Ada protes kat Cameron Highlands sebab wujudnya banyak ladang haram?

(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Sambutan Krismas dan tahun baru hari tu bukanlah hari yang menggembirakan untuk lebih kurang 200 orang yang dikatakan buat bantahan kat Cameron Highlands. Dan bantahan tu mungkin ada kaitan dengan ladang strawberi kat sana.

Dan korang boleh tengok video protes yang berlaku baru-baru ni:

Orang yang buat protes dan bantahan tu adalah kebanyakannya petani, di mana ladang-ladang diaorang ni dikatakan tidak sah dan bertanggungjawab, sebab ada kaitan dalam kes pencemaran kat kawasan tadahan air Kuala Terla. Air tadahan tu membekalkan air bersih kepada 70% penduduk kat Cameron Highlands. 

Dan hal ni mungkin berkaitan dengan kes pasukan polis, tentera dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang datang dan berkumpul kat sekitar 60 ladang kat Sungai Ichat, Kuala Terla, Cameron Highlands untuk membersihkan dan musnahkan ladang tu. Dan operasi yang dijalankan tu dikenali sebagai Ops Lestari 2 (kitaorang akan terangkan kemudian mengenainya).

Hal ni mencetuskan protes oleh petani, yang dah bersungguh-sungguh untuk lindungi ladang-ladang yang diaorang dah usahakan selama tiga generasi! Tapi bila kitaorang siasat dengan lebih mendalam …

Operasi tu berkaitan dengan … perintah Yang Di-Pertuan Agong?!

Ya, dan operasi tu dilaporkan berkaitan dengan perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang buat lawatan ke ladang-ladang tu pada September 2019 lepas.

Yang di-Pertuan Agong mencemar duli dalam Ops Lestari 2. Imej dari UMNO Online.

Walaubagaimanapun, rancangan untuk hapuskan ladang-ladang haram ni bukanlah berasal daripada Agong tapi ia dah wujud sejak dari era BN lagi. Pada tahun 2014, kerajaan sebelum ni ada mulakan operasi yang dikenali sebagai Ops Gading (yang sekarang ni dikenali sebagai Ops Lestari 2) untuk mengatasi pembukaan tanah yang luas dan pemotongan bukit yang tak terkawal kat Cameron Highlands. Operasi ni melibatkan 14 agensi dan jabatan kerajaan dan persekutuan termasuklah polis dan tentera.

Walaupun Ops Gading ni nampak macam dah dijalankan dalam tempoh yang lama, tapi ada petani tempatan yang bagitahu yang usaha kerajaan untuk itu tak berjaya.

Pasukan ketenteraan negara bertugas nak selamatkan keadaan. Imej dari MalaysiaKini

Jadi, waktu kerajaan PH ambik alih pemerintahan pada 2018, kerajaan dah meneruskan operasi tu sebab TPM, Dr Wan Azizah percaya yang Cameron Highlands merupakan penyumbang utama kepada kemapanan sektor pertanian negara dan bekalan makanan. 

“Oleh itu, kita mestilah pastikan supaya persekitaran dikekalkan dan kebajikan petani dan Orang Asli dijaga. Keselamatan perkampungan Orang Asli di kawasan yang curam (kawasan berbukit) perlu diberikan perhatian khusus selain kesejahteraan Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada komuniti penting di Cameron Highlands.” – Dr. Wan Azizah, sumber dari Bernama. 

Dan salah satu caranya adalah dengan menghentikan petani haram daripada meneruskan aktiviti diaorang. Kegiatan petani haram tu dikatakan menyebabkan pencemaran air di Sungai Ichat selain mengganggu bekalan air kepada penduduk Cameron Highlands yang menyebabkan terjadinya tanah runtuh. 

Kes tanah runtuh kat Cameron bulan Mei 2019 haritu. Imej dari Awani

Apa yang peliknya, menurut ADUN Perai, P Ramasamy mendakwa yang sungai tercemar tu bukanlah Sungai Ichat tapi Sungai Terla. Dia ada tegaskan yang kerajaan negeri tak ambik sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah kat Sungai Terla walaupun penempatan tu merupakan salah satu punca pencemaran air. 

“Hal ini telah ditekankan kepada kerajaan negeri berkali-kali. Tetapi kenapa kerajaan negeri lebih menumpukan perhatian untuk memusnahkan ladang-ladang yang terletak berhampiran Sungai Ichat yang bukannya penyebab kepada pencemaran air yang masih kekal misteri.” – P Ramasamy, sumber dari Malaysiakini.

Ladang tu sebenarnya dulu sah di sisi undang-undang

Untuk mempertahankan petani, ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong percaya yang petani-petani tu difitnah oleh kerajaan negeri. 

“Sementara itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor dan ADUN Slim River (Perak), Khusairi Abdul Talib menfitnah para petani tempatan dengan menggelar mereka sebagai penceroboh haram untuk mengelak tanggungjawab kerajaan negeri menempatkan semula petani tersebut.” – Chiong Yoke Kong, sumber dari Malaysiakini.

Dia mungkin tak salah sebab, ternyata, diaorang ada lesen untuk mengendalikan ladang diaorang. Lesen ni dikenali sebagai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan ia perlu bayar yuran tahunan. Ia diberikan kepada petani, pemilik perniagaan dan bangunan bila diaorang perlukan tanah daripada kerajaan untuk mengendalikan apa-apa jenis perniagaan pilihan diaorang.

Sebenarnya banyak benda yang korang boleh dapatkan kat Cameron. Imej dari mytravellane.com

Dan, macam namanya, ia hanyalah sementara. Jadi kalau korang ada LPS, itu bermakna korang kena perbaharuinya setiap tahun. Dan Chiong ada bagitahu yang kerajaan sebenarnya benarkan ramai petani perbaharui LPS diaorang pada tahun 2017 dulu.

Tapi, kerajaan negeri dah buat proses pembaharuan LPS yang sangat membebankan dan menyusahkan pada para petani dan ini menjadi salah satu sebab kenapa petani ni disifatkan sebagai tidak sah.

“Bila mereka mengatakan banyak pengendali pertanian yang haram kebanyakannya daripada petani tempatan, ini disebabkan mereka tidak dapat memperbaharui lesen mereka tepat pada waktunya.

(Tetapi) kami masih perlu meneruskan kehidupan sebagai petani kerana ini adalah punca pendapatan dan kehidupan kami.” – Pemilik restoran / ladang di Cameron Highlands, sumber dari FMT.

Contoh borang permohonan lesen. Jangan lupa dapatkan borang ni ye. Imej dari Yumpu

Waktu tengah tulis artikel ni, ada lebih kurang 3000 permohonan LPS belum diluluskan oleh kerajaan negeri. Dan hal ini merumitkan sebab kerajaan negeri cuma proses 10 permohonan sebulan. Di samping tu, ramai yang tak boleh mendapatkan LPS lagi sebab kerajaan negeri dah tak keluarkan lesen tu sejak tahun 2008. Kerajaan negeri mungkin buat macam tu untuk membendung sebarang aktiviti pembersihan tanah untuk tujuan pertanian baru.

Selain tu, ada sesetengah pemegang lesen ni dikatakan buat aktiviti tak jujur. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 ada mendedahkan yang sesetengah pemegang lesen melanggar syarat yang dinyatakan dalam lesen diaorang dengan buat salah satu perkara berikut:

  • Mengendalikan perniagaan yang berbeza daripada yang dinyatakan dalam lesen.
  • Memperluas perniagaan mereka di tanah yang tak dipinjamkan kepada mereka (kebanyakan petani buat benda ni).
  • Jual bangunan yang dibina di atas tanah yang dipinjam kepada pihak ketiga.
  • Gagal membayar yuran tahunan LPS.

Bila sebut pasal LPS, permasalahannya bukan hanya pada petani je…

Berbalik semula pada drama petani ni.

Tapi bukan drama yang ni tau. Imej dari YouTube Mary Jae

… ia bukanlah macam pihak kerajaan buat serbuan dan musnahkan struktur ladang diaorang. Dikatakan petani ni dah diberikan notis pengusiran sejak … SEDEKAD yang lepas! Walaupun begitu, diaorang tak bertindak apa-apa dan kemudiannya diberikan notis kali kedua pada Februari 2019.

Sebagai tindak balas pada notis tu, petani kat sana ada mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi Kuantan pada Mac 2019 untuk menghalang pihak berkuasa menghapuskan ladang diaorang. Walau bagaimanapun, perintah tu kemudiannya ditarik balik, dan Ramasamy percaya yang ahli-ahli MIC nampaknya dah mempengaruhi petani untuk tarik balik perintah tu. Tapi Setiausaha Agung MIC, M Asojan nafikan hal tu dan mengatakan yang petani tu buat secara sukarela dan tak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Berbalik semula kat Cameron Highlands, pihak berkuasa terus musnahkan ladang dengan meneruskan operasi Ops Lestari 2 yang bermula pada 23 Disember 2019 lepas. Dan hal ni membawa kepada protes kat Kuala Terla oleh petani, termasuklah beberapa ahli politik dan ahli majlis tempatan. Dan sekarang ni…

Jangan risau, ladang teh BOH masih ada lagi. GIF dari Giphy

Diaorang diberikan masa sampai Januari untuk kosongkan ladang

Bantahan dan protes yang dibuat oleh petani tu berakhir dengan tujuh orang daripadanya ditangkap termasuklah bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan. Diaorang kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis lepas diaorang dah bagi kenyataan pada pihak polis.

Di sebalik tuduhan yang dinyatakan sebelum ni, ahli MIC sebenarnya ada hadir sama waktu protes tu untuk menyokong petani. Ahli Jawatankuasa Kerja MIC, MP Nathan ada jelaskan yang MIC sebenarnya berharap supaya kerajaan negeri akan bagi tempoh tambahan kat petani tu untuk menuai hasil tanaman diaorang. Tapi hal tu tak berlaku sebab kerajaan negeri hanya bagi tempoh sampai 3 Januari 2020 kat petani tu untuk kosongkan tanah diaorang.

Dan waktu tengah tulis artikel ni, lebih kurang  70% ladang sayuran telah pun dikosongkan hujung minggu lepas. Ini disebabkan kerajaan negeri dah bagi tempoh sebanyak tiga hari untuk petani membersihkan hasil tanaman diaorang kat tanah tu. Tapi apa yang petani rasa waktu tu, diaorang diberikan tempoh masa yang agak singkat. 

“Ia tidak mustahil untuk membersihkan semuanya dalam tempoh masa tiga hari. Kami memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun. Saya terpaksa menyewa sebuah kedai yang memerlukan kos sebanyak RM1,600 sebulan.” – S. Mathan, petani, sumber dari NST. 

Petani tu tengah membongkar tanaman dia untuk proses pembersihan ladang. Imej dari NST

Petani gesa kerajaan sediakan penempatan semula ladang

Walaupun petani tu semua dah pack barang-barang diaorang dan dah tinggalkan tanah tu, diaorang masih berharap dan mohon supaya kerajaan negeri sediakan jalan alternatif untuk penempatan semula ladang diaorang tu. Tapi, sekarang ni, masih takde berita yang nyatakan kerajaan negeri akan sediakan alternatif tu dalam masa terdekat ni.

“Kerajaan negeri harus tangani masalah ini dengan cara yang berperikemanusiaan dengan mempertimbangkan kehidupan ratusan petani di sini dan memberikan kami jalan penyelesaian yang membantu.” – Mathan, petani, sumber dari NST.

Di sebalik kekecohan dan drama yang berlaku kat Cameron Highlands sebelum Tahun Baru hari tu, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan ada beri jaminan kat orang ramai yang kawasan tu masih selamat untuk pelancongan. Buat masa sekarang ni, ramai yang berharap supaya takde lagi protes lain dan petani-petani tu telah pun selamat berpindah kat tempat lain.

 

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)