Jenayah & Undang-undang

Ini macam mana Malaysia yakinkan OIC untuk tamatkan penghapusan etnik Bosnia

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 27 Disember 2017

UPDATE 21/12/2019: Dari 18 Disember 2019 hingga 21 Disember 2019, Malaysia dah mengadakan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019). Ia telah mengumpulkan para pemimpin dan golongan bijak pandai negara Islam untuk membincangkan masalah-masalah dilalui negara Islam. Ia telah mendapat perhatian seluruh dunia termasuk kecaman dari OIC. Namun hal ni dah pun dijawab oleh Tuan Guru Haji Hadi, Presiden PAS yang juga antara yang dijemput ke kemuncak itu.

“Sebenarnya, ia bagi memangkin kelemahan-kelemahan majlis Kerjasama Islam (OIC) yang gagal menangani banyak masalah antarabangsa khususnya di Asia Barat.

Memindahkan persidangan ke Asia Tenggara jauh daripada tempat yang ada masalah, itu satu langkah yang sangat baik kerana rantau ini lebih aman, lebih tenang daripada Asia Barat,”- TG Hj Hadi. petikan dari Awani


Erdogan bagi penerangan pasal penaklukan Israel terhadap Palestin. Imej dari Middle East Monitor.

Sekarang ni, macam-macam masalah menimpa umat Islam seperti konflik Palestin-Israel, isu Rohingya, isu pelarian, konflik antara negara-negara Arab dan sebagainya. OIC pulak nampaknya masih tak ada upaya untuk selesaikan isu-isu ni demi kepentingan umat Islam.

“Lebih menyedihkan, apabila OIC sering menjadi bahan gurauan sesetengah pihak sebagai ‘Oh I see’ (oh saya lihat) kerana hanya mampu mengadakan persidangan, duduk berbincang serta mengeluarkan kenyataan atau deklarasi.” – Dr Muzaffar Syah Mallow, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Dipetik dari Sinar Harian.

Antara pemimpin-pemimpin negara anggota OIC. Masa ni Pak Lah masih PM. Imej dari mofat.gov.bn

Oleh itu, kali ni SOSCILI nak bercerita sikit tentang peranan penting yang OIC pernah mainkan selama ia ditubuhkan. Sebabnya, bila kita tengok dan semak balik, ada juga sumbangan OIC ni. Malah kita juga boleh bangga, sebab…

1. Bosnia genocide: Peranan Malaysia dan OIC untuk menamatkannya

Mungkin ini adalah antara peristiwa yang dekat dengan Malaysia. Sebabnya Malaysia mainkan peranan yang besar dalam membela masyarakat Bosnia suatu masa dulu. Pada asalnya, Bosnia Herzegovina adalah negara yang bergabung dengan negara Serbia, Montenegro, Croatia, Slovenia dan Mecedonia yang membentuk sebuah negara bernama Yugoslavia. Tapi lepas kejatuhan Soviet, negara-negara ni mula berpecah dan cuba untuk berkerajaan sendiri.

Bosnia pun termasuk dari negara yang nak berkerajaan sendiri. Tapi perkara ni dibantah Serbia dan Serbia ambil tindakan keras dengan bawa tentera dan lancarkan kempen ketenteraan untuk rampas wilayah Bosnia dengan buat pembersihan etnik.  Sejak tahun 1992 sampai tahun 1995, dianggarkan 100,000 nyawa dah terkorban dengan menyaksikan 80% darinya adalah Muslim Bosnia.

Penemuan kubur besar dari tindakan penghapusan etnik Bosnia. Imej dari newsclick.in

Jadinya, ia memerlukan peranan OIC dalam menyelesaikan konflik. Malaysia juga masa tu kecewa dengan Amerika Syarikat dan Eropah yang tak adil dalam membela Bosnia.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Ketidakmampuan PBB untuk menghentikan pembunuhan terhadap Bosnia dan Croatia telah mendorong Malaysia untuk terus memberi tekanan kepada badan dunia. Mahathir lantang bersuara mengkritik apa yang dianggap tidak adil terhadap Bosnia.

Beliau menggunakan pelbagai saluran diplomatik, seperti OIC bagi meraih sokongan untuk Bosnia dan untuk menyakinkan negara-negara Islam supaya menghantar tentera di bawah payung PBB.” – Dipetik dari jurnal tulisan: Azlizan Mat Enh.

Antara tentera pengaman Malaysia ke Bosnia. Imej dari tv14.my

Pada April 1993, Malaysia gesa negara-negara anggota OIC untuk berkumpul kat Karachi. Dalam persidangan tu, OIC bersetuju yang Bosnia perlukan senjata untuk mempertahankan diri dari keganasan Serbia.

Malaysia juga masa tu lobi OIC supaya sokong rancangan yang membolehkan tentera Malaysia kat Bosnia dari jalankan operasi keamanan kepada operasi perang kalau diperlukan. Apa yang diharapkan adalah tekanan dari OIC ni akan buatkan PBB ambil tindakan konkrit untuk hentikan peperangan.

“Malaysia berharap OIC akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa lain untuk memberikan bantuan yang berkesan kepada rakyat Bosnia-Herzegovina. Pada masa yang sama, Malaysia juga menegaskan dan mencadangkan agar negara-negara OIC perlu melanjutkan bantuan kemanusiaan kepada Bosnia-Herzegovina.” – Dipetik dari jurnal tulisan: Azlizan Mat Enh.

Dr Mahathir merasmikan satu masjid di Bosnia. Imej dari ikramrasid.com

Akhirnya konflik dan pembersihan etnik di Bosnia tamat pada Disember 1995. Malaysia dengan OIC lepas tu minta PBB tubuhkan tribunal khas untuk dakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kekejaman Serbia terhadap Bosnia. Hal ni telah membuktikan yang OIC juga adalah penyumbang terhadap keamanan yang dikecapi Bosnia hari ini.

2. Tunku Abdul Rahman adalah Setiausaha Agung OIC yang pertama

OIC adalah pertubuhan antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dengan mempunyai 57 negara sebagai ahli, OIC dilihat sebagai suara keramat dari dunia Islam. Pertubuhan ni juga bertanggungjawab menjaga dan melindungi kepentingan dunia Islam.

Sejarah wujudnya OIC bermula pada 25 September 1969, bersempena dengan Persidangan Dunia Islam pertama di Rabat, Maghribi. Persidangan ni diadakan lepas berlakunya serangan ganas kat Masjid al-Aqsa. Disebabkan tindakan biadap Zionis tu, akhirnya pemimpin-pemimpin dunia Islam bersatu dan bersetuju untuk tubuhkan OIC.

Gaddafi (Libya) & Gamal Nasser (Mesir) masa di Rabbat. Imej dari CNN.

Apa yang lebih menarik, Perdana Menteri Malaysia pertama – Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama (1971-1973). Mungkin ada yang pernah dengar – kisah perbualan di antara Tunku Abdul Rahman dan Raja Faisal al-Saud.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang berbeza dari Arab Saudi atau pun Iran… Saya pernah beritahu Sultan Faisal (Arab Saudi) kalau dia nak Setiausaha Agung Organization of Islamic Conference, pergi cari orang lain.

Saya sayangkan dunia. Minum, menari, dan berjudi. Susah nak buang tabiat ni masa umur 67. Sultan Faisal sengih dan kata: ‘saya tahu, tapi saya bukan tengah mencari sorang imam’.” – Tunku Abdul Rahman, dipetik dari buku: Conversation with Tunku Abdul Rahman.

Tunku Abdul Rahman & Raja Hassan (Maghribi) pada tahun 1969. Imej dari Arkib Negara.

Walaupun begitu, sumbangan Tunku kepada OIC sebenarnya cukup besar. Ia ditambah pulak dengan sikap Tunku yang terkenal sebagai seorang yang cintakan keamanan dan sentiasa berterus-terang. Oleh itu, jom kita tengok peristiwa-peristiwa penting yang pernah melanda negara/umat Islam dan macam mana OIC menanganinya.

3. Konflik PLO – Jordan: Apabila Arafat cuba menggulingkan Raja Jordan

Disebabkan berlaku konflik/perang Palestin-Israel pada tahun 1967, Jordan terima ramai pelarian dari Palestin. Masa tu, antara pihak yang kuat berjuang menentang Israel ialah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), pimpinan Yasser Arafat. Tapi perjuangan PLO berbeza dengan Jordan yang agak lebih berdiplomasi dengan Israel.

Menyingkap balik sejarah, Jordan pada asalnya adalah sebahagian dari wilayah Uthmaniyah. Selepas kejatuhan Uthmaniyah, anak kepada Sharif Hussein (pemimpin Hijaz), bernama Abdullah dah dilantik oleh British sebagai pemerintah Amman (ibu negara Jordan sekarang). British juga tolong Abdullah untuk buat angkatan tentera. Akhirnya pada 1946, Abdullah isytihar dirinya sebagai Raja.

“Dia juga meluaskan sokongan kepada usaha British untuk menubuhkan negara Israel di kawasan itu. Dia juga menentang keras cadangan Liga Arab menubuhkan negara Palestin pada 1948. Sebaliknya, dia mengisytiharkan penubuhan negara Jordan pada 1949.

Pada 1951, Abdullah telah dibunuh oleh lelaki bersenjata Palestin. Kebanyakan rakyat Palestin marah kepada Abdullah kerana peranannya dalam penubuhan negara Israel.” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr. Abdullah al-Ahsan.

Duduk dari kiri: Raja Ali (Hijaz), Raja Abdullah (Raja Jordan) & Raja Faisal (Iraq). Imej dari unofficialroyalty.com

Jadinya kesan dari perang pada tahun 1967, ramai rakyat Palestin yang jadi pelarian ke Jordan. Tapi mereka masih tak putus asa dan terus menentang Israel. PLO adalah pertubuhan yang paling berpengaruh masa tu. Hal ni dah buatkan mereka nak jadikan Jordan sebagai pangkalan untuk serang Israel. Perkara ni dah cukup buatkan konflik antara Jordan dan PLO. Maka jadilah perang saudara antara Jordan dan PLO sampai ia digelar sebagai tragedi Black September.

“Ketika itu Arafat melihat Jordan adalah lokasi strategik untuk menempatkan lebih 40,000 tentera pejuang Palestin bagi menyerang Israel. Pencerobohan Palestin menimbulkan kemarahan Jordan dan pada 17 September 1970 pemimpin Jordan,

Raja Hussein mengambil langkah drastik mengarahkan lebih 50,000 bala tenteranya mengusir pejuang Palestin. Pertempuran yang dianggap perang saudara itu mengorbankan pejuang di kedua-dua belah pihak.” – Ku Seman Ku Hussain, dipetik dari Utusan Malaysia.

Arafat bersama pejuang-pejuang PLO di Jordan, 1970. Imej dari palestineembassybd.com

Disebabkan konflik ni, OIC pun mula bertindak. Dua negara OIC – Mesir dan Arab Saudi kemudiannya mainkan peranan untuk damaikan dua pihak ni. Raja Faisal (Arab Saudi) dan Gamal Abdel Nasir (Mesir) nampaknya berjaya pujuk kedua-dua pihak ni untuk berdamai. OIC juga masa tu bagi penghargaan besar pada kedua-dua negara ni.

“Bagaimanapun selepas kemangkatan Raja Hussein dan puteranya Raja Abdullah menaiki takhta, Jordan menjadi negara yang lantang menyokong Palestin dan mengutuk pencerobohan Israel.

Raja Abdullah mengambil sikap menjernihkan sengketa dan sokongan kepada Palestin menjadi pemangkin kepada kestabilan di rantau Asia Barat.” – Ku Seman Ku Hussain, dipetik dari Utusan Malaysia.

Arafat & Raja Husayn (Jordan) lepas konflik. Imej dari fanack.com

4. Konflik Bangladesh-Pakistan: OIC gagal selesaikan

Sebenarnya, Bangladesh dan Pakistan ni ada sejarah yang sama iaitu berasal dari India. Masa penentangan terhadap penjajahan British, semua mereka ni bersatu. Tapi macam biasa, lama-lama ada la konflik. Jadinya, orang Islam nak ada negara sendiri dan bukan jadi sebahagian dari India. Pemimpin Islam kat India yang berpengaruh masa tu adalah Muhammad Ali Jinnah.

Jadinya, menjelang tahun 1947 dua negara ni berjaya merdeka dari penjajahan British. India jadi negara yang ada majoriti penduduk Hindu dan Pakistan negara yang ada majoriti penduduk Islam.

Dua wilayah yang jauh, tapi dalam negara yang sama. Imej dari brilliantmaps.com

Tapi Pakistan ni terbahagi kepada dua wilayah iaitu Pakistan Barat (Pakistan sekarang) dan Pakistan Timur (Bangladesh sekarang). Dua-dua ni dalam kerajaan yang sama, tapi cuma jauh je.

Apa yang buat Pakistan Timur tak puas hati adalah bila politik Pakistan masa tu kena control dengan pemimpin-pemimpin elit Pakistan Barat. Jadi muncul dakwaan Pakistan Timur ni dianaktirikan. Sebab rasa tak puas hati ni, maka jadilah perang saudara antara dua wilayah ni pada tahun 1971.

“Semasa perang saudara, Setiausaha Agung OIC, Tunku Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri Malaysia telah melawat dua wilayah Pakistan ini dalam usaha untuk menyelesaikan konflik. Beliau ditemani dua wakil dari Kuwait dan Iran.” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr. Abdullah al-Ahsan.

Antara keadaan yang jadi masa Bangladesh cuba dapatkan kemerdekaan dari Pakistan. Imej dari al-Jazeera.

Tapi bila mereka nak masuk India untuk jumpa dengan pemimpin de facto Bangladesh yang dapat perlindungan kat sana, mereka dihalang dari masuk. Alasannya, OIC sebelum ni pernah halang wakil India dari Persidangan Dunia Islam pada 1969. Jadinya, usaha OIC ni gagal.

Akhirnya, terciptalah negara baru bernama Bangladesh yang berjaya merdeka dari Pakistan pada 26 Mac 1971. Selepas itu, OIC ada cuba untuk menghubungi dan eratkan balik hubungan dua negara ni (Pakistan dan Bangladesh). Tapi proses tu tak berapa lancar…

“Saya berada di Kaherah. Saya segera menghantar surat kepada pihak berkuasa Bangladesh melalui kedutaan India. Balasan yang saya terima dari Perdana Menteri India, Indira Gandhi.

Ia mengatakan bahawa sejak OIC tidak mempedulikan penderitaan mereka dahulu, pihak Bangladesh tidak rasa mereka berada dalam kedudukan untuk menerima kami.” – Tunku Abdul Rahman. Dipetik dari jurnal tulisan Dr. Abdullah al-Ahsan.

Muhammad Ali Jinnah (bapa Pakistan) & Gandhi. Imej dari wikimedia.

Tapi, lepas beberapa tahun masalah selesai, Pakistan dan Bangladesh pun boleh duduk semeja untuk berbincang. Dua negara ni juga kemudiannya aktif dalam OIC.

5. Perang Iraq-Iran: OIC hilang kredibiliti sebagai pengantara konflik

Antara banyak konflik antara negara-negara Islam, mungkin Perang Iraq – Iran salah satu yang paling diingati. Perang ni jadi tak lama lepas berlakunya Revolusi Iran pada 1979. Semuanya bermula lepas Saddam Hussein bertindak menyerang Iran pada 1980. Ini jadi sebab masa tu Iraq nak tuntut hak kedaulatan kat Khouzestan (barat daya Iran) yang kaya dengan minyak. Kawasan tu juga ada ramai penduduk Arab.

Bila tercetus je perang ni, OIC bertindak cepat dengan adakan perjumpaan menteri luar-menteri luar OIC tergempar kat New York masa Perhimpunan Agung PBB. Misi muhibah kemudiannya dipimpin oleh Presiden Ziaul Haq dengan harapan akan adanya rundingan damai antara dua pihak.

Imej asal dari haqnews.

Ziaul dan Arafat pun buat lawatan ke Tehran dan Baghdad untuk pujuk kedua-dua pemimpin berdamai. Tapi nampaknya usaha ni gagal. Walaupun begitu, OIC belum putus asa dan seterusnya bentuk Jawatankuasa Keamanan Islam. OIC juga gesa kedua-dua negara untuk lakukan genjatan senjata. Tapi nampaknya Iran dan Iraq tak pandang gesaan OIC dengan serius.

Iran dalam kenyataannya ada tuntut supaya OIC kenal pasti dulu siapa penyerang dalam konflik dan hukum mereka tu. Tapi masalah masih ada bila Iraq tu sendiri adalah negara yang penting atau sebahagian dari sistem OIC. Bila persidangan Menteri Luar nak diadakan kat Baghdad, Iran muncul membantah. Iran minta supaya persidangan tu diadakan kat tempat yang lebih neutral. Tapi permintaan Iran tu ditolak.

“Pada akhir persidangan itu, OIC membuat keputusan untuk menjadikan kenyataan Presiden Iraq sebagai sebahagian dari dokumen rasmi kerana ia mempunyai ‘panduan berguna untuk organisasi’.

Ketika itu OIC hilang kredibiliti sebagai pengantara dalam konflik. Namun, OIC masih terus berusaha untuk menamatkan perang.” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr. Abdullah al-Ahsan.

Tentera Iraq bergambar kat mural Khomeini yang penuh dengan kesan tembakan. Imej dari al-Jazeera.

Peperangan ini berlanjutan selama 8 tahun dan akhirnya tamat pada 1988. Dianggarkan jumlah kematian keseluruhan adalah 1 juta untuk Iran dan 250 ribu hingga 500 ribu untuk Iraq.

Peranan OIC boleh dikuatkan dengan guna pengaruh China dan Rusia

Sebenarnya, banyak lagi konflik, krisis dan peperangan yang menimpa umat Islam. Seperti pencerobohan Amerika Syarikat ke Iraq (2003), krisis Somalia, Selatan Filipina, Daesh dan sebagainya. Bagaimanapun, OIC masih gagal dalam menyelesaikan isu-isu tersebut.

“OIC dan Liga Arab tak pernah ada taring, macam mana nak hilang (taring).” – Tun Dr Mahathir Mohamad. Dipetik dari Utusan Malaysia. 

Walaupun begitu, kita masih lagi boleh lihat tindakan-tindakan OIC dari sudut yang positif. Macam apa yang jadi baru-baru ni dalam isu Baitulmaqdis. Menurut geostrategis, Azmi Hassan, deklarasi OIC tentang Baitulmaqdis tu ada kata: mana-mana negara yang ikut jejak Amerika Syarikat (AS) pindahkan pejabat kedutaan ke Baitulmaqdis, maka kesemua 57 negara OIC akan putuskan hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

“Ditambah dengan 57 negara iktiraf Baitulmaqdis Timur (sebagai) ibu kota Palestin, kerana sebelum ini OIC tidak iktiraf secara tersurat maka saya beranggapan deklarasi tersebut bukan retorik semata-mata, tetapi mempunyai kesan yang tersendiri kerana setelah 3 minggu berlalu hanya Guetamela yang isytihar ikut jejak langkah AS.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Dr Mahathir & Raja Abdullah al-Saud masa kat persidangan OIC, di Putrajaya (2003). Imej dari hiveminer.com

Selain itu menurutnya lagi, OIC masih ada peluang untuk perbetulkan persepsi dunia dengan cara gunakan pengaruh kuasa besar macam Rusia dan China yang akan sentiasa cari sebab untuk pulas tangan Trump. Tapi dalam waktu sama, beliau akui yang OIC jadi lemah sebab banyak negara Arab yang terlalu bergantung kepada AS.

“Jika dua kuasa besar ini (Rusia dan China) antara 128 negara yang sokong resolusi Baitulmaqdis PBB, mereka bukan sangat kerana sokong Palestin, tetapi kerana seteru AS maka OIC boleh guna senario ini untuk kepentingan Palestin dan juga OIC.

Berbeza empat dekad lepas, pemimpin negara Islam tidak terlalu bergantung kepada kuasa besar dan boleh capai keputusan untuk kepentingan umat dan negara Islam.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend