4 sebab kenapa ada rakyat Malaysia yang percaya bumi ini rata

Awal tahun 2016 dulu, penyanyi rap Amerika B.o.B ada buat kenyataan yang dia percaya dengan teori bumi rata. Jadi kecoh sekejap dekat sana. Cuba korang tengok Google Trend ni, tiba-tiba satu dunia mula ragu-ragu dengan kerataan dunia yang fana ini.

Sumber: Google Trends

Mula-mula kami fikir mungkin benda ni jadi viral kat Amerika je, takde pulak rapper Malaysia macam Altimet ke SonaOne ke buat kenyataan sama. Tapi lepas tu kami jumpa pulak FB page dekat Malaysia yang sokong bumi rata ni!

Dan nampak gayanya ini bukan sekadar page lawak, baca je kenyataan dorang kat bawah;

Imej dari fb/bumibukansfera

(GE ni globe earth/bumi bulat, FE ni flat earth/bumi rata.)

Apa yang kita tahu, bumi bulat macam ni, bulat dan berputar:

Imej dari giphy.com

Tapi teori bumi rata cakap, bumi ni leper macam pizza dan ada kubah (mungkin macam kaca) dekat atas dia dan manusia tak boleh tembus kubah ni. Keliling bumi ada dinding ais (Antartika). Bumi juga statik dan tak bergerak.

Imej dari planettruthblog

Macam tak masuk akal kan? Tapi kami yakin diorang ada sebab kukuh tak nak percaya bumi ni bulat. Jadi kami cuba kaji 4 argument utama diorang. Entah-entah memang betul bumi ni rata sebenarnya?

1. “Bumi nampak rata walau kat mana pun kita tengok”

Perasan tak, kita tak pernah nampak lengkungan di mana-mana atas bumi ni. Semuanya rata tak kira kat laut ataupun darat, melainkan korang pakai gopro atau fish eye lens.

Tak nampak melengkung pun. Imej dari pixabay.com

Apa yang menguatkan lagi teori ni, adalah satu eksperimen lama yang dibuat oleh Samuel Birley Rowbotham pada tahun 1838. Dia ni boleh dikira sebagai Bapa Teori Bumi Rata Moden sebab dia yang perkenalkan konsep Zetetic Astronomy. Eksperimen tu cuba nak buktikan bumi ni tak ada lengkungan. Dia berjaya dan keputusan eksperimen dia diterima sebagai satu bukti paling penting bagi pengikut bumi rata.

Eksperimen dia camni:

  1. Pilih sungai yang panjang. Sungai Old Bedford dipilih sebab panjangnya 9.7km.
  2. Tengok pergerakan bot dari satu hujung sampai ke hujung lagi satu dengan teleskop (orang yang tengok ni tak bergerak, statik dekat point bot tu mula bergerak).
  3. Kalau ikut pengiraan bumi bulat, selepas beberapa jauh, semakin sikit lah bahagian bot yang akan nampak sebab kalau bumi bulat, ia akan melengkung ke bawah.
  4. Hasil eksperimen Parallax ni, lepas 9.7 km dia masih nampak keseluruhan bot dengan ketinggian yang sama. Kalau bumi bulat, sepatutnya dia tak nampak dah. Jadi dia buat keputusan, bumi ni rata.
Gambar atas kalau bumi bulat, bawah kalau bumi rata. Encik Samuel dapat result macam kat bawah tu. Imej dari tfes.org

Tapi…

Pada tahun 1870 Alfred Russell Wallace dah buat balik dan betulkan keputusan eksperimen awal ni. Satu perkara yang orang Encik Samuel tak perasan masa eksperimen awal tu ialah pembiasan atmosfera. Bila berlaku pembiasan atmosfera, kedudukan bot tu macam lari sikit dari kedudukan sebenar. Contoh lebih kurang macam kat bawah ni:

Imej dari astronomyclub.xyz

Jadi, secara rasminya eksperimen ni dah gagal buktikan bumi tu rata. Tapi pengikut bumi rata tak mahu terima hakikat dan masih pegang kukuh hasil eksperimen yang dulu.

Sebenarnya kalau nak tengok lengkungan bumi boleh, cuma kena cukup syarat macam kat bawah ni:

  1. Kena berada dekat tempat tinggi, sekurang-kurangnya 10-12km baru nampak. Itupun lengkung yang paling minimum. Kalau setakat tengok dari menara Petronas, Burj Khalifa, gunung Everest, dari paragliding atau helikopter memang tak akan nampak. Tapi kapal terbang memang dalam ketinggian ni 10km kan? Kenapa tak nampak jugak? Sila tengok syarat nombor dua dan tiga ni pulak.
  2. Sudut pandangan perlu lebih dari 60 darjah. Dari tingkap kapal terbang tak cukup 60 darjah.
  3. Tak ada halangan, terutamanya awan, habuk, jerebu. Kebanyakan masa memang akan ada awan, jadi susah nak dapat perfect condition ni.
Tak nampak melengkung jugak walaupun dari kapal terbang sebab halangan awan. Imej dari pointsmilesandmartinis.img.boardingarea.com

Tapi ada ada je cara lain nak buktikan bumi melengkung.

Yang paling senang, pergi pantai, bawak satu binocular dan tengok kalau-kalau ada kapal yang datang dari horizon (hujung laut). Korang akan nampak separuh dulu baru nampak penuh kapal tu. Itu bukti kukuh bumi rata, sebab kalau rata, akan nampak seluruh kapal dari jauh lagi.

Nak buat eksperimen lain pun boleh jugak.

Lagi satu, kalau korang tengok flight tracker (terutamanya penerbangan jarak jauh), korang akan nampak laluan dia sentiasa melengkung. Ini disebabkan bentuk bumi yang melengkung. Jadi kapal terbang ikut laluan ni. Nama dia great circle route. Ia laluan paling singkat, untuk kurangkan jarak dan jimatkan minyak dan diguna pakai semua airlines. Kalau bumi ni rata, tak payahlah nak melengkung bagai, memang lebih jauh. Tak logik pulak kalau Tony Fernandes sengaja nak tambah kos minyak kapal terbang bajet dia?

Imej dari flightview.com

2. “Kita nampak matahari dan bulan yang bergerak, bukan bumi”

Menurut teori bumi bulat kita belajar yang: saiz matahari sangat besar, jarak matahari sangat jauh dari bumi (lebih sejuta km) dan bumi pulak mengelilingi matahari.

Tapi mengikut teori bumi rata, matahari  kecil dari bumi, sangat dekat dan ia berpusing betul-betul atas bumi yang statik.

Imej dari tfes.org

Secara ringkasnya macam ni – bila matahari lalu atas langit kita, maka terjadilah siang. Bila bulan lalu atas langit, maka terjadilah malam. Maksudnya dalam 24 jam, matahari dan bulan buat satu pusingan penuh atas bumi. Macam tu lah kejadian siang dan malam.

Tapi, korang tau tak, dekat Antartika sana, siang dan malam berlaku 6 bulan sekali, bukan setiap 24 jam. Jadi teori bumi rata tak boleh pakai untuk terangkan fenomena kat sana.

Negara Norway pulak dikenali sebagai ‘Land of the Midnight Sun‘ sebab dari bulan Mei sampai Julai, hari siang berlaku selama 20 jam. Kalau matahari stay dekat sana lama-lama, maksudnya ada tempat lain yang bergelap selama 20 jam jugaklah selama 3 bulan tu, Australia contohnya. Tapi tak pun. Daylight dia tetap juga dalam 10 jam sehari pada waktu yang sama.

Antartika waktu siang selama 6 bulan. Imej dari pexel.com

Walaupun bumi rata ada penjelasan tentang kejadian musim, tapi fenomena di atas tetap tak berjaya diterangkan. Peliknya selama beratus tahun, soalan asas ni tak ada siapa yang jawab daripada sudut bumi rata? Sebaliknya, teori bumi bulat berjaya terangkan fenomena ini dengan kukuh.

Jadi, penjelasan bumi rata tentang interaksi bumi, bulan dan matahari adalah sangat lemah. Banyak lagi perkara yang tak dapat diterangkan dengan lengkap contohnya kejadian gerhana, kejadian bulan sabit, pengiraan bulan dan tahun dan sebagainya.

3. “NASA cuma konspirasi Amerika dan satelit tak wujud”

Gambar dari aplanettruth.info

Pengikut bumi rata tak pernah percaya apa-apa yang berkaitan ‘manusia ke angkasa lepas’. Ini termasuklah ekspedisi Neil Armstrong ke bulan, ekspedisi ke Marikh, semua tentang NASA, ISS dan satelit. Bagi mereka, tak akan ada apa-apa yang boleh tembus kubah bumi ni. Semuanya konspirasi untuk duit dan kawal dunia.

Imej dari giphy.com

Korang tau tak sebenarnya banyak lagi agensi angkasa yang ada dalam dunia ni contohnya dari India (ISRO), Eropah (ESA), China (CNSA), Jepun (JAXA) dan Rusia (Roscosmos) dan lebih kurang 70 agensi lain lagi. Malaysia pun ada, ANGKASA nama dia. Tak logik pulak teori konspirasi ni. Lagipun dah ada lebih 500 orang pergi angkasa dari 40 buah negara.

Kalau nak kata jugak NASA tipu pasal satelit, sebenarnya satelit pertama yang dihantar ke orbit bumi adalah dari Rusia, bukan Amerika atau NASA. Sekarang ni ada lebih dari dua ribu satelit satelit kat ruang angkasa bumi, bukan sahaja dari Amerika dan Rusia, tetapi juga negara lain. Malaysia pun ada beberapa satelit.

ISS (International Space Station) pun bukannya milik Amerika atau NASA sahaja. Kat situ ada agensi Russia, Eropah, Kanada dan Jepun sekali. Kalau kita tengok dari segi ekonomi, diorang ni bersaing antara satu sama lain kot. Kalau betul lah bumi ni rata, sekurang-kurangnya Rusia dah lama kondem ekspedisi dan kajian dekat ISS dan buat ekspedisi cari dinding kubah bumi rata dekat Antartika sana.

ISS bukan ISIS. Imej dari mememaker.net

Teknologi satelit ni kalau dalam hidup orang biasa, mostly guna untuk 2 perkara, iaitu GPS (yang digunakan oleh Waze atau Google maps) dan juga satelit TV (macam Astro). Penyokong bumi rata pun pakai aplikasi ni, tapi penjelasan mereka lain.

Mengikut teori Bumi Rata, GPS bukan pakai satelit, tapi pakai teknologi LORAN yang guna antena dan kabel. Teknologi LORAN ni dulu-dulu orang guna untuk navigasi, terutamanya oleh kapal laut dan kapal terbang. Tapi lepas 1990an, kegunaan LORAN ni merudum jatuh, disebabkan teknologi satelit. Bermula dari 2010 stesen LORAN dekat Amerika, Kanada dan Rusia dah ditutup. Tahun 2015, Eropah pula tutup dan hentikan operasi LORAN.

Kalaulah ikut teori GPS pakai LORAN, maksudnya sekarang kita dah tak boleh pakai Waze dan Google Maps sekarang sebab majoriti stesen LORAN dah shut down!

Pasal TV Satelit pulak, bumi rata cakap signal untuk TV datang dari menara antena je. Sekali lagi hujah ni tak betul. TV yang pakai antenna memang akan cari signal dari menara setiap stesen TV tu, tapi TV satelit tak pakai antena biasa.

Dia pakai piring macam piring Astro tu. Dan dia bukan ambil signal dari menara TV, tapi dari satelit. Sebab stesen TV pancarkan signal ke satelit, lepas tu baru piring kat rumah korang tu ambil dari satelit, sebab tu delay dia lama sikit dari TV yang pakai antenna.

Klik sini untuk faham kenapa Astro takde line bila hujan. Imej dari fb/bumibukansfera

Tapi, sebenarnya kami curious juga, kenapa kita tak nampak satelit?

Imej dari fb/bumibukansfera

Kat sini diorang cakap, kita tak nampak satelit dengan mata kasar sebab dia kecik (ada yang besar tapak tangan, ada yang besar macam bas), sentiasa bergerak (mengelilingi orbit dengan laju) dan jauh (160- 2000 km) dari bumi. Bayangkan macam nak tengok kucing kat bumi dari kapal terbang. Bukanlah impossible untuk nampak, tapi susah sikitlah.

Kalau betul-betul nak tengok satelit atau ISS memang boleh, nak track pergerakan dia sepanjang masa pun boleh.  Selain tu korang boleh tengok guna teleskop dan kamera dslr juga. Cuma kena tahu cara je. Apps untuk telefon pun dah ada sekarang ni, contohnya ISS Detector dan Satellite AR.

Bukti satelit wujud ni memang banyak dan mudah je nak dapatkan kalau betul-betul cari. Jadi tak ada alasan untuk kata satelit tak wujud.

4. “Kita tak rasa pun bumi berputar”

Imej dari fb/bumibukansfera

Mengikut teori bumi bulat, bumi berputar pada paksi dan mengelilingi matahari. Tapi mengikut bumi rata, bumi ni statik, tak bergerak. Dan memang, kalau ada siapa kata dia pernah rasa bumi bergerak, confirm dia mabuk.

Sebelum penerangan lanjut, jom faham rasa ‘bergerak’ dulu. Contohnya macam naik kapal terbang. Kan biasanya kapal terbang bergerak 900 kilometer sejam. Tapi kenapa kita tak ‘rasa’ dia laju macam kita naik kereta yang kita pecut 150 kilometer sejam dekat Lebuhraya PLUS? Bila dalam kapal terbang, kita rileks je makan nasi lemak dengan air kopi tanpa tumpah.

Imej dari es-static.us

Sebabnya camni:

  1. Kita tak nampak pokok-pokok dekat bawah yang tak bergerak tu, so kita tak boleh ‘rasa’ kepantasan 900 kmh tu. Kalau naik kereta kita nampak kita melepasi pokok-pokok dan objek tak bergerak, jadi kita rasa kita sedang bergerak.
  2. Kita tak rasa sebab perjalanan dia lancar, lurus dan tak bengkok bengkok atau ada speedbump atau lopak lopak dan takde brek macam dekat jalan. Tapi kalau ada brek atau turbulence memang rasa lah.

Kalau kita jatuhkan pen dalam kapal terbang, kita akan rasa pen itu saja yang bergerak dan kita tak bergerak. Padahal kita sama-sama bergerak di dalam kapal terbang tu (dari satu lokasi ke lokasi yang lain).

Macam tu lah jugak bumi. Sejak kita lahir sampai hari ni, bumi tak pernah berhenti, atau mendarat dimana-mana, memperlahankan putaran atau berjumpa speedbump, turbulence, atau bertukar haluan. Ia bergerak selaju 1600 kilometer sejam, lebih kurang dua kali ganda dari kapal terbang. Tapi sebab bumi besar, secara relatifnya putaran tu tak lah laju sangat. Kita hidup dalam atmosfera bumi. Jadi, kita tak rasa pergerakan itu.

Eksperimen paling popular untuk buktikan bumi berputar adalah eksperimen Foucault’s Pendulum. Korang boleh tengok eksperimen ini dekat banyak muzium atau planetarium dalam dunia. Paling dekat dengan Malaysia ada dekat Khonkaen University, Bangkok. Dalam Malaysia belum ada lagi walaupun dekat Planetarium Negara.

Lagi satu, kalau korang ambil gambar bintang waktu malam, korang akan nampak macam garisan je bintang-bintang tu. Melainkan korang pakai tripod yang bergerak ikut timing sama macam pergerakan bumi. Tak percaya pergi tanya kawan fotografer korang. Ini lagi satu bukti kukuh bumi berputar.

Gambar bintang (long exposure) tanpa guna tripod khas. Imej dari pexel.com

Senang je rupanya nak patahkan argument bumi rata ni, tapi kenapa ramai lagi yang percaya?

Walaupun penerangan bumi rata banyak tak lengkap, eksperimen pun lama dan tak ada penemuan baru, masih ramai yang percaya teori ini.Kami suspect, mungkin kerana gabungan 3 sebab ini:

1. Percaya sangat dengan teori konspirasi

Semuanya agenda Yahudi dan Amerika, semuanya sebab Rothschild, New World Order, dan Illuminati yang nak kontrol dunia. Kalau ikut kajian ni, orang yang mudah percaya teori konspirasi ni mungkin disebabkan oleh personaliti narsisis (rasa dirinya bagus, fikir orang lain nak jatuhkan dia) dan juga kurang self-esteem (selalu berfikiran negatif terhadap orang lain). Sebab tu mereka fikir ada ‘gerakan konspirasi’ dan selalu paranoid.

Imej dari i2.kym-cdn.com

2. Faktor agama

Orang jadi cepat lembut hati kalau kaitkan apa-apa pun pasal agama. Bab doa dan ubat pun orang boleh putarbelitkan agama, apatah lagi teori sains. Yang paling famous mereka kata ayat Quran sebut ‘hamparan’ dalam beberapa surah untuk cakap bumi tu rata. Padahal ramai saintis yang kaji bumi bulat dulu adalah saintis Islam. Dan dah banyak ulama yang kaji ayat-ayat yang disebutkan tu, dan simpulkan ia bukan ayat jelas dan tegas (muhkamat). Tapi mereka masih jugak tak mau ikut ijmak ulamak.

3. Percaya dengan perkara yang senang faham je

Lumrah manusia, cepat percaya perkara yang mudah difahami dengan logik ringkas. Kita lagi mudah percaya dengan Youtube, Facebook dan artikel tabloid, berbanding jurnal akademik. Tapi fizik dan astronomi sangat complicated, penuh dengan teori, konsep, formula dan susah nak faham.

Imej dari cdn.meme.am

Jadi bila perkara mudah faham macam “bumi rata sebab nampak rata” diulang-ulang dengan yakin, dengan contoh-contoh depan mata, ia mudah dipercayai dan pengaruhi orang lain. Dalam psikologi, keadaan ini dipanggil ‘illusion of truth‘. Maksudnya, nampak macam betul, tapi sebenarnya tak betul.

So, kepada yang masih nak percaya bumi rata tu, janganlah asyik percaya dengan Facebook dan Youtube je. Belajarlah lebih sikit kat tempat lain jugak. Paling kurang pergi Planetarium Negara, ikut program cerapan diorang dan faham ilmu astronomi sikit-sikit. Tak dapat jadi sehebat Nur Adlyka yang jumpa lubang hitam supermassive atau Izmir Yamin yang jadi finalis pertandingan buat roket antarabangsa pun tak apa, yang penting korang faham bentuk bumi ni memang bulat.