5 Syarikat ni dikatakan rugi sejak Pakatan Harapan jadi kerajaan, ini ceritanya

Sejak kebelakangan ni, macam-macam benda yang dah jadi kat Malaysia, dari cerita yang sedap didengar kat telinga sehinggalah cerita-cerita yang buat kita risau. Antara benda yang merisaukan tu, banyak kes syarikat besar yang rugi. Bila kitorang cakap pasal rugi ni – bukan rugi 20, 30 ringgit eh. Kitorang maksudkan kerugian yang libatkan juta-juta atau berbilion-bilion.

Macam ni lah agaknya graf syarikat yang tengah merudum. Imej Giphy

Apa yang lebih merisaukan, ada beberapa syarikat yang kitorang bakal sebutkan ni ada kaitan langsung dengan kerajaan (GLC). Jadi secara mudahnya – wang yang dilaburkan tu adalah duit rakyat, so sayanglah kalau rugi dengan banyak. Hari ni kitorang akan listkan syarikat yang alami kerugian ni. Kitorang mulakan dengan….

1. Syarikat Khazanah rugi 6.3 bilion buat kali pertama sejak 10 tahun lepas

Bagi sesiapa yang tak tahu, Khazanah memegang dan menguruskan aset komersil terpilih kerajaan dan mengusahakan pelaburan strategik untuk negara kita. Khazanah Nasional Berhad merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada tahun 2018 berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.

“Keuntungan terjejas disebabkan penghapusan pelaburan yang sedikit, pengurangan pendapatan dividen dan rosot nilai yang tinggi. Rosot nilai direkodkan pada RM7.3 bilion pada 2018, meningkat RM5 bilion berbanding 2017,” – Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah, dipetik dari AWANI

Imej dari BanKami

Pengarah Urusan Khazanah tu tambah lagi – portfolio Khazanah terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global pada 2018 yang menyaksikan pasaran perlahan susulan ketegangan geopolitik serta unjuran lemah pertumbuhan negara pesat membangun. Maksudnya, kerugian Khazanah ni bukanlah 100% sebab salah Pakatan Harapan je. Tapi ada jugak faktor lain – macam faktor keadaan ekonomi dunia yang tak menentu.

Lepas tu, ada khabar angin yang mengatakan Khazanah dah mula nak jual asetnya – Legoland. Kalau ikutkan laporan FMT taman tema tu mungkin bernilai sekitar RM1 bilion, termasuk hutang yang diorang ada. Bagi yang tak tahu Legoland tu kat mana, ia terletak di Johor, dimiliki unit Khazanah dan dikendalikan Merlin Entertainments Plc.

2. TM takdelah rugi, tapi keuntungan berkurangan banyak

Syarikat Telekom Malaysia (TM) ni adalah di antara syarikat telekomunikasi yang paling terkenal kat Malaysia. TM catatkan keuntungan bersih RM153.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, turun 83.5 peratus berbanding RM929.7 juta pada tahun sebelumnya, yang katanya berikutan impak ketidaktentuan industri dan landskap operasi.

Imej dari Racuntech

Kerugian terhadap aset rangkaian kumpulan TM adalah sebanyak RM982.5 juta menyebabkan kejatuhan dalam keuntungan operasi sebanyak 65.9 peratus. Keuntungan tu cuma RM375.5 juta berbanding RM1.101 bilion sebelum ni. Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar kata 2018 memang di antara tempoh paling mencabar yang pernah dia hadapi.

Tapi diorang tetap komited yang tahun 2019 ni akan beri diorang keuntungan.

“Bagi 2019, TM akan meneruskan perjalanan strategiknya untuk berubah menjadi “New TM”, organisasi berfokuskan pelanggan bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara digital menerusi sambungan dan infrastruktur digital,” – Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, dipetik dari Berita Harian

Mesti pernah tengok logo ni kan? Imej dari SoyaCincau

3. Tabung Haji alami kerugian setinggi 20 peratus, defisit RM4.1 bilion

Kitorang pernah tulis panjang lebar pasal Tabung Haji ni. Secara mudahnya, Tabung Haji ni diwujudkan untuk bantu orang Islam kat Malaysia menunaikan ibadah haji.  Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat kata – pihaknya dapati TH mengalami kerugian sebanyak 20 peratus apabila saham-saham daripada sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah serta pembinaan.

Kalau korang nak tahu, firma pengauditan, PwC dapati akaun TH diaudit berakhir 31 Disember 2017 merekodkan aset keseluruhan RM70.3 bilion, sedangkan liabiliti ialah RM74.4 bilion, benda ni menunjukkan ada defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Tempat mak ayah korang menabung dari dulu. Imej dari SAYS

Oleh sebab Tabung Haji ni tak perform, Kabinet setuju untuk wujudkan SPV bagi memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji ni. Bagi yang tak tahu SPV ni binatang apa, SPV adalah entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas – beli aset. Selalunya SPV akan dibubarkan bila objektif asal SPV tu dicapai.

“Pemindahan aset yang tidak berprestasi kepada SPV telah membantu untuk memulihkan semula akaun TH dan membolehkan SPV mengendalikan pemulihan dan penambahbaikan aset tersebut,” – DS Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, dipetik dari SINAR

4. Syarikat FGV rugi satu bilion?!

FGV Holdings Berhad ni adalah syarikat pertanian dan agro-komoditi yang berpangkalan kat Malaysia. Dengan operasi di seluruh dunia, FGV menghasilkan produk perladangan kelapa sawit dan getah, produk soya dan produk gula. FGV ni rekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai lebih RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Ia berbanding keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM403 juta pada tahun sebelumnya. Kerugian itu disumbang sebahagian besar oleh rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM1.038 bilion selain penurunan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) turut menjejaskan prestasi keseluruhan.

Satu bilion weh. Imej dari Kim Komando Show

“Prestasi FGV telah terkesan dengan harga Minyak Sawit Mentah dengan purata RM2,053 per tan metrik (MT) pada suku disemak, 24.6% lebih rendah berbanding harga purata RM2,723 MT yang dicatatkan pada suku keempat 2017,” – Datuk  Haris Fadzilah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, dipetik AWANI

Apa yang lebih teruk, baru-baru ni – kira-kira 40 pemandu lori daripada lima kontraktor di Felda Kahang Barat, menuntut penjelasan daripada Felda dan anak syarikatnya, Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) selepas bayaran gaji bagi hasil upah tambang dan angkut buah tertunggak lebih lima bulan. Kitorang pun tak pasti – sama ada benda ni berlaku sebab untung yang merosot atau masalah pengurusan. Tapi sedihlah kepada pemandu-pemandu lori tu…

Pemandu lori yang menuntut gaji diorang. Imej dari SINAR

5. KWSP rugi? Tapi Lim Guan Eng kata tak rugi

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, lebih dikenali sebagai KWSP ni adalah badan berkanun persekutuan – terletak kat bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Diorang menguruskan pelan simpanan wajib dan perancangan persaraan untuk pekerjaan sektor swasta kat Malaysia. Ada laporan yang katakan – pelaburan yang dilakukan KWSP menerusi 10 syarikat tersenarai awam (PLC) mencatatkan kerugian sebanyak RM6.09 bilion.

Kalau ikut The Edge, nilai pelaburan menurun secara mendadak daripada RM51.21 bi­lion kepada RM45.12 bilion dalam tempoh sebulan. Laporan tu sebut, sektor pembinaan adalah yang paling teruk terjejas ekoran pe­ngumuman kerajaan Pakatan Harapan bahawa mereka mahu mengkaji semula projek-projek mega yang dimulakan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Kalau tak bagi cap jari kat KWSP memang tak sah. Imej dari KOSMO

Tapi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng – nafikan KWSP mengalami kerugian RM6.09 bilion dalam masa sebulan seperti didakwa. Lim Guan Eng kata, tuduhan tu kurang tepat jika dibuat berasaskan nilai saham kerana ia perlu berpandu kepada turun naik Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

“Jika kerugian tu dibandingkan dengan harga pembelian asal saham atau ‘book value’, KWSP masih mencatat keuntungan secara keseluruhan. Bagaimanapun, saham tu tak dijual, maka keuntungan ini tidak tercatat dan adalah keuntungan tidak nyata (unrealised gains) yang tidak diambil kira dalam penyata kewangan.

Jangan lihat dari segi keuntungan atau kerugian tidak nyata semata-mata, sebaliknya perlu berpandukan keuntungan dan kerugian bersih,” – Lim Guan Eng, dipetik dari BH

Menteri kewangan tengok siapa tu? Imej dari The Star

Ada banyak punca yang menyebabkan kerugian syarikat

Ramai sebenarnya yang suka tuding jari secara terus kepada Pakatan Harapan apabila ada syarikat yang alami kerugian. Kitorang tak nafikanlah yang kerajaan memang ada je peranan dia dalam membantu syarikat-syarikat ni (lebih-lebih syarikat GLC) untuk dapatkan keuntungan, tapi korang kena tengok jugak faktor-faktor lain macam – keadaan ekonomi global, atau harga produk jatuh.

So, lepas ni kerajaan kena pastikanlah syarikat-syarikat GLC ni betul-betul ditadbir oleh orang yang berkelayakan. Kalau yang memenuhi jawatan penting kat sesebuah syarikat tu hanyalah lantikan politik semata-mata, kitorang rasa korang boleh tahu kot apa yang akan jadi pada syarikat tu…melingkup.

Penuh pengharapan. Imej dari Giphy

Kitorang harap lepas ni keadaan akan makin baiklah, terutamanya untuk syarikat-syarikat yang alami kerugian yang besar ni. Sebab kitorang nak ekonomi kita lebih berkembang pesat supaya dapat beri kesejahteraan pada rakyat.

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka