukhary; Antara orang terkaya di Malaysia
  10. Dato Mashitah Ibrahim; Pendakwah dan pensyarah UIA
  11. Prof Mohamad Hashim Kamali; CEO IAIS Malaysia
  12. Sheikh Dr Mahmood MrGlani; Orang besar tariqat shadhili sufi
  13. Dr Sheikh Muszaphar Shukor; Angkasawan negara
Kenapa ada yang aku tak kenal?

Dalam senarai di atas terdapat tokoh ilmuwan, politik, perniagaan, aktivis dan angkasawan negara. Tapi, sengaja kami tak letak lagi dua orang dalam kalangan penggiat seni Malaysia yang tersenarai dalam tu. Mereka adalah…

Dato’ Siti Nurhaliza diiktiraf kerana pencapaian seni dan kebajikannya

Tak pernah tak menang. Imej dari Star2

Nampaknya, dalam bahagian Art & Culture, Dato’ Siti Nurhaliza Binti Tarudin disenaraikan antara penggiat seni berpengaruh dalam dunia Islam. Dalam laporan ni, ia ditulis sebagai,

“Penyanyi yang memenangi pelbagai anugerah muzik. Dia juga telah diiktiraf kerana sumbangannya dalam acara-acara kebajikan dan salah seorang penerima Icon of Malaysia Award.”- Petikan dari Laporan The Muslim 500

Dalam bab anugerah muzik memang tak boleh lawanlah oleh sesiapa pun di Malaysia. Sehingga kini, dia dah memenangi hampir 300 anugerah sama ada antarabangsa atau pun tempatan. Ini termasuk Anugerah MTV Asia kategori Favourite Artiste Malaysia yang dimenangi empat kali berturut-turut dari tahun 2002 hingga 2005.

Imej dari FB MTV Asia

Anugerah-anugerah yang diterimanya menyebabkan dia diiktiraf sebagai salah seorang artis yang terkenal di Kepulauan Melayu, Rantau Nusantara dan Asia Tenggara. Pada tahun 2014, dia menerima gelaran tertinggi di Asia sebagai Asia Music Legend daripada Top 10 of Asia. Ini dah melayakkan dia digelar sebagai Celine Dion Asia.

Kalau dalam bab penjualan lagu dan album, memang banyak yang laku sehingga ke Indonesia. Pada usia 19 tahun, dia dah menubuhkan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. sebagai syarikat pengurusan rasmi yang akan menguruskan segala aktiviti seninya dengan lebih teratur. Dari situ, keluarnya albumnya yang bertajuk ‘Adiwarna’ dengan 200,000 unit terjual.

Kat Indon pun dibentang karpet merah. Imej dari Youtube Official RCTI

Ada beberapa lagu di dalam ni, dirakam semula menjadi versi Indonesia contohnya lagu “Sendiri” yang ditukar menjadi “Meyintaimu Selamanya”. Di Indonesia, album ini terjual sebanyak 300, 000 unit. Album-albumnya yang seterusnya, terus laku dan menjadi.

Dari hanya menjual kuih hingga pernah menderma RM500,000 kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan

Mungkin ramai yang dah tahu, sejarah awal kehidupan Dato’ Siti yang hidup dalam keluarga sederhana. Cerita paling popular pasal kehidupan awalnya adalah pernah membantu ibunya menjual kuih sama ada di berek polis (tempat tinggal keluarganya), sekolah, pasar malam dan pekan sari. Kalau bulan Ramadhan macam biasalah di Bazar Ramadhan berdekatan.

“Pelbagai kuih muih Siti jual bantu ibu (Siti Salmah Bachik) di bazar Ramadan di Kuala Lipis seperti karipap kentang, karipap sardin, cucur Badak, Popia goreng, telinga kera, kuih bakar dan talam ubi kayu.”- Dato’ Siti, petikan dari Berita Harian

https://www.youtube.com/watch?v=I7IQudoyDUY

Semuanya berubah apabila beliau menyertai pertandingan Bintang HMI anjuran RTM hinggalah membentuknya menjadi artis terkenal tanah air sehingga kini.

Seperti yang disebut dalam laporan The Muslim 500, dia juga diiktiraf dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya. Memang tak boleh dinafikan bahawa dia antara ahli perniagaan yang berjaya dengan syarikat kosmetik seperti Simply Siti dan lain-lainnya. Dari situ, kekayaan yang ada tidak menghalangnya untuk menjadi seorang yang dermawan.

Pada tahun 2004, dia pernah melancarkan Tabung Prihatin Siti untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM50,000 bagi rawatan perubatan dan pendidikan kanak-kanak. Ini menjadikannya artis pertama yang mempunyai tabung amal dengan namanya sendiri. Pada tahun 2005, dia dermakan RM35,000 untuk tiga pertubuhan berbeza bagi membantu mangsa Tsunami 2004. Setahun kemudian, dia terus menjadi dermawan dengan menyumbang RM500,000 kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dato’ Siti dibawah Yayasan Nurjiwa bantu mangsa banjir di Kuantan pada tahun 2013. Imej dari Hye Bro

Akitiviti dan kerja amal ini kini diteruskan dengan penubuhan Yayasan Nurjiwa bersama suaminya. Pelbagai sumbangan dibuat seperti pembinaan masjid di Malaysia dan juga Thailand serta membantu mangsa banjir.

Begitulah pengaruh besar Dato’ Siti yang dapat kami senaraikan. Artis kedua yang kami nak cerita kerana tersenarai dalam 500 Muslim Berpengaruh Dunia ialah…

Hafiz Hamidun diiktiraf kerana pengaruhnya dalam dunia rakaman

Albumnya yang meletup. Imej dari Amazon UK

Selain Dato’ Siti, dalam bahagian Art dan Culture bagi The Muslim 500, Hafiz Hamidun juga tersenarai. Dalam laporan tu ditulis macam ni,

“…sekarang ini penyanyi nasyid paling berpengaruh di Far East (nota penulis: Asia Timur, sebahagian Asia Utara dan Asia Tenggara). Dia adalah penerima anugerah multi-platinum dengan anggaran seramai 4 juta pengikut di media sosial.”- Petikan dari The Muslim 500

Pengaruhnya di media sosial pun besar berkemungkinan daripada populariti lagu dan albumnya. Ia mempunyai kejayaan yang tersendiri apabila ketiga-tiga album Zikir Terapi terjual sebanyak 1.2 juta unit dari tahun 2011 hingga 2016. Dalam platform digital seperti iTunes, ia menjangkau lebih 300,000 muat turun.

Dia juga pernah menerbitkan buku bertajuk Cerita Hati Hafiz Hamidun yang terjual sebanyak 30,000 naskhah. Namun, buku ini mendapat kritikan ramai pihak kerana isi dan penyampaiannya yang dipenuhi ‘selfie’.

Buku ni dikritik, tapi dia tak kisah. Imej dari Beautifulnara

Namun, bakatnya dalam memnggubah lagu mendapat penghormatan besar termasuk daripada Dato’ Siti Nurhaliza sendiri. Ini apabila To’ Ti memintanya menyiapkan satu lagu. Lagu itu bertajuk Mikraj Cinta yang turut mendapat sentuhan pemain biola dari Asia Barat.

Syarikat rakaman yang mempunyai 200 cawangan di seluruh dunia termasuk Eropah

Arteffects bukan syarikat kecil tau. Imej dari Youtube Arteffects

Mungkin ramai yang tak tahu pengaruh Hafiz Hamidun dalam penerbitan album dan mengedar album Islamik. Dia merupakan CEO dan Pengarah Kreatif di Arteffects Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 31 Mac 2011. Apa yang menarik, syarikat ini mempunyai 200 cawangan di seluruh dunia termasuk kerjasama dengan syarikat rakaman antarabangsa seperti di bawah ni:

1) ETM International (Dubai)

2) Andante Records (London)

3) The Lights Records (London)

4) Green Records (Belgium)

5) Sigma Manajemen (Indonesia)

Dia juga berperanan membuka Arteffects Egypt di Kaherah yang memfokuskan rakaman dan pengedaran di pasaran Arab. Selain itu, ia juga membuka ruang kepada perluasan pasaran ke Dubai, Turki, Bahrain dan Oman. Antara penasyid Mesir terkenal yang bernaung dibawahnya adalah Mostafa Atef.

Mostafa Atef bersama boss-nya. Imej dari Harian Metro

Satu lagi anak syarikat berjaya ditubuhkan iaitu Arteffects Europe yang berpangkalan di Berlin, Jerman ditubuhkan untuk meluaskan pasaran di Eropah. Ia juga berjaya membawa masuk bakat penasyid baru dari Jerman iaitu Issam Bayan.

Cerita kejayaan artis berkualiti perlu lebih banyak terisi di media

Cerita kejayaan Dato’ Siti Nurhaliza dan Hafiz Hamidun diiktiraf sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia mestilah diketengahkan dengan lebih meluas. Pada zaman media sosial ni, tak semua orang boleh terinspirasi dari golongan profesional sahaja, ada antara kita yang mendapat inspirasi daripada golongan artis.

“Hal ini disebabkan kerana adanya perbezaan corak pemikiran, perbezaan sifat yang terkesan pada pengambilan sikap, hubungan sosial sehari-hari dan perbezaan budaya.”- Petikan dari jurnal UKM

Najwa Latif dah ada master. Imej dari OhMyMedia

Di media sosial, artis mempunyai pengaruhnya yang tersendiri untuk menarik peminat yang mengikuti perkembangannya. Hari ini, terlalu banyak cerita mengenai masalah perkahwinan, adab dan akhlak para artis yang memenuhi ruang berita kita. Ia patut diperbaiki lagi kerana ada ramai lagi artis yang berkualiti kehidupannya untuk kita renungi bersama.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT