China arah bakar buku di perpustakaan? Ini sejarah lainnya

Pada bulan ni, kita boleh nampak banyak program jualan buku yang diadakan. Antaranya macam Big Bad Wolf yang baru je tamat pada 16 Disember lepas. Pihak Utusan Publications & Distributors pun buat jualan gudang – segala buku dan majalan terbitannya.

Tapi di sebalik keghairahan kita membeli dan membaca buku ni, media antarabangsa baru-baru ni ada melaporkan tindakan perpustakaan-perpustakaan di China yang membakar buku. Dikatakan, kempen membakar buku itu dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan China untuk menghapuskan buku yang merosakkan negara dan rakyat.

Hal ni jadi heboh lepas gambar dua orang wanita membakar buku di luar perpustakaan daerah Zhenyuan, China. Imej dari The Guardian.

Lebih tepat lagi, buku-buku tu adalah yang membawa pemahaman bertentangan dengan dasar komunis, polisi negara, memfitnah pemimpin negara dan sebagainya. Hal ni sebenarnya pernah juga berlaku masa Revolusi Kebudayaan di China dari tahun 1966 sampai 1976 dulu.

Tapi kalau kita lihat kembali sejarah, banyak je peristiwa yang memusnahkan buku ni jadi, seperti…

1. Perpustakaan Alexandria – ribuan skrol purba hilang dari sejarah

Illustrasi kebakaran Perpustakaan Alexandria. Imej dari Ancient World Magazine.

Dalam sejarah dunia, antara perpustakaan kuno hebat yang pernah ada adalah Perpustakaan Alexandria yang dibina di Mesir sekitar tahun 295 BC. Perpustakaan kuno terbesar ni dikatakan dah menyimpan banyak karya daripada pemikir dan penulis agung seperti Homer, Plato dan Socrates. Bagaimanapun, perpustakaan ini akhirnya musnah dalam kebakaran besar pada tahun 48 BC.

Walaupun kurang jelas tentang siapa yang bertanggungjawab dengan kebakaran ni, ahli sejarah ada suspek utama dan orang tu adalah Julius Caesar. Ini kerana, pada tahun tu Ceasar dah menawan Kota Alexandria dan tinggal di Istana Mesir.

Julius Caesar (100 BC – 44 BC). Imej dari maskontravel.com

Tapi masa tu, dia dapati ada armada-armada Mesir yang masih lagi mengelilingi Mesir di pelabuhan. Jadinya untuk keselamatan, dia pun bakar kapal-kapal Mesir – tapi kebakaran tu tak terkawal sampaikan bahagian-bahagian kota lain pun terbakar termasuklah perpustakaan.

“Selepas kematian Caesar, secara umumnya dipercayai bahawa dialah yang telah memusnahkan Perpustakaan.

Ahli falsafah Rom dan dramatis, Seneca, memetik dari Livy’s History of Rome, yang ditulis antara 63 SM dan 14 M, mengatakan bahawa 40,000 skrol telah dimusnahkan dengan api yang dimulakan oleh Caesar.” – Dipetik dari Ancient History.

Kegemilangan perpustakaan ini akhirnya musnah begitu saja. Imej dari Medium

Apa yang pasti, kemusnahan perpustakaan ini membawa kepada hilangnya ribuan manuskrip dan skrol purba karya pemikir-pemikir dahulu. Kerana itulah ada pihak yang kata – ia sebagai salah satu bencana besar dalam peradaban manusia.

2. Baitul Hikmah – Sungai Tigris bertukar hitam

Lukisan al-Wasiti yang menggambarkan ilmuan-ilmuan di perpustakaan Baghdad. Imej dari Muslim Heritage.

Bila kita berbicara soal Zaman Kegemilangan Islam, kita tak dapat lepas dari bercerita tentang gedung ilmu agung – Baitul Hikmah di Baghdad. Dikenali juga sebagai House of Wisdom – gedung ilmu ni dibangunkan oleh Empayar Abbasiyah ketika di bawah pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid yang memerintah dari tahun 786 – 809.

Baitul Hikmah boleh dikatakan sebagai pusat ilmu utama dunia ketika itu yang mengumpulkan seluruh ilmuan dunia, serta membincangkan segala ilmu dari sains, matematik, falsafah sampailah agama. Antara ilmuan yang dikaitkan dengan Baitul Hikmah ni termasuklah – al-Kindi (ahli falsafah), Banu Musa (ahli astronomi), Musa al-Khawarizmi (ahli matematik), Hunayn ibn Ishaq (ahli fizik), Thabit bin Qurra (ahli matematik) dan ramai lagi.

Illustrasi Kota Baghdad di abad ke-10. Imej dari Muslim Heritage.

Bagaimanapun, pusat ilmu yang menjadi penaung ilmuan dan kesarjanaan dunia selama lebih 400 tahun ini akhirnya musnah pada 1258 bila pihak Mongol menyerang Abbasiyah. Tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan (cucunya Genghis Khan) ketika itu dah memusnahkan masjid, rumah, hospital dan perpustakaan di Baghdad.

Selain ribuan nyawa terkorban, ribuan buku dan manuskrip Baitul Hikmah juga dikatakan telah dibuang ke Sungai Tigris sehingga menjadikan AIR SUNGAI ITU HITAM akibat dakwat! Itulah peristiwa tragik dunia intelektual dan peradaban dunia yang pernah dicatatkan sejarah.

Tentera Hulagu ketika mengepung Kota Bahgdad. Imej dari Wikipedia.

Tapi, dalam keadaan yang lain – dunia Melayu juga pernah kehilangan banyak khazanah lamanya, apabila berlakunya…

3. Kapal Raffles – terbakar bersama ratusan jenis kitab dan hikayat Melayu

Sir Thomas Stamford Bingley Raffles (1781-1826). Imej dari Lifestyle Asia.

Salah seorang tokoh Inggeris yang banyak dicatatkan namanya dalam sejarah Nusantara adalah Stamford Raffles yang pernah mentadbir Singapura dan Jawa. Sejak dia sampai ke Nusantara, dia dah buat banyak catatan tentang segala yang dia nampak dan kumpulkan koleksi manuskrip-manuskrip Alam Melayu.

Menurut sumber, koleksinya tu termasuklah hikayat-hikayat, kitab-kitab, surat-surat, kamus dan sebagainya yang berjumlah hampir 2,000! Kisah gemarnya Raffles mengumpul manuskrip ni juga diceritakan oleh Bapa Sastera Moden Melayu, Abdullah Munsyi yang pernah bekerja dengan Raffles.

Abdullah menulis Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Mekah. Imej dari Malaysia Traveller.

Kata Abdullah, cara Raffles mengumpul tu, termasuklah dengan membelinya daripada orang-orang Melayu. Disebabkan harga yang ditawarkan tu tinggi, maka ramai orang Melayu yang bawa ratusan kitab dan hikayat Melayu untuk dijual kepada Raffles.

“…kitab-kitab dan hikayat Melayu… beratus ratus jenis. Hampir-hampir habis surat-surat Melayu daripada berapa zaman daripada harta nenek moyang sekalian habis dijualkan, dibawa orang dari mana-mana sebab mendapat harga baik…” – Hikayat Abdullah.

Bagaimanapun, malang tak berbau bila kapal Fame yang dinaiki Raffles terbakar ketika di Bangkahulu pada tahun 1824, sehingga menyebabkan ratusan naskhah Melayu dalam kapal tu turut hangus terbakar. Abdullah rasa sedih sangat dengan berita tu, sebabnya apa yang musnah tu memang tak akan dapat dikembalikan lagi.

“Sekalian kitab-kitab bahasa Melayu….sekalian habislah hilang, tiada lagi tinggal benihnya kerana sekalian itu tulisan tangan. Jikalau kitab dicap adalah benihnya…” – Hikayat Abdullah.

Hikayat Parang Puting yang disalin oleh jurutulis yang bekerja dengan Raffles. Manuskrip ini kini tersimpan di British Library. Imej dari British Library.

Walaupun begitu, dikatakan Raffles sempat membawa banyak koleksinya tu balik ke England sebelum kapalnya terbakar. Kebanyakan koleksinya itu sekarang tersimpan di British Library. Tapi peristiwa ni juga memberikan kita pengajaran tentang pentingnya memelihara khazanah bangsa dan janganlah kita mudah sangat menggadaikannya kepada pihak luar.

4. Nazi – membakar buku “tak-Jerman”

Ribuan buku dibakar oleh Nazi. Imej dari DW.

Sebelum ni, SOSCILI ada senaraikan beberapa buah buku yang pernah ditulis dalam penjara dan salah satunya adalah Mein Kampf karya bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler. Dia menjadi sosok tubuh cukup sinonim dengan Nazi yang berjaya menguasai politik Jerman pada tahun 1933.

Fahaman fasis Nazi cukup kuat meresap masuk ke dalam jiwa masyarakat Jerman, sampaikan segala benda yang ‘tak-Jerman’ nak dihapuskan dan itu termasuklah buku-buku. Hal ni akhirnya meledak pada 10 Mei 1933 apabila – sekumpulan pelajar universiti dah bertindak membakar lebih 25,000 buah buku yang dianggap sebagai ‘tak Jerman’ di Opera Square Berlin.

Imej dari Tenor.

Dikatakan, peristiwa pembakaran buku tu dah disaksikan oleh 70,000 orang dan antara karya yang dibakar termasuklah oleh penulis terkenal seperti – Heinrich Mann, Erich Maria Remarque dan Joachim Ringelnatz. Bagi mereka, buku-buku ‘tak-Jerman’ ni dianggap sebagai musuh dan pengarangnya pula adalah dari kalangan sosialis, pacifis dan Yahudi

Penulis seperti Mann dan Remarque berjaya keluar dari Jerman lebih awal dari tu dan tak menjadi sasaran sangat. Tapi penulis seperti Erich Kastner yang tak keluar dari Jerman dah diharamkan menerbitkan sebarang karya selepas itu. Menjelang 1934, lebih 3,000 penerbitan dah ditapis oleh Nazi.

Mein Kampf yang ditulis Hitler masa dalam penjara. Imej dari The New York Times.

Akan tetapi, akhirnya Nazi kalah dalam Perang Dunia Kedua (WWll) dan Jerman mula mengembalikan kebebasan berkarya kepada para penulis dan intelektualnya. Peristiwa hitam 10 Mei ni terus menjadi peringatan sejarah tentang betapa bahayanya fahaman sempit terhadap pembangunan pemikiran masyarakat.

5. Perpustakaan Iraq – yang tak ada lagi buku

Patung Saddam Hussein yang diruntuhkan selepas penaklukan negara itu pada 2003. Imej dari DW.

Sejak lebih 60 tahun lalu, rantau Timur Tengah tak pernah sunyi dengan konflik dan pergolakan. Bermula dengan Perang Arab – Israel 1948, Perang Iraq – Iran 1980, Penaklukan Iraq 2003, Arab Spring, Krisis Yaman, Konflik Syria dan sebagainya. Dengan segala kekacauan ni, mahu atau pun tak – perpustakaan sebagai tempat simpanan khazanah negara juga terpalit sama.

Dan itulah yang dihadapi oleh Perpustakaan Nasional Iraq yang musnah sama sekali pada 2003, akibat serangan dan penaklukan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di negara kaya minyak itu. Kemusnahan itu dah membuatkan hampir puluhan ribu simpanan arkib Iraq – dari manuskrip, buku, kitab dan akhbar musnah.

Keadaan perpustakaan yang musnah. Imej dari Muslim Heritage.

Dianggarkan perpustakaan itu menyimpan 417,000 buah buku dan lebih 4,000 darinya adalah buku dan manuskrip langka. Seorang ahli sejarah kelahiran Iraq, Zainab Bahrani yang kemudiannya datang melihat perpustakaan itu berkata:

“Buku terbakar berubah menjadi abu, basah dan dokumen pula hancur bertaburan di tanah…”

Manuskrip al-Quran Iraq yang ditulis pada sekitar tahun 1306. Imej dari Muslim Heritage.

Kemusnahan itu sekaligus menghilangkan khazanah Iraq yang sekurang-kurangnya berusia 7,000 tahun hanya kerana jenayah perang kuasa besar dunia.

Sebenarnya, bukan kes-kes ni je yang pernah jadi dalam sejarah

Sasterawan Negara, Abdullah Hussain (allahyarham) menangis mengenangkan novelnya yang dibakar. Imej dari Utusan.

Kalau korang nak tahu, sebenarnya banyak lagi peristiwa kemusnahan buku yang pernah jadi di dunia ni, sama ada kerana tangan manusia ataupun bencana alam. Di Malaysia, pada sekitar tahun 2011 – novel karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain – Interlok pernah dibakar dalam satu demonstrasi kerana rasa tak puas hati dengan isi kandungan novel itu.

Malah, kitab hebat seperti Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali juga pernah dibakar atas arahan pemimpin Kerajaan Andalus, di hadapan Masjid Cordova (Qurtubah). Hal itu dibuat, selepas ada ulama yang mengatakan kitab Imam al-Ghazali itu sebagai sesat.

Tindakan membakar buku ini sebenarnya bukanlah tindakan bijak untuk umat yang bertamadun. Kita boleh ambil contoh Imam al-Ghazali yang menentang pandangan-pandangan falsafah dari Ibnu Sina misalnya. Tapi, al-Ghazali masa tu tak membakar buku-buku falsafah, sebaliknya menulis kitab Tahafut al-Falasifah (Kerancuan Ahli Falsafah) bagi menjawab buku-buku falsafah.

Walaupun pernah dibakar, kitab tetap kekal menjadi rujukan dan kajian hingga sekrang. Imej dari pusatbacaanislami.blogspot

Jadinya, eloklah kita bersama-sama menjadi masyarakat yang bertamadun, serta bersedia menerima dan menilai segala idea yang datang kepada kita. Lebih-lebih lagi bila Kuala Lumpur dah diangkat sebagai Kota Buku 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Pemilihan KL ni boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan dunia kepada Malaysia.

Walaupun begitu, trend membaca di kalangan rakyat Malaysia masih lagi agak rendah jika nak dibandingkan dengan negara-negara lain. Jadi pada pandangan korang, bersediakah kita menyuburkan minat membaca?

Malaysia ada tak dalam senarai? Imej dari indy100.

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.