- 80Share sekarang!
- Email2
- Facebook78
- Share
Pada bulan lepas, kita dikejutkan dengan kemalangan LRT laluan Kelana Jaya yang berhampiran dengan stesen KLCC. Ia berpunca daripada kecuaian kecuaian pemandu gerabak (hostler) salah satu tren yang memandu dalam arah yang salah.
“Pemandu kemudian diarahkan memandunya secara manual dari stesen Kampung Baru menuju stesen Dang Wangi dan perlu bergerak ke arah yang sama bagi memberi laluan kepada tren yang berada di arah selatan atau yang berada dalam mode ATO untuk meneruskan perjalanan.
___
Pada masa yang sama, TR81 yang beroperasi secara ATO berada dalam keadaan statik di platform stesen KLCC arah selatan, pada 8.24 malam TR81 telah berlepas dari stesen KLCC ke stesen Kampung Baru setelah menerima maklumat bahawa TR4O telah beredar dari stesen Kampung Baru menuju ke stesen Dang Wangi.” – Datuk Seri Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan, dipetik dari Sinar Harian.
Tragedi tren ini sebenarnya mengingatkan kami kepada satu tragedi keretapi berdarah yang berlaku di Kelantan. Ia dikatakan kemlangan antara bas dengan keretapi.
Dalam bas tersebut mempunyai…
35 pelajar sekolah rendah & menengah yang dalam perjalanan pulang dari sekolah
Tragedi berdarah ni berlaku pada hari terakhir persekolahan penggal pertama pada 1972. Semasa kejadian, bas itu mempunyai 49 penumpang, seorang konduktor dan pemandu. 35 penumpang ialah pelajar sekolah rendah dan menengah yang dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Ramai di antara pelajar tersebut tinggal berdekatan sekolah, dan mengambil peluang untuk pulang bercuti di kampung masing-masing. Bas itu dimilki oleh Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK).
Bas SKMK itu dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Pohon Tanjung, melalui Lemal, Labi dan Kampung Repek. Dalam pada itu, keretapi barang yang membawa tiga gerabak itu didalam perjalanan dari Kuala Krai menuju Tumpat.
Pada 30 Mac 1972, hari khamis, pukul 1.45 petang, Bas SKMK dirempuh oleh kereta api semasa bas itu melalui landasan keretapi di Lemal. Bas terhumban sejauh 50 meter selepas dirempuh oleh keretapi. Sebahagian badan bas pula melekat di kepala keretapi.
Mengikut pihak berkuasa, terdapat anggota badan manusia berkecai di landasan tersebut. Akhbar melaporkan, semasa tragedi itu berlaku, pasukan penyelamat masih mengutip tulang dan sisa daging manusia sehari selepas kejadian.
Dilaporkan sembilan mangsa terkorban serta merta, manakala seorang lagi mangsa turut terbunuh kemudian di tempat kejadian. 30 mangsa cedera parah (termasuk 28 perempuan). Seorang dari mangsa berusia 15 tahun yang cedera parah, meninggal pagi esoknya di Hospital Besar Kota Bharu. Dia adalah di antara 8 pelajar sekolah yang diragut nyawanya dalam insiden yang turut mengorbankan pemandu bas SKMK itu.
Para pelajar yang terlibat di dalam kemalangan itu dari sekolah:
- Sekolah Menengah Sultan Ibrahim.
- Sekolah Menengah Lemal.
- Sekolah Menengah Pasir Mas.
- Sekolah Kebangsaan Lemal.
- Maktab Kadir Adabi Cawangan Pasir Mas.
- Sekolah Arab Pasir Mas.
Bagaimanapun, terdapat seorang penumpang bas SKMK yang terselamat dari kemalangan tersebut dengan cara…
Dia melompat keluar dari bas selepas melihat keretapi
“Peristiwa paling ngeri dan tidak dapat dilupai“. – Hassan bin Abdullah, orang yang terselamat dari tragedi itu, dipetik dari Sokmodotnet.
Terdapat seorang penumpang bas SKMK yang terselamat dari tragedi tersebut. Nama dia ialah Hassan bin Abdullah, pada ketika itu dia berumur 22 tahun. Hassan dikatakan terselamat selepas melompat dari bas apabila melihat keretapi datang.
“Kerana bas terlalu penuh, saya dapat berdiri di tangga saja. Bila menyedari keretapi menghampiri bas, saya pun terjun dan berlari keluar dari landasan.Tidak dapat saya lupakan, apa yang saya lihat dan jeritan serta lolongan pelajar-pelajar dan orang dewasa yang sama menumpang bas itu. Suara mereka begitu menyanyat hati, sama kuat dengan bunyi keretapi melanggar bas itu.” – Hassan bin Abdullah, dipetik dari Sokmodotnet.
Sebenarnya ada seorang pelajar sekolah, Mustapha yang juga terselamat dari kemalangan itu. Dia duduk terkaku selepas melihat bahagian depan bas dilanggar. Untuk pengetahuan korang, banyak penumpang yang duduk di belakang bas terselamat.
“Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana terselamat dari kecederaan teruk. Saya turut sama membantu orang ramai menolong penumpang-penumpang yang cedera. Peristiwa ini tidak dapat saya lupakan.” – Mustapha, dipetik dari Sokmodotnet.
Mustapha dikatakan hanya mengalami cedera ringan saja, sebab itulah dia mampu untuk menyelamatkan penumpang-penumpang lain yang tercedera.
Seorang saksi yang melihat tragedi itu, Ahmad Awang, mengesyaki pemandu bas itu cuba menukar gear sewaktu di lintasan. Ahmad mendakwa melihat ramai penumpang berdiri berdekatan dengan tempat pemandu bas.
“Jika tak salah, saya lihat seolah-olah bas itu terhenti di tengah lintasan.” – Ahmad Awang, dipetik dari Sokmodotnet.
Berdasarkan akhbar dari New Straits Times, pemandu keretapi tersebut, Abu Kassim Bin Ishak (pada waktu itu dia berumur 39 tahun), melihat bas itu melintasi landasan 10 meter dari keretapi yang dipandunya. Dia cuba untuk memberhentikan keretapi, tapi tidak sempat lalu merempuh bas itu.
“Saya jerit, bahaya!” – Abu Kassim bin Ishak, dipetik dari Sokmodotnet.
Lintasan di kawasan itu sebenarnya tidak berpagar. Jadi, Menteri Pengangkutan cuba untuk…
Minta agar dipasangkan pagar di kawasan keretapi itu tapi tak dilayan
Pada masa itu, Menteri Pengangkutan, Tun Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Haji Sardon Jubir, merayu kepada Menteri Besar Kelantan supaya bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan agar keselamatan di lintasan yang tidak berpagar dapat dipertingkatkan.
Beliau telah meminta kepada Menteri Besar supaya membina penghadang di lintasan-lintasan keretapi. Malangnya menurut Saadon, permintaannya tidak diendahkan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Asri Muda memberitahu Berita Harian, Kerajaan Negeri baru sahaja membuat keputusan untuk mengemukakan cadangan supaya penghadang pagar dibina di lintasan tersebut.
Asri yang juga merupakan Presiden PAS (pada masa itu), melahirkan rasa dukacita pihak Kerajaan Negeri kerana cadangan yang diluluskan oleh kerajaannya itu belum sempat dibawa ke pengetahuan Keretapi Tanah Melayu.
Beliau turut menyatakan Kerajaan Negeri akan mengumumkan keputusan yang dibuat itu kepada Kerajaan Pusat supaya ia mendapat perhatian segera.
Kesemua cerita di atas ni sebenarnya…
Masih memberikan kesan kepada mangsa sehingga sekarang
Tragedi berdarah keretapi ni sebenarnya masih segar dalam ingatan seorang mangsa yang bernama Basir Daud. Dia dikatakan sempat melihat keretapi tersebut sebelum merempuh bas yang dinaikinya.
“Ketika berdiri di bahagian hadapan dalam bas dan melintasi landasan berkenaan, saya sempat melihat kereta api datang dari arah kiri sebelum kami semua menjerit ketakutan. Ketika itu jeritan kuat bergema dalam bas apabila masing-masing menyedari kereta api menghampiri bas sebelum saya tidak sedarkan diri akibat rempuhan itu.” – Basir Daud, dipetik dari Berita Harian.
Tragedi berdarah itu menyebabkan beliau cedera parah di muka (meninggalkan parut kekal di mukanya) serta menyebabkan mata kanannya kabur. Bukan itu saja, tragedi tersebut melibatkan dua kawan dia meninggal dunia.
“Ketika itu, saya amat sedih dan terkejut kerana bukan sahaja kesakitan akibat kecederaan dialami, sebaliknya dua rakan sekelas meninggal dunia dan beberapa lagi cedera teruk.” – Basir Daud, dipetik dari Berita Harian.
Akhir sekali, apa yang berlaku 49 tahun ni tidak diceritakan atau tidak diketahui oleh orang ramai. Mungkin ibu bapa atau atuk nenek korang mungkin tahu mengenai tragedi ini.
- 80Share sekarang!
- Email2
- Facebook78
- Share