Alam Sekitar

Kenapa pelajar uni dan Presiden Zambia berkabung kerana seekor ikan yang mati?

Mungkin ada di antara kita yang ada haiwan peliharaan sendiri macam kucing, anjing, hamster, ikan perhiasan dan sebagainya. Bila haiwan peliharaan kita tu mati, mahu atau tak – ia dah pasti akan buatkan kita rasa sedih. Tapi macam mana pula dengan kes yang jadi Zambia ni?

Sebabnya, media melaporkan yang kematian seekor ikan di negara tu dah membuatkan rakyat dan Presiden Zambia berkabung! Apa yang istimewa sangat pasal ikan ni?

Mafishi: Ikan berusia 22 tahun yang membawa tuah

Bagaimanapun, tak dinyatakan ikan ni dari spesis apa. Imej dari BBC.

Sebenarnya, ikan yang kita nak cerita ni namanya Mafishi atau lebih tepat maksudnya ‘ikan besar’. Dipercayai berusia 22 tahun, ikan ni tinggal di sebuah kolam di Copperbelt University (CBU), Zambia selama lebih 20 tahun. Istimewanya ikan ni, ia dipercayai sebagai pembawa tuah oleh para pelajar CBU yang akan menduduki peperiksaan.

Namun, tak semua percaya macam tu – sebab ada je yang anggap Mafishi cuma ikan biasa – tapi berjasa kepada mereka semua sebab menenangkan jiwa mereka bila tengok dia berenang dalam kolam tu. Apa yang pasti, Mafishi adalah salah satu ikon dan simbol untuk CBU.

“Hanya melihatnya berenang akan memberi ketenangan jiwa sebelum peperiksaan dan semasa waktu sukar.” – Kata seorang pelajar CBU. Dipetik dari KYR News.

Presiden Zambia, Edgar Lungu pun turut sama bersedih. Imej dari miningmx.com

Disebabkan itulah majoriti pelajar di universiti kedua terbesar Zambia tu – rasa sedih sangat bila dengar berita kematian Mafishi. Hal tu turut membuatkan Presiden Zambia, Edgar Lungu bersama-sama para pelajar berkabung atas pemergian Mafishi. Dalam catatannya di Facebook, Lungu ada memetik kata-kata dari Mahatma Gandhi yang berbunyi:

“Kehebatan bangsa dan kemajuan moralnya dapat dinilai dengan cara perlakuan mereka terhadap haiwan.” – Dipetik dari Facebook-nya.

Dalam masa sama, kematian Mafishi juga nampaknya kini berada dalam siasatan.

“Kami masih belum menanamnya, dan kami bercadang untuk mengawetnya.” – Lawrence Kasonde, Presiden Kesatuan Pelajar CBU. Dipetik dari BBC.

Kepercayaan terhadap tuah ikan juga ada dalam budaya lain

Ikan Kelisa atau Arowana yang terkenal sebagai pembawa tuah dan kekayaan. Imej dari fishkeepingworld.com

Seperti mana yang mungkin kita sedia maklum, kepercayaan terhadap ikan yang membawa tuah pun wujud dalam budaya masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina. Ia adalah berkaitan dengan Feng Shui apabila memelihara ikan di dalam akuarium atau kolam. Antara ikan yang menjadi pilihan adalah Kelisa (Arowana), Koi dan Ikan Emas.

“Dalam budaya Cina, simbol ikan mempunyai dua sifat yang berkaitan, yang pertama adalah aspek melimpah (banyak) kerana kemampuan ikan untuk membiak dengan cepat dalam jumlah besar. Yang kedua adalah perkataan Cina untuk ikan adalah “yu”, yang juga dilafazkan sama seperti melimpah (banyak).” – Dipetik dari New Straits Times.

Dalam masyarakat Melayu pula, ada pula beberapa kisah tentang ikan seperti kisah ‘Sumpahan Ikan Tapah’ dan sebagainya. Ada juga kepercayaan macam membela ikan puyu untuk mengelakkan sihir dan pukau.

Apa yang pasti, kita semua memang dituntut untuk menyantuni haiwan, lebih-lebih yang dipelihara. Dan penghormatan yang Mafishi dapat itu juga membuktikan nilai kemanusiaan sentiasa ada dalam sanubari setiap manusia yang tahu menghargai anugerah alam.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend