Apa rahsia Isa Samad tak pernah kalah bertanding walau terlibat skandal?

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 30 Jun 2017

Setiap tahun, Transparency International akan mengeluarkan senarai indeks tahap rasuah dan penyalah gunaan kuasa bagi semua negara kat dunia ni. Pada tahun 2016, Malaysia berada pada kedudukan ke 51 dengan skor 53/100.

Walaupun berada pada kedudukan yang biasa-biasa sahaja, tapi nampaknya negara kita ni sebenarnya cuba juga melawan rasuah seperti yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Menurut laporan tahunan untuk tahun 2015, SPRM mengakui telah menunjukkan peningkatan dari tahun sebelum ni dengan membuka 919 kertas siasatan dan menyelesaikan 781 kes.

Tabah betul staf SPRM ni. Imej dari Sinar Harian.

Peningkatan yang ditunjukkan SPRM memang patut dipuji walaupun staf-staf mereka pernah diuji dengan kes 1MDB. Kemudian kita dikejutkan lagi dengan isu yang belum dapat dipastikan rasuah atau tak yang terkait dengan Felda Global Venture Holdings (FGV). Isu ni telah menyebabkan empat orang besar FGV direhatkan.

Namun, baru-baru ini, orang yang nama suatu masa dulu tidak asing dengan FELDA, Tan Sri Isa Samad  terlepas satu pertuduhan pecah amanah. Tapi, ada sembilan lagi pertuduhan dia diminta membela diri. Ini bukanlah isu baru mengenai Isa Samad kerana sebelum ini…

Terpalit dengan banyak isu tapi masih diberi jawatan di agensi lain

Beberapa tahun lepas, isu skandal kewangan FGC semakin mendapat perhatian semua apabila Pengerusi FGV iaitu Tan Sri Isa Samad juga meletakkan jawatan. Dia turut disiasat oleh SPRM selama 4 jam untuk kes ini. Walaupun macam tu, Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak telah memberi jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) demi menghargai jasanya.

Isa Samad dan isteri tiba di pejabat SPRM. Imej dari Berita Harian.

Pelantikan dia sebagai pemangku pengerusi SPAD pada ketika itu mendapat bantahan persatuan teksi yang dikatakan bakal menjejaskan nasib 70 000 pemandu teksi yang ada.

“Kalau kita lihat kepada latar belakangnya, Mohd Isa lebih dilihat sebagai orang politik berbanding sebagai tokoh perniagaan, jadi saya kurang yakin Mohd Isa mampu melonjakkan industri pengangkutan awam ke tahap yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi dengan apa yang berlaku di FGV,” — kata Datuk Aslah Abdullah, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Walaupun ada krisis di agensi lain, tapi masih diberi peluang mengurus di agensi yang lain pula. Jadi siapakah sebenarnya Tan Sri Isa Samad yang dikatakan orang politik berbanding tokoh perniagaan ni? Kami dari SOSCILI akan berkongsi sikit maklumat mengenai dia.

Dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan yang kali terakhir wujud pada tahun 1987

Tan Sri Isa Samad merupakan anak kelahiran Melaka yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Bagan Pinang, Port Dickson. Dia juga adalah graduan Universiti Malaya dalam bidang Sastera yang kemudiannya menjadi guru di Seremban dari tahun 1973 sampai 1978.

Kerjaya politiknya bermula sebagai Ketua UMNO bahagian Telok Kemang, Port Dickson sampailah sekarang. Pada tahun 1978, dia juga telah berjaya memenangi kerusi DUN Linggi. Dia juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 sampai Mac 2004.

Waktu muda jadi MB Negeri Sembilan. Imej dari waris-gadong

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, Barisan Nasional di bawah Pak Lah telah memenangi PRU dengan undi popular sebanyak 63.9%. Di bawah kabinet baru, Isa Samad telah dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan walaupun jawatan ni kali terakhirnya wujud pada tahun 1987.

Tapi malangnya, dia jadi Menteri Wilayah ni sekejap sahaja dari tahun 2004 sampai 2006. Padahal tahun 2004 ni jugalah dia terpilih sebagai Naib Presiden UMNO dengan undian tertinggi. Jadi apa yang berlaku sebenarnya?

Memenangi jawatan Naib Presiden UMNO tapi digantung keahlian

Pada 23 September 2004, Tan Sri Isa Samad telah melakukan kejutan apabila memenangi jawatan naib presiden UMNO dengan undian terbesar. Dalam UMNO, naib presiden yang dilantik ada tiga orang berdasarkan undian tertinggi. Waktu tu dia mengalahkan 7 calon lain yang bertanding. Selain dia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berjaya memenangi jawatan tu.

Nombor calon 04. Imej dari isasamadworld

Keputusan tu memang mengejutkan sebab sebelum dipertandingkan, Isa Samad hanya mendapat 37 pencalonan dari akar umbi kalau nak dibandingkan dengan yang lain.

Cara underdog menang. Gif dari Giphy.

Jadi pemilihan kali ni memang jadi buah mulut ahli parti UMNO. Sampai ada khabar angin adanya penggunaan politik wang dalam pemilihan jawatan. Tapi Isa Samad mengakui tiada politik wang dan dia menang sebab dia lebih popular.

“Tidak ada kejutan. Mungkin kepada sesetengah orang ya. Tetapi kepada saya, saya yakin menang… cuma tidak tahu nombor berapa.” — Tan Sri Isa Samad, petikan dari Utusan.

Namun begitu, Pak Lah yang merupakan Presiden UMNO waktu tu nampaknya sangat terkesan dengan desas-desus bahawa budaya politik wang berlaku dalam pemilihan parti. Jadinya dia telah mengarahkan Lembaga Disiplin UMNO menyiasat sesiapa sahaja yang terlibat. Lembaga tu juga menawarkan imuniti dimana identiti pelapor akan dirahsiakan. Jadinya, ramailah yang membuat laporan.

Lama tak tengok Pak Lah. Imej dari Portal Pakdin.

Proses ni telah dimulakan dari peringkat akar umbi yang melibatkan peringkat cawangan dan bahagian. Beberapa lama lepas tu, siasatan sampai pula ke peringkat Majlis Tertinggi UMNO yang terpilih termasuklah naib presiden. Isa Samad waktu ni telah dipanggil untuk beri penerangan kerana menerima sembilan pertuduhan. Hasilnya, dia disabitkan dengan lima kesalahan.

Mohd. Isa didapati bersalah di atas lima daripada sembilan tuduhan politik wang yang didakwa ke atasnya. Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Setiausaha Politik Mohd. Isa, Salim Shariff. — Petikan dari Utusan.

Isa Samad telah digantung keahlian selama dua penggal (enam tahun) sebelum dikurangkan kepada satu penggal (tiga tahun) setelah membuat rayuan.

Dipilih sebagai calon pilihan raya kecil tapi dibantah Tun M

Baru sembilan bulan jadi naib presiden, akhirnya dia terpaksa juga melepaskan jawatan tu dan juga jawatannya di peringkat akar umbi. Dia juga melepaskan jawatannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan (Mac 2004 – Februari 2006) yang digantikan oleh timbalannya, Dato’ Sri Zulhasnan Rafique. Jadi yang tinggal hanyalah jawatan dia sebagai Ahli Parlimen Jempol yang tamat pada tahun 2008.

Pada 4 September 2009, ADUN Bagan Pinang telah meninggal dunia yang menyebabkan kekosongan kerusi di kawasan tu. MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mencadangkan Isa Samad untuk bertanding di kawasan tersebut. Berita mengenai dia akan dicalonkan telah sampai ke telinga orang luar. Tun Mahathir sangat tidak bersetuju jika Isa Samad bertanding disitu.

Tun M pun dah ada parti lain dan dibuang oleh partinya sendiri. Imej dari Malay Mail Online.

“Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini. Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno,” — Tun Mahathir, petikan dari Malaysiakini.

Bagi Isa Samad yang akan bertanding, dia rasa isu mengenai kes dia terdahulu tak perlu dibangkitkan semula sebab dia sudah pun dihukum.

Ditanya mengenai kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Isa tidak sepatutnya dipilih bertanding di Bagan Pinang kerana rekod rasuah politiknya, Isa hanya menjawab “Saya senyum”. — Petikan dari Malaysiakini.

Saya senyum. Gif dari Giphy

Pengerusi FELDA yang tidak dapat hadir ke mesyuarat agung

Pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, pencalonan Isa Samad telah pun diterima untuk bertanding. Lawan dia pula adalah calon PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar. Pilihan raya telah dijalankan pada 10 Oktober 2009 apabila kemenangan berpihak kepada Isa Samad dengan majoriti yang sangat besar.

  1. Mohd. Isa Samad: 8 013 undi
  2. Zulkifly Mohamad Omar: 2 578 undi
  3. Majoriti: 8 013 – 2 578 = 5 435 undi

Walaupun dah terlibat dengan kes politik wang sebelum ni, rakyat Bagan Pinang masih mempercayai bekas MB Negeri Sembilan. Mesti kita tertanya-tanya kenapa diorang masih percaya dengan Isa Samad?

Comelnya. Imej dari Penghuni Gua.

Sebuah kajian akademik mengenai persepsi politik belia di kawasan tersebut telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari UKM dan UiTM. Kajian tersebut telah melakukan soal selidik kepada 900 responden yang terdiri daripada belia Melayu, Cina dan India. Antara faktor utama kemenangan Isa Samad berdasarkan kajian kerana…

Majoriti (75.5 peratus) mengenali calon BN, Tan Sri Isa Samad dan menyatakan beliau seorang yang mesra rakyat, turun padang, peramah dan prihatin. Pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai ADUN juga dilihat sesuai dan tepat bagi pengundi di DUN Bagan Pinang kerana beliau pernah bermastautin di Kampung Bagan Pinang — Jurnal tulisan  Mohd Fuad Mat Jali dan lain-lain.

Dia juga dilaporkan pernah memajukan kawasan Bagan Pinang dan Teluk Kemang sebagai lokasi pelancongan yang terkenal sewaktu jadi MB dulu. Kekalahan teruk calon PAS pula adalah kerana dia kurang dikenali penduduk tempatan walaupun ada jawatan yang tinggi dalam PAS negeri. Jadinya penduduk tempatan tak terkesan sangat dengan kes politik wang yang melibatkan Isa Samad sebelum ni.

Gif dari Giphy

Pada Januari 2011, Isa Samad telah diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menerajui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebagai pengerusi. Alasan kerajaan sebab dia berkemampuan untuk bagi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif. Walaupun dia mendapat kepercayaan kerajaan, namun kontroversi FELDA tetap berlaku.

Contohnya, sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Permodalan Felda (KPF) ke-31, keahlian Isa Samad sebagai ahli KPF dipertikaikan lima orang peneroka. Keahlian Isa dalam KPF sebelum ini mendapat bantahan beberapa pihak kerana beliau bukan seorang peneroka, anak peneroka mahupun kakitangan Felda.

Mereka telah membawa kes ni ke mahkamah hingga menyebabkan mahkamah menggantung  pelantikan Isa Samad sebagai ahli atau Pengerusi Lembaga KPF. Kalau korang nak tahu, KPF ni adalah tempat simpanan dan pelaburan warga FELDA. Kesan penggantungan dia sebagai ahli KPF telah menyebabkan dia tak hadir ke mesyuarat agung tersebut.

Eh silap ISA. Imej dari cikguazuwan.

Minta FGV disiasat dan kemudiannya letak jawatan

Sewaktu dia dilantik menjadi Pengerusi FELDA pada Januari 2011, dia juga dilantik sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif Felda Global Venture (FGV). Untuk mengelakkan kekeliruan, kami catatkan perbezaan secara ringkas FELDA dan FGV seperti yang diterangkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam Sinar TV dan Voice of Felda:

  • FELDA: FELDA berada di bawah agensi kerajaan yang mana dapat perlindungan kerajaan. Ia mengurus, menjaga dan membantu kebun-kebun peneroka FELDA. FELDA juga ada aset tersendiri macam ladang Felda, kilang minyak sawit, kilang penapis, pengangkutan dan sebagainya. Namun begitu, kilang-kilang dan pengangkutan sudah diletakkan dibawah FGV.

Jadi yang ada bawah FELDA sekarang hanyalah kebun-kebun peneroka dan juga pelaburan yang dilakukan FELDA bagi membiayai aktiviti-aktivit di peringkat komuniti dan peneroka serta generasi kedua FELDA.

Lambang pun dah lain. Imej dari Free Malaysia Today.

Selain mengurus kilang, pengangkutan dan lain-lain, ada juga tanah Felda dipajak kepada FGV untuk mereka usahakan. Apabila keuntungan FGV dapat, maka akan dikongsi dengan FELDA.

Kepentingan Felda dalam FGV adalah kira-kira 34 peratus dan FGV menguruskan kira-kira 335,000 hektar daripada 850,000 hektar tanah Felda. – Petikan dari Sinar Harian.

Pada Januari 2017, Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah dilantik menjadi pengerusi FELDA bagi menggantikan Isa Samad yang sudah tamat tempoh memimpin. Tapi dia masih kekal sebagai pengerusi FGV.

FGV dibawah Isa Samad (Pengerusi) dan Datuk Zakaria Arshad (Ketua Pegawai Eksekutif) dilaporkan meraih keuntungan bersih hingga 31 Mac 2017 sebanyak RM 2.46 juta. Apa yang mengejutkan, kepimpinan Datuk Zakaria Arshad sebenarnya mendapat pujian dari ahli politik pembangkang seperti Rafizi Ramli. Baginya Zakaria merupakan tokoh korporat daripada generasi kedua Felda.

Ni lah Zakaria Arshad. Imej dari Twitter.

Memang dikatakan Zakaria ada perbezaan pendapat dengan pengurusan tertinggi waktu tu. Tiba-tiba, Isa Samad telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zakaria untuk berehat sementara siasatan dilakukan. Tindakan ni berlaku sebab…

Safitex Trading LLC yang berpangkalan di Dubai, yang mempunyai baki hutang dengan anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Delima Oil Products Sdn Bhd, belum membuat bayaran kepada syarikat itu sejak tahun kewangan berakhir 31 Dis 2015 — Petikan dari Malaysiakini.

Kiranya syarikat Safitex ni berhutang dan lambat bayar sampai sekarang. Tapi bila PricewaterhouseCooper’s (PwC)  yang ditugaskan mengaudit kewangan FGV semak, baki hutang tu sepatutnya US$8.3 juta meningkat jadi US$11.7 juta yang mana melebihi had yang dibenarkan. Jadi disebabkan hal ni, Zakaria dan tiga orang lain diberi surat bercuti untuk disiasat.

Tapi Zakaria tak puas hati sebab kelewatan pembayaran oleh Safitex ni sebenarnya perkara normal dalam perniagaan. Tapi kenapa sampai disiasat dan diarahkan bercuti? Jadi Zakaria minta SPRM untuk siasatnya semuanya.

Gif dari Giphy.

Pada 19 Jun 2017, Tan Sri Isa Samad melepaskan jawatannya sebagai pengerusi FGV dan anak syarikat lainnya. Dua hari kemudian, dia dan isterinya tampil ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan isu yang berlaku dalam FGV. Walaupun begitu, PM ketika itu, Dato’ Najib telah memilih dia untuk memangku jawatan pengerusi SPAD.

Harapnya nasib peneroka FELDA tak terjejas pada masa akan datang

Tujuan sebenar penubuhan FGV adalah untuk membantu peneroka FELDA memperoleh pendapatan tambahan daripada jualan dan nilai saham supaya tidak bergantung hanya kepada hasil jualan buah kelapa sawit semata-mata. Kemelut FGV yang berlaku sebelum ni telah menyebabkan harga saham turun sebanyak 3.5 peratus. Jadi kemungkinan ia akan mengurangkan pendapatan tambahan peneroka FELDA.

Anak Felda juga mengharumkan nama negara. Imej dari Harapan Esok.

Walaupun macam tu, kami tidak dapat memastikan benar atau tak bahawa peneroka FELDA akan terjejas dengan kemelut ni. Sebab menurut kenyataan Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi FELDA dulu), peneroka tidak akan terjejas dengan isu FGV sebab FGV ada perniagaannya yang tersendiri. Namun, jika berlaku sebarang pecah amanah, orang yang terlibat perlu dihukum seadilnya.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT