Alam Sekitar

30 tahun lalu, penduduk Bukit Merah hidup di ambang maut kerana radioaktif

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

UPDATE 24/6/2019: 15 orang pelajar di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang dan terkena simptom muntah-muntah dan sesak nafas. Pihak bomba di Pasir Gudang menerima panggilan tu berhubung pencemaran udara. Ketika ni, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) tengah buat pemantauan di beberapa tapak pelupusan sampah untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian ni. Sebelum ni, Pasir Gudang pernah kena kejadian sesak nafas di sekitar Sungai Kim Kim kerana pembuangan bahan sisa kimia.

Sekarang korang bayangkan, setakat pembuangan sisa kimia dan boleh buat orang pengsan dan sesak nafas. Apatah lagi, kalau kesan radioaktif. Korang tahu tak kat Malaysia pernah huru-hara satu kawasan ni sebab kesan radioaktif? Sambung baca artikel ni…


Kalau dalam sejarah, mangsa kesan radioaktif yang paling kita ingat adalah orang Jepun apabila bom atom digugurkan kat Hiroshima. Kesannya bukan mangsa pada hari kejadian je, malah, kepada generasi yang lahir kemudiannya. Untuk yang nak pergi travel ke Jepun, bolehlah melawat muzium Hiroshima yang mana korang boleh tengok baju, basikal dan barang-barang lain yang diwariskan oleh keluarga mangsa bom.

Baju kanak-kanak Jepun yang kena bom Hiroshima. Imej dari Lifeoutsidetexas.com

Bahan radioaktif ni tersebar tak semestinya masa perang je. Dalam suasana tenang aman sentosa pun korang boleh terkena kesannya. Ada beberapa kejadian tragik dalam sejarah dunia antaranya…

Loji jana kuasa Chernobyl meletup, habis burung-burung jantan mandul

“Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menjangkakan yang Chernobyl melepaskan 400 kali lebih radioaktiviti ke atmosfera berbanding letupan bom di Hiroshima 1945.”- The Conversation.

Semuanya bermula pada 26 April 1986 kat Utara Ukraine, di mana berlaku letupan pada salah satu reaktor nuklear Chernobyl secara tiba-tiba pada pukul 1 pagi. Letupan tu menyebabkan kebakaran yang mengambil masa 10 hari untuk berhenti. Sedar tak sedar, sejumlah besar bahan radioaktif pun terlepas ke persekitaran sepanjang insiden tu.

Kesan letupan di Chernobyl ni lagi bahaya dari bom. Imej dari USnews.com

Kawasan reaktor meletup mestilah yang paling tercemar. Tapi, bahan-bahan radioaktif yang terlepas ke atmosfera ni dah ditiup angin yang menyebabkan ia tersebar sampai ke Belarus, Russia dan jauh lagi. Bila dah tersebar, tak pasal-pasal burung-burung dan haiwan mamalia kat situ otak jadi kecik dan kena katarak mata. Dalam 40 peratus burung jantan jadi mandul sebab takde sperma atau ada sperma tapi dah mati.

Kesihatan manusia pulak terkesan dengan Isotope I (bahan radioaktif) yang meningkatkan kejadian kanser thyroid dalam kalangan kanak-kanak. Sampai sekarang, bahan radioaktif dari Chernobyl masih dijumpai pada produk makanan di sana. Insiden yang lebih kurang macam ni jugak dah berlaku pada tahun 2011 di Jepun. Pada 11 Mac, berlaku gempa bumi Tohoku sekuat 9 skala Richter yang menyebabkan tsunami di Jepun.

Tsunami yang datang ni dah merosakkan tiga reaktor nuklear di Loji Jana Kuasa Fukushima. Reaktor meletup dan mencair lalu melepaskan bahan radioaktif ke kawasan sekitar. Kerajaan Jepun mengarahkan 200 ribu penduduk berpindah pada awalnya, tapi, pencemaran radioaktif tu dah tersebar kepada 30 juta orang di kawasan bandar Tokyo dalam masa yang singkat.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Sekali terbakar, berkapal-kapal nak padam. Imej dari Suffolk.edu.

Dilaporkan yang bencana ni dah meningkatkan kes kanser di Jepun termasuk leukemia, limfoma dan solid tumor (ketumbuhan). Semua ni terjadi sebab orang Jepun terdedah kepada pencemaran pada makanan, air, tanah dan udara. Tapi, korang jangan terkejut pulak kalau kejadian ala-ala macam ni pernah terjadi di negara kita yang juga dikaitkan dengan macam-macam penyakit kepada orang awam.

Kilang memproses bahan radioaktif bagi penduduk penyakit leukemia

Pada tahun 1980-an, berlaku satu perbicaraan mahkamah yang digelar  ‘Woon Tan Kan & others lawan Asia Rare Earth Sdn. Bhd (ARE)’. Atau senang faham penduduk Bukit Merah lawan syarikat ARE.

Menurut Utusan Pengguna, kilang Asia Rare Earth Sdn. Bhd (ARE) ni dibuka pada tahun 1982 di Bukit Merah untuk tujuan mengekstrak bahan nadir bumi, Yttrium. Pemegang saham terbesar syarikat ni adalah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35%) dan saham lain dipegang oleh Beh Minerals (35%), Lembaga Urusan Tabung Haji (20%) dan ahli perniagaan bumiputra lain (10%). Hasil dari pemprosesan ni pulak pergi ke…

“Diputuskan bahawa sisa itu menjadi milik Kerajaan Negeri Perak,akan disimpan memandangkan ia berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.”- Utusan Pengguna.

Kalau orang luar, mesti tak tahu ni kilang bahan radioaktif. Imej dari Utusan Pengguna.

Bila dah ekstrak yttrium tu, mesti ada sisa yang terbuang. Pada tahun 1984, penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapati ARE bina parit pembuangan sisa radioaktif berdekatan dengan pekan diorang. Penduduk sini tak duduk diam dan buat antara benda-benda ni:

  1. Lebih kurang 6, 700 penduduk Papan dan pekan terdekat tanda tangan surat bantahan yang dihantar kepada PM, MB Perak, Menteri Kesihatan dan Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar.
  2. 200 penduduk Papan menghalang jalan untuk ke tapak sisa pembuangan tu.
  3. Lebih kurang 3, 000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak buat demonstrasi secara aman pada 1 dan 4 Julai.

Ada beberapa respon dari pemimpin negara waktu tu. Antaranya:

  1. Dr. Mahathir (PM waktu tu) cakap kerajaan dah ambil setiap langkah untuk pastikan keselamatan dan pembinaan tapak pembuangan sisa radioaktif akan diteruskan.
  2. Datuk Amar Stephen Yong (Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar) cakap yang tapak pembuangan di Papan tu selamat sebab ia dibina bertepatan piawaian yang ketat. Dia juga mencabar pengkritik supaya buktikan yang tapak pembuangan itu berbahaya.

Tak bahaya. Semuanya ok ye! Hihi.

Walau apa pun yang berlaku, penduduk pernah mengadu mengenai bau dan asap kilang yang busuk sampai diorang sesak nafas dan menangis. Kesihatan diorang makin buruk, bukan setakat batuk dan demam yang kerap, tapi ada kejadian leukemia, kematian bayi, penyakit sejak lahir dan keracunan plumbum makin meningkat.

Jadi untuk buktikan ianya merbahaya, penduduk dah buat sesuatu yang awesome.

Penduduk kampung jemput ahli fizik luar negara untuk buat kajian

(Nota: Bahagian ni banyak merujuk laporan kronologi oleh Utusan Pengguna milik Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Untuk baca yang penuh boleh klik sini.)

Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah dibentuk terdiri dari penduduk Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah untuk sokong penduduk Papan. Pegawai Sahabat Alam Malaysia (SAM) dah bantu dengan buat satu kiraan tahap radiasi kat tapak tu yang mana ianya 88 kali lebih tinggi berbanding taraf maksimum  yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa Perlindungan Radiologi (ICRP). Penduduk Papan jugak dah jemput pakar antarabangsa untuk buat analisis kat tapak tu. Antaranya:

  1. Dr William Cannell (Ahli Fizik dan penganalisis keselamatan British)
  2. Dr Edward Radford (bekas ahli jawatankuasa Akademi Sains US)
  3. Dr Jun Ui (Pakar Sisa Industri Jepun)

Penulis buku ni yang penduduk Papan jemput. Imej dari Unu.edu.

Ketiga-tiganya bagi respon negatif sebab tapak tu tak sesuai untuk simpan sisa merbahaya. Tapi, kerajaan tetap buat keputusan supaya rancangan tapak pembuangan sisa di Papan diteruskan. Jadinya, penduduk Papan ni pun buat mogok lapar selama sehari tanda membantah keputusan kerajaan. Penduduk meneruskan usaha dengan menjemput  Prof. Sadao Ichikawa, seorang pakar radiasi dan genetik Jepun. Dia buat ukuran tahap radiasi kat tapak terbuka dan kolam berdekatan kilang. Hasilnya, paras radiasi 800 kali ganda melebihi paras yang dibenarkan.

Akhirnya, pada 12 Disember 1985, Timbalan Perdana Menteri waktu tu, Datuk Musa Hitam turun ke tapak pembuangan sisa sebab rasa terpanggil untuk isu ni. Mesyuarat kabinet diketuai TPM memutuskan tapak pembuangan sisa dipindahkan dari situ ke Banjaran Kledang yang jaraknya 5 km dari Papan. Jauh sikit je.

Kes ni kemudian dibawa ke mahkamah oleh 8 orang penduduk terdiri daripada seorang pengimpal, pembuat kasut, pekerja am, pesara, tukang gunting rambut, pemandu traktor, pengendali kren dan mangsa kanser. Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan ARE supaya menghentikan proses melibatkan bahan radioaktif tu sehingga langkah keselamatan diambil. Waktu tu, lebih 1,500 penduduk Bukit Merah datang untuk dengar keputusan.

Hebatnya! Imej dari Utusan Pengguna.

Pada tahun 1986, ARE mendakwa yang syarikat tu dah belanjakan lebih RM2 juta untuk tingkatkan langkah keselamatan mengikut standard Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Kalau penduduk kampung jemput pakar, ARE jugak jemput Dr. Fowler pakar tenaga atom Amerika untuk buat kajian. Dia cakap yang tahap radiasi kilang tu selamat untuk beroperasi. Ditambah pulak, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) melaporkan yang tahap radiasi lebih dari normal tapi tak merbahaya.

Pada tahun 1987, pertembungan makin kritikal apabila 300 orang penduduk disuraikan oleh FRU berdekatan kilang ARE. Lebih 20 orang tercedera dan 60 orang ditahan polis. Penduduk tak mengalah dan kali ni dah jemput doktor dari Kanada, Bernie Lau yang dah letakkan alat pengesan gas radon di luar kilang ARE. Memang terbukti yang kilang tu dah keluarkan jumlah gas merbahaya yang banyak.

Kilang ditutup walaupun ARE menang rayuan di Mahkamah Agung

Perbicaraan mahkamah diteruskan dari tahun 1988. Pada tahun 1992, Mahkamah Tinggi Ipoh umum yang penduduk Bukit Merah menang. Kilang ARE diarahkan supaya ditutup dalam tempoh 14 hari. Tapi ARE tak mengalah, diorang buat pulak rayuan ke Mahkamah Agung. Mahkamah Agung pulak menerima rayuan ARE atas dua alasan:

  1. Mahkamah berpendapat bahawa pakar ARE lebih dipercayai berikutan hasil ujian yang dijalankan oleh mereka menunjukkan bahawa radiasi adalah dalam paras yang dibenarkan.
  2. Mahkamah Agung cakap yang penduduk perlu kembali kepada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk meminta supaya ia membatalkan lesen ARE, kerana AELB ada kuasa untuk buat benda tu di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom.

Orang Jepun jugak yang prihatin. Imej dari Utusan Pengguna.

Walaupun ARE berjaya dalam rayuan diorang, syarikat tu kemudiannya menghentikan operasi dan mula membersihkan tapak akibat tekanan awam baik di peringkat negara dan antarabangsa. Campur tangan pemegang saham utama iaitu Mitsubishi Corporation juga menyebabkan operasi pengeluaran dihentikan.

Pada 19 Januari 1994, ARE mengumumkan penutupan kilang. Tapi, ada 80 000 liter sisa radioaktif dalam tong dram yang masih tersimpan kat Banjaran Kledang. Kerja-kerja pembersihan masih berjalan walaupun dah lebih kurang 20 tahun terjadi yang menelan belanja RM300 juta. Menurut New York Times, pekerja-pekerja dah alihkan 11,000 trak bahan radioaktif yang tercemar termasuk bekas-bekas lama. Tanah-tanah yang tercemar sedalam hingga 25 kaki pun diorang angkut dan alihkan.

Kawasan yang dijadikan tapak pembuangan sisa radioaktif. Imej dari CSRM.

Untuk buang bahan-bahan radioaktif tu pulak, para jurutera dah potong bukit yang jauh 3 batu dari hutan simpan. Bahan tadi dibenamkan dalam teras bukit dan diperangkap sedalam 20 kaki tanah liat dan granit. Kesian bukit tu ye, dalam perut dia ada racun.

Selain pembersihan, ARE ada juga buat bayaran bulanan kepada penduduk yang jadi mangsa melalui “Development Fund”. Pemegang saham, Mitsubishi Chemical dah settle luar mahkamah dengan penduduk apabila mendermakan sebanyak 164,000 US Dollar kepada sekolah komuniti di sana sambil menafikan sebarang tanggungjawan terhadap penyakit yang menimpa penduduk. Ada kajian akademik menunjukkan yang komuniti Bukit Merah akan hanya terkena satu kes leukemia untuk setiap tiga tahun kesan radioaktif tu.

Beza darah orang Leukemia dengan yang normal. Imej dari Bhalothakun.com.

Tapi, nampaknya penduduk tetap menyalahkan kilang tersebut sampai sekarang.

8 kes leukemia dan 7 kes kematian dikaitkan dengan kilang ARE

Dilaporkan pemprosesan bahan radioaktif di Bukit Merah ni dikaitkan dengan 8 kes leukemia dan 7 kes kematian. Dalam masa 5 tahun dah berlaku kecacatan kelahiran dan beberapa kes leukemia dalam kalangan 11,000 penduduk. Menurut New York Times, 7 mangsa leukemia dah pun mati.

Salah satu cerita yang tragiknya adalah Lai Kwan dan anaknya. Waktu 1980, Lai Kwan sangat gembira bila bertukar kerja dari kerja kilang papan kepada posisi yang lebih baik di kilang ARE walaupun melibatkan jarak dekat dengan bahan radioaktif. Waktu dia mengandung pada 1983, dia diberitahu oleh boss kilang supaya ambil unpaid day off kalau bahan-bahan bahaya masuk ke kilang.

Leong nampak ceria dalam gambar. Imej dari CSRM.

Malangnya, selama hampir 30 tahun dia membesarkan anak yang lahir dalam keadaan mengalami masalah mental dan kecacatan fizikal. Anak yang dijaganya tu adalah anak kedua belas yang bernama Cheah Kok Leong yang mengalami kecacatan macam katarak dan jantung berlubang.  Lai Kwan ada bagitahu yang Dr. Bertell (seorang pakar) pernah pegang Leong dan cakap yang Leong tak mampu hidup lebih dari 30 tahun.

“Puan Kwan mengesat air mata dan berkata “Ramalan oleh Dr. Bertell adalah benar. Leong suka tengok anak bulan. Bila saya tengok anak bulan. Saya teringatkannya.”- Petikan laporan Dr. Yoshihiko Wada.

Waktu ni lah Dr. Bertell buat ramalan. Imej dari Utusan Pengguna.

Leong meninggal dunia pada 29 Mac 2012 pada umur 28 tahun. Lai Kwan dan penduduk tempatan menyalahkan operasi kilang tu yang mendatangkan masalah kecacatan kelahiran walaupun ianya boleh terjadi atas banyak faktor.

Ada kajian pada 1992 dibuat untuk menguji tahap monocytopenia (penurunan darah putih) dalam kalangan kanak-kanak. Kajian ni buat  perbandingan antara kanak-kanak Bukit Merah dan kanak-kanak di Marshall Island tempat US buat ujian bom nuklear kat situ.

Klik gambar untuk baca artikel pasal orang Marshall Island jadi tikus eksperimen US.

Hasil kajian tu menunjukkan lagi banyak kanak-kanak Bukit Merah yang kena berbanding di Marshall Island.

Kesian kanak-kanak di Bukit Merah tu. Imej dari CSRM.

Sejarah tapak pembersihan bahan radioaktif terbesar di Asia ada di negara kita

Tapak pemprosesan bahan nadir bumi di Bukit Merah adalah sejarah tapak pembersihan radioaktif terbesar dibenua Asia. Ianya menjadi pengajaran yang sangat besar dalam urusan pengurusan bahan radioaktif di negara kita. Pemprosesan bahan nadir bumi bukanlah tak boleh sebab ianya digunakan dalam komponen peralatan moden macam bateri kereta hibrid, ipad dan peluru berpandu pintar.

Kesihatan anak-anak lebih berharga dari mengejar keuntungan. Imej dari Utusan Pengguna.

Dari bahan nadir bumi ni juga boleh digunakan untuk teknologi nuklear bagi manfaat industri macam teknik untuk kesan kebocoran paip dan teknologi sinaran untuk produk perubatan. Itu semua kebaikan bahan-bahan ni. Tapi, apa yang menjadi tanda tanya adalah, adakah syarikat yang proses bahan radioaktif bersedia untuk uruskannya sebaik mungkin demi kesihatan orang awam? Untuk orang awam, korang kena pekalah sikit kalau ada kilang-kilang haram yang mencemarkan. Terus je report pada Jabatan Alam Sekitar kat nombor ni, 03-8889 1972.

Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend