Kisah bangun dan jatuh genre Black Metal di Malaysia

Pengaruh muzik metal sudah bertapak di Malaysia sejak tahun 80-an lagi dengan kemunculan kumpulan Metal pertama iaitu Blackfire. Pada waktu ini, rock kapak merupakan genre yang sudah lama dimainkan di arus perdana mula hilang di mata masyarakat, antaranya insiden rockers dipotong rambut kerana orang lelaki yang berambut panjang dianggap sebagai jahat.

Oleh itu, wujudlah satu scene di mana muzik metal mula diperkenalkan tetapi secara ‘underground’. Mereka menjalankan gig di tempat yang tersorok dan terpencil untuk para peminat sahaja. Kat sini kami nak cerita tentang fenomena muzik metal yang pernah menggemparkan Malaysia..

Remaja mahukan sesuatu yang lebih ganas berbanding rock kapak

Keratan akhbar mengenai konsert thrash metal terbesar di Malaysia. Imej dari Xtreme Noise Terror.

Pada tahun 1988, kumpulan metal semakin lama semakin mendapat tempat di hati remaja dan mula muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Muzik metal di Malaysia adalah lebih kepada thrash metal iaitu satu subgenre dari heavy metal yang muziknya lebih laju dan agresif seperti Metallica, Exodus, Megadeth dan Death Angel.

Antara kumpulan metal lokal yang popular pada ketika itu ialah:

  1. Punisher
  2. Slapdeath
  3. Blackfire
  4. Nemesis
  5. Freedom That’s Gone (FTG)

Mereka berjaya mengumpulkan peminat dengan melakukan persembahan di gig-gig kecil dan ini juga telah membawa kepada kebangkitan muzik metal. Pada tahun 1988, Box Office Malaysia telah menganjurkan konsert thrash metal yang terbesar di Stadium Negara, menampilkan Punisher, Nemesis, Saxo dan Slapdeath.

“Buktinya pada 28 Disember 1988, Box Office Malaysia milik Ali Bakar menganjurkan konsert thrash metal pertama di Malaysia di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Ia menampilkan band thrash metal tempatan iaitu Punisher, Nemesis, Saxo dan Slap Death yang dihadiri lebih 3,000 penonton.” Abdul Aziz Itar, peminat muzik metal pada zaman itu, dipetik dari Harian Metro.

Poster Konsert Thrash yang diadakan di Stadium Negara. Imej dari Ekstrim.

Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang lebih awal dalam mendominasi genre muzik thrash metal. Pada masa itu jugalah wujudnya fanzine iaitu majalah yang ditulis khas untuk sesuatu genre muzik, kumpulan atau peminat. Fanzine pertama yang pernah dikeluarkan ialah “Aedes” iaitu majalah yang mempunyai informasi khas untuk thrashers.

Sumber: Blogspot.

Imej trash metal beransur menjadi lebih kejam dan jahat dengan kemunculan kumpulan metal tempatan iaitu Rator. Rator dipengaruhi oleh kumpulan metal dari luar negara seperti Celtic Frost, Sarcofago, Sodom, dan Bathory. Mereka menunjukkan imej yang ganas seperti rambut panjang, mengenakan facepaint yang mengerikan dan memakai gelang paku.

Kumpulan Rator merupakan pelopor utama dalam membawa arus black metal di Malaysia. Mereka menyertai konsert rock di Malaysia untuk menyebarkan muzik yang mereka bawa. Peminat-peminatnya yang diberi nama “Army of Fans” akan membanjiri setiap konsert Rator. Lama-kelamaan, kewujudan mereka telah disedari oleh penganjur konsert rock dan para penganjur telah melakukan penapisan untuk mana-mana kumpulan yang ingin menyertai konsert rock.

Selepas itu, mereka mula bergerak dalam underground scene dengan menyertai gig-gig kecil di sekitar Kuala Lumpur dan mula mengeluarkan demo tape pertama iaitu Evil Symphony (1990) ketika berada di puncak populariti dalam kalangan peminat black metal. Demo pertama ini telah tersebar ke seluruh dunia dan mula menempatkan nama mereka di persada dunia.

Ini merupakan demo tape pertama dari Rator. Imej dari Spirit of Metal.

Nama kumpulan Rator ini menjadi terkenal dalam fanzine di luar negara seperti Morbid (Sweden), Master of Brutality (Holland), dan Mutilador (Mexico). Demo mereka juga menjadi bahan rujukan untuk kumpulan metal luar negara dalam menghasilkan lagu-lagu dan pernah ditawarkan membuat kontrak rakaman dari label luar negara iaitu Spinefarm.

Namun, Rator telah berpecah apabila kemasukan era 90-an tetapi nama mereka masih meninggalkan kesan dalam muzik black metal.

Muzik black metal Malaysia yang lebih fokus kepada eastern black metal

Pada zaman 90-an, genre muzik thrash metal menunjukkan taringnya semula apabila kumpulan metal Cromok iaitu empat orang pelajar Malaysia dari universiti di Australia telah kembali ke Malaysia dan meluaskan empayar muzik mereka. FTG juga mula membara selepas mengeluarkan EP pertama bertajuk nama kumpulan sendiri.

Bukan itu sahaja, banyak juga kumpulan black metal yang muncul selepas kejatuhan era Rator seperti Bazzah, Suffercation dan Silent Death. Mereka meluaskan populariti mereka dengan menghasilkan album pertama serta banyak gig dan konsert jelajah diadakan di seluruh Malaysia.

Kedatangan muzik black metal yang besar dari luar negara juga memberikan impak kepada muzik black metal di Malaysia. Banyak kumpulan black metal menunjukkan imej yang lebih ganas berbanding kumpulan black metal sebelum ini. Mereka akan menggunakan huruf yang seram dalam logo kumpulan serta memakai facepaint warna hitam dan putih yang menakutkan.

Oleh kerana black metal di Malaysia lebih fokus kepada eastern black metal (genre black metal yang popular di kawasan negara-negara Asia seperti Jepun, Thailand dan indonesia), ada kumpulan yang mengenakan imej kemelayuan seperti memakai baju Melayu atau lirik lagu mereka lebih mementingkan elemen Nusantara.

Kumpulan As Sahar memakai baju Melayu ketika membuat persembahan di KL. Imej dari laman Facebook As Sahar.

Kejatuhan Muzik black metal disebabkan kes yang berlaku di Kedah pada 2001

Sampai keluar surat khabar. Imej dari Sengal Paranormal Team.

Pada tahun 2001, muzik metal mula mendapat kecaman dari media arus perdana apabila ia dikatakan bercanggah dengan ajaran agama Islam. Perkara ini lebih menggemparkan apabila isu black metal di Kedah yang dikatakan membawa pengaruh anti-keagamaan, anti-moral dan seks bebas.

Selepas itu, banyak gig dan konsert metal mula diserbu di  seluruh Malaysia. Bukan itu sahaja, penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja juga mula hangat diperdebatkan apabila wakil rakyat Paya Besar dahulu, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman mendedahkan isu tersebut.

Berita tentang metal mula tersebar di dalam surat khabar, tajuk berita mereka juga memberikan persepsi yang buruk terhadap masyarakat. Pada waktu itu mana-mana gig dijalankan pasti akan diserbu walaupun ia bukan black metal. Jika korang pakai baju dan seluar serba hitam walaupun bukan berjiwa black metal, korang juga akan ditangkap oleh polis.

“Zaman itu bukan saja Black Metal, awak buat gig pop yeh yeh pun boleh kena serbu. Awak rambut panjang atau pakai baju mickey mouse warna hitam pun kena sergah dengan penguat kuasa. Kemungkinan  mereka ketika itu ditekan, diasak kerana isu ini dan saya percaya mereka hanyalah menjalankan tugas mereka.” – AA, katanya ketika ditemu ramah.

Sebuah keratan akhbar tentang underground scene. Imej dari blog Sarawak Metal Force.

“Amalan dan perbuatan Kumpulan Black Metal adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, umat Islam diminta menjauhi kumpulan tersebut kerana perbuatan dan amalan mereka boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.” – MKI, dipetik dari Jurnal Penyilidikan Islam.

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) telah mengeluarkan fatwa terhadap kumpulan black metal pada 23 Januari 2006. Mereka telah mengklasifikasikan kumpulan black metal sebagai kumpulan yang membawa ajaran sesat.

“Saya takkan nafikan, betul, ada yang anti-agama tetapi untuk genre Black Metal di Malaysia saya boleh kata fahaman anti-agama tidaklah mendapat tempat sangat dikalangan pendengar.” – AA, katanya ketika ditemu ramah.

Kalau korang nak tahu, memang ada segelintir kumpulan black metal di Malaysia mempunyai fahaman anti-agama tetapi ia tidak mendapat tempat dalam kalangan pendengar. Kebanyakkan dari mereka hanya menyampaikan muzik sahaja dan tiada pun unsur-unsur penyembahan, pemujaan atau apa-apa.

Selain metal, genre rock juga sangat popular di Malaysia sehingga kita pernah ada konsert ala Woodstock

Siapa yang tak pernah dengar akan Butterfingers, band tempatan paling berpengaruh