Taiwan cadang hukuman mati: Ini hukuman pemandu mabuk di negara-negara lain

Sejak kebelakangan ni, kita selalu dengar tentang masalah yang ditimbulkan oleh pemandu mabuk. Antara kes terbaru adalah apabila seorang lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus oleh pemandu mabuk di Kuantan, Pahang. Malah sebelum ini, seorang anggota polis juga maut kerana dirempuh kereta yang dipandu oleh pemandu mabuk.

Kita juga dah lama dengar tentang usaha kerajaan untuk cuba mengetatkan lagi undang-undang berkaitan masalah ini. Sebabnya, berdasarkan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 , pemandu yang memandu dalam keadaan bahaya dan menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tak kurang 2 tahun dan tak lebih 10 tahun serta denda tak kurang RM5,000 dan tak lebih RM20,000.

Manakala, dalam Seksyen 44(1) pula memperuntukkan – hukuman penjara tak kurang 3 tahun dan tak lebih 10 tahun, serta denda tak kurang RM 8,000 dan tak lebih RM20,000 terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian.

Kes seorang penjual kuih maut selepas dirempuh pemandu mabuk. Imej dari BH Online.

Tapi, masih ramai yang melihat hukuman ni tak setimpal, khususnya bila melibatkan kehilangan nyawa.  Jadinya, SOSCILI kali ni cuba nak bandingkan hukuman memandu dalam keadaan mabuk di negara-negara lain yang mungkin boleh kita renungi.

1. Ada negara yang langsung tak ada toleransi terhadap kadar alkohol dalam darah

Salah satu cara nak kesan korang bawah pengaruh alkohol atau tak. Imej dari Wallin & Klarich.

Kalau kita semak undang-undang Malaysia, kadar alkohol dalam darah (BAC) yang boleh membuat seseorang tu didakwa adalah sebanyak 0.08 atau 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah. Kadar ni sebenarnya kita kongsi dengan beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Singapura.

Tapi nampaknya, kadar ni dah membuatkan Malaysia dianggap sebagai salah satu negara paling bertoleransi di dunia. Ini kerana, kalau nak dibandingkan dengan negara lain – nilai 0.08 tu sebenarnya tinggi, sedangkan ada negara yang dah tetapkan kesalahan memandu dalam pengaruh alkohol kalau BAC diorang tu cuma 0.05 (Taiwan) dan 0.03 (Jepun). Tu belum kita tengok beberapa negara Eropah seperti – Sweden, Norway dan Poland yang tetapkan BAC mereka pada kadar 0.02.

Malah ada negara yang langsung tak ada toleransi langsung dengan BAC ni seperti Hungary, Czech Republic, Romania, Slovakia dan Jordan yang BAC mereka “0”. Maknanya, kalau BAC korang tu cuma 0.01 sekalipun, korang boleh didakwa bergantung kepada peruntukan undang-undang negara masing-masing.

2. Sweden: Denda bergantung pada berapa banyak duit korang dalam bank

Kalau tak banyak duit, jangan mabuk. Imej asal dari Daily Express.

Berbeza dengan negara-negara lain, jumlah denda di Sweden bergantung kepada jumlah simpanan yang korang ada dalam bank. Maknanya, makin banyak simpanan korang, makin banyaklah denda yang korang kena bayar. Disebabkan hal ini, ada pesalah di sana yang dikatakan pernah bayar denda lebih USD$21,000 (sekitar RM91,000).

“Sekiranya anda melanggar undang-undang lebih dari sekali, nama, wajah dan kereta anda masuk ke dalam pangkalan data sehingga polis dapat menghentikan anda pada bila-bila masa saja.” – Dipetik dari WFTV.

Lebih menarik lagi, Sweden juga menggalakkan penggunaan alcohol ignition interlocks dalam pengangkutan di negara itu. Alcohol ignition interlocks ni adalah alat pernafasan untuk kenderaan, di mana ia memerlukan korang menghembuskan nafas pada peranti sebelum korang boleh start atau meneruskan operasi kenderaan.

Tak kisahlah nafas korang tu bau macam mana, asalkan takde alkohol. Imej dari Traffic Safety Guy.

“Pada tahun 2004, SRA (Swedish Road Administration) mensyaratkan bahawa semua kenderaan yang dibeli atau disewa mesti dilengkapi dengan alcohol ignition interlocks pada tahun 2008 selewat-lewatnya.” – Dipetik dari European Union

3. UAE: Kereta disita selama 2 bulan dan boleh disebat 80 kali

Kalau nak kena, buat la macam ni. Imej dari Gifer.

Kalau kita tengok pada Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pula, di sana ada dua undang-undang berkaitan dengan alkohol ni, iaitu syariah dan sivil. Sama macam Malaysia, syariah hanya dikhaskan untuk orang Islam dan sivil untuk orang bukan Islam. Dalam undang-undang syariah di sana, orang Islam yang minum minuman keras boleh dikenakan hukuman 80 kali sebatan tak kisahlah sebab mereka minum di tempat awam atau masa memandu.

Cerita pasal memandu dalam keadaan mabuk, UAE takde toleransi langsung dengan kesalahan ni dan sesiapa yang diadapati bersalah boleh dihukum denda maksimum UAE$20,000 (RM23,631), dipenjara berdasarkan keputusan mahkamah, 23 mata hitam dan kenderaan disita selama 60 hari.

Sistem mata hitam atau black points ni adalah mata yang akan dikeluarkan bersama dengan denda. Kalau jumlah mata hitam pada lesen melebihi 24 mata, maka lesen seseorang tu boleh digantung. 

Untuk orang bukan Islam, mereka kena ada lesen minuman keras kalau nak beli atau mengambil minuman tu. Selain tu, larangan mengambil alkohol ni pun ada di tempat kerja, dan sebab itulah majikan dibenarkan untuk pecat pekerja mereka yang ada pengaruh alkohol atau dadah masa waktu bekerja.

4. Taiwan: Pertimbang hukuman mati kepada pemandu mabuk

Usaha ni diambil sebab nak kawal kemalangan akibat pemandu mabuk yang tinggi di sana. Imej dari Taipei Times.

Pada Mac tahun lalu, kabinet Taiwan dah pun meluluskan draf pindaan Kanun Jenayah yang membolehkan hukuman mati dijatuhkan terhadap mana-mana orang yang membunuh orang lain dengan niat ketika memandu dalam keadaan mabuk.

Draf tu juga menetapkan pemandu mabuk berulang yang melakukan kesalahan serupa dalam masa 5 tahun dan menyebabkan kecederaan serius terhadap orang lain, boleh berdepan hukuman penjara 5 hingga 12 tahun, dan sekiranya mangsa meninggal, 7 tahun hingga penjara seumur hidup. 

“…hukuman yang lebih berat diperkenalkan kerana memandu di bawah pengaruh (DUI) dengan tingkah laku tersebut telah mengakibatkan kematian banyak nyawa yang tidak bersalah dan memusnahkan banyak keluarga.” – Dipetik dari Taiwan News.

Taiwan juga ada memperkenalkan undang-undang mabuk terhadap penunggang basikal. Imej dari Giphy.

Bagaimanapun, pindaan ini masih belum diluluskan di peringkat parlimen dan kemungkinan akan diluluskan tak lama lagi.

Malaysia kena wujudkan seksyen baru pasal memandu mabuk hingga menyebabkan kematian

Dah tak boleh bawa bincang dah ni. Imej dari Giphy.

Di Malaysia, sebenarnya ada ramai pihak yang menyuarakan – perlunya undang-undang diperketatkan untuk menangani kes pemandu mabuk. Antaranya adalah seperti lesen ditarik seumur hidup untuk mereka yang memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla juga ada mencadangkan supaya diwujudkan satu lagi seksyen dalam Akta Pengangkutan Jalan yang bebas dari peruntukan Seksyen 41 dan Seksyen 44 untuk kesalahan khusus mengakibatkan kematian sahaja.

“Dengan pengkhususan untuk menaikkan hukuman penjara dalam kes mabuk yang akibatkan kematian dan kecederaan parah, maka Seksyen 41 akan masih terpakai untuk cuai (tanpa mabuk) dan Seksyen 44 boleh dipinda untuk digunapakai dalam keadaan mabuk yang akibatkan kecederaan biasa/ringan sahaja.” – Haniff Khatri, dipetik dari Facebook-nya.

Akan tetapi, disebabkan usaha menggubal peruntukan undang-undang ni ambil masa, dia juga ada cadangkan supaya peruntukan Seksyen 304, Kanun Keseksaaan untuk jenayah “bunuh tanpa niat” boleh digunapakai bagi kes sebegini.

“…selagi pihak polis dapat mengenal pasti kewujudan keterangan yang menjurus kepada pembuktian bahawa pemandu mabuk itu sememangnya tahu dia tidak waras untuk pandu kenderaan, tapi masih degil untuk terus memandu dalam keadaan itu.” – Katanya.

Jadinya, kemungkinan tak lama lagi kita akan nampak proses usaha untuk mengetatkan lagi hukuman terhadap pemandu mabuk. Sebabnya, walaupun kita memandu dengan selamat dan ingat orang tersayang, kita masih berisiko bila berdepan dengan pemandu mabuk di atas jalan raya.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.