Kesan perang Iraq 2003: Lebih buruk berbanding mangsa Nagasaki dan Hiroshima?

Tiap kali tengok gambar Hiroshima Boy ni, mesti teringat cerita Graves of Fireflies

Mungkin ada antara korang yang masih ingat dengan perang Iraq pada tahun 2003.yang diisytiharkan oleh George W. Bush, Presiden Amerika pada masa tu. Pencerobohan tentera Amerika Syarikat ke Iraq bermula dari serangan udara pada 19 Mac, dan darat bermula 20 Mac 2003 bersama sekutunya iaitu UK, Australia dan Poland bagi menjatuhkan Presiden Iraq, Saddam Hussein yang dikatakan seorang diktator.

Saddam Hussein – satu sosok yang pernah digeruni disebabkan keberaniannya, dan kehebatannya mentadbir Iraq satu ketika dulu.

Gabungan Amerika dan sekutunya untuk menakluk Iraq juga merupakan Perang Teluk Kedua, selepas tahun 1990. Salah satu sebab berlakunya perang ni adalah apabila Saddam Hussein juga dituduh terlibat dalam kejadian 11 September, tanpa bukti kukuh. Selain tu juga, ia dikatakan untuk menamatkan keganasan, menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran oleh Iraq, dan membebaskan rakyat Iraq dari pemerintahan kuku besi tersebut.

Walaupun dah 17 tahun berlaku, tapi Iraq nampaknya masih terkesan teruk. Peperangan tersebut menyebabkan ratusan ribu nyawa terkorban, kecacatan bagi mereka yang terkena bom dan peluru berpandu. Kesan yang dialami bukan fizikal dan mental semata-mata, tapi perubahan biologi daripada bahan kimia yang digunakan Amerika dan sekutunya.

Penggunaan senjata kimia oleh Amerika yang diketahui selepas penemuan kecacatan kelahiran di Iraq

Sebelum kita ceritakan lebih lanjut pasal perang di Iraq, korang mesti tahu pasal pengeboman paling dahsyat dan popular – pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang berlaku pada 6 dan 9 Ogos 1945, pada Perang Dunia Kedua.

Tiap kali tengok gambar Hiroshima Boy ni, mesti teringat animasi Jepun – Grave of the fireflies.

Dan seperti yang kita tahu, letupan di kedua-dua bandar Jepun ni telah menghancurkan 90% bandar tersebut, serta membunuh 80,000 orang dengan serta-merta.

Pengeboman Hiroshima-Nagasaki yang menghancurkan hampir keseluruhan bandar-bandar tersebut, berserta debuan letupan yang menghasilkan radioaktif

Manakala mereka yang tak terkorban pula terdedah kepada radiasi dari bom tersebut. Walaupun ada yang tak menunjukkan kesan serta-merta, tapi dalam beberapa tahun selepasnya, kesannya dapat dilihat apabila mereka melahirkan anak. Kebanyakan bayi yang dilahirkan oleh ibu bapa yang terkena radiasi menunjukkan risiko barah, keterbelakangan mental, dan juga kecacatan kelahiran kongenital (kelainan dalam pertumbuhan struktur bayi) .

Malah, peningkatan risiko kecacatan kelahiran adalah 42 kes setiap 1 juta kehamilan. Kesan radiasi tersebut berlanjutan selama 40 tahun lamanya selepas peristiwa tersebut. Manakala penyelidikan perubatan juga telah dilakukan selama 60 tahun lamanya bagi membincangkan permasalahan berkaitan.

Kajian menunjukkan dengan jelas di mana pendedahan radiasi juga menurunkan jangka hayat mangsa yang secara puratanya kurang beberapa bulan berbanding mereka yang tak terdedah kepada radiasi. Dan, begitu jugalah yang terjadi di Fallujah, sebuah bandar Iraq yang diserang teruk Amerika dan sekutunya.

Pertempuran Fallujah pada 2004 yang merupakan usaha Amerika untuk menakluk bandar tersebut. Imej dari Wikipedia

Peningkatan kecacatan kelahiran kecacatan jantung, 13 kali ganda berbanding Eropah!

Setahun selepas pengeboman di bandar Fallujah, terdapat peningkatan bayi yang dilahirkan cacat dan tak cukup sifat. Malah kajian lain juga mendokumentasikan peningkatan mendadak dalam kematian bayi, barah dan leukemia selepas pengeboman tentera Amerika. Manakala angka kematian bayi di bandar tersebut juga empat kali ganda lebih tinggi daripada negara jiran, Jordan dan lapan kali ganda lebih tinggi dari Kuwait.

