Kelumpuhan tidur: Sains cakap sebab kurang oksigen tapi budaya kata hantu tindih

Korang pernah tak tiba-tiba terjaga dari tidur pada waktu tengah malam, tapi susah nak gerakkan badan? Lepastu korang alami sesak nafas kritikal sehingga cuba untuk menjerit tapi tiada siapa yang mendengarnya? Kalau korang nak tahu, ia merupakan satu gejala yang dipanggil kelumpuhan tidur (sleep paralysis).

Kami rasa ramai antara korang pernah mengalami kelumpuhan tidur tapi tak tahu kenapa. Haa nak dijadikan cerita, terdapat dua pendapat mengenai kelumpuhan tidur ini, ada yang kata korang ni kena gangguan jin dan ada yang mengatakan korang ni mengalami fasa kelumpuhan otot. Mana satu yang betul ni? Takpe, jangan risau kerana kami akan huraikan dengan lebih lanjut mengenai kelumpuhan tidur ini.

Menurut para doktor, kelumpuhan tidur berlaku kerana badan korang….

Mengalami fasa REM dan Non-REM semasa tidur

Mesti korang rasa macam ni kan? Imej dari Sleep Cycle.

Kalau korang nak tahu, kelumpuhan tidur (sleep paralysis) ialah perasaan sedar tetapi tidak dapat bergerak. Ia berlaku ketika seseorang itu mengalami kelemahan badan dan mengantuk. Semasa situasi ini berlaku, korang tak dapat bergerak atau bercakap selama beberapa saat hingga beberapa minit.

Ada juga kajian mengatakan terdapat tiga kategori kelumpuhan tidur, antaranya:

  1. Intruder: Korang akan rasa ada orang buka pintu bilik, bunyi tapak kaki dan merasakan ada orang atau mahkluk menyeramkan sedang berada di sekeliling katil.
  2. Incubus: Perasaan tekanan di dada, sukar bernafas seperti rasa ditekan, dicekik atau diserang secara seksual oleh makhluk jahat. Korang juga beranggapan akan meninggal dunia.
  3. Vestibular-motor: Korang akan rasa seperti berpusing, jatuh, terapung, terbang, dan melayang di atas badan seseorang atau korang rasa roh keluar dari badan.

Terdapat dua perkara yang akan berlaku ketika kelumpuhan tidur. Pertama, sekiranya ia berlaku semasa korang tertidur, ia dipanggil hipnagogik atau kelumpuhan tidur pramatang. Kedua, kalau ia berlaku semasa korang bangun, ia dipanggil hipnopompik atau kelumpuhan tidur postdormital.

Korang juga akan rasa takut selepas bangun dari tidur. Imej dari Medical News Today.

Jadi, apa itu hipnagogik dan hipnopompik? Takpe, meh kami huraikan satu per satu. Hipnagogik ialah situasi di mana badan korang akan berehat sepenuhnya dan selepas bangun dari tidur, korang tak dapat merasakan anggota badan serta tak boleh bercakap.

Hipnopomik ialah situasi di mana badan korang akan mengalami fasa REM (Rapid Eye Movement) dan NREM (Non-Rapid Eye Movement). Fasa ini akan berlaku selamat 90 minit sahaja. Tidur NREM ialah fasa di mana badan korang akan berehat dan ia akan memakan 75% masa tidur korang. Oh ye, pada fasa NREM ini juga korang tidak akan mengalami mimpi.

Pada akhir fasa NREM, tidur korang beralih ke REM. Mata korang akan bergerak dengan cepat dan waktu ni lah korang bermimpi, tetapi seluruh badan masih berehat dan otot dimatikan. Sekiranya korang sedar sebelum kitaran REM selesai, korang mungkin menyedari bahawa badan tidak boleh bergerak atau bercakap.

Kesian badan kita hm. Imej dari Meme Creator.

Korang mesti terfikir apakah punca kelumpuhan tidur? Sebenarnya, terdapat beberapa sebab kenapa korang mengalami gejala ini, iaitu:

  • Kurang tidur.
  • Jadual tidur korang berubah.
  • Penyakit mental.
  • Insomnia.
  • Gangguan panik.
  • Narkolepsi.

Namun, dari segi agama dan budaya pula, kelumpuhan tidur berlaku disebabkan…..

Amukan hantu, jin dan syaitan yang datang menghantui manusia

Apa yang selalu dialami ketika kelumpuhan tidur. Imej dari Design You Trust.

Sebenarnya isu kelumpuhan tidur ini sudah dibahaskan oleh majoriti masyarakat kita dari segi budaya dan agama. Menurut kepercayaan masyarakat Thailand, kelumpuhan tidur berlaku disebabkan seseorang itu mengalami Phi Um atau Phi Kau semasa tidur. Phi Um bermaksud diselubungi oleh hantu manakala Phi Kau ialah memiliki hantu.

Berdasarkan cerita rakyat Jepun, korang sedang mengalami Kanashibari iaitu apabila seseorang dijangkiti oleh inugami, kitsune, tanuki, atau tsukimono (roh binatang), salah satu gejala yang mungkin dialami adalah tidak bergerak atau kelumpuhan tidur. Jadi, cara untuk tangani Kanashibari adalah menyuruh orang kuat agama untuk membacakan sebuah ayat yang boleh menghalau roh binatang itu.

Ilustrasi roh binatang inugami. Imej dari Wikipedia.

Kanashibari ini pernah dihujahkan oleh seorang ahli psikologi, Kazuhiko Fukuda dari Universiti Edogawa di mana beliau mengkaji hubungan di antara Kanashibari dan kelumpuhan tidur. Punyalah hebat kajian Kazuhiko ni sampai pernah menjadi bualan hangat dalam media Jepun.

Berdasarkan pandangan Islam, apabila kita mengalami kelumpuhan tidur, sebenarnya kita sebenarnya sedang diganggu oleh jin atau syaitan. Begitu juga apabila kita mengalami gangguan fizikal di mana ia berlaku disebabkan oleh gangguan jin. Hal ini boleh dikaitkan dengan hadis mengenai penyakit ‘Ain (penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang).

Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Pengaruh ‘ain itu benar-benar ada, seandainya ada sesuatu yang boleh mendahului takdir, ‘ainlah yang dapat melakukannya.” (HR. Muslim).

Dalam pada itu, kelumpuhan tidur juga berlaku disebabkan kita bermimpi buruk. Ia dikatakan boleh hadir dalam diri manusia kerana gangguan syaitan. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah r.a:

“Mimpi itu ada tiga macam: bisikan hati, ditakuti syaitan, dan khabar gembira dari Allah.” – (HR. Bukhari – 7017)

Kelumpuhan tidur tiada ubat tapi melalui rawatan doktor

Gurau je jangan marah. Imej dari Imgflip.

Sekiranya mengalami kelumpuhan tidur yang kritikal, korang disarankan untuk berjumpa dengan doktor. Walaupun ia tiada ubat, tapi doktor akan melakukan beberapa rawatan dan meneliti paten tidur. Selalunya kelumpuhan tidur boleh dirawat melalui empat perkara ini, iaitu:

  • Meningkatkan kualiti tidur (pastikan kita mendapat tidur selama 6 hingga 8 jam).
  • Menggunakan ubat antidepresan untuk membantu mengatur kitaran tidur (tanya doktor dulu).
  • Mengubati masalah kesihatan mental yang boleh menyebabkan kelumpuhan tidur.
  • Mengubati gangguan tidur yang lain, seperti narkolepsi atau kekejangan kaki.

Menurut pandangan Islam pula, korang boleh mengamalkan adab-adab sebelum tidur yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W seperti membaca doa sebelum tidur. Korang juga boleh mengamalkan adab-adab ketika mengalami mimpi buruk antaranya membaca ta’awudz, mengubah posisi tidur, solat dan sebagainya.

Oh ye, korang yang baca artikel ni, mana satu yang betul sama ada kajian klinikal atau pandangan Islam?