Politik Antarabangsa

SU Politik Mahathir dulu agen KGB, serta 3 lagi fakta hubungan Malaysia-Rusia

Baru-baru ni Perdana Menteri kita, Tun Mahathir Mohamad jumpa Vladimir Putin. Bila sebut Vladimir Putin mestilah korang akan terbayang muka Putin yang kacak dan tampan. Maklumlah Putinkan pernah jadi ejen perisikan KGB dulu. Sekarang dia dah jadi Presiden Rusia dan merupakan antara pemimpin yang disegani di dunia. Ehem, Tun Mahathir pun apa kurangnya kan?

Kalau korang nak tahu, hubungan diplomatik Malaysia dan Rusia bermula seawal 11 Oktober 1967. Perdana Menteri masa tu luluskan hubungan dua benua ni (macam novel cinta), dan minta pegawai kedutaan Malaysia di Bangkok untuk jumpa pegawai Rusia di sana. Kerajaan kita mula buka kedutaan Malaysia kat Rusia, dan diorang mintak Rusia buat kedutaan kat Malaysia.

Diorang kenal dah lama. Siap boleh lepak minum teh lagi. Imej dari Blog BSP

Sebenarnya Malaysia dan Rusia ni ada hubungan yang baik. Mesti korang tak tahukan? Meh kitaorang ceritakan, kita mulakan dengan…

1) Malaysia beli pesawat Sukhoi sejak zaman Kesatuan Soviet hinggalah Rusia

Aku sebuah jet. Aku lahir di Soviet Union. Sekarang tiada lagi Soviet Union. Imej dari Malaysia Defence.

Dalam bab pembelian aset tentera, Malaysia memilih untuk bersifat bercampur-campur dalam pembeliannya. Takde lah semua beli kat US je. Ataupun beli dekat Britain je. Seawal pertengahan dekad 1990-an, Malaysia dah buat kejutan dengan membeli pesawat pejuang MiG-29N buatan Kesatuan Soviet (sebelum empayar ni jatuh).

Pembelian ni dah memecahkan monopoli pesawat pejuang AS dan Britain. Ia juga mempengaruhi trend pembelian kelengkapan pertahanan oleh negara-negara ASEAN lain. Malaysia ketika tu memiliki 16 buah pesawat MIG-29 (14 buah MIG-29N dan 2 buah MIG29-NUB). Nama samaran pesawat ni bagi pihak NATO adalah Fulcrum. Kini pesawat-pesawat ni berada dalam status simpanan aktif setakat November 2018.

Selepas ketiadaan Kesatuan Soviet, hubungan Malaysia dengan Rusia masih lagi berjalan. Buktinya adalah dengan pembelian pesawat Sukhoi versi 30MKM (Su-30MKM). Pembelian ni juga dah menjadikan Malaysia negara keempat Asia memiliki pesawat Sukhoi selepas China, India dan Vietnam. Pada 5 Ogos 2003, kerajaan dah menandatangani kontrak bernilai USD 900 juta bagi pembelian 18 buah pesawat Su-30MKM.

Abang Mat Sabu dah merasa naik Sukhoi. Imej dari Harian Metro.

Sehingga Disember 2007, Malaysia dah menerima 6 dari 18 buat pesawat. Tiga juruterbang ujian Sukhoi dah berada di Malaysia untuk menguji kapal terbang serta melaksanakan program peralihan TUDM yang mengambil masa selama 5 bulan. Kesemua pesawat ni dilaporkan diterima akhir tahun 2008. Mengikut rancangan, seramai 72 orang pegawai dilatih sebagai juruterbang dan pegawai senjata bagi pesawat ini.

Perjanjian ni rupanya bukanlah sekadar membeli dan bawa balik je. Ianya disifatkan sebagai menang membeli menang memakai. Daripada pembelian ni, Malaysia dah minta Rusia untuk membina pusat perkhidmatan. Nampaknya, Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan dah dipilih untuk menempatkan kesemua pesawat Sukhoi yang dibeli. Di situ jugalah, Pusat Teknikal Sukhoi dah dibangunkan dengan kerjasama syarikat Malaysia dan Rusia bernilai RM72 juta. Secara mudahnya, inilah tempat servis dan menaik taraf pesawat itu.

Reka bentuk dalaman Pusat Teknikal Sukhoi. Imej dari Malaysian Defence.

Selain tu, sebagai timbal balik pembelian Sukhoi, Rusia dah bersetuju untuk melatih dan menghantar angkasawan pertama dari Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Macam yang kita tahu, setelah ujian saringan melibatkan beratus peserta, Syeikh Muszaphar Shukor dah terpilih dan berlepas ke ISS menaiki roket Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.

Setakat ni hanya pihak Rusia sahaja yang mengiktiraf dia sebagai angkasawan manakala NASA tidak mengiktirafnya. NASA hanya mengiktiraf seseorang tu angkasawan kalau menyertai pakej angkasa US. Poyo je US ni. Padahal, Pusat Latihan Yurin Gargarin dah cukup lengkap untuk melayakkan dia menjadi angkasawan.


2) Setiausaha politik Mahathir yang pernah ditahan sebagai pengintip KGB

Bila cakap pasal KGB je, korang mesti tahu betapa liciknya mereka ni. Malah, kita pernah tulis pasal diaorang kat sini pada awal tahun lepas.

Klik untuk baca pasal pelbagai cara pengintipan KGB ke atas CIA.

Pada Julai 1981, iaitu cuma tiga hari sebelum Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, seorang setiausaha politiknya (setpol) ditahan pihak berkuasa. Setpol tersebut, Siddiq Mohamad Ghouse ditahan kerana disyaki mengkhianati negara dengan menjadi ejen Polis Rahsia Soviet, KGB. Dia kemudiannya ditahan ISA memandangkan kegiatannya tu boleh memudaratkan keselamatan negara.

Berkuat kuasa serta masa pada hari yang sama, Malaysia terus menghalau pegawai-pegawai Kedutaan Soviet yang terlibat, iaitu G.I. Stepanor, Setiausaha Pertama Kedutaan; V.P. Romanov, Setiausaha Kedua Kedutaan Soviet; dan seorang kakitangan bukan diplomatik di bahagian ekonomi kedutaan Soviet iaitu Z.L. Khamidauline.

Kisah yang menjadi bualan mulut pada masa tu. Imej dari berita semasa

Bukan setahun dua Siddiq Mohamad Ghouse ni jadi setpol Tun Mahathir Mohamad, tapi selama tujuh tahun, iaitu masa Tun Mahathir masih lagi jadi Menteri Pelajaran pada tahun 1974.

Kisahnya, dia yang juga merupakan ketua sebuah cawangan pemuda UMNO dikatakan telah diberi tawaran oleh tiga ejen KGB (sebuah organisasi perisikan untuk kerajaan Kesatuan Soviet) untuk menjual maklumat negara.

Imej dari seademon.me

3) Profesor Rusia boleh baca tulisan Jawi dan cakap bahasa Melayu

Malaysia dah lama ada hubungan sastera dengan Rusia. Kalau korang nak tahu – hubungan sastera moden di antara Malaysia dan Rusia bermula sejak tahun 1963. Hubungan ni terjalin menerusi Boris Pamikel dari kumpulan cerpen di Tepi Jalan. Usaha Boris ni diteruskan oleh Dr Victor A Pogadaev pulak. Tapi nampaknya…

Hubungan sastera dua benua ni makin terhakis sebab – kebanyakan orang muda hari ni dah tak minat nak kaji sastera, lebih-lebih lagi sastera orang Rusia. Tapi Dr Victor kata, tak boleh gak nak salahkan generasi muda. Sebabnya, gaji kat bidang ilmu ni kecik – sebab tu generasi muda lebih minat nak kerja kat bidang swasta sebab gajinya lebih gempak.

Korang minat tak nak belajar sastera ni? Imej dari UMLib

“Kenapa mereka tidak minat? Bayangkan ada kes pensyarah dengan kelulusan doktor falsafah hanya dibayar gaji RM400 sebulan, jadi dia perlu buat kerja lain untuk menampung belanja. Hal ini menyebabkan orang tidak minat untuk berada dalam bidang ilmu,” – Dr Victor, dipetik dari Berita Harian

Korang percaya tak kalau kitaorang kata ada orang Rusia yang boleh tulis jawi dan bertutur dalam Bahasa Melayu? Ada seorang profesor yang dilahirkan di Moscow, dia boleh baca tulisan jawi dan baca hikayat dan persuratan Melayu lama. Nama warga Rusia tu adalah – Profesor Dr Tatiana A Denisova. Dia mula minat tulisan Jawi ni sebab dia ambik subjek Sejarah yang wajibkan dia belajar Jawi kat Saint Petersburg State University, Rusia.

“Saya terjumpa sebuah majalah kecil mengenai sejarah dan kebudayaan Melayu Islam yang diterjemah ke Bahasa Rusia. Saya dapati perkara itu sangat menarik.

Selesai membaca majalah itu, saya terus tetapkan fikiran bahawa itu adalah bidang yang ingin saya pelajari dengan lebih lanjut di universiti pada usia 17 hingga 22 tahun,” – Profesor Dr Tatiana, dipetik dari ProjekMM 

Wahhh…gempak gila! Imej dari Giphy

4) Di saat semua negara terlibat menyalahkan Rusia, Malaysia tenang je…

Imej dari Gofundme.

Dalam banyak-banyak kejadian, isu MH17 semestinya menjadi hangat kerana ia turut melibatkan Malaysia dan juga Rusia. Kita patah balik masa sekejap. Pada 17 Julai 2014, kapal terbang MH17 dah ditembak jatuh sewaktu terbang di kawasan Timur Ukraine. Penerbangan ni dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Tragedi ni dah mengorbankan kesemua penumpang seramai 283 orang dan juga 15 orang krew. Daripada jumlah tu, 43 orang adalah rakyat Malaysia yang semestinya menjadikan tragedi ni sangat rapat dengan kita. Jumlah penumpang paling ramai pula adalah dari rakyat Belanda.

Satu pasukan siasatan dah ditubuhkan diketuai oleh Perkhidmatan Pendakwaan Awam Menteri Keadilan Belanda bersama anggota Joint Investigation Team (JIT) terdiri daripada Belgium, Ukraine, Australia dan Malaysia. Pada 24 Mei 2018, laporan siasatan JIT menunjukkan bukti bahawa peluru berpandu yang menembak jatuh MH17 berasal daripada Briged Peluru Berpandu Antipesawat ke-53. Ia adalah milik tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk. Tapi, nampaknya, Kementerian Pertahanan Rusia menafikan semua dakwaan tu.

Pembentangan geng JIT. Imej dari Sputnik International.

Pada September 2018, Nikolai Parshin, Menteri Pertahanan Rusia dah mengeluarkan bukti bahawa peluru berpandu yang menembak MH17 dilakukan oleh tentera Ukraine. Bukti ni berdasarkan nombor siri peluru berpandu 886847379. Peluru berpandu ni dilaporkan dah dihasilkan pada zaman Kesatuan Soviet dan dihantar ke Ukraine. Peluru berpandu ni tak pernah dipulangkan semula kepada Rusia. Pihak Rusia juga menganggap siasatan JIT sangat berat sebelah.

Dalam keadaan tegang ni, pihak Belanda dan Australia dah menyalahkan Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab. Manakala, Rusia dan Ukraine saling menuding jari. Lain pula dengan pendekatan Malaysia. Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke berkata Malaysia tak menyalahkan Rusia kerana masih tiada bukti yang kukuh menunjukkan negara itu yang bersalah.

“Tiada bukti yang konklusif untuk menuding jari kepada Rusia melalui bukti yang ditunjukkan JIT.”- Anthony Loke, petikan dari Globalnews.

Siasatan ni akan terus berjalan. Perjumpaan Mahathir-Putin baru-baru ni juga dilaporkan akan membincangkan isu MH17. Harap-harapnya, Malaysia dapatlah sesuatu daripadanya.

Nombor siri yang menjadi bukti untuk Rusia back up dirinya. Imej dari Reuters.

Malaysia akan sentiasa jaga hubungan baik dengan negara lain

Macam yang kita semua sedia maklum, walau apa pun yang berlaku, Malaysia akan selalu menjaga hubungan baik dengan negara lain (kecuali Israel yang memang dah terang-terangan sejak dulu lagi). Contohnya tahun lepas dalam isu  dengan Korea Utara pasal pembunuhan Kim Jong Nam, mula-mula diorang putuskan hubungan. Itu pun nampaknya Malaysia dah bersetuju untuk buka balik kedutaan di negara tu bila kerajaan baru ambik alih. Baik kan Malaysia?

Jadi harapnya dengan perjumpaan kedua pemimpin negara ni, hubungan Malaysia dan Rusia akan menjadi lebih baik, dan mampu membuahkan hasil. Ini termasuklah perbincangan tentang MH17 di mana kita semua boleh dapat closure dengan apa yang terjadi, terutamanya buat kesemua keluarga mangsa yang terlibat.

Popular

To Top

Send this to a friend