Agama

Ada beza ke baiah di zaman Rasulullah dengan baiah PAS?

UPDATE (12/4/2018): Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengatakan PAS akan terus kekalkan serta perkasakan baiah talak tiga bagi calon yang akan bertanding di Kelantan. Tujuannya bagi memastikan takde wakil rakyat yang lompat parti lagi macam sebelum ni. Kalau nak tahu lagi pasal isu baiah atau sumpah ni, boleh sambung baca artikel ni.


Setiap parti politik mesti akan buat apa je untuk mempertahankan kesetiaan ahli diorang dari mengkhianati parti. Oleh kerana tu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dah pilih satu kaedah yang dikenali sebagai baiah. Baiah ni diwajibkan pada setiap ahli dan calon pilihan raya diorang.

Tapi apa yang jadi kontroversi adalah ada calon pilihan raya yang dimintak untuk lafazkan baiah talak tiga (uh! jangan main-main tau!). Baru-baru ni jugak, Mesyuarat Agung PAS kawasan Tanah Merah dah luluskan usul untuk bawak mereka yang melanggar baiah ni ke muka pengadilan. Mereka adalah Dato’ Husam Musa (ADUN Salor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Parlimen Tumpat) dan Dr. Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai). Kenapa semua wakil rakyat Kelantan? nanti kami terangkan.

Cakap baik-baik aaa…, kata Dr Hatta. Imej dari Astro Awani, TV14 & The Star Online.

Jadi apa sebenarnya baiah ni? Kalau langgar baiah tu, jatuh ke talak tiga? Itulah yang kami nak bincangkan kali ni. Sebelum apa-apa, mari kita ambik tahu dulu apa yang dimaksudkan dengan baiah.

Para sahabat berbaiah dengan Rasulullah dalam keadaan tertentu

Baiah adalah ‘perjanjian’ atau ‘janji setia’ yang selalunya jadi antara pemimpin dan rakyat. Untuk lebih faham, baiah adalah perjanjian untuk taat dalam situasi tertentu. Sejak zaman Rasulullah saw lagi, baiah dah dijalankan dalam beberapa keadaan antaranya dalam peristiwa Baiah Aqabah, Baiah Nisa, Baiah Ridwan dan beberapa lagi.

Baiah pertama dicatatkan berlaku di antara beberapa orang penduduk Madinah yang berjanji taat setia dengan Nabi Muhammad saw sebelum berlakunya hijrah. Perjanjian ni jugak dikenali sebagai Baiah Aqabah Pertama.

Antara isi kandungan baiah tersebut adalah:

  • Tidak menyekutukan Allah
  • Tidak mencuri
  • Tidak berzina
  • Tidak membunuh anak-anak sendiri
  • Tidak mengumpat
  • Tidak memfitnah

Masjid Baiah yang dipercayai jadi tempat berlakunya Baiah Aqabah pertama dan kedua. Imej dari caramudahkebaitullah.com

Seterusnya berlaku pulak baiah aqabah kedua di antara Rasulullah saw dengan 70 orang peduduk Madinah. Kali ni isi baiah tu lebih serius sebab melibatkan perjanjian keagamaan dan ketenteraan. Antaranya adalah:

  • Dengar dan patuh semasa rajin dan malas.
  • Sanggup mengeluarkan belanja semasa susah dan senang.
  • Menyuruh melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran.
  • Menegakkan tanggungjawab agama Allah tanpa menghiraukan celaan orang yang mencela.
  • Menolong aku (Rasulullah) apabila aku datang kepada kamu dan mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri, isteri dan anak pinak kamu. Bagi kamu semua balasannya syurga.

Satu lagi keadaan yang dilakukan baiah masa zaman Rasulullah saw adalah bila umat Islam dari Madinah pergi ke Makkah untuk buat umrah. Masa tu orang Quraisy Makkah pertikaikan niat orang Islam, tapi dijelaskan oleh Rasulullah yang mereka datang dengan niat baik dan takde niat nak berperang.

Tak macam sekarang ni, sapa yang mampu boleh je tunai haji atau umrah. Imej dari hajiumrahziarah.wordpress

Oleh itu, Rasulullah saw hantar Saidina Uthman sebagai wakil untuk berunding dengan Arab Quraisy Makkah. Tapi Saidina Uthman ditahan pulak dengan diorang lepas tu. Maka tersebarlah berita dan khabar angin yang kata Saidina Uthman ni dah ditangkap dan dibunuh.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Bila dengar berita tu, semangat dan kesetiaan orang Islam mula memuncak. Jadinya, para sahabat pun berbaiah dengan Rasulullah saw dalam peristiwa yang dikenali sebagai Baiah Ridwan. Baiah tersebut berlaku kat bawah sebuah pokok dan perkara tu jugak dirakamkan dalam al-Quran.

“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah);

maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;” –Surah al-Fath, ayat 18.

Bila dengar yang para sahabat dah berbaiah dengan Rasulullah. Pihak Quraisy ni pun mula rasa takut dan bebaskan Saidina Uthman. Maka akibat peristiwa ini jugalah, berlakunya perjanjian HudaibiyahTujuan asal baiah ini diperkenalkan oleh Rasulullah adalah supaya umat Islam terikat dengan dasar-dasar yang diperjuangkan oleh Islam.

Baiah juga dijalankan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, apabila para sahabat bersetuju melantik Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah. Ketika tu, para sahabat berbaiah (berjanji taat setia) dengan Saidina Abu Bakar. Baiah jugak diteruskan dalam melantik 3 orang khalifah seterusnya.

Tapak masjid lama Hudaibiyah yang berlakunya perjanjian Hudaibiyah. Imej dari wikimapia.org

Baiah cerai isteri mula diperkenalkan bila kerajaan Kelantan dalam keadaan tak stabil

Dalam PAS ada dua jenis baiah iaitu pertama baiah kepada ahli umum bila isi borang keahlian PAS. Kedua pulak, baiah kepada calon pilihan raya PAS, tak kiralah diorang ni bertanding jawatan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen.

PAS bagi alasan yang baiah ni dibuat untuk tetapkan perjuangan ahli diorang dalam menegakkan syariat Islam. Untuk calon pilihan raya pulak, baiah dibuat supaya calon-calon tu terikat dengan perjuangan Islam dan supaya diorang tak khianati parti. Tapi apa yang jadi kontroversi adalah bila ada baiah yang melibatkan cerai isteri dengan talak tiga.

Tengku Razaleigh & Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, masa muda-muda dulu. Imej dari ditelanzaman.blogspot

Sebelum kita cerita pasal baiah talak tiga, mari kita tengok dulu baiah yang dilafazkan oleh setiap calon pilihan raya PAS:

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa saya (nama calon) yang diamanahkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk bertanding bagi (nama pilihanraya dan kerusi) bersumpah dengan nama Allah, sama ada saya menang atau kalah dalam pilihan raya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini.

Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan parti ini, maka saya akan dilaknati Allah, para malaikat dan sekalian para pelaknat.” – Lafaz baiah oleh setiap calon pilihan raya PAS, dipetik dari harakahdaily.net.

Khusus bagi negeri Kelantan pulak, ada tambahan lafaz baiah dengan lafaz menceraikan isteri dengan talak tiga kalau mereka mengkhianati parti:

“Bahawa saya (sebut nama), berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan rasulnya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Dan saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri, setelah terpilih menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat maka akan tertalaklah isteri atau isteri-isteri saya dengan tiga talak.

Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut adalah haram. Dan saya juga bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, untuk meletakkan jawatan dari menjadi ahli dewan negeri atau dewan rakyat tersebut apabila saya keluar atau dipecat daripada parti.” – Lafaz baiah tambahan di Kelantan, dipetik dari ceramah Dato Hj Nassuruddin Daud, Ketua Penerangan PAS Kelantan.

Sebenarnya, lafaz baiah talak tiga ni muncul pada tahun 1990an bila kerajaan negeri Kelantan masa tu berada dalam keadaan yang tak stabil. Ni kerana, Semangat 46 yang bersama dengan PAS dalam kerajaan Kelantan masa tu mula keluar dari kerajaan negeri dan terbubar pada 1996. Untuk nak kukuhkan lagi kerajaan dan nak pertahankan wakil-wakil rakyat Kelantan untuk setia dengan parti, maka baiah talak tiga diperkenalkan.

“Bila pada tahun 1995, 46 (Semangat 46) buat perangai, dan Tok Guru (Nik Aziz)  mula berasa bimbang sampai Tok Guru nak letak jawatan dari Menteri Besar…Saya dengan Ustaz Fadzil pergi ke Kelantan jumpa Tok Guru.

…Tok Guru kata: ‘aku baca kitab dari mazhab Hanafi, boleh kita sumpah, kalau langgar cerai bini’. Saya kata, nak buat-buatlah. (Jadi) dibuat untuk Kelantan… Baiah ni ikatan kita dengan tuhan.” – Datuk Seri Hj Hadi Awang, Presiden PAS.

Itulah sejarah ringkas tentang baiah yang melibatkan talak tiga terhadap isteri. Mengikut PAS, melibatkan isteri ni bukannya nak merendahkan taraf wanita tapi sebenarnya mengangkat taraf wanita. Ni kerana, ia menunjukkan yang wanita ni sangat penting dan perlu dipertahankan.

Ulama berbeza pendapat sama ada jatuh talak atau tak

Menurut Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, apa yang dilakukan oleh calon-calon pilihan raya ni sebenar adalah baiah yang dicampur dengan sumpah dan ditambah lagi dengan taklik. Sumpah dalam Islam digunakan untuk memastikan kebenaran sesuatu yang masih tak pasti benar atau sebaliknya dengan menyebut salah satu nama Allah atau salah satu sifatnya.

Sumpah jugak boleh jadi sebagai pengukuh janji dengan menyebut nama Allah dan itulah apa yang PAS buat. Manakala, taklik pulak adalah talak yang bersyarat. Contohnya seorang suami kata:

“Kalau awak pergi jugak ke majlis tu, awak akan tertalak”

Jadinya, bila isteri dia ingkar dan pergi jugak ke majlis tu tanpa kebenaran suaminya, maka isterinya tu akan tertalak (tercerai) dengan sendirinya. Jadi persoalannya sekarang adalah adakah talak tiga tu jatuh bila ahli DUN/parlimen PAS keluar parti atau lompat parti?

Bila isteri hang tetap keluar rumah walau hang dah halang. Imej dari Giphy.

Dalam hal ni, ada ulama yang kata tak jatuh talak dan ada jugak kata jatuh. Oleh itu, mari kita bincang dulu pendapat yang kata talak tak jatuh. Antara hujah mereka adalah baiah yang dibuat oleh PAS ni sebenarnya lebih kepada sumpah. Jadinya, diorang hanya kena bayar kafarah (denda) melanggar sumpah iaitu puasa 3 hari atau beri makan kepada 10 orang miskin. Perkara ni jadi bila kita ambil pendapat dari Imam Ibn Taimiyyah.

“Pada sayalah ia bukan baiah, tapi sumpah. Sumpah satu orang bila dia kata ‘kalau saya khianat parti ini, maka isteri saya talak tiga’. Sumpah dengan talak ni mejoriti ulama kata jatuh. Ibn Taimiyyah, dia kata tak jatuh selagi mana orang yang sumpah tu bukannya bersumpah untuk talak. Dia cuma nak halang dirinya dari buat benda yang dia sumpah.

…dia bukan nak talak, dia nak halang diri supaya dia tak buat benda tu. Tiba-tiba dia buat (juga), jatuh ke talak? Masa dia sumpah tu, bukan dia nak talak, tapi cuma nak halang saja. Maka talak tak jatuh, cuma kena bayar kafarah sumpah sahaja. Puasa tiga hari, jadi clear lah.” – Dr Rozaimi Ramle, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam UPSI.

Menurut Dr Maza pulak, baiah talak tiga ni jugak berlaku di zaman kerajaan Abbasiyah oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Masa tu, khalifah Abu Jaafar ada buat sistem baiah dan sesiapa yang langgar baiah maka tertalak isteri diorang. Tapi, perkara ni dibantah oleh Imam Malik ra dengan alasan tak jatuh talak bagi orang yang dipaksa. Kerana tu jugaklah, Imam Malik difitnah dan akhirnya diseksa oleh pemerintah.

“…Oleh kerana Imam Malik ni masyhur dan ramai orang suka dengan dia, lalu puak-puak yang lain ni (orang yang tak suka beliau) tunggu Imam Malik buat kenyataan yang bercanggah dengan pemerintah. Bila buat je, mereka pun cucuh api dan pemerintah pun panggil dia (Imam Malik) dan tanya dia apa pandangannya tentang kalau rungkai (langgar) baiah jatuh talak.

Imam Malik kata tak jatuh talak dan dengan itu Imam Malik dah disebat… hingga tercabut (terkeluar dari kedudukan asal) satu tangan dia. Sebab itu kata murid Imam Malik, ‘bila kami tengok Imam Malik dalam majlis, bila dia nak bangkit (bangun), dia pegang tangan sebelah dia ni (dan) angkat tangan yang satu lagi’… kerana dipukul oleh pemerintah dalam isu ini.” – Dato’ Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Tugu Khalifah Abu Jaafar al-Mansur di Baghdad, Iraq. Imej dari jpgmag.com

Tapi dalam pandangan lain pulak kata yang talak tiga tu jatuh disebabkan beberapa perkara. Seperti mana yang dikatakan Tuan Guru Hadi Awang, baiah yang dilafazkan tu bukan sumpah sebab ia dah dicampur dengan sumpah dan taklik. Allahyarham Tuan Guru Haron Din dan Tan Sri Harussani (Mufti Perak) pulak berhujah yang sumpah boleh dibayar dengan kafarah tapi baiah dan taklik tak boleh.

“Yang boleh dibayar dengan kafarah itu ialah sumpah, melanggar sumpah dan perlu bayar kafarah…Baiah tidak boleh bayar kafarah sebab jelas daripada ayat Allah SWT yang bermaksud sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu wahai Muhammad, mereka sebenarnya berbaiah dengan Allah.” – Allahyarham Tuan Guru Haron Din, Mursyidul Am PAS ketika itu. Dipetik dari Antara Pos.

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Muhammad jugak mengesahkan yang talak sebenarnya jatuh. Ini kerana taklik talak dengan bersumpah tidak boleh dielakkan dengan kafarah. Oleh tu, dia mintak pihak yang terlibat untuk rujuk perkara ni kat Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah jalan terbaik nak selesaikan isu ni

Seperti yang dikatakan oleh ramai ilmuan dan ulama, Mahkamah Syariah adalah jalan terbaik untuk selesaikan isu ni. Ini kerana isu ni bukan isu yang biasa-biasa dan hanya mereka yang berhak je boleh tentukan perkara ni seperti para mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Mahkamah Syariah.

“Ya (dia Hatta perlu rujuk kepada mahkamah syariah) sebab ini hukum, apatah lagi bertaklik terhadap isteri, itu sudah masuk soal nikah kahwin. Perlu dirujuk kepada mahkamah. Kalau mahkamah sudah mengatakan sudah terjatuh talak, habislah.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak dipetik dari Antara Pos.

Buat masa sekarang, Husam Musa dah nyatakan yang dia sedia untuk diheret ke mahkamah dalam isu ni. Walaupun macam tu, dia yakin yang PAS tak akan buat perkara tu, sebab ia hanya akan memalukan parti tu. Ni kerana, dia bagi contoh dalam isu Datuk Ibrahim Ali yang pernah bertanding atas tiket PAS.

“Perbezaannya, Datuk Ibrahim Ali bukan ahli PAS pada masa ia diberikan izin bertanding atas lambang PAS tetapi beliau tetap diminta untuk melafazkan baiah itu.

…Tujuan saya bangkitkan isu baiah berkait Datuk Ibrahim Ali, untuk membuka mata orang PAS, tidak jatuhnya talak dengan baiah Pas itu. Jika tidak, TGNA (Nik Aziz) tentunya telah membangkitkan isu ini secara tertutup atau terbuka.” – Dato Husam Musa, dipetik dari Malaysiakini.

Dato’ Ibrahim Ali sekarang aktif dalam NGO Perkasa. Imej asal dari The Malay Mail Online.

Jadinya, untuk nak elakkan perkara ni terus dibangkitkan. Maka tindakan yang sepatutnya adalah serahkan Mahkamah Syariah dalam buat keputusan. Apatah lagi, talak tu adalah salah satu perkara yang dibenci oleh Allah swt.

Baiah bukan perkara yang boleh buat main-main

Ini kerana baiah adalah janji kita dengan Allah SWT. Apatah lagi, baiah yang dilafazkan tu disertakan dengan laknat Allah SWT. Oleh itu, sebagai orang Islam kita hendaklah hati-hati dalam menggunakan perkara-perkara agama dalam politik.

“Baiah adalah perkara besar. Ia melibatkan janji taat setia. Melanggar janji hukumnya haram…Apabila berbaiah, kita hendaklah menunaikan perkara yang terkandung dalam baiah. Jika kita tidak mampu menunaikan baiah itu, kita hendaklah mencari jalan keluar yang sebaiknya tanpa menyinggung atau menyakitkan mana-mana pihak.” – Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir, Jabatan Bahasa Al-Quran, UIAM. Dipetik dari Sinar Harian.

…sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya…(Surah al-Fat-h:10). Imej dari surah.my

Walaupun begitu, tindakan PAS dalam isu baiah ni sebenarnya jugak dikritik oleh sesetengah ulama dan ahli akademik. Ini kerana, ada di antara mereka yang bimbang kalau-kalau sistem perundangan syariah kita masih belum bersedia menghadapi kes yang macam ni. Manakala, ulama jugak akan terus berbalah dalam hal ini.

“Itulah saya sejak dahulu lagi telah mengatakan inilah satu aspek buruk dalam amalan PAS pada waktu itu. Menggunakan benda-benda dalam agama untuk diperjudikan, untuk kepentingan politik dan sebagainya.

…Jadi mengenai kes yang ada sekarang, ini merupakan kes yang mencabar perundangan dalam negara kita. Sama ada perundangan kita siap bersedia untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti ini. Jadi kalau kita mendengar ulasan para ulama dan sebagainya mereka akan bertelingkah dan masyarakat akan keliru. Di mana para ulama akhirnya tidak dapat menyelesaikan masalah seperti ini.” – Prof. Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi, Jabatan Fikh dan Usul Fikh, UIAM. Dipetik dari Astro Awani.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend