Jenayah & Undang-undang

14 tahun dulu, Dr Mahathir pernah dilarang dari masuk ke Palestin. Apa sebabnya?

Seperti mana yang kita tahu, Dr Mahathir ni salah satu pemimpin yang konsisten dan sinonim dalam menyuarakan isu-isu Palestin. Sebabnya, dari dulu lagi dia dah bawa gagasan keamanan dan kebebasan terhadap Palestin yang dah lebih 6 dekad dijajah Zionis Isreal.

Maka tak hairanlah bila baru-baru ni, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ada menjemput Dr Mahathir untuk datang ke negara tu, sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap rakyat Palestin. Jemputan tu sebenarnya disampaikan oleh Ketua Hakim Palestin, Dr Mahmoud Sidqi Al-Habbash yang buat lawatan rasmi ke negara ni.

“Saya bertemu Tun Mahathir dan menyatakan surat secara tulisan tangan daripada Mahmoud untuk menjemput beliau ke Palestin.

“Pada pertemuan itu, kami turut membincangkan mengenai isu-isu berkaitan Palestin termasuk isu politik dan tekanan daripada Amerika Syarikat.” – Katanya dipetik dari BH Online.

Bekas Ketua Hamas, Khalid Meshaal berjumpa dengan Dr Mahathir di Putrajaya, baru-baru ni. Imej dari BH Online.

Tapi kalau korang tak tahu, ini bukan kali pertama Dr. Mahathir dijemput ke Palestin sebab Perdana Menteri tertua di dunia tu juga pernah ke sana pada tahun 2005. Tapi, sebelum kita bincang lebih lagi pasal lawatan tu, mungkin kita boleh semak sikit kenyataan-kenyataan Dr. Mahathir terhadap Israel sebelum ni, yang membangkitkan kemarahan Zionis.

Masalah di Asia Barat berpunca dari kewujudan Israel – Mahathir

Kewujudan Israel boleh dikatakan bermula bila adanya Deklarasi Balfour setahun sebelum tamatnya Perang Dunia Pertama (WW1). Dengan sokongan kuasa dunia, terutamanya Britain dan Amerika Syarikat (AS), negara haram tu akhirnya mula bertapak di bumi Palestin pada tahun 1948.

Dalam satu wawancara dengan BBC pada tahun lepas, Dr Mahathir ada buat kenyataan yang masalah di Asia Barat bermula dengan kewujudan Israel. Menurutnya, kewujudan negara haram tu pada tahun 1948, dah membuatkan Asia Barat melalui beberapa siri peperangan dan perlindungan AS terhadap Israel dah membuatkan umat Palestin melalui penderitaan.

Deklarasi ni sebenarnya surat yang ditulis Arthor James Balfour (Setiausaha Luar Britain) kepada Lord Walter Rothschild (orang kuat gerakan Zionis). Imej dari cjs.ucla.edu

Dalam masa sama, Dr Mahathir juga mempertahankan kenyataannya sebelum ni yang gelarkan masyarakat Yahudi sebagai ‘manusia berhidung bengkok’.

“Mereka manusia berhidung bengkok. Ramai orang menggelarkan masyarakat Melayu sebagai ‘berhidung kembang’ dan kami tidak membantah.” – Katanya kepada BBC.

Tapi ucapan Dr Mahathir ni tak la setajam ucapannya di OIC masa tahun 2003 dulu. Sebabnya, ucapan inilah yang menambahkan lagi label kepada Dr Mahathir sehingga ada pihak yang menggelarnya sebagai Anti – Yahudi atau Anti-Semitik.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Kita (umat Islam) sebenarnya cukup kuat. 1.3 bilion orang tidak semudahnya dihapuskan. Eropah membunuh 6 juta dari 12 juta Yahudi.

Tapi hari ini, Yahudi memerintah dunia ini dengan proksi. Mereka menggunakan orang lain untuk berjuang dan mati untuk mereka.” – Dr Mahathir, OIC (16 Oktober 2003).

Kenyataan Dr Mahathir ni dah tarik perhatian ramai pihak termasuklah Presiden AS masa tu – George W. Bush. Menurut Bush, kata-kata Dr Mahathir tu penuh dengan kebencian dan dia juga seru seluruh pemimpin dunia mengecam kenyataan jijik tu.

“Bush tidak bercadang untuk bertemu dengan Perdana Menteri itu, walaupun kedua-duanya boleh “bertembung satu sama lain” di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan diadakan di Bangkok, Thailand.” – Laporan CNN (2003).

Rentetan dari ucapannya tu, Dr Mahathir memang dah sah-sahlah dituduh sebagai anti-Yahudi dan cuba membawa kebencian terhadap bangsa tu. Maka, melekatlah label tu kepadanya sampai ke hari ni.

Ada beza antara negara dan kaum. Imej dari Muslim Public Affairs Council.

Tapi, bagi umat Islam dan penduduk Palestin pula, Dr Mahathir dilihat sebagai salah satu pemimpin yang tegas dan konsisten dalam membicarakan tentang kebebasan dan hak Palestin dari terus dijajah Zionis.

“Malaysia lebih rapat dengan kami berbanding dengan sebahagian negara-negara Arab lain.” – Yasser Arafat, bekas Presiden Palestin.

Dr Mahathir dihalang masuk ke Baitulmaqdis

Dua tahun (2005) lepas sampaikan ucapannya yang tajam tu, Dr Mahathir yang masa tu bekas PM ada buat lawatan ke Tebing Barat, Palestin. Bagaimanapun, dia dah dihalang dari masuk ke Baitulmaqdis tempat suci ketiga umat Islam selepas Mekah dan Madinah.

Perjalanannya dah delay selama sejam di Allenby menyeberangi Jordan ke Tebing Barat, di mana pegawai Israel menghalangnya dari masuk ke Baitulmaqdis. Pegawai Luar Negeri Palestin berkata, Dr Mahathir dihalang masuk kerana pemimpin tu terkenal sebagai pro-Palestin dan kuat mengkritik Israel.

“Anda tahu tingkah laku Israel, mereka fikir mereka mempunyai hak untuk menafikan sesiapa masuk ke kota suci.” – Katanya dipetik dari Al-Jazeera (2005).

Dr Mahathir dan (bekas) PM Palestin – Ahmed Qorei . Imej dari The Daily Star Archive.

Kekecewaan juga disampaikan oleh Perdana Menteri Palestin, Ahmed Qorei yang kata – dunia pada hari tu dapat melihat sikap politik pihak penjajah.

“Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh antarabangsa yang penting dan Israel telah menghalang beliau daripada masuk ke Baitulmaqdis. Mereka juga menghalangnya daripada melawat Jenin (bandar Palestin).” – Ahmed Qorei, dipetik dari DAWN.

Di pihak Israel pula, mereka dakwa tak dapat permintaan untuk mudahkan lawatan tersebut dan mereka sendiri tak tahu yang Dr Mahathir ada datang.

“Jadi, kami tak berurusan dengannya” – Jurucakap Kementerian Luar Israel, dipetik dari Al-Jazeera.

Mahathir dan Arafat yang melawat Malaysia. Imej dari

Jadi, kali ni Dr Mahathir akan dibenarkan masuk ke Baitulmaqdis tak?

Tapi, di sebalik ucapannya yang tajam terhadap Yahudi (khsusnya Zionis) pada 2003 tu, Dr Mahathir juga sebenarnya ada kritik tindakan umat Islam dalam banyak perkara. Baginya, keadaan umat Islam yang terpisah dengan pelbagai mazhab, aliran, tarikat dan sebagainya, dah meletakkan umat Islam silap menilai siapa musuh dan siapa kawan.

Baginya, umat Islam adalah umat yang kuat, simpanan minyak terbesar dunia milik orang Islam, orang Islam mengawal 57 dari 180 negara dunia, undian mereka juga boleh membuat dan memecahkan organisasi antarabangsa.

“Kita tidak sama jahil seperti Jahilliah yang memeluk agama Islam. Kita biasa dengan cara-cara ekonomi dan kewangan dunia… Namun, kita kelihatan lebih tidak berdaya berbanding sebilangan kecil Jahilliah yang menerima Nabi sebagai pemimpin mereka.

Mengapa? Adakah kerana kehendak Allah atau kerana kita telah mentafsirkan agama kita secara salah, atau tidak mematuhi ajaran agama yang betul, atau melakukan perkara-perkara yang salah?” – Katanya di OIC.

Chaim Weizmann (Presiden pertama Israel) & wakil Hijaz (sekarang Arab Saudi) – Emir Faisal. Imej dari israeled.org

Tapi nampaknya, walaupun lebih 15 tahun kenyataan ni diucapkan, negara-negara Islam masih lagi bergolak, malah ada di antaranya yang hampir lumpuh kerana persengketaan dalaman dan masuk campur tangan asing.

Selain tu, kalau Dr Mahathir terima jemputan untuk ke Palestin sekali lagi, persoalan yang mungkin akan timbul – adakah dia akan dibenarkan untuk masuk ke Baitulmaqdis kali ni? Lebih-lebih lagi bila Dr Mahathir sekarang ni adalah Perdana Menteri dan bukan bekas PM seperti 14 tahun lalu.

“Trump ni… apa nama…” Imej dari NST.

Bagi Geostrategis, Azmi Hassan, besar kemungkinan yang Dr Mahathir akan dihalang sekali lagi untuk masuk ke Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis, walaupun kali ni dia berstatus ketua negara.

“Pada pandangan Israel, Dr Mahathir dilabel sebagai anti-semitik… Malah kehadiran Dr Mahathir di forum anjuran Cambridge Union beberapa hari lepas dikritik oleh akhbar Israel dengan dalil kesilapan penganjur jemput Dr Mahathir kerana sikap anti-semitik beliau.

Jadi tidak hairan jika rejim Israel menyekat Dr Mahathir dari memasuki Palestin walaupun dengan status ketua negara melakukan lawatan rasmi kerana kesemua pintu masuk dikawal tentera Israel.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend