Kami semak kalau ada teknologi kereta terbang untuk pantau ladang kat dunia ni

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Semua orang pun tahu pasal isu mengenai kereta terbang yang disebut oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof. Pada mulanya, laporan berita bagitau yang prototaip kereta terbang akan diperkenalkan pada tahun ni. Kemudiannya, ia hanya akan digunakan untuk pemantauan di ladang bukan untuk orang awam.

Kenyataan menteri ni mendapat respon ramai pihak termasuklah Ahmad Maslan yang memerli dengan mengatakan supaya lebih baik buat basikal terbang. Kalau benarlah apa yang menteri cakap ni boleh jadi kenyataan, kiranya imaginasi kita mengenai tahun 2020 untuk tengok kereta terbang akan jadi kenyataanlah ya?

Tak tahulah apa perasaan pelukis komik ni kalau tengok KL sekarang. Imej dari Conservativememes

Menurut sejarah, memang ada beberapa percubaan pembinaan kereta terbang. Persoalannya, adakah ia berjaya? Kita semak satu persatu dan lihat tujuan pembinaannya.

1) Bapa kereta terbang, Glenn Curtis

Sebenarnya impian pembinaan kereta terbang ni dah mula lama dah. Korang bayangkan, lepas adik-beradik Wright berjaya menerbangkan kapal terbang pertama di Kitty Hawk, US pada tahun 1903, orang dah mula memikirkan dan berusaha bina kereta terbang.

Pada tahun 1917, Glenn Curtiss yang digelar sebagai bapa kereta terbang dah mulakan percubaan pertama untuk kereta ini. Kereta yang digelar Autoplane dari aluminium ini mempunyai tiga sayap dengan panjang 40 kaki (12.2 meter). Motor kereta tu tadi pula akan menggerakkan empat kipas dibelakang kereta.

Hanya tinggal sebagai pameran. Imej dari Roadabletimes

Nampak gempak usaha Curtiss pada zaman tu. Hakikatnya, kereta ciptaannya ni tak pernah berjaya terbang walaupun sekali. Apa yang kereta ni mampu buat pun hanyalah beberapa lompatan pendek. Bolehlah kita panggil kereta lompat?

Alamak ada AES, kita lompat!

2) Arrowbile dan Arphibian: Nak berjaya, dana pula tak ada…

Lama lepas tu, pada tahun 1937, Waldo Waterman dah membangunkan pesawat hybrid Studebraker. Ianya mengambil semangat dari kereta terbang Autoplane milik Curtiss dengan mempunyai kipas di bahagian belakang kereta.

Sebab apa namanya Studebraker? Ia kerana kereta bertayar tiga ini dikuasakan oleh enjin Studebraker dengan 100 kuasa kuda. Tapi, sayap kereta ni boleh ditanggalkan serta disimpan. Kalau kereta Curtiss dulu adalah lompat sikit-sikit. Kereta terbang milik Waldo ni terbang pun tak  sempat pasal kekurangan dana untuk diteruskan.

Kalau pancit tengah jalan, jenuh nak tukar tayar ni. Imej dari Vintage News

Dalam sekitar tahun 1946 pula, Robert Fulton pula muncul dengan buat kelainan sikit dari pencipta sebelum ni. Daripada jadikan kereta boleh terbang, dia nekad untuk jadikan kapal terbang boleh berjalan atas jalan. Model ni dipanggil Arphibian. Caranya mudah dengan menjadikan sayap dan ekor kapal terbang tadi boleh dialihkan untuk lalu kat jalan raya. Kipas kapal terbang pula boleh disimpan ke dalam kabin kapal terbang. Untuk alih sayap, simpan kipas semua akan ambil masa 5 minit untuk jadi kereta.

Kalau korang nak tahu, Arphibian adalah kereta terbang pertama diluluskan oleh Civil Aeronautic Administration yang kemudiannya dikenali sebagai Federal Aviation Administration (FAA). Ia mempunyai kelajuan 150 kuasa kuda dengan enjin 6 silinder serta boleh terbang 120 batu sejam dan pemanduan atas jalan 50 batu sejam. Walaupun hampir berjaya, Fulton tidak menemui pemberi dana untuk meneruskan projek ni.

Tak cukup dana, buat jadi teksi je lah. Imej dari Youtube SuRGe4Glory

3) ConvAirCar dan Aerocar: Dana dah ada, tapi…

Syarikat kapal terbang Vultee ada membangunkan ConvAirCar, sebuah kereta sedan dua pintu serta dilengkapi dengan unit kapal terbang yang boleh ditanggalkan. Percubaan pertamanya bermula pada pada tahun 1947 dengan menerbangkannya satu jam serta penggunaan gas pada jarak 45 batu (72 km) per gelen. Perancangan untuk memasarkan kereta ni dihentikan setelah ia terhempas pada penerbangan ketiga.

Karangan aku sebuah kereta terbang. Imej dari Mashable & Diseno-art

Kalau korang nak tahu, dulu syarikat kereta terkenal, Ford Motor Co. pernah nak pasarkan satu kereta terbang ni. Kereta terbang ni dicipta oleh Moulton “Molt’ Taylor yang mengambil inspirasi dari rekaan kereta Arphibian (ada kat atas tadi). Aerocar dicipta untuk dipandu, terbang dan kembali memandu tanpa sebarang gangguan.

Ia boleh terbang di udara dengan kelajuan 120 batu sejam. Dalam sejarah, ini kereta kedua dan terakhir yang diluluskan oleh FAA (selepas kereta Arphibian). Sikit lagi kereta ni nak dipasarkan, tapi perancangan ni berkecai kerana krisis minyak yang melanda.

Tak ada rupa kereta kan? Imej dari Howstuffwork

Bila kita semak sejarah, tak ada satu pun yang berjaya dipasarkan. Kalau tak ada dana, mesti ada masalah lain. Pada zaman moden ni, nampaknya projek kereta terbang ni kita tak sedar pun dah ada syarikat nak mula jual. Tapi sangatlah baru tau…

4) Firma Belanda mula ambil order kereta terbang

Pada Mac 2018, ada sebuah syarikat Belanda, PAL-V yang mendedahkan kereta terbang pertama yang boleh dibeli oleh semua di pameran Geneva . Lepas tu terus buka pre-order di laman web diorang. Penghantaran kereta ni kepada pembeli akan dibuat pada tahun 2019. Kiranya tahun ni lah.

PH tu bukan Pakatan Harapan ye. Imej dari Pal-V

Kereta ni dilaporkan boleh memuatkan dua orang sahaja dengan kelajuan 100 batu per jam serta 112 batu per jam di udara. Dengan altitud setinggi 11,000 kaki dan julat udara dianggarkan sekitar 350 batu. Nak bertukar dari kereta ke kapal terbang dilaporkan hanya akan ambil masa 10 minit.

Model pertama ni akan terhad kepada 90 model dengan harga yang dijangka mencecah 499,000 Euros (RM 2,304,177). Harga ni tadi termasuklah kos bagi pembelajaran penerbangan yang akan disediakan. Kereta terbang ni juga dah mendapat pengesahan undang-undang agensi keselataman US dan Eropah. Apa yang penting, pemilik perlu memiliki lesen juruterbang. Untunglah juruterbang MAS dan AirAsia ya!

Setakat ni apa yang kita tengok, memang belum betul-betul lagi ada kereta terbang yang digunakan atas jalan. Paling dekat pun baru ambil order. Dan ia berbeza dengan idea menteri kita yang nak guna kereta terbang untuk pertanian.

Kami semak tak ada lagi pertanian guna kereta terbang

Apabila kami semak, setakat ni untuk pertanian dan pembinaan hanya ada teknologi dron. Belum ada lagi kereta terbang untuk ladang dan sebagainya. Kiranya kalau Malaysia buat, memang peneraju lah, kan?

Secara realitinya, pertanian di Malaysia dah pun mengaplikasi teknologi terbaru dalam operasinya. Teknologi yang dimaksudkan adalah teknologi dron. Pada tahun 2016, teknologi dron dah diumumkan penggunaanny untuk pemetaan kawasan pertanian di Sarawak.

Pada tahun 2017 pula, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dah mengumumkan penggunaan dron untuk menggantikan kaedah penyemburan racun serangga secara manual.  Waktu tu, MADACorp Agroservices dah beli enam Agriculture Drone bernilai RM 80,000 setiap satu. Di Kuala Kedah, dron ni ni dah pun digunakan oleh petani muda. Dron ni ada kapasiti 10 liter tangki yang akan sembur racun di sawah dilengkapi sistem automatik dan GPS.

Agriculture drone milik MADA. Imej dari Hortikultura

Untuk kita yang tak ambil tahu pasal dunia pertanian, sebenarnya 75% kerja-kerja mengusahakan bendang kini banyak dibantu teknologi pertanian. Dengan perkembangan ni, adakah kereta terbang diperlukan juga?

Malaysia nak jadi peneraju kereta terbang, tapi undang-undang dah bersedia ke?

Setakat ni memang tak ada lagi teknologi kereta terbang, ini mungkinlah sebab kenapa Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Hatta Ramli bagitahu supaya Malaysia jadi peneraju teknologi kereta terbang ni.

“Prototaip kereta terbang dijangka siap seawal-awalnya Jun ini dan kos penghasilan prototaip itu tidak melebihi RM1 juta selain ia dibiayai oleh pihak swasta.”- Datuk Seri Redzuan Yusof, petikan dari Berita Harian

Tren terbang pula lepas ni. Imej dari Giphy

Pembangunan kereta terbang memang tengah bergerak pantas dengan syarikat-syarikat besar macam Uber dan Google pun bagi dana. Itu pun tengah kajian lagi. Kalau betul nak tinggalkan teknologi dron sedia ada, maka timbul persoalan untuk penggubalan undang-undang yang rumit untuk kenderaan tersebut. Nak guna JPJ ata Jabatan Penerbangan Awam (DCA)?

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT