Agama

Kisah mufti yang menghapuskan amalan ‘Tabal Jin’ & mencabar jin di Istana Perak

Baru-baru ni, kita dikhabarkan dengan berita bahawa Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria diserang strok dan dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, keadaan beliau dilaporkan semakin pulih dan kini dah dipindahkan ke wad biasa. Didoakan agar Alllah SWT memberikan kesihatan dan kekuatan kepada beliau.

Nama Harussani di negara ni, tak perlu diperkenalkan lagi kerana insan ni adalah orang yang paling lama menjawat jawatan Mufti (sejak 1985) dan cukup lantang dalam menyuarakan pandangan. Malah, tak kurang juga yang menggelarkannya sebagai salah seorang mufti kontroversi di Malaysia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani pada 2018. Imej dari Berita Harian.

Kami juga sebenarnya ada tulis satu artikel khusus berkenaan tokoh ni [klik sini], beberapa tahun lalu. Tapi untuk kali ni, SOSCILI nak membawakan kisah tentang usaha beliau menghapuskan amalan khurafat dan syirik di Istana Perak ketika di awal tempoh pelantikannya sebagai Mufti. Usaha tu termasuklah seperti…

Menghentikan amalan memasang ‘sangkar-sangkar’ di sekeliling istana

Harussani dilahirkan di Parit Buntar Perak dan berketurunan Banjar. Imej dari Bebas News.

Berdasarkan Memoir Harussani Zakaria: Dia Akan Jadi Mufti, di bab tujuh memoir tu ada diceritakan tentang tugas-tugas terawal beliau selepas dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak. Harussani berkata, pada suatu hari beliau masuk ke Istana Perak dan melihat alat yang dikenali sebagai ‘sangkar-sangkar’ di sekeliling istana.

Bila ditanya kepada petugas istana, mereka menjawab yang tu semua adalah adat. Bila dengar jawapan tu, Harussani bertanya lagi – sama ada yang tinggal di istana ni manusia atau jin? Mereka jawab manusia iaitu Sultan dan Harussani pun kata:

“Kalau sultan yang tinggal di istana itu, kenapa kita pasang sangkar-sangkar untuk jin ini? Sultan bukan jin. Sultan adalah manusia. Apakah orang Perak bersultankan jin ke? – Harussani, dipetik dari memoir beliau.

Selepas itu, Harussani mengarahkan supaya semua sangkar tu dibuang, walaupun dapat bantahan daripada Orang Besar Istana. Selain itu, ada juga amalan menyembelih kerbau dan kepala kerbau tu tadi ditanam di bawah tempat mandi. Amalan tu turut dibantah dan dihapuskan oleh Harussani kerana mengandungi unsur syirik.

Memansuhkan upacara ‘Tabal Jin’ dan pemakaian ular emas

Istana Iskandariah Lambang Kebanggaan Negeri Perak. Imej dari Orang Perak.

Tapi, antara amalan yang menjadi masalah besar menurut Harussani di Istana Perak pada masa tu adalah amalan ‘Tabal Jin’ iaitu adat menabal jin pada sebelah malam dan siangnya pula Istiadat Pertabalan Sultan Perak. Ini kerana, dipercayai bahawa seseorang sultan tu didampingi oleh jin-jin.

Berdasarkan cerita beliau, amalan ni bermula apabila semua orang yang berpakaian hitam masuk ke dalam dewan, menutup lampu dan hanya menyalakan lilin. Selepas tu, Pawang Diraja akan menyempurnakan upacara berkenaan.

Maklum tentang amalan tu, Harussani kemudiannya segera menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (almarhum) dan tanya tentang rasionalnya amalan tu diteruskan. Harussani juga membacakan ayat 6 dari Surah Jin yang bermaksud:

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” – Surah Jin, ayat 6.

Tambah Harussani, disebabkan kesombongan jin itulah mereka berani minta kita memberikan sajian seperti sembelihan lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Amalan-amalan tu tak lain dan tak bukan hanya menjerumuskan kita semua ke dalam lembah syirik semata-mata.

Mendengar nasihat dan penerangan tu, Sultan Azlan bersetuju dengan Harussani dan memperkenankan supaya amalan Tabal Jin dimansuhkan dari istiadat Istana Perak. Amalan tu kemudiannya diganti dengan Istiadat Tabal Pusaka yang hanya sekadar diiringi paluan nobat sebagai alat kebesaran dan dijirus air mawar, selain tak ada mentera yang digunakan.

Dalam pada itu, beliau juga ada mengarahkan supaya adat pemakaian perhiasan emas berbentuk ular dimansuhkan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak.

“Saya beritahu kepada Sultan, pada zaman Firaun menjadi raja dahulu, dia memakai perhiasan sedemikian kerana ular itu lambang tuhan mereka, sebab ular membunuh orang.” – Harussani, dipetik dari memoir beliau.

Pontoh Ular Lidi, sepasang gelang emas berbentuk kepala ular lidi yang merupakan salah satu alat-alat kebesaran negeri Perak. Tak dapat dipastikan sama ada alat ini yang dimaksudkan oleh Harussani. Imej dari Laman web rasmi Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak.

Walaupun begitu, usaha beliau ni pun datang dengan risiko sebab ia berkait rapat dengan alam mistik.

Peha Harussani bengkak menggelembung, selepas mencabar jin dan menghapuskan khurafat

Harussani duduk bersebelah dengan Mufti Kerajaan Brunei, Datuk Seri Dr Awang Abdul Aziz Juned di satu majlis. Imej dari Indahnya Islam.

Dalam usahanya menghapuskan amalan khurafat di istana, pada suatu malam Harussani dah minta petugas-petugas istana menunjukkan kepadanya di mana tempat yang dikatakan ada jin di istana berkenaan. Para petugas pun menunjukkan sebuah kerusi yang didakwa menjadi tempat duduk jin di istana.

Disebabkan mahu menghapuskan khurafat, beliau pun memberanikan diri mencabar jin tu menunjukkan diri dan duduk di atas kerusi berkenaan. Tapi pada masa tu, tak ada apa-apa yang jadi sampailah Harussani sedar yang pehanya bengkak menggelembung secara tiba-tiba bila sampai di rumah.

Jadinya, selepas solat subuh – Harussani pun tanya kepada jemaah di masjid kalau-kalau mereka kenal sesiapa yang pandai tentang ilmu berkait gangguan jin. Jemaah pun bagitau tentang seorang tua penggunting rambut di Sungai Rokam. Harussani pun berjumpa dengan lelaki tua tu, dan sambil gunting rambut, beliau pun tanya sekali pasal pehanya yang bengkak secara tiba-tiba tu.

“Tukang gunting itu meminta saya bawakan sirih-pinang. Saya sememangnya sudah bersedia dengan bahan itu sebab telah tahu serba sedikit tentang permasalahan dengan jin.” – Harussani, dipetik dari memoir beliau.

Sirih-pinang yang terkenal dalam adat Melayu. Imej dari watyutink.com

Esoknya, Harussani sekali lagi berjumpa dengan tukang gunting tu untuk berubat. Tukang gunting tu ada tanya kenapa beliau berani sangat cabar jin? Kemudiannya, orang tu pun tiup ke dalam telinga Harussani dan dengan sendirinya bengkak tu pun hilang.

Bagaimanapun, ada juga adat-adat tertentu yang masih dikekalkan sehingga sekarang

Amalan perasap keris. Imej dari Mohd Agg (Ageg77).

Salah satu amalan yang menurut Harussani masih belum berjaya dihentikan olehnya adalah ‘perasap keris’ iaitu amalan yang dilakukan apabila alat-alat di istana (keris, tombak, perkakas diraja, alat-alat kebesaran diraja dan semua jenis senjata) berpindah tangan daripada sultan yang telah mangkat kepada sultan yang baru ditabalkan.

Bagaimanapun, masih ada beberapa amalan yang masih dibenarkan dan dikekalkan sehingga ke hari ni seperti ‘Istiadat Mencecah Kaki di Beting Beras Basah’ dan ‘Istiadat Mengambil Air Bersiram Tujuh Kuala Sungai Perak’.

Ini kerana, bagi Harussani – Beting Beras Basah hanya perbuatan simbol Sultan Perak pertama yang bercemar duli turun di beting berkenaan. Manakala, air tujuh kuala sungai pula, menunjukkan lambang tujuh kuasa daerah di Perak yang pada masa dulu menjadi sempadan negeri.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyempurnakan ‘Istiadat Mencecah Kaki di Beting Beras Basah pada 14 Mei 2015. Imej dari mynewshub.tv

Jadinya, apa yang dilakukan oleh Harussani ni memang sesuatu yang berani kerana ada di antara amalan yang dimansuhkan itu dah pun diamalkan sejak sekian lama. Ia juga membuktikan yang Harussani seorang Mufti yang tegas, terutamanya berkaitan isu kesucian Islam. Sumbangan beliau akan terus dikenang sampai bila-bila.

 

*Artikel ini banyak merujuk buku: ‘Memoir Harussani Zakaria: Dia Akan Jadi Mufti’ terbitan  UUM Press. 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend