Projek 4.1: Penduduk Pulau Marshall yang menjadi tikus makmal Amerika

Beberapa bulan lepas, Korea Utara ada ugut nak lancarkan nuklear kat Amerika, tapi nampaknya takde tindakan pun. Tapi kalau betul-betul terjadi, memang nahas la sebab nuklear ni adalah satu senjata yang paling berbahaya di dunia. Tengok jela macam mana bandar Hiroshima dan Nagasaki satu ketika dulu dibom, yang menyebabkan tempat tu jadi padang jarak padang tekukur. Begitu juga kemalangan yang terjadi di Chernobyl, Rusia.

Selain nuklear tu sendiri, korang kena tahu radiasi yang ditinggalkan lepas tu pun cukup bahaya dan boleh membunuh secara senyap. Kita memang tak boleh nampak dengan mata kasar, tapi boleh dikesan dengan menggunakan beberapa alat khas, salah satunya adalah Geiger counter.

Geiger counter, boleh memeriksa radiasi. Imej dari uclearconnect.org

Selain daripada Jepun yang pernah kena kesan radiasi ni, ada sebuah pulau yang turut sama terlibat. Malah, dijadikan salah satu eksperimen ‘kajian perubatan’ Amerika Syarikat terhadap penduduk pulau tu.

Kepulauan Marshall dan gugusannya

Pulau yang disebutkan tu adalah Kepulauan Marshall, yang sebenarnya adalah sebuah negara pulau. Juga dikenali sebagai Republik Kepulauan Marshall, yang mempunyai beberapa gugusan pulau, macam Kepulauan Maldives juga.

Kepulauan Marshall juga ada gugusan pulau kecil di sekelilingnya. Macam kepulauan Maldives juga la. Imej dari worldatlas.com

Secara geografi, negara ni adalah sebahagian daripada kumpulan pulau Micronesia yang lebih besar, terletak di wilayah Lautan Pasifik, dan di bahagian barat dari Garisan Tarikh Antarabangsa. Kalau nak diikutkan, Republik Kepulauan Marshall ni berada di antara Hawaii dan Australia.

Kalau korang nak tahu, kita akan mengambil masa lebih kurang 1 hari 13 jam daripada Malaysia ke Pulau Marshall. Imej dari Google Maps

Kepulauan Marshall ni dah dihuni sejak berabad lamanya, tapi pada tahun 1788, sorang kapten Inggeris iaitu Kapten John Marshall mendarat kat kepulauan ni. Dia kemudiannya menamakan pulau tu sebagai Pulau Marshall, sempena nama dia.

Pulau Marshall kemudiannya jatuh ke tangan negara lain, iaitu Jerman dan Jepun pada Perang Dunia Pertama. Tapi dirampas pulak oleh Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua, yang kemudiannya jadikan Pulau Marshall ni wilayah diorang.

Kepulauan Marshall ni memang sangat cantik, dan ada rantai ‘Atoll’, iaitu pulau kecil lain. Atoll ni ialah deposit karang daripada kawah gunung berapi yang tenggelam, dan timbunan tu yang menjadikannya sebuah pulau baru.

Atolls adalah deposit karang di kawah gunung berapi tenggelam. Inilah permukaan bawah Kepulauan Marshall ni. AP Photo/Rob Griffith)

Wujudnya Operasi Castle, eksperimen ujian nuklear yang membawa kepada Castle Bravo

Disebabkan tempat tu pun agak terpencil, Amerika kemudiannya mengambil keputusan untuk buat pangkalan diorang kat sana bagi menjalankan ujian nuklear kat kepulauan tu. Operasi ni dipanggil Operasi Castle, iaitu ujian nuklear oleh Joint Task Force 7 (JTF-7). Masa tu Amerika dan Kesatuan Soviet bermusuhan, masing-masing berlumba-lumba nak buat senjata paling power.

Jadi, ujian bom atom dan nuklear ni pun bermula dengan Bikini Atoll, salah satu bahagian pulau dalam kepulauan Marshall tu sendiri. Ujian nuklear tu bukanlah menyerang tepat kepada penduduk tempatan, tapi ke arah udara, dalam dan tengah lautan pulau tu.

Antara tempat ujian nuklear yang digunakan. Imej dari washingtonpost

Dalam banyak-banyak operasi ujian nuklear ni, ada satu letupan yang terbesar berjaya dicatatkan. Hasilnya adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada jangkaan diorang. Kawah yang dihasilkan pulak selebar 1.98km dan 76m dalam. Awan pulak mencapai 16.5km, lebih besar berganda-ganda daripada KLCC. Lebar awannya juga adalah 100km, dengan lebar batang sebesar 7km. Letupan ni dipanggil Castle Bravo, dan dikatakan 1,000 kali lebih kuat daripada bom Hiroshima!

Castle Bravo, letupan ujian nuklear terkuat daripada Amerika. Imej dari brookings.edu

Letupan yang terlampau kuat dan besar tu berlaku di tengah-tengah lautan, dan dalam masa lima jam je, debuan nuklear berterbangan dan terjatuh di pulau Rongelap, Rongerik, Alinginea and Utirik Atolls.

Peta Kepulauan Marshall Republik menunjukkan pola debuan yang jatuh dari ujian nuklear Bravo yang dijalankan pada 1 Mac 1954. Gambar dari marshallislands.llnl.gov

Terhasilnya kajian baru pasal eksperimen radiasi, iaitu Projek 4.1, sebagai ‘tikus makmal’ Amerika Syarikat

Macam mana-mana gambar letupan nuklear yang korang akan jumpa, kesemua bom nuklear yang meletup akan membentuk sejenis awan. Sisa atau debu yang ditinggalkan tu adalah radioaktif, sangat beracun dan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Itu jugalah apa yang berlaku dekat penduduk pulau ni.

Debuan yang jatuh tu ambik masa selama lima jam untuk sampai ke kepulauan tu, tapi masalahnya, AS buat pemindahan rakyat tu lambat padahal keadaan masa tu bahaya. Kawasan yang paling teruk terjejas masa tu adalah Rongelap Atoll, di mana debuan putih tu boleh nampak jelas. Disebabkan penduduk pulau tu ingatkan debuan putih tu salji, jadi diorang pun keluar main dan tak kurang juga makan ‘salji’ tu :(

Penduduk yang terdedah dengan debuan tu mengalami mual-mual, muntah, dan mengalami gatal dan rengsa pada kulit dan mata. Penduduk Rongelap juga dipindahkan 48 jam kemudian danpenduduk yang tinggal di Utrik pulak dipindahkan 72 jam selepas “Bravo” diletupkan.

Penduduk Bikini yang dipindahkan ‘untuk kebaikan’ diorang ke sebuah pulau lain. Imej dari aljazeera.com

Disebabkan insiden debuan nuklear yang jatuh kat penduduk pulau tu, wujudlah penyelidikan baru yang dinamakan:

Projek 4.1:Kajian tentang tindak balas manusia yang terdedah kepada Sinar Beta dan Sinar Gamma yang berpunca daripada debuan nuklear daripada senjata berkuasa tinggi. 

Projek ni wujud semata-mata sebab diorang nak kaji kesan pendedahan radioaktif kepada penduduk Marshall. Dalam laporan Agensi Nuklear Pertahanan 1982, tujuan projek tu pula menjelaskan yang ia adalah bertujuan untuk perubatan dan penyelidikan:

Tujuan Projek 4.1 adalah untuk:

  1. Menilai tahap kecederaan radiasi kepada manusia yang terdedah
  2. Menyediakan semua rawatan perubatan yang diperlukan, dan
  3. Menjalankan kajian saintifik terhadap kecederaan radiasi kepada manusia

Tapi sebenarnya, penduduk Marshall tak tahu pun yang diorang sebenarnya dipergunakan sebagai ‘tikus makmal’ dalam ‘percubaan radiasi’.

Seorang pegawai daripada Pusat Perubatan Angkatan Laut Nasional telah dipilih untuk menjadi Pegawai Projek, iaitu Eugene P. Cronkite. Dia kemudiannya mengarahkan yang projek 4.1 ni sebagai data sulit kerajaan, dan cuma dibuka pada tahun 1994.

…projek ini diklasifikasikan sebagai RAHSIA SULIT KERAJAAN. Disebabkan ia boleh memberikan gambaran negatif terhadap orang awam, semua kakitangan dalam projek ini mestilah berhati-hati dan tidak membincangkan tujuan projek, latar belakang atau penemuannya dengan mana-mana kecuali mereka yang mempunyai  “keperluan untuk mengetahui” secara spesifik.

Kajian Projek 4.1. Imej dari wikipedia

Perkara yang berlaku ni sebenarnya tak menghentikan Operasi Castle langsung, malah tentera Amerika menggunakan kepulauan tu sehingga tahun 1960-an. Perkara ni terjadi bukan sekali, tapi dah lebih kurang 66 senjata nuklear diletupkan di tujuh tapak ujian di Bikini Atoll (1946-1958).

Radiasi berlaku dah menyebabkan pelbagai masalah kesihatan

Seorang saintis kerajaan A.S. meneliti mangsa yang terkena debuan nuklear di Marshall Islands, kesan daripada ujian bom hidrogen 1954. Penduduk pulau itu ‘disimpan’ di pulau yang tercemar selama hampir 30 tahun untuk mengkaji kesan radiasi pada manusia. Imej dari reddirt

Debu radioaktif dari sisa letupan tadi juga menyebabkan pencemaran nuklear yang memberi kesan berbahaya bukan saja kepada manusia, tapi haiwan, tumbuhan dan persekitaran. Sebab tu la kawasan yang pernah dibom dengan nuklear selalunya akan ditinggalkan serta-merta, macam apa yang berlaku di Fukushima.

Berdasarkan kajian, pendedahan radiasi yang berlaku tu dah menyebabkan bukan saja penyakit kulit, yang boleh dilihat secara jelas. Tapi, terdapat juga masalah keguguran kandungan yang terjadi dalam kalangan perempuan Rongelap, dalam tempoh lima tahun pertama selepas insiden yang berlaku.

Pencemaran radioaktif yang menyebabkan kesan fizikal. Imej dari glasstone

Kanak-kanak yang lahir pun mengalami pertumbuhan yang terbantut, dan tak kurang juga yang menderita kanser tiroid disebabkan pendedahan radioiodin, dan ada banyak lagi kesan buruk terhadap penduduk Kepulauan Marshall ni.

Radiasi yang terdedah ni selalunya diserap oleh tisu badan, dan jumlah penyerapan tu boleh diukur dalam unit  ‘RAD’, atau “radiasi yang diserap dos”.  Walaupun dah lama berlaku, tapi kesan radioaktif ni memang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan serta-merta, dan dalam jangka masa yang lama.

Masa bancian dibuat, ada lebih kurang 665 penduduk yang masih hidup mengalami masalah kesihatan, atau kecacatan kepada bayi yang dilahirkan.

Mangsa radiasi nuklear di Pulau Marshall. Imej dari defensenews

Bukan setakat manusia je yang tak boleh tinggal kat sana disebabkan pencemaran tu, malah pendedahan radiasi juga dah menyebabkan 42 spesies karang di lautan yang dah hilang. Radiasi ni pelbagai, korang boleh periksa type apa dan kesannya kat sini.

Salah satu kesan memudaratkan daripada nuclear fallout (debuan nuklear) yang meninggalkan kesan mutasi yang terjadi di Chernobyl. Imej dari history.libraries

Tribunal Tuntutan Nuklear, menuntut ganti rugi daripada Amerika Syarikat

Sekian lama mendiamkan diri, pada tahun 1972, antara salah seorang ahli kerajaan Pulau Marshall, iaitu Ataji Balos menuduh Amerika menjadikan penduduk di kawasan Rongelap sebagai ‘tikus makmal’ sebab tak buat pemeriksaan dan rawatan perubatan yang sewajarnya,

Pada tahun 1975, penduduk pulau yang dah kembali kat Bikini ni pun saman Amerika buat kali pertama dan menuntut kajian radiologi dilakukan di kepulauan tersebut. Pada Mei 1977, barulah para saintis AS kaji dan kemudiannya jumpa kimia dan radioaktif strontium-90 yang sangat berbahaya di dalam air telaga diorang dah melebihi had maksimum daripada yang sepatutnya.

Berdasarkan kajian pada tahun 1980-an, 91% daripada penduduk Pulau Marshall mengalami masalah penyakit darah dan masalah kelahiran. Salah seorang pegawai juga menafikan isu radiasi yang berlaku walaupun kesannya jelas,berdasarkan kajian tersebut.

Lepas kepulauan tu diduduki oleh Amerika Syarikat selama beberapa dekad, akhirnya kepulauan Marshall menjadi sebuah negara berdaulat pada 1986 di bawah perjanjian Compact of Free Association, yang berkuatkuasa pada tahun 1986 dan telah dirundingkan semula pada tahun 2003.

Imej dari IPFSSebagai ‘ganti rugi’ terhadap apa yang berlaku, kerajaan AS telah memberi bayaran lumpsum sebanyak 150 juta dollar. Walaupun mendapat pampasan, duit bukanlah segala-galanya buat diorang.  Malah, disebabkan pelbagai masalah kesihatan dan trauma yang berlaku, ramai penduduk di kepulauan tu yang bunuh diri, dan ia adalah 100 kali ganda berbanding remaja di AS.

Eksperimen yang menukarkan sebuah syurga kepada sebuah neraka dunia

Peperangan memang sedia kejam, tapi untuk menjalankan ujian kepada orang yang tak bersalah adalah sangat tak bertanggungjawab. Ramai yang kehilangan ahli keluarga disebabkan eksperimen yang mementingkan kemenangan berbanding nilai kemanusiaan.

Kesan yang berlaku terhadap penduduk pulau ni dah menjejaskan DNA diorang, menunjukkan betapa teruknya kekejaman yang manusia boleh buat ke atas manusia lain. Walaupun Amerika merupakan sebuah negara yang besar, tapi itu tak bermakna yang diorang boleh gunakan kuasa sewenang-wenangnya, tanpa perikemanusiaan.

Kepulauan yang dulunya cantik dan menarik untuk didiami masih lagi wujud pada hari ni, tapi beberapa pulau di Kepulauan Marshall kini menjadi sebuah pulau yang sangat cantik, tapi beracun.

Kalau korang pun tak setuju dengan ujian nuklear ni, korang juga boleh sign petition kat www.theatomproject.org.