Rencah Dunia

7 lubang terdalam yang pernah digali oleh manusia, ada digelar sebagai ‘pintu neraka’

“Setiap kali dia nampak lubang, dia sentiasa ingin tahu kedalamnnya. Padanya, ini amat penting.” –Kata-kata Jules Verne dalam bukunya yang bertajuk Journey to the Center of the Earth.

Pernah tak korang terfikir mengenai lubang-lubang terdalam yang pernah digali oleh manusia kat dunia ni? Sejak tahun 1950-an lagi banyak percubaan untuk menggerudi kerak bumi. Tapi nampaknya sampai sekarang usaha tu tak berjaya.

Kebanyakkan perkara yang saintis tahu mengenai struktur bumi bermula pada tahun 1950-an, tu pun hanya berdasarkan teori je. Tapi segalanya berubah sekitar awal tahun 1960-an apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet memulakan perlumbaan angkasa lepas “versi baharu”, iaitu perlumbaan menjelajahi pusat bumi.

Jadi kali ini SOSCILI cuba senaraikan beberapa lubang terdalam yang pernah digali oleh manusia.

1. Kola Superdeep Borehole: Lombong yang dikatakan dekat dengan pintu neraka

Pekerja-pekerja bergambar di tapak penggerudian. Imej dari Sfrang.blogspot.

Kola Superdeep Borehole merupakan lubang paling dalam yang pernah digali oleh manusia. Ia merupakan satu projek penggerudian di bawah kendalian pihak Kesatuan Soviet. Penggerudian telah bermula pada 24 Mei 1970 dan dijalankan di daerah Pechengsky yang terletak di Semenanjung Kola, Rusia.

Namun pada tahun 1993, dorang terpaksa menghentikan operasi penggerudian yang telah mencapai kedalaman sehingga 49,000 kaki kerana keadaan suhu yang tinggi.

Keratan akhbar mengenai proses penggerudian. Imej dari Strafang.blogspot.

Salah satu penemuan paling menarik adalah kehadiran fosil plankton mikroskopik empat batu di bawah permukaan 6,700 meter.  Apa kejadah tu fosil plankton mikroskopik? Boleh tengok di sini. Fosil ini telah dijumpai di dalam kedalaman yang tidak dijangka dan amat kukuh di sebalik tekanan yang luar biasa.Walau bagaimanapun, apa yang lebih mengagumkan ialah para saintis menganggarkan bahawa jarak ke pusat bumi adalah hampir 4,000 batu (6,400 kilometer).

Tinggalan mesin gerudi yang tidak digunakan lagi. Imej dari Inhabitat.com.

Semasa proses penggerudian mencecah kedalaman 12.262 meter, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa kerja-kerja penggalian ditamatkan pada 1992 setelah sekumpulan saintis menembusi kebuk haba yang sangat panas dan terdengar jeritan manusia di dalam lubang tersebut.

Mereka beranggapan bahawa proses penggerudian menghampiri ke lubang neraka.Tapi perkara tu telah dinafikan oleh pihak Kesatuan Soviet. Korang boleh tengok dekat sini untuk dengar rakaman suara misteri tu.

Imej dari Giphy.

Bekas tapak yang ditinggalkan. Imej dari Damninteresting.com.

2. Bingham Canyon Mine: Ditutup serta merta setelah terjadinya runtuhan besar

Bingham Canyon Mine  yang terletak di barat daya Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat, adalah lombong lubang terbuka yang paling dalam di dunia. Kedalaman  Bingham Canyon adalah lebih daripada 1.2km dengan kelebaran kira-kira 4 km. Ia jugak telah menghasilkan kira-kira 179,317t tembaga, 279.200 auns emas, 2.4 juta auns (Moz) perak dan 20 juta pound (Mlbs) molibdenum pada tahun 2012.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Besar betul lombong ni. Imej dari S.w-x.com.

Pada 10 April 2013 telah berlaku kejadian tanah runtuh besar berketinggian 20 meter yang cukup untuk menenggelamkan bandar New York. Runtuhan pertama mengandungi batuan dasar yang dapat dilihat di pinggir bawah runtuhan. Manakala runtuhan kedua mengandungi batu berwarna jingga.

Kedua-dua runtuhan tersebut telah mencetuskan sebanyak 16 gempa bumi kecil. Ekoran daripada runtuhan tersebut telah menyebabkan operasi perlombongan ditutup serta merta. Nasib baiklah runtuhan ni tak menyebabkan kematian dan tiada orang yang terperangkap seperti yang berlaku di Chile.

Kesan runtuhan di tapak lombong. Imej dari Amusingplanet.com.

3. Kimberley Diamond Mine: Sering menjadi tarikan pelancong serata dunia

Lombong berlian Kimberley. Imej dari Famouswonders.com.

Kimberley Diamond Mines juga dikenali sebagai “Big Hole.” Ia merupakan  lombong berlian terbesar di dunia yang pernah digali oleh manusia. Kimberley merujuk kepada nama ibu negara Northern Cape di Afrika Selatan.

Proses penggalian berlian telah bermula pada pertengahan Julai tahun 1871 dan berterusan sehingga tahun 1914 dengan menggunakan tenaga buruh seramai 50,000 orang yang hanya menggunakan pahat dan penyodok je. Lombong tersebut telah menghasilkan kira-kira 2722 kilogram berlian dan telah mengekstrak lebih daripada 22.5 juta tan hasil galian bumi.

Semasa proses menggali itu dijalankan, sebilangan besar pelombong telah menemui ajal. Kematian mereka disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah kemalangan perlombongan, kekurangan air dan sayur-sayuran segar, serta kepanasan di musim panas.

Ini berlian palsu ke? Imej dari Giphy.

Pada tahun 1914, lombong ini telah mencapai kedalaman sehingga lebih 700 kaki dan lebarnya telah diperluaskan kepada lebih 1,500 kaki. Apa yang menariknya, sebanyak 6,000 paun berlian telah berjaya dikeluarkan kat lombong ni.

Lombong ini sangat besar sehinggakan dapat dilihat dari angkasa lepas. Lubang ini juga digali dengan menggunakan tangan dan telah menghasilkan antara berlian terbesar di dunia.

Sebahagian berlian yang dikeluarkan. Imej dari Petradiamonds.com.

Pada 4 Ogos 1914, kerja-kerja penggalian telah terhenti di kawasan lombong  selepas beberapa tahun beroperasi. Ini disebabkan kerana lombong dah tak lagi memberikan hasil selepas mencapai kedalaman 1083 meter. Apa yang tinggal pada hari ni hanyalah kawah besar sedalam 214 meter dengan kawasan permukaan seluas 17 hektar.

Ia dikelilingi oleh bangunan-bangunan asal yang wujud sejak zaman kegemilangan lombong . Selepas operasi perlombongan tamat, bekas tapak Big Hole telah menjadi satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke sana.Terdapat juga pakej lawatan yang disediakan kepada pengunjung yang berminat untuk melihat tapak lombong dengan lebih dekat lagi.

4. Diavik Diamond Mine, Kanada: Berlian dari lombong ini lebih berkualiti dari lombong di Afrika.

Diavik Diamond Mine adalah lombong berlian yang terletak di Utara  Wilayah Slave, berhampiran Barat Laut, Kanada. Proses penggalian lombong ini bermula pada tahun 2003.

Berlian di Kanada? Hampir semua orang terkejut apabila Kanada tiba-tiba menjadi pengeluar terkemuka di dunia sebagai berlian permata yang berkualiti. Sebenarnya sepanjang abad ke-20 kebanyakan orang tidak pernah berfikir tentang Kanada mampu menjadi pengeluar penting berlian.

Pemandangan lombong dari udara. Imej dari Squarespace.com.

Berlian dari lombong ini mendapat perhatian yang tinggi dalam pasaran komersial antarabangsa terutamanya pada warnanya yang putih dan mempunyai tahap kejelasan yang baik. Selain itu, berlian ini mempunyai gred yang luar biasa dan telah menjadikannya salah satu lombong berlian yang paling berharga di dunia.

Seperti yang kita sedia maklum, walaupun  Kanada adalah negara kedua terbesar di dunia dari segi keluasan tanah, tetapi sehingga tahun 1990-an ia tidak dianggap sebagai sumber penting batu permata. Ini kerana kebanyakkan orang mengetahui berlian hanya boleh dijumpai di kawasan perlombongan di benua Afrika.

Antara berlian yang dijumpai di lombong. Imej dari Gia.edu.

Graf pengeluaran berlian mengikut negara. Imej dari Geology.com.

Jangka hayat untuk lombong in dijangka boleh digunakan antara 16 hingga  22 tahun. Lombong ini hanya boleh diakses dengan menggunakan pesawat sahaja. Disebabkan lombong ini mempunyai keluasan yang besar, ia boleh memuatkan pesawat Boeing 737 ke dalam lombong tersebut.

Lombong ini menghasilkan kira-kira 3,000 pound berlian setiap tahun dan ia terletak di kawasan ais. Lombong ini masih beroperasi pada hari ini dan dijangka akan terus keluarkan hasil perlombongan sehingga tahun 2025. Kalau korang nak tengok dengan lebih lanjut, boleh klik kat sini.

Reaksi apabila pertama kali pegang berlian. Imej dari Giphy.

5. The Berkeley Pit, Montana: Lombong yang dipenuhi dengan ratusan bangkai

The Berkeley Pit adalah lombong tembaga yang terletak di Butte, Montana, Amerika Syarikat. Kepanjangan lombong ini kira-kira setengah batu lebar dengan kedalaman lebih kurang 1780 kaki atau bersamaan 540 meter.

Lombong ini telah dibuka pada tahun 1955 oleh Anaconda Copper dan kemudian dikendalikan oleh  Syarikat  Atlantic Richfield (ARCO). Tapi ia telah ditutup pada Hari Bumi tahun 1982.

Lombong Berkeley. Imej dari Bp.blogspot.

Kandungan air dalam lombong ini sangat berasid dan mempunyai kepekatan arsenik, tembaga. kadmium, kobalt, besi, mangan, zink dan sulfat yang tinggi ditambah pula dengan kehadiran unsur bahan bukan organik yang lain.

 

Bacaan paras air terkini lombong. Imej dari Pitwatch.org.

Pada November 1995, dilaporkan lebih lebih 1000 ekor bangkai angsa salji dijumpai terapung pada permukaan lombong. Punca kejadian disebabkan angsa-angsa tersebut telah minum air di kawasan lombong serta kepekatan warna lombong telah menarik perhatian angsa-angsa untuk menghampiri  kawasan lombong. Selain itu, air di dalam lombong itu mengandungi kandungan asid yang tinggi yang berbahaya kepada hidupan liar.

Contoh angsa salji. Imej dari Cloudfront.

Kandungan air yang terlalu berasid telah menyebabkan lombong ini ditutup serta-merta kerana boleh mengancam alam sekitar. Airnya yang berasid sampaikan tiada hidupan mikroorganisma serta ikan hidup dalam kawasan lombong tersebut. Lombong Berkeley juga telah dikategorikan sebagai lombong yang paling berbahaya di dunia.

Antara angsa salji yang mati di kawasan lombong. Imej dari Strangesounds.

6. Mirny Mine, Russia: Lombong ini terlalu besar sampai boleh sedut kapal terbang.

Mirny Mine atau lebih dikenali sebgai Mir Mine merupakan bekas lombong berlian terbesar di Kesatuan Soviet.  Semasa lombong ini ditutup pada tahun 2004, ia mempunyai kedalaman sebanyak 535 meter dan keluasan sekeliling 1200 meter. Sebabkan itu, ia menjadi sebagai lombong kedua terbesar di dunia yang digali oleh manusia selepas Bingham Canyon Mine.

Disebabkan lombong ini mempunyai permukaan lubang yang sangat besar, terdapat dakwaan mengatakan bahawa tiupan angin di sekitar lombong tersebut menyebabkan helikopter seolah-olah disedut ke dalam lombong.

Imej dari Russia Trek

Lombong ini telah dijumpai oleh sekumpulan pakar geologi yang diketuai oleh Yuri Khabardin, Ekaterina Elagina dan Viktor Avdeenko pada 13 Jun 1955 semasa Ekspedisi Amakinsky di Yakut ASSR. Mereka menemui kesan mineral kimberlite iaitu  batu gunung berapi, yang biasanya dikaitkan dengan berlian.

Penemuan ini merupakan kejayaan kedua bagi ekspedisi mencari batu gunung di Rusia selepas kegagalan misi pertama terdahulu pada tahun 1940-an dan 1950-an. Misi pertama ialah penemuan  Zarnitsa Mine pada tahun 1954. Disebabkan kejayaan ekspedisi ini, pada tahun 1957 Khabardin telah diberikan anugerah kehormat  Lenin Prize, salah salah pingat tertinggi di dalam Kesatuan Soviet.

Aktiviti perlombongan bermula pada tahun 1957 di bawah cuaca sejuk yang melampau di Siberia. Ini kerana musim sejuk di Siberia berlangsung selama tujuh bulan, dan pada masa ini tanah adalah beku. Dalam keadaan ini,  aktiviti perlombongan adalah amat sukar dan hampir mustahil.

Operasi mencari berlian dijalankan. Imej dari Rusofili.bg.

Suhu musim sejuk begitu rendah telah menyebabkan keluli retak dan minyak menjadi beku. Ini menyebabkan keseluruhan lombong ditutup pada waktu malam bagi mengelakkan mesin gerudi membeku. Jadi apa yang diorang buat untuk mencairkan lapisan yang sejuk tu? Diorang gunakan enjin jet tapi langkah ini tak berjaya jugak untuk sampailah guna cara terakhir iaitu guna peledak untuk menaikkan berlian ke permukaan atas.

Contoh berlian yang dikeluarkan dari lombong. Imej dari Russiatrek.org.

Pada tahun 1960, lombong ini telah menghasilkan 10 juta karat (2,000 kg) berlian setiap tahun, yang mana menjadi 20% daripada pasaran permata di dunia. Lombong ini dianggarkan bernilai sebanyak 13 billion pound, berdasarkan kepada jumlah nilai semua berlian yang pernah dihasilkan  dalam rizab lombong. Berlian terbesar lombong itu ditemui pada 23 Disember 1980; seberat 68 gram bersamaan 342.5 karat dan dinamakan “26 Kongres Parti Komunis Kesatuan Soviet” bersempena penubuhan parti komunis tersebut pada 23 Febuari 1981.

Berlian terbesar yang ditemui di kawasan lombong. Imej dari Travelleronamission.com.

Berdasarkan De Beers dan peniaga berlian yang lain, terdapat sesuatu yang aneh mengenai berlian yang dibawa keluar dr lombong ini. Menurut Abazias, kesemua berlian tersebut mempunyai saiz yang seragam dan digelar “Silver Bears”.

Selain itu apa yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana Kesatuan Soviet dapat menghasilkan kuantiti berlian yang sangat besar dan seragam. De Beers juga menegaskan, berdasarkan kajiannya, terdapat lombong yang sepatutnya tidak mampu menghasilkan berlian tapi tiba-tiba boleh mengeluarkan berlian yang banyak.

Macam mana diorg buat berlian yang canggih tu? Imej dari Giphy.

Selain itu, peniaga-peniaga belian juga mendakwa telah dipaksa oleh Kesatuan Soviet untuk membeli berlian-berlian tersebut supaya Kesatuan Soviet dapat  menjual berlian di pasaran terbuka dan sekaligus menurunkan harga berlian. Dan tidak mengejutkan apabila  pihak Kesatuan Soviet tidak membenarkan penyiasatan terbuka ke atas dakwaan  tersebut dan misteri mengenai Silver Bears tidak pernah diselesaikan hingga ke hari ini.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1990-an, lombong itu dikendalikan oleh beberapa syarikat tempatan sehingga tahun 2004 dan lombong itu ditutup untuk selama-lamanya.

Banyak lagi rahsia alam semulajadi yang tidak diketahui oleh manusia

Berdasarkan logik akal pemikiran manusia, kita tidak boleh menggali hingga ke pusat Bumi, tetapi itu tidak menghalang kita daripada cuba untuk mengetahui apa khazanah yang terdapat di dalamnya. Manusia telah melakukan banyak usaha untuk menggali secara serius.

Penemuan setiap lombong ini telah memberi manfaat kepada manusia. Antaranya mewujudkan sesuatu inovasi dan penemuan yang berguna untuk kegunaan masyarakat akan datang. Contohnya penemuan alat gerudi yang lebih maju dan mampu menebuk lubang dengan lebih dalam lagi.

Selain tu, ia juga boleh dijadikan sebagai tempat rekreasi. Kat Malaysia pun ada jugak tau,macam Taman Tasik Taiping tu. Haa kalau korang nak tahu, taman ni telah dibina di atas lombong bijih timah terbiar. Ianya telah dibuka pada tahun 1880 dan menjadi taman awam pertama kat Tanah Melayu ketika itu.

Kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah tertua di Malaysia, Taman Tasik Taiping. Imej dari SInar Harian

Taman Rekreasi Gunung Lang juga dilengkapi dengan tiga buah tasik buatan dari bekas lombong bijih timah.Imej dari SIni.com

Obsesi manusia terhadap sesuatu kajian juga berbeza-beza mengikut tahun. Contohnya kesan daripada Perang Dingin yang berlaku di antara Amerika Syarikat dan Russia telah mewujudkan persaingan untuk memperkenalkan teknologi baharu dalam penjelajahan ke angkasa lepas.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend