Agama

Kenapa ada surau kat PJ ni bagi dadah percuma?

(Click here to read this article in English)

Sebuah surau di University Medical Malaya Center telah menjadi tempat singgah Mahmud sejak 9 tahun yang lalu. Surau Ad-Deeniah ni bukan saje untuk Mahmud sembahyang tapi tempat dia mengambil Methadone. Ya, malah kat surau tu ada sorang doktor yang akan menunggu Mahmud di mana dia akan di minta untuk kencing kat dalam cawan sementara doktor tersebut check file Mahmud. Semua ni dilakukan sebelum Mahmud dapat supply Methadone untuk seminggu.

mahmud

Mahmud, sewaktu kami temu ramah dia.

Mahmud (bukan nama sebenar) merupakan sorang penagih dadah Heroin dah telah bergantung kepada Methadone sejak 9 tahun yang lalu.

“Saya start umur 20-an. Masa tu ada kerja, family pun support cukup. Tapi saya tersilap ikut kawan masa tu, cuba-cuba la sikit. Tapi lepas tu bukannya saya nak hisap lagi pun. Memang kena hisap. Tak boleh kerja langsung, sebab gian; nak kena, nak rasa ‘hidup’. Sampai tak ada duit, kenalah paksa diri curi besi tutup jalan time malam. Satu malam dapatlah dalam RM100. Lapan tahun jugak saya hidup macam tu.” – Mahmud, interview dengan CILISOS

Tapi sebelum kita pergi lebih mendalam pasal kisah Mahmud, kami tertanya-tanya apa benda tu Methadone? Dan kenapa ia diedarkan kat surau?

Methadone sebenarnya dadah ganti yang selamat untuk Heroin

tyrone-biggums

Imej dari memegenerator.net

Mahmud merupakan salah sorang penagih yang telah join Program Methadone UMMC yang telah menjadikan Surau Ad-Deeniah sebagai pusat operasi mereka. Dan sebelum ada yang bising kata asal Surau ni terlepas dari mengedar dadah, sebenarnya Methadone adalah dibenarkan di sisi undang-undang.

Salah satu sebab kenapa kerajaan tak mengharamkan adalah kerana Methadone merupakan bahan narkotik yang telah disetujui ramai bahawa ia selamat dan murah untuk menggantikan dadah.

methadone

Ni lah Methadone yang digunakan oleh pesakit untuk melawan ketagihan Heroin. Gambar dari salah sorang pesakit.

Macam yang korang tahu, seorang penagih dadah ni biasanya akan mengalami kehidupan yang susah dan tak tentu arah. Malah masa lepak dekat surau tu pun, kami ada dengar setengah penagih ni tak dapat nak sara dirinya dan mereka mencari jalan pintas dengan mencuri untuk membeli dadah.

Methadone ni membantu penagih untuk tidak bergantung kepada Heroin, dan hasilnya hampir kesemua penagih yang datang ke surau tu dah ada kerja halal dan gaji yang stabil untuk tampung hidup masing-masing.  Cumanya sekarang ni mereka kena datang ke surau tu seminggu sekali untuk ambil Methadone hasil bekalan daripada UMMC.

Kami sempat temu ramah Uncle Rama (bukan nama sebenar) yang sebelum ni sanggup ambil duit anak bini dia semata-mata untuk beli dadah. Sejak dia join Program Methadone UMMC ni 7 tahun yang lepas, dia berupaya untuk mendapat kerja kat sebuah Sekolah Antarabangsa dan sekarang ni dia yang kasi duit kat anak bini dia.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Sekarang, orang-orang kita (merujuk kepada pesakit) semua ada motor, ada phone, kerja pun boleh dapat. Yang penting, dengan Methadone ni kita ada upaya boleh jadi happy semula.” – Uncle Rama, interview dengan SOSCILIC

uncle-rama

Uncle Rama kata sejak dia ambil Methadone, dia dah tak layan Heroin.

Walaupun Methadone telah terbukti sebagai alternatif yang bagus untuk Heroine, namun benda ni sebenarnya agak baru. Malah pada tahun 2003, kerajaan langsung tak pandang kat Methadone ni sebagai pengganti Heroin sebab kononnya time tu nak amalkan masyarakat yang bebas dadah. Tapi bagi pendapat Uncle Rama pula, dia rasa semua penagih kecil-kecilan yang kena tangkap ni (kecuali tokan/pengedar) patutnya masuk Program Methadone sebab dia yakin ia boleh mengawal ketagihan.

poster-dadah

Kempen anti-dadah peringkat sekolah.

Bukan Methadone je, tapi sokongan spiritual juga perlu ada

surau-ad-deeniah

Ni lah Surau Ad-Deeniah

Program Methadone ni biasanya datang dengan pakej terapi atau/dan kaunseling – dan ni telah diterapkan dalam Program Methadone UMMC. Tapi korang jangan ingat program spiritual dorang ni macam main bomoh atau sembah jin, tak. Sesi spiritual ni fokus kat sembahyang, meditasi, dan team building. Sesi ni diberi nama Spiritually Enhanced Drug Addiction Rehabilitation (SEDAR) dan telah dilancarkan oleh UM Center of Addiction Science (UMCAS). Program SEDAR ni diketuai oleh Dr Rusdi bin Abdul Rashid dan kami telah bertemu dengan beliau untuk bertanya pasal inisiatif ni:

“Mereka kata siapa pergi masjid tu adalah ‘ahli syurga’. Tapi ada juga ‘ahli neraka’ yang pergi, dan juga orang normal. Bagi saya, saya lebih berpuas hati kalau dapat buat satu tempat yang selamat untuk ‘ahli neraka’ ni sebab mereka boleh dapat segala jenis pertolongan dari situ” – Dr Rusi, interview dengan CILISOS

Memandangkan Melayu Islam merangkumi peratus yang tertinggi dalam penyalah gunaan dadah kat dalam negara ni, Dr Rusdi telah merebut peluang tersebut untuk membantu penagih melalui kaedah spiritual Islamic. Program SEDAR ni sebenarnya dibuat kat Masjid Ar-Rahman, PJ di mana Methadone akan dihantar dan diambil kat situ. Methadone tu pula perlu mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan baru boleh diedarkan. Tetapi sebelum penagih tersebut boleh ambil Methadone, mereka kena terlibat dengan aktiviti team building yang berunsurkan keagamaan terlebih dahulu.

“Ada doa yang akan membantu mereka dari terjebak semula dan kami akan minta mereka untuk bertaubat” – Dr Rusdi

dr-rusdi

Dr Rusdi sewaktu interview dengan CILISOS

Apa yang menyedihkan adalah bila ahli jawatan kuasa (AJK) masjid bertukar, Program SEDAR tu terpaksa diberhentikan. Dr Rusdi terpaksa berdebat dengan AJK baru. Malah program ni juga telah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan menurut data yang diperolehi, sebanyak 83% pesakit berjaya mengawal ketagihan mereka. Ini merupakan result yang sangat memberangsangkan kerana standard keberkesanan untuk ubat Heroin adalah antara 60% – 90%.

Tapi data sebanyak mana pun, AJK baru tu tetap tak kasi untuk meneruskan Program SEDAR kat Masjid Ar-Rahman dengan alasan kononnya mereka khuatir degan risiko yang akan dibawa oleh penagih tersebut ke masjid. Jadi Program SEDAR terpaksa berpindah ke Surau Ad-Deeniah.

Tapi asal gantikan dadah dengan dadah lain?

ace-ventura

Imej dari giphy.com

Nak lawan ketagihan dadah ni bukannya senang, malah Heroin merupakan dadah di mana penggunannya sering terjebak semula dengan kadar yang tinggi. Sebab tu orang kata jangan sesekali cuba dadah sebab kesannya bukan saje kat diri sendiri malah orang sekeliling. Salah sorang penagih yang kami jumpa, seorang lelaki berumur dalam 50-an berkata dia pernah jadi sorang hippy dulu, dan salah satu benda yang paling menyesal dalam hidup dia adalah mengambil Heroin.

Kalau nak campak semua penagih kat dalam penjara pun macam tak guna sebab kehilangan dadah Heroin secara tiba-tiba serta program ketahanan diri dalam penjara tu pun langsung tak membantu (kerana ketiadaan bahan ganti). Salah sorang doktor yang kami jumpa kat surau tu berkata, kat dalam penjara pun sebenarnya boleh dapat dan dalam setengah kes, banduan akan diberi dadah semata-mata untuk kasi mereka fokus kat dalam mahkamah.

“Bagi saya masukkan penagih dalam penjara tu membazir saja…bila dia keluar dia hisap balik. Dekat dalam (penjara) pun dia boleh hisap jugak. Kalau ikut saya, semua orang ni kita patut bagi Methadone, lepas tu bagi kerja. Masalah pun settle.” – Uncle Rama

Walaupun penagih ni masih lagi mengharapkan kat dadah, tapi sekurang-kurangnya mereka boleh ambil alih hidup mereka semula. Bekerja, tampung keluarga, dan melibatkan diri dengan masyarakat. Malah, telah terbukti bahawa lagi lama orang tu ambil Methadone lagi senang dia nak lawan Heroin.

Jadi kenapa tak semua masjid ada program ni?

Apa yang kami nampak kat surau tu, semua pesakit bergaul dengan baik dengan doktor-doktor, malah mereka menunjukkan hormat yang tinggi dan rasa berterima kasih terhadap program tu. Mangsa-mangsa dadah ni telah terperangkap dalam dunia kehancuran dan Program SEDAR ni telah menyelamatkan mereka.

pesakit-2

Salah sorang pesakit yang kami temui ni berkata dia beli motor sebab Methadone telah beri dia peluang kedua dalam hidup untuk lari dari Heroin.

Walaupun Program SEDAR diberi peluang kedua untuk bernafas kat Surau Ad-Deeniah, mereka masih lagi menghadapi kesukaran untuk meluaskan program ini ke masjid-masjid lain. Nak ‘mengorat’ Ahli Jawatan Kuasa masjid tu satu hal, pastu mereka masih lagi perlukan kelulusan dari Kementerian Kesihatan untuk pengedaran Methadone di masjid lain. Dan semua ni memerlukan kakitangan yang ramai, wang, dan paling penting sekali Methadone yang banyak. Tapi Dr Rusdi yakin dengan kejayaan Program SEDAR ni, mereka boleh mendapat peruntukan yang lebih banyak dan kelulusan dari pihak yang sepatutnya.

Dr Rusdi mengharapkan dalam masa akan datang, lebih  banyak masjid akan bersetuju dengan Program SEDAR ni dan mungkin mereka akan ada bajet untuk beli satu lori khas untuk dijadikan tempat pengedaran Methadone (kat dalam lori tu ada segala jenis keperluan ubat) untuk semua masjid yang terlibat dan ni sudah tentu akan save duit dan masa!

 

 

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend