ELAUN PARKING Menteri lebih tinggi dari kebanyakan gaji orang awam

Orang selalu kata, kalau nak cepat kaya, jadilah ahli politik. Ahli politik tak perlu pun belajar tinggi-tinggi, diorang cuma kena yakinkan orang ramai untuk bagi undi kat diorang. Tapi sejauh mana kebenaran cerita ni? Sebab orang kata – jangan risau kalau gagal SPM atau PMR, korang masih ada harapan untuk jadi ahli politik!

Tak kaya pun, Jho Low lagi kaya. Imej dari Gfycat

Baru-baru ni Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ada mintak ahli politik kerajaan untuk umumkan harta diorang kepada orang umum. Sebabnya sebelum ni – ahli politik kerajaan sering dikaitkan bermacam-macam skandal, so SPRM tak nak benda ni berlaku lagi. Lagipun, isytihar harta ni memang Pakatan Harapan pernah janji nak buat.

So, meh kita tengok pengumuman pendapatan diorang. Betulkan diorang ni sebenarnya banyak duit…

Pengumuman yang SPRM paparkan tu bukan isytihar harta, tapi pendapatan

Sebelum kitaorang pergi jauh, ada baiknya korang pergi sendiri website SPRM tu untuk tengok pengumuman “harta” tu. Kitaorang rasa korang faham kot bila kitaorang cakap apa yang dipaparkan kat sana bukanlan isytihar harta, tapi pendapatan bulanan je. Kita ambik contoh simple – Ali kerja sebagai mekanik, gaji dia RM2,000 sebulan. Tapi actually Ali ada rumah, kereta dan main saham. Jumlah aset dia tu mungkin lebih tinggi dari RM2,000.

Kalau ikut format isytihar harta SPRM ni, Ali akan beritahu dia ada pendapatan RM2,000 sebulan. Hakikatnya, dia ada aset lain yang boleh dikira sebagai harta. Ramai je sebenarnya sedar tentang benda ni – sebab tu ada sesetengah orang naik angin dengan SPRM. Sebabnya diorang fikir SPRM akan beritahu harta, bukan pendapatan.

Ohhh…Imej dari Giphy

“Butiran pendapatan menteri dan anggota parlimen yang dimuat naik di laman web SPRM sebelum ini jauh dari yang dijanjikan PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14. Pengisytiharan aset bererti anda perlu mengisytiharkan semua aset, termasuk gaji, akaun bank, saham, hartanah, dan seumpamanya, termasuk yang dimiliki di luar negara,” – Cynthia Gabriel (NGO GIAT), dipetik dari MalaysiaKini

Ada jugak orang kata – kalau setakat beritahu berapa gaji diorang, tak payahnya orang nak tunggu lama-lama, check je dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, sebab benda ni simple. Sebelum ni, ada je sebenarnya ahli politik isytihar harta diorang. Kami ulang – isytihar harta bukan pendapatan diorang. Meh kitaorang cerita…

Rafizi Ramli dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah umumkan harta

Ingat lagi tak kat Rafizi Ramli? Dia pernah isytiharkan hartanya pada tahun 2015. Kalau korang tak tahu borang isytihar harta tu macam mana, bolehlah korang tengok pengisytiharan Rafizi ni. Weh, kami nak masuk bab menarik ni, cuba korang teka berapa pengumuman pendapatan Rafizi masa tu  – kalau dia guna format yang SPRM gunakan hari ni.

Jumlah pendapatan Rafizi masa tu adalah RM 11,710. Kitaorang nak korang ingat angka ni. Dalam dokumen yang agak lengkap tu – Rafizi beritahu semua tentang akaun simpanan, aset dan perbelanjaan setiap bulan. Sebab nama pun “harta” kan, bukan pendapatan. Cuba teka berapa harta dia waktu tu? RM 1,960,344 Weh. Dekat dua juta.

Saya jujur okay. Dekat dua juta yaa. Imej dari Blog RR

Kalau korang rasa Rafizi tu kes individu, ada jer parti politik yang umumkan harta diorang sebelum PRU14 hari tu, nama parti politik tu – Parti Sosialis Malaysia (PSM). PSM ni kurang famous, tapi diorang ada bertanding masa PRU14 dan kalah semua kerusi. Diorang pernah ada seorang ahli Parlimen – Dr. Michael Jeyakumar Devaraj kat Sungai Siput yang menang masa PRU13.

Menariknya, diorang ada calon yang ada harta sampai 3 juta beb! Untuk harta yang paling rendah pulak, diorang ada Bawani yang pernah viral sebab video “listen, listen, listen” – dia hanya ada pendapatan RM1,000-2,000 sebulan dan ada hutang pendidikan dengan kerajaan Perak.

“Chin Kwai Heng, 52 tahun, yang bertanding kerusi DUN N33 Tronoh mengisytiharkan aset bersih berjumlah RM3,613,000 – terdiri daripada 15 hektar tanah ladang, sebuah kedai, dua bidang tanah komersial, sebuah rumah, empat lot kosong tanah dan satu unit saham,” – Dipetik dari MalaysiaKini

Berapa sebenarnya gaji menteri ni?

Gagal SPM? takpe – cuba tengok gaji Menteri kita ni. Gaji diorang memang betul-betul power. Bukan setakat dapat gaji yang besar, diorang jugak ada macam-macam elaun yang takde pada pekerja biasa. Patutlah ramai orang yang berebut-rebut nak jadi ahli politik. Ini antara gaji dan elaun menteri yang kitaorang dapat;

  • Gaji pokok; RM18,000
  • Elaun keraian; RM10,500
  • Elaun perumahan; RM10,800
  • Elaun wakil rakyat; RM10,650
  • Elaun parkir kenderaan; RM5,700

Jumlah pendapatan diorang; RM55,650

Daripada berniaga Krabby Patty, baik aku jadi ahli politik. Imej dari Giphy

Gempak gila, elaun parking diorang dah level gaji bos-bos besar kat sektor swasta. Kalau korang nak tahu, diorang ada lagi elaun-elaun lain seperti;

  1. Diorang ada elaun untuk bercuti ke luar negara, setahun sekali. Segala tiket penerbangan, hotel dan duit poket sebanyak RM50,000 akan diberikan. Kalau diorang tak pergi luar negara, diorang boleh tuntut duit poket RM50,000 ni.
  2. Bil-bil macam bil telefon, air dan elektrik diorang akan dibayar oleh kerajaan.
  3. Diorang boleh tuntut RM40,000 setahun untuk perhiasan rumah diorang.
  4. Diorang jugak ada peruntukan khas untuk derma – contohnya derma kematian.
  5. Kalau diorang buat rumah terbuka, perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan.

Hmmm…kalau gempak macam ni, kitaorang pun nak jadi ahli politiklah! Gaji power, elaun power lama-lama jadi ada super power macam Superman.

Kuasa diorang pada gaji dan elaun! Imej dari Youtube

Apa pasal gaji Lim Guan Eng lagi BANYAK daripada Tun Mahathir!?

“Gaji saya lagi tinggi dari gaji Menteri Kewangan. Dari mana dia dapat (pendapatan tinggi) saya tidak tahu,” – Tun Mahathir, dipetik dari AWANI

Hahhh…apa pasal pulak gaji Menteri Kewangan ni lagi gempak dari gaji Perdana Menteri? Macam ni – kalau korang tengok kat website paparan harta tu, diorang bukan setakat beritahu pendapatan diri diorang je – ada yang masukkan isteri, anak dan wang amanah yang diorang pegang. Kalau korang perasan, isteri Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah tak bekerja. Isteri Lim Guan Eng pulak bukan calang-calang orang.

Isteri Lim Guan Eng bukan calang-calang orang. Imej dari Facebook

Nama isteri Lim Guan Eng adalah Betty Chew, dia pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri kat Melaka. Dia juga seorang peguam. Kalau korang nak tahu, kalau ikut satu website yang popular ni – nilai keseluruhan harta Bettey Chew adalah sebanyak USD 10 juta! Kitaorang ulangi USD 10 juta atau RM41,690,000. So, tak hairanlah Lim Guan Eng atasi gaji Perdana Menteri. Isteri dia kaya level saudagar minyak.

Kalau korang pergi lepak kat website SPRM tu lepas nipastikan korang tengok ahli politik tu masukkan siapa dalam pengumuman pendapatan diorang. Kalau bujang macam Syed Saddiq – memang dia seorang je lah kan, takde anak bini. Nanti takdelah korang akan keliru macam kes Lim Guan Eng.

Tun Mahathir di tangga keenam, Lim Guan Eng dah jadi KEDUA tertinggi

Jumlah pendapatan ahli politik kat website SPRM tu akan sentiasa dikemaskini. Nampaknya status Lim Guan Eng sebagai ahli politik yang paling banyak pendapatan dah diatasi. Kalau korang nak tahu – Nga Kor Ming mengatasi Lim Guan Eng apabila dia memperolehi RM101,160 sebulan. Pendapatan ni merupakan pendapatan dia dan isteri dia. Gaji cecah 100k, power.

Kalau korang tak kenal, dia Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang selalu berpantun. Kitoarang pun ada pantun untuk dia;
Gendang gendut tali kecapi,
banyak duit senang hati.

Kalau kitaorang dapat gaji macam diorang, korang nak apa? Kitaorang belanja! Imej dari Portal Peristiyaran Harta

Kitaorang yakin – mesti korang tertanya-tanya pulak; siapa di antara diorang ni yang ada gaji paling rendah? Bolehlah korang bandingkan dengan gaji yang korang dapat. Macam gaji Nga Kor Ming tadi – gaji dia RM3,372 SEHARI. Hahh…ini kami share ahli politik yang ada gaji terendah.

Hahh…ini dia kadar gaji terendah diorang, jauh beza tak dengan gaji korang? Imej dari Portal Perisytiharan Harta

Ahli politik yang ada harta terendah adalah Sivakumar s/o Varatharaju Naidu, dia dan isteri dia ada pendapatan RM6,806.28 SEBULAN. Cuma kitaorang pening jugaklah, sebab perincian pendapatan ni, SPRM tak keluarkan lagi details. Macam mana Sivakumar yang jadi ahli Parlimen Batu Gajah, Perak ni boleh ada gaji macam tu. Sedangkan gaji ahli Parlimen adalah – RM16,000Nampaknya, kita tengah tunggu details pendapatan diorang ni.

Pengumuman harta ahli politik adalah permulaan yang baik

Walaupun ramai yang kecewa sebab ahli politik ni isytiharkan gaji bukan harta, tapi benda ni kira okaylah kot. Kerajaan sebelum ni tak pernah pun isytiharkan berapa gaji yang diorang dapat. Bila rakyat dah tahu gaji yang diorang dapat, senang sikitlah SPRM siasat kalau diorang tiba-tiba ada harta yang melimpah. Yalah, kalau gaji setakat 20k, tiba-tiba dalam akaun ada 2.6 billion, siapa tak curigakan?

Hmmm…jangan nak kata duit tu dermalah pulak! Imej dari Giphy

Cuma, kitaorang harap – ahli-ahli politik ni akan isytiharkanlah harta diorang sekali. Biar rakyat tahu berapa kekayaan yang diorang dapat bila dapat kepercayaan rakyat. Kitaorang yakin – kalau ahli politik buat kerja diorang betul-betul, rakyat tak kisah duit cukai dibayar untuk menggaji diorang. So ahli politik, kalau korang baca artikel kitaorang ni – buatlah kerja korang baik-baik!

Hahh…kalau korang nak jadi ahli politik pulak, pastikan korang nak jadi ahli politik bukan semata-mata sebab nak duit yang banyak kosong kat atas. Pastikan korang nak jadi ahli politik sebab korang nak berkhidmat untuk rakyat! Chewah, kitaorang macam tengah buat ceramah politik kan?

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka