Kos RM1.5 juta, kutip cuma RM22k? Ini 5 filem Melayu dengan kutipan terendah

Seperti mana yang diketahui, kerajaan baru saja mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menggantikan PKP Bersyarat (PKPB). Penggambaran filem, drama dan iklan pun dah mula dibenarkan pada 10 Jun, tapi dengan mamatuhi  prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Nampaknya, penularan wabak yang melanda dunia ni dah memberi kesan yang cukup besar dalam pelbagai sektor, termasuklah perfileman. Mengikut data dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak awal Januari hingga Mac lalu, hanya sekitar 14 buah filem tempatan je yang berjaya ditayangkan di pawagam. Maknanya, kemungkinan besar yang tayangan filem tempatan akan lebih kurang untuk tahun ni berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Munafik 2 kekal sebagai filem dengan kutipan tertinggi setakat ini. Imej dari Rojak Daily.

Dalam masa sama, sehingga ke hari ini – filem Munafik 2 (2018) kekal sebagai filem tempatan yang menerima kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM37.74 juta, diikuti Hantu Kak Limah (RM36.23 juta), Ejen Ali The Movie (RM30.05 juta) dan Boboiboy Movie 2 (RM29.57 juta).

Tapi macam mana pula dengan filem-filem Melayu tempatan yang menerima kutipan terendah? Siapa pengarahnya dan apa puncanya? Oleh itu, SOSCILI kali ni akan menyenaraikan 5 filem Melayu tempatan dengan kutipan terendah yang pernah dicatatkan (berdasarkan data FINAS untuk tahun 2019 sahaja).

5. “Kolong” : Filem bergenre seram-misteri yang tak berapa orang tahu (RM26,680.00)

Poster filem “Kolong”. Imej dari IMDb.

Kolong adalah filem bergenre seram-misteri yang mengisahkan tentang seorang wanita bernama Seri (lakonan Luthya Sury) yang terperangkap dalam masalah hutang dan terpaksa lari dari samseng yang memburunya. Dia kemudiannya bekerja dengan seorang lelaki kaya tapi buta, Hairi (Wan Raja). Namun, dia diberi amaran supaya tak masuk ke dalam bilik bawah rumah di banglo tu yang dipanggil kolong.  Selebihnya korang dah boleh agak apa yang Seri akan buat kan?

Filem ni merupakan filem pertama arahan Zul Abu Kassim dan ditayangkan pada 17 Oktober 2019. Menurut maklumat, Zul sebenarnya dah terlibat secara langsung dalam bidang seni, khususnya penerbitan konten kreatif seperti filem, TV, iklan dan lain-lain selama lebih kurang 30 tahun.

Tentang filem ni pula, tak ada banyak ulasan yang ada kecuali apa yang diterbitkan oleh pihak Rollo De Pelicula dan Zhaf dari Pure Pixel. Berdasarkan ulasan Rollo De Pelicula, Kolong didapati cuba datang dengan idea lain iaitu lari dari seram tipikal yang suka menggunakan wajah makhluk halus sebagai umpan untuk menarik penonton ke pawagam. Bagaimanapun, Rollo De Pelicula hanya memberikan rating sebanyak 3/10 untuk filem ni.

Bagi Zhaf pula, dia berpandangan filem ni langsung tak menyeramkan, tapi dalam masa sama visualnya boleh dikatakan cantik. Berdasarkan pemerhatian kitorang, tak ada promosi yang menonjolkan filem ni dan ia nampaknya kurang diketahui oleh para peminat filem tempatan. Hasilnya, filem ini hanya mengutip jualan tiket sebanyak RM26,680.00

4. “Garang” : Filem pertama yang menampilkan barisan pelakon OKU (RM22,053.50)

Ramai yang anggap filem ni tak berbaloi untuk ditonton. Imej dari SaktiFilms.

Garang adalah filem arahan T. Kanageswaran yang mengisahkan tentang seorang atlet paralimpik, Izam (Pablo Amirul) yang menyertai acara lumba kerusi roda. Tapi insiden yang berlaku kepada Izam dah membuatkan wujudnya konflik antara Jasmin dan Reza, juga insan istimewa yang handal berkerusi roda. Persengketaan ini dah memaksa Jasmin mendapatkan pertolongan daripada tiga orang sahabat lamanya.

Sama seperti Kolong, filem ini juga adalah karya sulung bagi T. Kanageswaran. Apa yang membuatkan filem ini mengecewakan adalah ia hanya berjaya mengutip jualan tiket sebanyak RM22,053.50 berbanding belanja produksi sebanyak RM1.5 juta! Penerbit filem berkenaan, Dakshina Muriti berkata pihaknya sedih kerana filem tu tak dapat sambutan seperti yang sepatutnya.

“…sejak ditayangkan 5 Disember lalu (2019), tidak ramai yang menyokong filem ini sedangkan ia ada misi besar untuk membantu golongan OKU.” – Katanya dipetik dari Harian Metro.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang mengangap filem ini tak berbaloi untuk ditonton kerana plotnya yang mengarut dan langsung tak membawa isu golongan OKU. Malah, ada yang melabelkan filem ini sebagai filem ‘menunggang OKU’. Kepada korang yang dah tengok tu, apa pula pandangan korang?

3. “BU Kasih Suci” : Boleh kata, ramai orang tak tahu tentang kewujudan filem ni (RM21,754.00)

Filem ni mula ditayangkan pada 11 April 2019. Imej dari The Official Astro First.

Sebenarnya, ini pun kali pertama kitorang dengar tentang filem berjudul “BU Kasih Suci” ni. Filem ni mengisahkan tentang Diana yang mengambil keputusan menangguhkan niat untuk hamil supaya dia dapat fokus pada kerjaya biarpun keputusannya itu melukakan hati ibu mertuanya yang nakkan cucu.

Filem ni juga dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Dian P Ramlee, Iedil Putra, Rashidi Ishak, Wan Hanafi Su dan Nadia Brian. Apa yang menariknya, filem ini diarahkan oleh seorang pengarah muda, Jeany Amir. Pelakon veteran, Wan Hanafi Su dalam satu temubual nampaknya kagum dan memuji Jeany yang dianggapnya sebagai seorang yang bijak dan berbakat.

“Pertama kali bekerja di bawah arahan Jeany. Sebelum ini saya sudah mengenalinya dan nampak lingkungan rakannya. Oleh itu, saya tahu dia bijak dan seorang pengarah yang bagus.” – Katanya dipetik dari Harian Metro.

Bagaimanapun, filem ini hanya mengutip jualan tiket sebanyak RM21,754.00 akibat kurangnya sambutan daripada penonton. Bagi pengulas filem Shazryn Mohd Faizal, karya ini tidak berupaya untuk diangkat ke tahap lebih tinggi kerana kelemahan cerita dan lakon layarnya yang kurang memberangsangkan.

2. “7 Hari Kisah Cinta Langkawi” : Pelakonnya dianggap keras macam batu (RM11,967.00)

Filem ini mula ditayangkan pada 31 Oktober 2019. Imej dari Astro.

Laman KAKIMUVEE menganggap filem yang hanya mengutip RM11,967.00 ni sebagai salah satu filem tempatan paling teruk pada tahun 2019. Seperti yang boleh diagak dari tajuknya, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang mencabar seorang perempuan untuk membuktikan teori bahawa lelaki mudah dipikat dalam tempoh 7 hari.

Akan tetapi, filem ini didakwa gagal mempamerkan sisi eloknya apabila bermasalah dari segi ‘execution’, plot yang berterabur dan tak tersusun. Malah, lakonan para pelakonnya juga dikatakan sangat keras seperti batu.

Pengarah filem ni adalah Dr Anwardi Jamil yang juga anak kepada pengarah hebat negara Datuk Jamil Sulong (allahyarham). Anwardi pada mulanya bertugas sebagai wartawan di New straits Times sebelum terlibat dalam dunia perfileman. Dia juga pernah mengarahkan beberapa buah filem sebelum ini seperti Ah Lok Kafe: The Movie (2004), Budak Lapok (2007) dan Kerja Kahwin (2017).

1. “Bella & Jamie” : Filem pertama yang diterbit oleh Liyana Jasmay (RM9,186.50)

Mula ditayangkan pada 31 Januari 2019. Imej dari Xinemas.

Bella & Jamie adalah filem arahan Fairul Nizam Ablah dan Ghaz Abu Bakar yang dibintangi oleh barisan pelakon seperti Liyana Jasmay, Che Puan Juliana Evans, Izzue Islam, Khir Rahman, Sharifah Nadia, Dynas Mokhtar dan Bell Ngasri. Ia mengisahkan tentang persahabatan antara dua gadis iaitu Bella dan Jamie yang menjadi lebih rapat selepas mereka mendapat tahu ibu dan bapa mereka merancang untuk berkahwin. Namun hubungan mereka goyah bila Bella mendapat tahu yang Jamie menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya.

Akan tetapi, filem ni mendapat kutipan paling sedikit pada 2019 iaitu hanya sebanyak RM9,186.50 je berbanding kos produksi RM600,000. Menurut pengulas filem Shazryn Mohd Faizal, filem ni masih lagi menampilkan kelainan dan tidaklah begitu mengecewakan. Bagaimanapun…

“Dari sudut teknikal pula, banyak juga kelemahan yang kelihatan terutama dari aspek sinematografi, suntingan dan pengarahan yang tidak menampakkan satu milieu yang seharusnya menjadi kekuatan untuk Bella & Jamie.” – Katanya dipetik dari mStar.

Dalam masa sama, filem pertama terbitan Liyana Jasmay ni turut berdepan dengan banyak cabaran apabila ia ditayangkan serentak bersama dengan lima buah filem Cina bersempena sambutan Tahun Baru Cina. Itu belum lagi setelah ia terpaksa berasaing dengan tayangan filem Hollywood, Alita: Battle Angel yang juga menemui penonton dalam tempoh yang sama.

Liyana dalam reaksinya berkata, dia masih tak serik nak menerbitkan filem dan melihat Bella & Jamie bukan sebagai kegagalan, sebaliknya akibat dari pemasaran yang lemah.

“Tiada istilah serik bagi saya apabila Bella & Jamie kurang mendapat sambutan di pawagam. Sebaliknya, ia menjadi pengajaran buat kami supaya tidak memandang remeh aspek pemasaran dan promosi.” – Katanya dipetik dari Berita Harian.

Kandungan dan strategi pemasaran perlu untuk lakukan filem

Filem yang pernah ‘menggegarkan’ Malaysia. Imej dari I Am Lejen.

Dari maklumat yang kita dapat ni, tahulah kita yang antara punca utama kenapa filem tak laku adalah kerana adanya isu kandungan dan strategi pemasaran/promosi yang tak memuaskan. Sebenarnya, isu ni dah lama berbangkit dan masih belum diselesaikan sehingga ke hari ini. Selain tu, jadual tayangan juga menjadi antara faktor utama bagi menentukan laku atau tak lakunya sesebuah filem.

Tapi bagi sesetengah pihak pula, FINAS dilihat bertanggungjawab untuk memastikan hanya filem yang benar-benar bagus dan memenuhi piawaian ditetapkan saja boleh ditayangkan di pawagam.

“Kita tidak memerlukan filem yang banyak, tetapi mahu melihat filem yang mempunyai cerita dan persembahan menarik serta menghiburkan.” – Dipetik dari Berita Harian.

Tapi dengan lantikan terbaru dalam FINAS baru-baru ini, termasuk pengarah filem Badang, adakah korang rasa industri filem Malaysia punya masa depan?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.