Selain barah dan kecacatan dalam darah, doktor juga mengesahkan, terdapat “sejumlah besar kecacatan jantung” yang tak pernah terjadi sebelumnya, dan peningkatan jumlah kecacatan sistem saraf. Analisis data selepas tahun 2003 juga menunjukkan “kadar kecacatan jantung kongenital adalah 95 per 1.000 kelahiran – 13 kali ganda banyaknya berbanding kadar di Eropah. 

Seorang profesor pelawat yang menulis kes ni juga mengatakan yang susah sebenarnya untuk tahu punca sebenar barah dan kecacatan kelahiran, lagi-lagi kenaikan mendadak macam ni.

“Untuk menghasilkan kesan seperti ini, beberapa pendedahan mutagenik yang sangat besar mesti berlaku pada tahun 2004 ketika serangan itu berlaku” – Dr Chris Busbyaktivis, saintis Britain yang mengkaji kesan kesihatan radiasi, profesor pelawat di University of Ulster dan salah seorang penulis yang membuat tinjauan terhadap 4,800 individu di Fallujah.

Dr Chris Busby – Buat research boleh, perform pun boleh.

Siasatan kemudiannya dijalankan yang mana menunjukkan, bom yang digunakan mempunyai campuran kimia. Dengan tekanan pelbagai pihak, pihak tentera Amerika pada tahun 2005 kemudiannya mengakui di mana bom yang digunakan terdapat campuran fosforus putih serta senjata lain. Yang lebih pelik, komander Amerika yang memberi arahan menggunakan senjata tak berperikemanusiaan juga tak merekodkannya dalam laporan hariannya kepada pegawai atasan. 

Kes kecacatan kelahiran yang tinggi dan masalah kesihatan lain sejak lahir ni kemudiannya didokumentasikan, dan WHO digesa untuk membuat siasatan keatas penggunaan senjata kimia ni.

WHO bagaimanapun mengatakan statistik dikeluarkan Iraq sebagai tidak tepat

Dengan kesemua bukti yang telah diserahkan, WHO kemudiannya menjalankan kajian sendiri berkaitan penemuan penyelidikan mendalam mengenai prevalensi kecacatan kelahiran kongenital (CBD) di Iraq.

Bagaimanapun, ‘laporan ringkasan’ WHO pada 2013 kemudiannya menafikan ketepatan kajian tersebut:

“Kadar pengguguran spontan, kelahiran mati dan kecacatan kelahiran kongenital yang terdapat dalam kajian ini konsisten dengan atau bahkan lebih rendah daripada perkiraan antarabangsa. Kajian ini tidak memberikan bukti yang jelas untuk menunjukkan kadar kecacatan kelahiran kongenital yang luar biasa tinggi di Iraq.” – petikan laporan yang dikeluarkan WHO.

Klik untuk baca

Laporan WHO bagaimanapun menyebabkan pakar-pakar bebas, dan bekas pegawai PBB dan WHO mempersoalkan kesahihan penemuan tersebut, tambahan pula dengan pengarang tak diketahui (anonymous). WHO juga didakwa cuba untuk menutup kesalahan pihak lain, malah menegaskan yang mereka menggunakan metod kajian yang biasa digunakan di seluruh dunia.

Yang peliknya, pada awal tahun tersebut, Kementerian Kesihatan Iraq didakwa dengan yakin sekali akan memberikan bukti yang bakal memalukan Amerika, dengan kajian yang bakal menunjukkan kadar kecacatan kelahiran yang tinggi terutamanya di kawasan-kawasan yang teruk berperang pada 2003. Statistik mereka sendiri menunjukkan terdapat statistik yang tinggi di kawasan berisiko tinggi yang dipilih untuk kajian tersebut.

Kemungkinannya terdapat campur tangan politik dalam laporan WHO

Malah Keith Bavistock dari Jabatan Sains Alam Sekitar, University of Eastern Finland yang pakar dalam radiasi dan kesihatan pernah bekerja dengan WHO pernah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan laporan WHO tak boleh diterima pakai kerana dokumen tersebut kekurangan kredibiliti saintifik.

“Dokumen ini tidak berkualiti ilmiah. Tidak akan lulus tinjauan rakan sebaya di salah satu jurnal terburuk. Salah satu masalah metodologi terbesar, antaranya adalah isi dokumen tiada usaha untuk melihat rekod perubatan yang ada di hospital Iraq. – ini adalah rekod klinikal yang tepat yang mendokumentasikan diagnosis kes-kes yang relevan yang sebenarnya ditemui oleh doktor Iraq.

Doktor-doktor ini mengumpulkan rekod klinikal melaporkan kecacatan kelahiran yang lebih tinggi daripada yang diakui oleh kajian. Sebaliknya, dokumen ini memfokuskan pada wawancara dengan ibu sebagai asas untuk diagnosis, banyak di antaranya trauma… dan tidak memenuhi syarat untuk membuat diagnosis. ” – Keith Bavistock, dipetik dari The Guardian.

Bekas pegawai PBB, WHO mendedahkan terdapat campur tangan politik untuk menutup bukti saintifik mengenai bencana kesihatan alam sekitar selepas perang. Lagipun, banyak pakar berkaitan dengan penggunaan peluru uranium (DU) oleh pasukan Sekutu.

Kelahiran kecacatan Fallujah yang melebihi Hiroshima dan Nagasaki

Setelah 10 tahun berlakunya pengeboman tersebut, mereka masih lagi berdolak-dalih. Laporan pada tahun 2014 bagaimanapun menunjukkan yang salah satu bom yang dijatuhkan oleh Amerika Syarikat yang dikatakan mengandungi bom uranium terurai. Uranium ni juga merupakan sebuah unsur kimia yang digunakan untuk menghasilkan tenaga nuklear yang berbahaya.

Contoh depleted uranium yang diguanakan Amerika. Imej dari BBC

Kalau korang nak tahu, sebelum tu pun memang ramai pakar yang mengaitkan kecacatan kelahiran ni dengan penggunaan peluru uranium terurai (depleted uranium) oleh Amerika dan sekutunya. Ia kemudian disahkan oleh PAX, Pakatan Perdamaian Belanda yang turut melaporkan, Amerika telah melanggar nasihat rasmi yang bertujuan untuk mencegah penderitaan rakyat dalam konflik politik. Yang dahsyatnya lagi, angka kelahiran bayi yang mengalami kecacatan ni juga adalah melebihi kecacatan kelahiran di Hiroshima dan Nagasaki!

Sekurang-kurangnya mangsa Hiroshima, Nagasaki, Agent Orange dan juga Project 4.1 diakui walaupun mungkin tak sepenuhnya, dan dapat sedikit pampasan ganti rugi walaupun tak setanding dengan penyakit dan ketakutan yang mereka alami.

Tapi bagi penduduk Fallujah pula, mereka langsung tak dapat apa-apa pampasan disebabkan mereka di bawah peperangan, dan WHO sendiri didakwa cuba menutup masalah ni. Kalau Jepun pun ambik masa selama sampai 40 ke 60 tahun kajian terhadap kesan yang wujud, apatah lagi Iraq?

Senjata kimia tak seharusnya disasarkan kerana ia melumpuhkan sesebuah masyarakat

Seperti yang kita tahu, senjata kimia adalah salah satu senjata yang lebih merbahaya dan mampu melumpuhkan masyarakat, dan generasi seterusnya. Kesan radioaktifnya yang kadang-kala tak diketahui membuatkan ia sebagai sesuatu yang perlu dikaji lebih lagi untuk mengelakkan ia terjatuh di tangan yang salah.

Selain Hiroshima dan Nagasaki, perkara yang sama juga dah berlaku pada Vietnam, di mana Amerika menyembur Agent Orange, dan Project 4.1 di Pulau Marshall, dan juga kemalangan letupan nuklear di Chernobyl, Rusia.

Disebabkan ni jugalah, Malaysia sendiri tak bersedia untuk jadikan bahan nuklear sebagai sumber tenaga diperbaharui, sebab kita bukan saja takde kepakaran lagi, tapi juga bakal mengumpul sisa nuklear yang juga bersifat radioaktif di loji tenaga nuklear supaya kita tak terkesan kalau apa-apa terjadi. Tengok saja apa yang pernah berlaku di Bukit Merah sekitar 80-an, dan kes pencemaran Sungai Kim Kim, Johor pada awal tahun lepas.

Peperangan nampaknya takkan berhenti semudah itu, tapi apa yang kita harapkan adalah supaya ia tak disasarkan kepada rakyat yang tak berdosa, apatah lagi dengan menggunakan senjata kimia yang diketahui mampu melumpuhkan sesebuah masyarakat dan negara tersebut.

Apabila disalah guna, jadilah satu bentuk kekejaman kemanusiaan seperti yang terjadi kepada mangsa peperangan. Lagipun, matlamat tak pernah menghalalkan cara, apatah lagi dengan merosakkan generasi seterusnya yang sepatutnya menjadi peneraju dunia pada masa hadapan.